Jangan Baca Novel Ni - Chapter 29
?Bab 29 (13/5)

Lalu seperti seorang penagih yang tak dapat hendak meninggalkan dadahnya, Munir pun terus membaca novel tersebut walaupun dia tahu novel itu tidak membawa sebarang kebaikan untuk dirinya. Malah hanya mengundang keburukan.

Cerita 6

Bunga Kematian

Seputih Kemboja…

Bunga itu indah. Kematian juga indah. Bersama setiap bunga yang gugur dengan gemalai. Roh bisa terbang dengan aman. Keduanya begitu serasi. Menghiasi tempat semadi. Untuk mereka yang sudah pergi...

Kenapa orang begitu menakuti kematian? Sedangkan kematian itu sesuatu yang begitu suci.

Dan tidak ada ketenangan yang lebih abadi, melainkan untuk mati. Kemboja faham akan hakikat itu. Sebab itulah dia begitu menghargai kematian. Dan sentiasa menyambut dan menghantarnya... dengan senyuman.

Aswad dikejutkan oleh bapanya, Ustaz Amir. Dia tahu sebaik itu, tentu ada kematian yang berlaku di kawasan perumahan mereka. Kalau tidak bapanya takkan mengganggu tidurnya awal-awal pagi ini.

"Ada orang meninggal ya pak?"

Ustaz Amir diam. Wajahnya muram.

"Kenapa ni pak?" soal Aswad lagi.

"Suraya, anak Mak Cik Hasmah tu.... Dia dah balik," ujar Ustaz Amir sambil mengeluh.

"Oh... baguslah. Habis tu kenapa bapak kejutkan saya ni?"

"Kita kena pergi uruskan pengebumian dia."

"Hah? Tapi kan... hari tu dia..." Aswad tergagap-gagap. Tak reti nak cakap macam mana. Sebab ianya terlalu merumitkan.

"Kita berserah sajalah. Hanya Allah yang Maha Mengetahui," hanya itu yang mampu diperkatakan oleh Ustaz Amir.

"Maksudnya kali ni dia memang betul-betul dah matilah? Dia takkan bangun semula macam hari tu lagi?" soal Aswad bertalu.

Ustaz Amir menepuk bahu anaknya beberapa kali. Kemudian dia bangun untuk bersiap-siap. Meninggalkan soalan Aswad tidak berjawab. Jawapan apa yang mampu dia berikan pun? Memang tiada. Seperti yang dia katakan tadi. Dia hanya mampu berserah.

Apabila sampai di rumah si mati, Aswad hanya menunggu di luar. Dia hanya akan masuk jika dia diperlukan oleh bapanya. Ketika sedang menunggu itu, Aswad memerhatikan keadaan sekeliling. Orang mulai bertandang ke rumah itu. Bacaan Yaasin juga memenuhi udara. Seperti bau-bauan kemenyan dan kapur barus yang setiap kali membuatkan tengkuk Aswad meremang. Walaupun dari kecil-kecil lagi dia sudah selalu mengikut bapanya untuk menguruskan jenazah. Sehingga kini usianya sudah mencecah dua puluh tahun, bau-bauan itu tetap tidak diterima baik oleh hidungnya. Setiap kali membuatkan dia rasa tidak selesa. Kerana bauan itu begitu sinonim dengan kematian. Dan Aswad tidak sukakan apa saja yang mengingatkan dia kepada kematian.

Tiba-tiba, Aswad ternampak suatu sosok yang begitu dia kenal. Suatu sosok yang membuatkan dia tersenyum walaupun rata-rata orang di situ sedang menangisi pemergian si mati. Aswad menghampiri sosok itu yang berpakaian serba hitam, lengkap dengan kain kelubungnya sekali.

"Assalamulaikum Kemboja..." sapa Aswad pada gadis itu.

"Eh Abang Aswad, waalaikumsalam..." balas Kemboja dengan senyuman.

Senyuman yang membuatkan hati Aswad yang gelisah jadi tenang. Setiap kali, wajah Kemboja mampu membuatkan dia merasa begitu. Barangkali kerana Kemboja seorang gadis yang cantik. Kulitnya putih. Matanya coklat. Bibirnya merah dan rambutnya panjang beralun.

"Sebenarnya.... Abang Aswad macam dah agak akan berjumpa dengan Kemboja di sini," ujar Aswad.

"Kenapa ya?"

"Yalah. Dah tiga kematian dalam bulan ni, semuanya Kemboja ada."

Kemboja tertunduk sambil senyum.

"Boleh abang tau kenapa?"

"Kenapa apa?"

"Kenapa Kemboja selalu datang ke majlis pengebumian. Padahal abang rasa, Kemboja tak kenal pun mereka semua yang meninggal tu..."

"Memang saya tak kenal. Tapi tak salah kan kalau saya datang untuk baca Yaasin dan sedekahkan Al-Fatihah pada si mati?"

"Tapi kenapa?"

"Betul Abang Aswad nak tau?"

Aswad mengangguk laju.

"Sebab kematian membuatkan Kemboja rasa tenang..."

Aswad menjongket kening.

"Pelik tu..." katanya.

Kemboja ketawa kecil.

"Nanti abang akan faham maksud Kemboja," katanya sebelum senyum dan masuk ke dalam.

Seperti biasa, Kemboja akan tunggu sampai semuanya selesai. Dia akan turut serta sehinggalah jenazah selamat dikebumikan di tanah perkuburan. Setiap kali juga, Kemboja akan memetik sekuntum bunga yang begitu sinonim dengan namanya, lalu meletakkan pada pangkal batu nisan kubur baru tersebut.

"Bersama setiap bunga kemboja yang gugur dengan gemalai, roh bisa terbang dengan aman..."

Aswad hanya mendengar kata-kata Kemboja itu, tanpa memberikan sebarang balasan. Tak guna untuk terus memahami gadis itu. Kerana setiap kali yang Aswad akan dapat, hanyalah persoalan lain. Setiap kali Aswad cuba untuk menyelami hati gadis itu, dia semakin kehilangan punca. Yang dia tahu, setiap kali ada kematian, di situlah ada Kemboja. Mengiringi setiap masa dengan senyuman.

Hanya beberapa hari selepas pengebumian Suraya, Ustaz Amir dan Aswad terpanggil lagi oleh satu lagi kematian.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Kemboja akan muncul juga?