Jangan Baca Novel Ni - Chapter 21
?Bab 21 (1/5/2014)

Hazra keluar dari bilik dan menuruni tangga. Untuk menuruni tangga, Hazra perlu lalu di hadapan bilik arwah kakaknya. Terdetik seketika perasaan aneh dalam hatinya apabila melihat pintu bilik kakaknya tertutup walhal dia sendiri yang membiarkannya terbuka sebelum tidur tadi.

“Mungkin mak ada masuk ke bilik akak tadi…” kata Hazra memujuk hatinya sendiri.

Sampai sahaja di bawah, Hazra tidak terus ke ruang tamu tempat jenazah Suraya dibaringkan. Sebaliknya dia ke dapur dahulu untuk membancuh secawan air teh dengan niat untuk menjamahnya bersama beberapa keping roti kering. Hazra membawa cawan teh dan piring berisi roti itu ke ruang tamu. Matanya jadi buta kerana keadaan ruang tamu yang gelap gelita. Lagi sekali rasa hairan menyerang benaknya. Dia sendiri yang membuka lampu malap warna kuning di tengah-tengah ruang tamu itu tadi dengan niat tak mahu kakaknya kegelapan seorang diri. Siapa pula yang menutupnya sampaikan keadaan jadi gelap gelita begini?

Jari Hazra meraba suis lampu lalu menekannya.

“Mak!!! Adik!!!” jerit Hazra dengan kuatnya. Cawan teh dan piring terlepas dari tangan lalu pecah berkecai menghempas lantai.

Hasmah dan Sufiyan yang memang masing-masing masih belum boleh tidur di dalam bilik mereka terus berlari keluar setelah mendengar jeritan kuat Hazra.

“Ada apa Sufiyan?” soal Hasmah sebaik melihat muka cemas anaknya.

“Pian pun tak tau. Pian dengar Kak Haz jerit dari bawah.”

Dua beranak itupun bergegas turun ke bawah dan menuju ke ruang tamu.

“Masya-Allah… Suraya!” jerit Hasmah.

“Abang Sahar… Kak Sura…” suara Sufiyan bergetar di hujung talian.

“Kenapa dengan Kak Sura, Pian?”

“Dia… er… dia…”

“Kenapa ni? Cakaplah,” desak Sahar, abang mereka yang paling sulung.

“Kak Sura... dia duk sikat rambut dekat dalam bilik. Di depan cermin…”

“Pian! Apa pian mengarut ni? Bawak mengucap…. Kak Sura kan dah tak ada.”

“Sahar! Balik rumah cepat Sahar…. Tolong balik cepat! Mak tak tau nak buat apa ni…” tiba-tiba suara Hasmah mengambil alih suara Sufiyan.

“Mak… bawak bertenang. Cuba mak cakap betul-betul apa yang berlaku?” pinta Sahar yang dirinya sendiri mulai merasai cemas.

“Sahar… Suraya hidup semula,” kata Hasmah dalam esak tangis.

Sahar menelan air liurnya yang pekat.

“Haz turun ke bawah untuk duduk bersama jenazah akak. Saja nak menemaninya. Tapi bila Haz sampai ke ruang tamu. Kak Sura dah tak ada. Yang ada cuma kain batik yang bergulung di tengah-tengah ruang tamu. Haz jerit kuat-kuat. Mak dengan Pian pun turun. Kami semua terkejut dan tak tau jenazah Kak Sura pergi mana. Entah kenapa kami bertiga terus terdetik nak periksa bilik tidur dia. Bila kami buka saja pintu bilik Kak Sura.

Kami dah nampak, dia tengah duduk di meja solek. Mukanya menghadap cermin yang masih tertutup dengan kain hitam. Perlahan-lahan dia duk sikat rambut dia. Dari tadi dia duk memandang ke arah cermin yang bertudung tu. Langsung tak berkalih pada kami. Kami pula… takut nak mendekati dia,” terang Hazra panjang lebar pada Sahar. Sahar yang bergegas ke rumah itu dari rumah bujangnya, sejurus sampai terus mendapatkan Hazra, Hasmah dan Sufiyan yang sedang kebingungan di hadapan pintu bilik Suraya.

Sahar mendengar penjelasan Hazra tanpa memberikan sebarang reaksi. Dia menolak daun pintu bilik Suraya.

“Sura…” panggil Sahar.

Suraya berhenti menyisir rambut panjangnya. Namun wajahnya masih membelakangi Sahar.

Sahar dengan perasaan yang bercampur-baur mendekati Suraya perlahan. Sehinggalah dia beberapa langkah dari Suraya. Dia hanya berdiri tegak di belakang Suraya. Tak semena-mena, kain hitam yang menutupi cermin di hadapan Suraya terjatuh. Lalu nampaklah akan Sahar wajah Suraya yang sedang tersenyum tenang kepadanya. Wajahnya pucat dan matanya sedikit merah.

“Astaghfirullahalazim… Suraya…” hanya itu yang terluah dari bibir Sahar. Suraya pula setelah senyum pada abangnya melalui cermin itu, meneruskan menyisir rambutnya. Seperti tiada apa-apa yang sedang berlaku.

“Macam mana Sahar?” soal Hasmah sebaik anaknya itu keluar semula.

“Kita telefon Dr. Aryani. Tentu ada kesilapan semasa pemeriksaan siang tadi,” saran Sahar sambil mengeluarkan telefon bimbitnya.

“Baiklah. Sahar telefon doktor, biar mak telefon Ustaz Amir.”

“Buat apa mak nak telefon ustaz tu? Benda ni tak ada kena-mengena dengan dia. Ini soal perubatan,” pintas Sahar membantah.

“Tak apalah. Mak telefon jugak. Manalah tau…. Siapa yang tak pelik, Sahar? Kalau seseorang yang dah mati hidup semula,” Hasmah berkeras.

...bersambung

Bab akan datang:

Mengapakah mayat Suraya hidup semula?