DIAGNOSIS2: PROGNOSIS - PrAKAtA
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillahirabbilalamin, tidak terkira nikmat yang Allah berikan, tetapi sedikit sekali yang kita hargai. Segala puji hanya layak untuk Allah Tuhan seru sekalian alam atas segala berkatNya, sehingga saudara Dr Muhamad Na’im Ab Razak dapat menyelesaikan buku dengan judul “PROgnosis”.

Buku yang berada di tangan anda ini merupakan buku perkongsian pengalaman penulis mengharungi cabaran-cabaran untuk bergelar dan berkhidmat sebagai seorang Doktor.

Saya mula mengenali penulis semasa beliau masih lagi di Fakulti Perubatan. Kerajinan, sifat dahaga ilmu dan komitmen beliau amatlah saya kagumi. Saya berpendapat, berbekalkan sifat-sifat tersebut penulis adalah antara graduan yang paling sesuai dicontohi. Maka pengalaman beliau tersurat di dalam buku ini amat sesuai dijadikan pembuka mata kepada sesiapa yang berminat menyertai bidang perubatan.

Menceburi bidang perubatan bukan sahaja memerlukan kelebihan intelek, tetapi juga ketahanan emosi dan komitmen kerja yang tinggi. Semua pihak (penuntut, ibu bapa, tenaga pengajar dan lain-lain) yang ingin menceburi atau menggalakkan ahli keluarga terdekat menceburi bidang ini perlu memahami situasi yang bakal ditempuhi. Maklumat di dalam buku ini amat sesuai dijadikan pengenalan terhadap perkara-perkara yang pernah dialamai oleh seorang yang telah bergelar “Doktor”.

Penulis berharap isi dari naskah ini bebas dari kekurangan dan kesalahan, namun kekurangan pastinya tidak dapat dielakkan. Penulis berkongsi pengalaman beliau pada ketika tertentu yang sudah tentu tidak dapat dibandingkan dengan pengalaman pengamal perubatan yang lain.

Penulis mempunyai pelbagai ciri-ciri peribadi yang membolehkan beliau berkhidmat dalam apa jua bidang kepakaran yang diingini. Tetapi yang jelas ialah beliau amat minat menceburkan diri dalam Perubatan Kecemasan.

Saya berdoa cita-cita beliau menjadi kenyataan. Beliau masih perlu terus berusaha untuk bergelar Pakar, tetapi saya amat yakin beliau dapat bertugas bersama-sama kami di Jabatan Kecemasan di masa hadapan.

Saya berpendapat buku terbitan pertama penulis ini adalah permulaan kepada buku-buku lain yang bakal dihasilkan oleh beliau pada masa yang akan datang.

Dr. Azlan Kamalludin

[MD (Canada), MMed Emergency Medicine (USM)]

Pakar Perubatan Kecemasan dan Trauma