Jangan Baca Novel Ni - Chapter 37
?Bab 37 (23/5)

Tujuh tahun kemudian....

Sekian lama merantau. Mariah sudah kehabisan jalan untuk berlari. Dia sudah tiada tempat untuk berlindung. Jadi walaupun pahit, Mariah kembali ke rumah lamanya. Bersama cucunya kini yang sudah besar.

Mariah berdiri di tengah-tengah rumahnya. Sedikit pun tidak berubah. Hanya sudah berhabuk dan usang.

Tiba-tiba, Mariah rasa kain baju kurungnya ditarik-tarik.

"Ada apa Adib?" soal Mariah pada cucunya. Anak arwah Anom.

"Nek... mana kain batik biru mak tu?" tanya Adib tiba-tiba.

"Batik biru mana pulak?"

"Alah... yang mak selalu pakai buat basahan tiap-tiap kali dia mandi dulu."

Dahi Mariah berkerut. Mana pula Adib tahu tentang kain batik biru itu. Sedangkan dia sendiri pun sudah terlupa tentangnya.

Pun begitu, Mariah hanya menurut. Dia masuk ke bilik lama Anom lalu mengeluarkan kain batik biru kegemaran Anom itu dari dalam almari.

"Nah. Adib nak buat apa dengan kain batik ni?"

"Bukan Adib yang nak. Bapak Adib yang mintak."

"Bapak Adib? Siapa?" soal Mariah sedikit terpegun dengan kata-kata cucunya itu.

"Bapak Adiblah. Bapak Adib cakap, kain batik biru ni, dia yang hadiahkan pada mak Adib dulu. Tapi sekarang dia nak balik kain batik tu. Untuk buat kenang-kenangan, sebab mak kan dah tak ada…. Sekejap ya nek. Adib nak keluar bagi kain batik ni dekat bapak Adib," kata Adib lalu terus berlari keluar.

Mata Mariah mengekor Adib melalui tingkap-tingkap rumah. Dia dapat melihat Adib berlari ke bahagian belakang rumah. Dimana terletaknya bilik mandi.

Mariah menjenguk dari salah sebuah tingkap yang betul-betul terletak di tepi bilik mandi berdinding zink itu.

Mariah cuma memerhatikan setiap gerak-geri Adib. Adib nampaknya telah menghampiri pokok jati yang besar di tepi bilik mandi tersebut. Dimana dahannya merintangi bahagian atas bilik mandi itu yang tidak berbumbung. Dimana disitulah, Anom pertama kali menjumpai kain batik biru yang begitu disayanginya. Yang dipakainya setiap kali dia mandi. Sehinggalah ke akhir hidupnya.

Adib mengorek sebuah lubang cetek betul-betul di tepi perdu pokok itu. Setelah puas hati, Adib mengambil kain batik biru tadi, lalu menanamnya di situ.

Adib bangun lalu melambai pada Mariah yang dari tadi memerhatikannya sambil berkata.

"Nenek! Adib dah pulangkan kain batik mak tu pada bapak Adib. Dia cakap terima kasih!" laung Adib sambil senyum.

"Astaghfirullahaladzim...." Mariah mengurut dadanya.

Dia berlari mendapatkan Adib. Kemudian Mariah mengamati pokok jati itu. Melihat atas bawah dan mengelilinginya. Tiba-tiba Mariah perasan ada ukiran tulisan pada dinding pokok itu di bahagian belakangnya. Tulisan itu di dalam bahasa siam. Tapi Mariah tahu membacanya kerana bapanya berasal dari Songkhla. Tulisan-tulisan pada pokok itu bermaksud....

Pohon yang berbisik…

Pada yang mendengar,

Dahan menyentuh,

Pada yang merasa,

Daun membelai,

Pada yang kecewa,

Dalam diam pohon berbisik,

Memeluk jiwa setiap yang lalu,

Di perut hutan bagaikan orkestra,

Gabungan bisikan yang membentuk lagu,

Menyiat hati kecil!

Menggenggam nafas!

Mencekik benak!

Sehingga yang terakhir yang dirasa,

Hanyalah pohon-pohon yang berbisik…

Sebaik habis membaca ayat-ayat pada pokok itu, Mariah tak semena-mena merasa kepalanya berpusing. Lalu dia terus pitam dan jatuh terbaring di tepi pokok itu.

Adib cuma memerhatikan neneknya yang tidak sedarkan diri itu tanpa membuat apa-apa. Kemudian dengan tenang, Adib kembali ke hadapan rumah lalu duduk berteleku di atas tangga beranda. Sehinggalah seorang lelaki bernama Munir datang dan menegurnya. Lalu mengambilnya untuk pulang bersama. Dan mereka akan terus bersama mulai sekarang. Sampai bila-bila.

Tapi permulaan yang baru untuk kita…

Kan Abang Munir?

Novel hitam di tangan Munir terus terlepas ke lantai. Tubuhnya menggigil dalam ketakutan. Bagaimana dirinya sendiri boleh berada di dalam novel tersebut?

Munir mencapai telefon dengan niat untuk menghubungi Suraya. Dia ingin memastikan bahawa Suraya selamat. Tapi baru hendak menekan butang pada telefonnya, satu panggilan masuk. Ianya dari Sahar.

"Assalamualaikum..."

"Waalaikumsalam..." balas Sahar dengan lemah.

"Ada apa Sahar?" soal Munir.

"Suraya.... Dia dah tak ada."

"Hah?!"

"Dia kemalangan tadi. Meninggal serta-merta sebab cedera parah di kepala. "

"Adib?"

"Adib selamat. Sekarang ni jenazah Suraya masih di hospital. Adib pun ada di sana. Aku nak pergi ambil sekarang. Kau boleh datang?"

Munir mengangguk tanpa bersuara. Telefon bimbit di masukkan ke dalam kocek seluarnya. Munir mengambil kunci kereta di atas meja. Bersedia untuk pergi menjemput jenazah kekasihnya.

Malam itu...

Keluarga Suraya dan Munir, bergilir-gilir menemani jenazah Suraya sambil membacakan surah Yaasin. Jam menunjukkan pukul tiga pagi. Hazra dan Sufiyan sudah tidur di dalam bilik mereka kerana keletihan.

...bersambung

Bab akan datang:

Benarkah Suraya telah meninggal dunia?