Jangan Baca Novel Ni - Chapter 23
?Bab 23 (5/5/14)

Selama seminggu Suraya menghilangkan diri. Hasmah dan anak-anaknya bukan main risau lagi. Mereka juga sudahpun membuat laporan polis tentang kehilangan Suraya. Tapi tak ada apa yang dapat dilakukan. Barangkali kerana pihak polis pun keliru. Kerana orang dicari adalah seseorang yang baru saja dilaporkan kematiannya. Sahar sendiri yang membuat laporan itu sebaik Suraya disahkan meninggal dunia. Tapi sekarang ini, dia sendiri pun tak tahu nak terangkan bagaimana pada pihak polis.

Hari ini genap lapan hari Suraya hilang. Keluarga Hasmah sedikit sebanyak seakan redha. Sekurang-kurangnya mereka sudah mampu untuk tidur di waktu malam. Tidak seperti hari-hari lain dalam masa seminggu ini di mana mereka sering berjaga kerana risaukan Suraya yang entah ke mana. Namun malam ini mereka semua dapat tidur dengan nyenyak. Barangkali juga kerana terlalu letih fizikal dan emosi.

Hazra terjaga dari tidur. Dia terdengar sesuatu di bilik sebelah. Bilik kakaknya. Hazra bangun. Perlahan-lahan dia keluar dari biliknya. Dia menjenguk ke dalam bilik Suraya. Tak ada sesiapa. Tapi berbekalkan lampu dari ruang rehat di luar, Hazra dapat melihat baju kebaya merah yang dipakai Suraya semasa hilang minggu lepas, sedang terdampar elok di atas katil.

Hazra musykil. Kemudian tiba-tiba dia terdengar pula suara seseorang di tingkat bawah. Suara seorang wanita. Suara itu sayup-sayup namun Hazra masih dapat menangkap butir bicaranya. Lebih-lebih lagi bila suara itu merupakan satu suara yang Hazra cukup kenal. Suara itu seakan memanggilnya dengan sayu sambil berkata...

"Hazra.... Kakak dah balik...."

Hazra perlahan-lahan menuruni tangga. Dia menuju ke ruang tamu yang gelap. Hazra membuka suis lampu. Sekujur tubuh sedang terlantar tenang di tengah-tengah ruang tamu. Tubuh kaku itu seolah-olah seperti tidak pernah berusik. Masih terkiam elok dan berselimut kain batik biru seperti mana keadaannya sembilan hari yang lepas....

Suraya sudah kembali.

Keesokan harinya, jenazah Suraya dimandikan, dikafankan, disolatkan lalu disemadikan dengan sempurna.

- Habis -

Munir kelam-kabut masuk ke dalam rumah untuk mengambil telefon bimbitnya. Dia menelefon teman wanitanya Suraya. Tapi tak dapat dihubungi. Kemudian dia telefon abang kepada Suraya yang juga merupakan kawan baiknya sejak mereka sama-sama berlatih di akademi polis.

"Assalamualaikum..."

"Waalaikumsalam, Sahar. Suraya mana?" soal Munir.

"Aik... Suraya tu kan awek engkau. Apasal tanya aku pulak?"

"Memang la awek aku. Tapi adik kau. Aku telefon dia banyak kali tak dapat."

"Hai... dah rindu sangat ke?" sakat Sahar.

"Bagitau jelah..." pinta Munir seolah tidak sabar.

"Suraya ada ni ha. Kita orang nak makan malam sama-sama. Kejap aku panggil dia."

Sahar pun menyerahkan telefon pada Suraya.

"Munir... ada apa?" soal Suraya sebaik meletakkan telefon di telinga.

"Kenapa saya telefon awak asyik tak dapat?"

"Sorry.... Habis bateri. Kenapa awak cari saya?"

"Tak ada apa. Saya cuma risau. Tu je."

"Risau kenapa?"

"Saya ada baca satu novel. Dalam cerita tu..." Munir terhenti.

"Cerita apa, Munir? Sejak bila pulak awak suka baca novel ni?" soal Suraya.

"Tak ada apalah!" Munir meninggi suara.

"Awak okey ke ni?"

"Okey. Saya pergi dulu. Nanti saya telefon lagi. Apa pun awak hati-hati jelah."

"Yalah. Oh ya... Hazra dengan Sufiyan kirim salam dekat awak."

"Waalaikumsalam..."

Munir mematikan talian. Dia memicit kepalanya yang berdenyut. Munir tak tau nak fikirkan apa. Yang dia tau semua ini tidak logik. Tak mungkin sedang berlaku. Macam mana cerita dalam novel di tangannya itu boleh terkandung watak-watak yang wujud dalam kehidupan sebenarnya? Jalan ceritanya begitu membimbangkan pula tu. Munir tak dapat hendak memikirkan bagaimana kalau cerita itu benar-benar berlaku. Dia tak sanggup kehilangan Suraya.

Tapi satu benda Munir tau. Dia kena teruskan membaca novel itu.

Cerita 5

TELEFON

Tolong hubungi saya.... Tolonglah...

Hari Satu

"Bagi salam dulu sebelum masuk tu Irfan..."

"Buat apa mak? Bukannya ada orang dalam rumah kita ni. Kan kita semua baru balik ni..."

"Buat ajalah. Kalau orang tak ada, benda-benda lain yang ada..."

Irfan pun memberi salam sebelum melangkah masuk ke dalam rumahnya yang sudah ditinggalkan selama seminggu. Dia dan seluruh keluarganya pulang ke kampung kerana ada kematian.

"Assalamualaikum..." ucap Zakiah pula bila dia melangkah masuk dengan kaki kanannya.

Zakiah meletakkan beg di tepi tangga. Melucutkan selendangnya lalu dikibas-kibaskan ke leher. Panas dan menyesakkan. Maklumlah rumah yang sudah tertutup rapat selama seminggu tanpa pengudaraan. Sekurang-kurangnya itulah fikir Zakiah.

"Abang... tolong bukak tingkap-tingkap semua. Saya rasa rimaslah..." pinta Zakiah pada suaminya, Bakar.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah perkara yang akan berlaku di dalam cerita yang dibaca oleh Munir kali ini?