Panglima Awang - Chapter 1
?Pelabuhan Melaka tetap sibuk seperti biasa.

Dagang santeri dari seluruh dunia sibuk memperdagangkan barangan mereka. Masing­masing berada di kawasan yang telah ditetapkan oleh pejabat Syahbandar. Kepelbagaian barang dagangan membuatkan pasar Melaka yang terletak berhampiran dengan pelabuhan, begitu sibuk.

Angin Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut telah membawa pedagang­pedagang dari pelbagai pelosok dunia singgah ke Melaka. Pelabuhan Melaka bagaikan gerbang kepada pemasaran rempah­ratus dari seluruh Kepulauan Melayu. Malah pedagangpedagang dari India turut membawa sama rempahratus mereka untuk didagangkan di Melaka.

Tidak jauh dari pelabuhan, pelbagai jenis kapal sedang berlabuh. Perahu­perahu kecil, kolek dan sampan bagaikan semut­semut kecil di sekeliling kapal­kapal besar. Ada yang menghantar bekalan

seperti air bersih, minuman dan sebagainya. Ada juga yang menjaja dan mengambil upah menurunkan barang­barang dari kapal­kapal pedagang untuk didagangkan di pasar Melaka. Tidak kurang juga perahu­perahu milik Syahbandar Melaka yang ditugaskan untuk memungut cukai daripada kapalkapal berkenaan.

Kesibukan di pelabuhan dan pasar Melaka, tibatiba hilang. Semua pandangan menghala ke tengah laut. Ada yang berbisik­bisik. Ada yang termuncungmuncung. Ada juga yang menudung kening dengan telapak tangan dan cuba memerhatikan dengan jelas kehadiran lima buah kapal yang kelihatan agak aneh bentuknya berbanding kapal­kapal lain di perairan Pelabuhan Melaka.

Beberapa orang pedagang yang datang dari India, berbisik sesama sendiri. Salah seorang daripada mereka, berlari mendapatkan Nina Sura Dewana yang sedang berehat di kedainya.

“Tuan Nina Sura!”

Nina Sura Dewana yang sedang membetulbetulkan susunan kodi kain di dalam kedainya memanjangkan leher ke arah orang yang memanggilnya tadi.

“Ada apa?” tanya Nina Sura Dewana dengan kalut. Bimbang juga dia kalau­kalau Si Kitul dan Mudeliar buat hal lagi. Bimbang juga di hatinya jikalau Nina Katu buat helah lagi untuk menghalang dia daripada berniaga di Melaka seperti yang sering dilakukan oleh Nina Katu.

“Nampaknya masalah lebih besar akan melanda Melaka,” kata Surya yang menjaga gerai Nina Sura Dewana di tengah­tengah pasar.

“Apa masalahnya?” Nina Sura Dewana mengecilkan mata dan mengerutkan kening.

“Feringgi datang.”

“Hah?!” Nina Sura Dewana terperanjat besar.

Tanpa menghiraukan kodi­kodi kainnya, Nina Sura Dewana terus berlari keluar dari kedainya. Surya turut berlari terkedek­kedek di belakang majikannya.

Kehadiran lima buah ghali Feringgi itu benar­benar menarik perhatian semua pedagang di Pasar Melaka. Bahkan berita kedatangan Feringgi membuatkan kebanyakan pedagang dari Gujerat berkumpul dan berbual sesama sendiri.

“Feringgi­Feringgi itu tidak seharusnya dibenarkan berdagang di Melaka,” kata Nina Sura Dewana kepada Surya.

“Kenapa? Tuan hamba bimbang kalau­kalau keuntungan tuan hamba akan berkurangan?” Pertanyaan dengan nada mengejek itu, membuatkan Nina Sura Dewana berpaling pantas.

Nina Katu yang hanya mengenakan dhotti putih tersengih­sengih sambil mengunyah­ngunyah sirih berdiri tidak jauh dari Nina Sura Dewana. Sesekali dia memancutkan air ludahnya yang berwarna merah.

“Apa kena­mengena dengan tuan hamba pula?” tanya Nina Sura Dewana kembali.

“Memanglah tak ada kena­mengena. Tapi....” Nina Katu menggosok­gosok perutnya yang boroi bulat. “Hamba teringin benar nak tengok tuan hamba berambus dari Melaka dan tidak lagi mengganggu urusan hamba di sini.”

“Dasar orang Mahabalipuram!” cemuh Nina Sura Dewana.

“Ah, Mahabalipuram sudah jauh lebih maju dari Gujerat. Tujuh pagoda ada di Mahabalipuram. Apa ada di Gujerat?” soal Nina Katu kembali.

“Kenapa datang ke Melaka?” balas Nina Sura Dewana.

“Sudah beribu tahun, orang Mahabalipuram akan keluar dari negerinya dan menguasai negeri lain. Itulah sebabnya Mahabalipuram digelar Tanah Tujuh Pagoda,” kata Nina Katu dengan bangga.

Meluat betul Nina Sura Dewana mendengar kata­kata Nina Katu. Nina Katu sentiasa berlagak dan bercakap besar. Mungkin berasakan Raja Mudeliar sentiasa menyokongnya membuatkan Nina Katu naik kepala. Raja Mudeliar juga seorang pedagang. Bagaimanapun, dia sudah lama tinggal di Melaka. Bahkan mempunyai hubungan yang sangat baik dengan istana Melaka. Pun begitu, semua orang tahu tentang pertentangan antara Raja Mudeliar dengan Bendahara Seri Maharaja. Raja Mudeliar dengan dibantu oleh pengikut setianya, Si Kitul sentiasa berwaspada dan mencari jalan untuk memusnahkan Bendahara Seri Maharaja.

“Paduka Raja Mudeliar pastinya gembira dengan kedatangan Feringgi­Feringgi itu,” kata Nina Katu lagi. Dia seolah­olah ingin membangkitkan kemarahan Nina Sura Dewana.

Nina Sura Dewana berpaling ke arah Surya yang sedang menggetap­getap bibir menahan geram. Isyarat matanya meminta agar Surya bersabar dan tidak mengikut kemarahannya terhadap Nina Katu. Jikalau Surya tidak dapat menahan diri dan mencederakan Nina Katu, tentunya mereka akan berhadapan dengan masalah di Melaka. Raja Mudeliar pastinya akan melakukan pelbagai perkara dan rancangan untuk merampas harta bendanya, bahkan mengusir mereka dari Melaka. Tidak mustahil juga Raja Mudeliar akan cuba mempengaruhi pihak istana agar mereka dibunuh.

Nina Katu sempat menjeling ke arah Nina Sura Dewana sambil tersenyum kecil. Sebelum melangkah sekali lagi dia meludah, memercikkan air liurnya yang berwarna merah. Hujung dhottinya diangkat dan dia berjalan terlenggang­lenggang meninggalkan kawasan sesak yang menempatkan deretan kedai para pedagang di pasar Melaka.

“Apa agaknya rancangan Nina Katu tu?” Surya bertanya perlahan.

“Tentunya membabitkan Raja Mudeliar dan

Si Kitul.”

“Asalkan jangan dia mengacau urusniaga kita di sini, sudahlah,” Surya melahirkan harapan.

“Kita tengoklah nanti. Selalunya walau apa pun yang dilakukan oleh Nina Katu, tidak pernah akan berakhir dengan kebaikan. Ada­ada sahaja orang yang akan diniaya dan harta yang dirampas,” kata Nina Sura Dewana dengan nada yang agak perlahan.

Tidak jauh dari dermaga, lima buah ghali yang dikenal pasti datang dari Portugis kian rapat. Beberapa buah perahu dan sampan Syahbandar mendekati kapal­kapal berkenaan.

“Tidak ada suatu tempat pun kalau disinggahi Feringgi akan aman,” ujar Nina Sura Dewana lagi.

“Habis tu, apa yang kita nak buat, tuan? Kita hanyalah pedagang di sini. Mungkin ada sedikit kelebihan kerana kita beragama Islam dan pemerintah

Melaka juga beragama Islam,” Surya membalas.

Nina Sura Dewana menekurkan mukanya ke tanah sebentar. Benaknya ligat memikirkan apakah yang boleh dilakukannya.

Melaka memanglah sebuah negeri asing kepada Nina Sura Dewana. Melaka hanyalah tempat untuk dia menambahkan kekayaan dan kemakmuran. Bagaimanapun, kasihnya kepada Melaka tidak boleh dikesampingkan. Sikap penduduk tempatan yang ramah dan mesra terutama terhadap saudara seagama, menambat perasaannya di negeri yang dibuka seratus tahun lampau oleh Parameswara.

Apatah lagi Melaka juga telah menjadi pusat pengajian bagi mereka yang ingin mendalami ilmu agama. Pelbagai bangsa ada di Melaka. Tidak kurang 84 bahasa dituturkan di Melaka pada ketika itu. Kemakmuran, sistem pemerintahan dan pentadbiran yang baik, pelabuhan yang strategik serta penduduk tempatan yang menyambut kedatangan para pedagang dengan sikap terbuka, benar­benar menambat perasaannya.

Bagaimananapun, tidak semua orang sepertinya. Ada yang datang dan tinggal di Melaka. Mereka bukan sahaja mencari rezeki di Melaka, bahkan mengimpikan Melaka sebagai sebuah tanah jajahan yang mereka boleh kuasai dan boleh berbuat sesuka hati.

Adakala, Nina Sura Dewana berasa aneh, tidakkah pihak istana Melaka dan para pembesar menyedari perkara tersebut. Bukankah istana Melaka sentiasa menjaga hal ehwal rakyat jelata dan tanah jajahan. Masakan sultan dan para pembesar tidak sedar, musuh dalam selimut seperti Raja Mudeliar boleh memusnahkan negara yang baru sahaja ditubuhkan itu.

Tindak­tanduk Raja Mudeliar yang dibantu oleh Si Kitul benar­benar menjolok mata. Nina Katu pula bagaikan cacing naik ke mata. Ketamakan mereka bertiga membuatkan Nina Sura Dewana berasa menyampah.

Biarpun Nina Sura Dewana mempunyai hubungan yang baik dengan Bendahara Seri Maharaja, dia cuba mengelak daripada menggunakan pengaruhnya. Dia tidak mahu dicap sebagai orang yang suka mengacum dan mengadu domba. Apatah lagi, dia tahu, Bendahara Seri Maharaja pastinya tahu apa yang sedang berlaku di dalam negeri Melaka terutama yang membabitkan Raja Mudeliar, Si Kitul dan Nina Katu.

Namun kebimbangan sentiasa menguasai hatinya. Gelagat yang ditunjukkan oleh Raja Mudeliar, Si Kitul dan Nina Katu bukan sahaja mengancam para pedagang di Pasar Melaka tetapi juga seluruh kerajaan Melaka sendiri. Ketiga­tiga mereka tidak ubah seperti musang berbulu ayam. Masing­masing hanya menunggu masa yang baik untuk menyelinap dan menghancurkan pentadbiran Melaka.

“Kalau sudah tidak ada cara, terpaksalah kita menemui Datuk Bendahara. Tidak ada cara lain, hanya Bendahara yang dapat membetulkan cara pentadbiran di negeri ini,” kata Nina Sura Dewana lagi.

“Bagaimana pula dengan Laksamana? Bagaimana dengan datuk­datuk yang lain?” Surya sebenarnya tidak faham dengan perjalanan sebenar pentadbiran di Melaka. Tugasnya menjaga barangbarang dagangan Nina Sura Dewana di pasar, tidak memungkinkan dia banyak bercampur dan tahu tentang corak pentadbiran di Melaka. Apa yang diketahuinya ialah Syahbandar mempunyai orang­orangnya yang sendiri dan seringkali bertindak melampaui batasan, terutama kepada sekelompok pedagang yang enggan mengampu atau menghulurkan hadiah kepada Syahbandar.

Begitu juga dengan Laksamana Khoja Hassan yang tidak banyak menjalankan tugas, sebaliknya lebih senang mendengar laporan daripada orangorangnya. Kemakmuran dan kemewahan Melaka telah membuatkan sebahagian besar daripada pembesarnya tidak menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sebaik­baiknya. Kebanyakan daripada mereka berasakan Melaka sudah cukup selamat daripada gangguan anasir­anasir luar. Padahal, semua orang tahu, Melaka sentiasa diintai oleh kuasakuasa luar untuk dijajah. Sekurang­kurangnya di utara Sumatera ada sebuah kerajaan yang sentiasa mencemburui Melaka dan ingin mengambil­alih tugas Melaka sebagai pelabuhan terkenal di seluruh Nusantara.

Selain Datuk Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir, satu­satunya pembesar yang boleh diharap adalah Temenggung Tun Hassan. Temenggung Tun Hassan adalah anak Bendahara Seri Maharaja. Bagaimanapun, Temenggung Tun Hassan sendiri sedang berhadapan dengan masalah, terutama yang melibatkan Laksamana Khoja Hassan dan Raja Mudeliar yang mempunyai pengaruh di istana.

“Mana ada lagi pembesar istana yang benarbenar menjaga negeri ni? Kebanyakannya lebih sibuk mencari jalan menjatuhkan antara satu sama lain. Masing­masing sibuk mengumpulkan seberapa banyak kekayaan dengan menggunakan pengaruh dan jawatan yang disandang,” balas Nina Sura Dewana dengan nada yang agak perlahan.

Surya sekadar mengangguk kecil. Dia faham apa yang dimaksudkan oleh Nina Sura Dewana itu.

Kelima­lima buah ghali Feringgi sudah pun berlabuh. Para pedagang yang tadinya kagum melihat kehadiran ghali­ghali itu, kembali menumpukan perhatian kepada kerja masing­masing. Pasar Melaka kembali sibuk dengan gelagat para pedagang dan pembeli.

Nina Sura Dewana masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Pandangannya menghala ke tengah­tengah laut. Deretan kapal­kapal yang berlabuh, membuatkan dia terkenangkan tanah tumpah darahnya. Sudah lama dia meninggalkan Gujerat. Sudah lama juga dia menjadikan Melaka sebagai negeri keduanya.

Selepas Gujerat, Kalikat dan Goa diserang serta menjadi kawasan yang berada di bawah kekuasaan Feringgi, Nina Sura Dewana sudah tidak berminat lagi untuk pulang ke kampung halamannya. Dia sudah berkira­kira untuk tinggal di Melaka buat selama­lamanya. Apatah lagi anak dan isteri serta seluruh kaum keluarganya juga sudah berpindah ke Melaka. Di Melaka, mereka dapat menjalankan tanggungjawab sebagai umat Islam dengan aman damai dan bebas. Mereka juga tidak diganggu oleh pegawai­pegawai istana, bahkan Sultan Melaka telah menganugerahkan sebidang tanah untuk dijadikan perkampungan buat pedagang­pedagang beragama Islam dari Arab dan India. Cuma agak malang, perkampungan itu diketuai oleh Raja Mudeliar yang tidak sedar diri itu.

“Feringgi pasti akan membuat masalah di sini. Mereka tidak datang untuk berdagang, sebaliknya mereka datang untuk menguasai Melaka,” Nina Sura Dewana memberitahu dirinya sendiri.

Lima buah ghali Feringgi masih di tengahtengah laut. Semakin banyak perahu­perahu kecil di sekitar ghali­ghali Feringgi itu.

Biarpun Melaka merupakan sebuah pelabuhan terkenal tetapi itulah kali pertama Melaka menerima kedatangan ghali dari Portugis. Jarak antara Portugis dan Melaka sangat jauh. Sungguhpun Portugis mempunyai pangkalan di Goa, India, namun seingat­ingatnya kapal dagang Portugis datang terus dari negeri atas angin itu.

Berbeza dengan kapal­kapal dagang yang lain, ghali­ghali Feringgi lebih sesuai disebut sebagai kapal perang memandangkan ia mempunyai sistem persenjataan yang sangat lengkap. Anak­anak kapalnya juga dilengkapi dengan senjata. Selain berdagang, ghali­ghali Feringgi juga dijadikan sebagai armada tentera laut yang boleh menyebabkan kemusnahan besar kepada sasaran serangan mereka.

Nina Sura Dewana telah melihat sendiri apa yang dilakukan oleh soldadu­soldadu Feringgi. Soldadu­soldadu Feringgi mempunyai senjatasenjata api yang jauh lebih maju berbanding senjatasenjata yang terdapat di Melaka. Biarpun Melaka juga memiliki istinggar, lela rentaka dan meriam, namun ia tidak dapat menandingi senjata yang dimiliki oleh Feringgi. Kalaulah Feringgi menyerang Melaka, sudah tentu Melaka akan jatuh ke tangan Feringgi dengan mudah.

Disebabkan itulah, Feringgi tidak boleh dibenarkan berdagang di Melaka!

“Apa daya hamba? Apa yang hamba harus lakukan?” tanya Nina Sura Dewana kepada dirinya sendiri.

Nina Sura Dewana terus berfikir­fikir.

“Tuan Nina!” Panggilan itu serentak dengan tepukan di bahu Nina Sura Dewana.

Nina Sura Dewana terkejut. Pantas dia berpaling ke arah orang yang menegurnya sebentar tadi.

“Oh, Orang Kaya Seri Buana.”

Orang Kaya Seri Buana merupakan salah seorang pembantu Bendahara Seri Maharaja di Kampung Bendahara. Kebanyakan urusan kampung dan daerah yang berada di bawah pentadbiran Bendahara Seri Maharaja diserahkan kepada Orang Kaya Seri Buana. Bahkan, banyak juga tugas­tugas sulit dijalankan oleh Orang Kaya Seri Buana bagi pihak Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir.

“Jauh sungguh renungan tuan hamba. Apa yang tuan hamba fikirkan?” tanya Orang Kaya Seri Buana sambil tersenyum.

“Ghali­ghali Feringgi itu....” Nina Sura Dewana tidak menghabiskan kata­katanya.

“Kenapa?”

“Hamba tidak fikir mereka datang ke sini untuk berdagang.”

Orang Kaya Seri Buana mengerutkan keningnya.

“Kalau tidak berdagang, buat apa mereka datang ke sini?”

“Mereka datang untuk mengintai kekuatan Melaka. Mereka datang untuk menjarah negeri ini,” Nina Sura Dewana berterus­terang.

Orang Kaya Seri Buana ketawa terbahak­bahak. Nina Sura Dewana segera berpaling. Dia kehairanan melihat sikap Orang Kaya Seri Buana.

“Kenapa tuan hamba ketawa?” tanya Nina Sura Dewana.

“Siapa yang bodoh ingin menyerang Melaka dalam keadaan sekarang? Melaka mempunyai angkatan tentera yang terkuat di rantau sebelah sini. Sedangkan Acheh sendiri pun berkira­kira hendak menyerang Melaka, apatah lagi lima buah ghali Feringgi.”

Nina Sura Dewana hilang kata­kata. Dia sebenarnya tidak tahu bagaimana hendak menerangkan kebimbangannya itu kepada Orang Kaya Seri Buana.