INSECURE - 7
[Zee]

Aku baru saja membayar yuran pendaftaran ujian kemasukan ke universiti di bank. Nombor PIN sudah aku dapat untuk proses pendaftaran. Aku juga sudah mendaftar untuk memasuki kelas tambahan sebagai persiapan ujian kemasukan itu.

Sebenarnya aku mahu terus pulang, tetapi saat itu aku terlihat pengumuman tarikh tutup permohonan untuk mengikuti ujian kelayakan kursus asas kepolisan pada papan tanda di hadapan pejabat pos. Aku terus teringat Sam. Dia belum mendaftar dan tarikh tutupnya minggu depan. Aku menahan teksi dan memberinya alamat Sam. Aku membuka beg yang kubawa, mencari modem. Ada. Mujurlah aku membawa laptop hari ini.

Tiba di depan rumah Sam, aku turun selepas menjelaskan tambang teksi. Ketika teksi itu berlalu, aku masih mematung di depan rumah Sam yang kelihatan sunyi dan terkunci. Sepertinya kedai mi ayam itu masih belum buka.

“Nak cari siapa?” soal seorang gadis yang tiba-tiba muncul dari rumah itu. Tubuhnya kurus tinggi. Dia kelihatan cengkung dan keletihan. Dia memakai baju kemeja petak-petak dan seluar jeans yang sudah lusuh, mungkin sudah beratus kali dicuci dan dipakai.

“Oh.. saya.. saya carik Sam,” sahutku sedikit gugup.

Gadis itu mengangguk. “Masuk. Rasanya dia masih tidur.”

Dia berjalan ke depan rumah dan menolak pintu kayunya. Kemudian dia merenungku yang masih terpaku di situ. “Rumah kami bersih. Masuk je. Tapi kalau jijik, tunggu je lah kat situ..”

“Oh, bukan begitu.. saya…” Ayatku terputus kerana gadis itu sudah menghilang ke dalam rumah. Aku melangkah masuk ikut pintu yang sama. Saat sudah di dalam, sekali lagi aku terpaku. Semua kerusi plastik tersusun rapi di satu sudut. Aku terlalu takut untuk mengambilnya.

Gadis itu kemudiannya turun dari tingkat atas sambil mengeluh. “Maaf, saya tak pandai layan tetamu Sam dengan sempurna. Rumah kami memang begini,” ujarnya. Dengan pantas dia mengambil salah satu kerusi plastik dan meletakkannya di hadapanku. “Jemput duduk.”

“Terima kasih,” ujarku. Kerana kerusi itu berdebu, aku mengeluarkan sehelai tisu dari begku dan mengesat permukaannya. Kemudian barulah aku duduk sambil memangku beg yang kubawa. Pandanganku tertuju ke tingkat atas. Sam, kau kat mana? Aku boleh pengsan ketakutan kalau perlu berlamalama dengan perempuan garang ini.

“Aku kakak Sam,” kata gadis itu. Dia membawa segelas teh panas dari belakang. Padahal cuaca di luar sangat panas sekali. Tak ada air sejuk? “Minumlah. Kejap lagi aku naik panggil Sam lagi.” katanya. Aku mengangguk sahaja.

Beberapa saat kemudian, ibu Sam muncul dari pintu yang sama yang aku masuki tadi. Saat melihat aku, dia tersenyum gembira. “Oh, kamu kawan Sam yang dulu itu kan?”

“Ya, makcik. Saya Zee. Makcik masih ingat saya?”

Ibu Sam tersenyum lebar. “Sebentar ya,” ujarnya lembut. Kemudian suaranya berubah nyaring. “Ghisa! Ghisa! Ada tetamu yang datang ni! Kenapa rumah dibiar bersepah macam ni? Astaga! Kenapa pintu kedai belum bukak ni?”

Melihat ibu Sam begini, aku teringat pada Vini.

Beberapa minit kemudian, Sam turun dengan wajah cemberut. Rambutnya kusut masai. Saat kakinya memijak anak tangga paling bawah, dia tercengang. Matanya merenung tepat ke arahku. “Zee!”

“Hey, baru bangun?” soalku.

Riak wajahnya berubah panik. “Astaga! Tunggu kejap!” Dia berlari menuju ke bilik air di belakang dapur. Aku tertawa melihat reaksinya. Namun tawaku termati saat kakak Sam muncul kembali.

Gadis itu kemudiannya mula membuka pintu kedai. Barisan papan yang menjadi dinding hadapan kedai itu ditanggalkan satu persatu. Saat itu juga cahaya menerobos masuk bersama hembusan angin, membuat suasana di dalam kedai berubah cerah dan lebih selesa. Akhirnya ada angin yang boleh mengusir peluh yang sudah mula berbutir di dahiku.

Sam muncul kembali beberapa minit kemudian. Dia mengesat wajahnya yang basah dengan tuala kecil. Kemudian dia mengambil sebuah kerusi plastik dan duduk di sebelahku. “Sorry ye, kalau badan aku bau. Belum mandi.” ujarnya perlahan.

Kepada kakaknya dia berkata “Kak! Kenapa kau tak cakap ada kawan aku datang?”

“Dah banyak kali aku kejutkan. Kau tu yang tak nak bangun,” rungut gadis itu sebelum beredar ke dapur.

Sam mengeluh. “Kakak aku tu nampak je garang tapi sebenarnya dia baik. Dia itu cuma selalu stress je. Kena kerja sambil belajar. Beban dia lagi berat dari badan dia sendiri.”

Aku senyum nipis. “Takpe,” sahutku. “Aku datang ni sebab nak tunaikan janji. Kau belum daftar online kan?” soalku sambil mengeluarkan laptop dan modem dari begku. “Daftar sekarang, okay? Nanti aku tolong,” ujarku.

“Wah. Terima kasih, Zee,” balas Sam. “Kalau nak daftar perlu apa?” soalnya.

“IC ada?”

“Ada. Sekejap.” Dia berlari naik ke tingkat atas. Aku masih fokus pada laptop.

“Nah, makan,” ujar ibu Sam sambil menghulurkan semangkuk mee ayam. “Kami belum bukak sebenarnya, tapi kalau kawankawan Sam datang, kami jamu bila-bila masa.”

Aku mengangguk. “Terima kasih, makcik. Nanti saya makan.” Sam kembali ke meja. “Nah, ni IC aku,” katanya.

“Nak buat apa tu?” soal ibu Sam yang turut duduk bersama kami.

Sam menggaru-garu kepalanya sebelum menjawab. “Emmm… sebenarnya aku nak cuba masuk pasukan polis, mak. Zee nak tolong. Cuba-cuba je lah, mana tau ada rezeki.”

Aku boleh merasa ibu Sam benar-benar terkejut walaupun dia tidak berkata apa-apa. Malah, kakak Sam juga meninggalkan kerjanya di dapur dan datang menghampiri kami.

“Betul?” soal Ghisa.

Sam mengangguk. “Haah. Baru nak daftar. Sudah, pergi. Jangan ganggu.”

Ghisa mengangguk, wajahnya kelihatan lebih ceria. “Akhirnya ada jugak matlamat hidup kau.”

Ibu Sam yang kelihatan masih sangat terkejut menoleh ke arah Ghisa. “Dari mana nak dapat duit nak masuk polis tu? Adik kau belum gila kan Sha? Dia bergurau je kan?”

Gisa mengangkat bahu. “Entahlah mak…”

Kemudian ibu Sam menoleh ke arahku. “Kalau kamu yang cakap, mungkin makcik percaya. Sebab Sam ni suka melawak tak kira masa. Tak tau bila dia melawak, bila dia serius.”

Aku tersenyum lebar. “Betul, makcik. Sam dah mula berlatih untuk persiapan ujian kemasukan tu. Kalau bahagian ujian bertulis pulak nanti saya akan tolong dia belajar.” Tangan ibu Sam di atas meja kusentuh. “Tak payah bayar apa-apa pun. Kita ikut jalan yang betul. Cuma perlu isi borang dan sertakan salinan sijilsijil dia je dulu.”

“Sijil-sijil apa yang perlu?” soal Ghisa padaku. Ketika ini sorot di matanya lebih lembut, tidak setajam tadi. Lembut dan penuh harapan.

“Ermmm..sekejap, ya.” Aku menatap layar laptopku. “Kalau nak isi permohonan online ni cuma perlu nombor kad pengenalan dan maklumat peribadi je.” Aku menggerakkan tetikus dan menekan butangnya sekali. Satu laman web terpapar.

“Yang lain-lain itu salinan sijil-sijil dia dari sekolah rendah sampailah tamat sekolah menengah, dan keputusan SPM. Juga salinan kad pengenalan, surat beranak, gambar, lepas tu bukti pendaftaran online. Kemudian kena ada Sijil Kelakuan Baik. Akhir sekali kena ada borang pemeriksaan kesihatan dan pengesahan bebas dari dadah. Semua salinan ni kena hantar ke ibu pejabat polis berhampiran, bawak sekali dengan sijil-sijil asal.”

Ibu Sam terdiam. Sam juga senyap. Ghisa pula kelihatan sedikit panik. Dia kemudiannya naik ke tingkat atas dan beberapa minit kemudian, turun bersama satu fail kertas. Dia mengeluarkan isinya. “Ini sijil-sijil Sam dari sekolah rendah sampai sekolah menengah rendah, sekali dengan keputusan peperiksaannya. Sijil SPM belum ada pulak. Kad pengenalan Sam.” Dia mengambil kad pengenalan Sam dari tanganku dan meletakkannya di atas sijilsijil yang dikeluarkannya tadi. “Ini sijil kelahiran Sam.”

Dia kemudian menoleh ke arah Sam. “Gambar ada?”

Sam mengangguk. “Ada, banyak.”

Ghisa mendesah “Sijil Kelakuan Baik, borang pemeriksaan kesihatan dan pengesahan bebas dadah tak ada.” Barang-barang tadi disusun dan dimasukkan kembali ke dalam fail.

“Esok kita uruskan yang selebihnya. Boleh kan, Sam?” soalku sambil memandang ke arah Sam. “Senang je. Nanti aku tolong.”

“Okay,” sahut Sam. Dia menoleh ke arah ibu dan kakaknya. “Jangan panik. Nanti aku uruskan sendiri semuanya. Ada Zee yang boleh tolong dan tahu banyak benda. Emak dan kakak tolong doakan aku je.”

“Dan sediakan makanan sihat,” ujarku pada ibu Sam dan kakaknya. “Berat badan Sam kena naik lagi dua kilo, dan kena bertahan sampailah dia lulus temuduga tu semua. Kalau tak mungkin akan digugurkan.”

Ghisa memukul bahu Sam. “Jadi maknanya kau kena tidur awal! Kena makan banyak. Jangan lupa makan susu, telur dengan buah.

Nasi pun kena makan. Jangan makan mee je mentang-mentanglah mak yang buat,” bebelnya sambil membulatkan mata pada Sam.

“Ye lah… Garang betul makcik ni,” ujar Sam sambil menggosokgosok bahunya.

Ibu Sam menoleh ke arahku. “Tolong Sam ya, nak? Makcik ni tak pandai benda-benda gini. Ghisa pulak sibuk. Kena tolong makcik lagi. Kena belajar lagi. Takpe kan?”

Aku mengangguk. “Saya akan tolong.”

Ibu Sam kemudiannya berdiri. Dengan sekali tarik, dia meraih tubuh Sam ke dalam dakapannya. “Semoga kamu berjaya, nak.” Kemudian dia menangis, memeluk erat anaknya.

Sam tidak berkutik di dalam pelukan ibunya. Memang tinggi ibunya cuma separas dada Sam, tetapi kekuatan pelukan tubuh yang satu setengah kali ganda lebih lebar itu memang padu. Patutlah Sam menyeringai seperti sedang dihempap barang berat. Aku cuma diam sambil menahan keharuan.

Seharusnya keluarga memang seperti ini. Saling menyokong dan menguatkan. Memberikan sokongan saat ada yang memerlukan. Atau beginikah sebenarnya hidup yang adil? Saat Sam kekurangan wang dan pendidikan, dia diberi keluarga yang penyayang dan memahami. Saat aku lahir dalam keluarga yang kaya-raya, aku kehilangan kasih sayang dari keluargaku.

Inikah namanya keadilan?

jjjjj

[Sam]

Keningku berkerut saat menatap puluhan manusia yang berkumpul di depan kaunter bahagian pengurusan Sijil Kelakuan Baik itu. Kata Zee, aku mesti berpakaian sopan dan kemas. Jadi sekarang aku memakai kemeja lengan pendek, seluar panjang warna hitam dan kasut sukan. Memang tidak sesuai, aku tahu. Tapi itu sahaja yang aku ada.

Zee kelihatan lebih dewasa hari ini berbanding sebelumnya. Dia mengenakan kemeja sifon lengan pendek bersama skirt paras lutut dan sepasang kasut bertapak rata. Dia berdandan sedikit nampaknya hari ini. Ini kali pertama aku melihatnya bersolek, walaupun cuma disapu nipis. Kami sudah seperti mahu keluar bertemu janji. Malangnya temu janji hari ini akan bermula di balai polis dan akan berakhir di hospital.

“Sam, isi borang ni,” ujar Zee lalu menyerahkan satu sampul surat berisi kertas. “Fail tu bagi aku nanti aku susun sijil-sijil kau.”

Aku menghulurkan begku padanya. Kami sedang duduk di salah sebuah meja yang disediakan untuk pengunjung. Aku mengisi borang manakala Zee menyusun salinan sijil-sijilku. Setelah semuanya selesai, dia menyuruh aku beratur untuk diambil cap jari. Aku cuma menurut sahaja kerana dia lebih tahu.

Tidak lama prosesnya, kemudian aku kembali semula ke meja kami. Aku menyerahkan surat itu kepada Zee yang kemudiannya memasukkannya ke dalam sampul surat tadi. Zee memasukkan sampul surat yang sudah lengkap isinya ke kaunter pemprosesan.

“Kita tunggu sekejap. Tak lama.” “Kalau lama pun takpe,” ujarku. “Tak boleh lama sangat. Kan nak buat medical check up lagi,” ujar Zee. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya. “Buat dekat hospital tempat Mama kerja je lah ye? Cepat sikit,” ujarnya. “Nanti aku contact Mama.”

Aku mengangguk. Kemudian renunganku terpaku di pergelangan tangan Zee. Gelang itu!

“Zee.. kat mana kau beli gelang tu?” soalku.

Zee berhenti menekan-nekan layar telefon pintarnya lalu melihat gelang yang aku maksudkan. Dia tersenyum. “Ini Papa yang bagi, bukan beli,” jawabnya. “Rasanya takde dijual.” Dia menunjukkan gelang itu padaku. “Gelang ni stainless steel. Kau tengok ukiran dia halus sangat. Nama aku pun nampak jelas walaupun kecik.”

“Tu lah. Masa aku jumpa gelang kau, aku nampak ukiran nama kau dulu. Kau pasti takde orang lain yang ada gelang macam ni?” “Papa juga ada satu. Pun ada ukiran namanya,” balas Zee.

“Siapa nama Papa kau?”

“Rudi Hardi,” ujar Zee. Kemudian keningnya berkerut. “Kenapa tiba-tiba tanya pasal Papa ni?”

Aku menarik nafas panjang sebelum menyampaikan apa yang kulihat tempoh hari. “Aku pernah jumpa seorang doktor yang pakai gelang macam ni. Nama dekat gelang tu Rudi. Papa kau ke?” Spontan Zee ternganga. Dia kelihatan terkejut. “Sure?”

“Sumpah, tak tipu. Memang aku nampak nama dekat gelang tu Rudi.”

Wajah Zee seperti mahu menangis. “Betul kau jumpa Papa?”

Aku menggaru kepala. “Ermm…rasanya betullah kot.” Kemudian sesuatu muncul di benakku. “Aku baru ingat! Muka dia memang sebijik macam muka kau! Patutlah aku rasa macam pernah nampak dia!”

Zee tiba-tiba menangis. Aku menjadi panik. Belum sempat aku menenangkannya, namaku dipanggil. Sijil Kelakuan Baik itu sudah siap.

“Zee, tunggu sekejap ya? Jangan nangis nanti aku kena belasah dengan polis-polis dekat sini. Mesti diorang ingat aku buat apaapa kat kau.”

Zee tertawa kecil. “Okay..okay..” Dia mengambil tisu dan mengesat matanya.

Aku mengambil sijilku yang sudah siap. Saat kembali ke meja kami, aku tersenyum lebar. “Murah je. Sepuluh ringgit. Ngamngam duit aku.”

Zee tersenyum. “Jom?”

Dengan motosikalku, kami bergerak menuju ke hospital tempat ibu Zee bekerja. Saat tiba, aku berkerut melihat kesibukan di ruang menunggu. Setiap hari orang sakit membanjiri hospital untuk mendapatkan rawatan. Bahkan aku dan Ghisa pernah berpendapat, orang miskin tidak perlu sakit, terus mati lagi baik.

Di sebelahku, Zee sibuk dengan telefon bimbitnya. Kemudian dia menarik tanganku. “Mama cakap, dia dah pesan dengan kawan dia yang kita nak datang. Jadi tak payah tunggu lama. Jom? Kita pergi sebelah sana.”

“Hisy, nanti kena maki kalau potong barisan,” ujarku sambil menuding ke arah orang yang masih ramai menunggu. “Jangan mengarutlah!”

“Bukan kat sini la. Ni barisan kalau kau nak jumpa doktor ke, ada appointment ke. Kalau nak buat medical check up, boleh terus masuk. Ada bilik khas. Tak pernah datang hospital ke?”

Aku meggeleng. “Kalau sakit sikit-sikit je, aku makan Panadol je lah. Kalau teruk baru pegi klinik desa. Lagi pun aku jarang sakit.”

Zee kelihatan takjub dengan ceritaku. “Memang lasak badan kau kan? Aku ni kalau kena hujan sikit pun terus demam.”

Kami berjalan beriringan ke kaunter paling kiri. “Aku dah biasa main di luar sejak kecik, Zee. Hujan ribut pun aku masih main bola. Duduk kat tepi parit pancing ikan. Lari dekat padang main layang-layang.”

“Seronok kan zaman kecik-kecik dulu?” ujar Zee dengan senyuman. “Kalau Vini tu dulu selalu ikut kau ke? Dia tu pandai kan? Padahal dia cakap dia jarang makan makanan berkhasiat.”

Aku ketawa kecil. “Vini itu selalu ikut aku dulu. Lepas dia datang haid baru dia berhenti ikut aku. Segan dah kot nak main dengan lelaki.” Aku memandang Zee. “Pasal otak dia tu, aku pun tak tau kenapa. Padahal aku rasa kami makan benda yang sama je. Jarang makan ayam. Selalunya ikan, telur, tempe, tauhu. Tapi otak dia memang dahsyat. Orang kaya pulak ada yang bodoh walaupun hari-hari makan sedap-sedap. Tapi kau tak termasuklah,” ujarku sambil tersengih.

Zee ketawa. Kemudian kami berhenti di hadapan sebuah bilik berpintu kaca yang bertutup. Zee membaca papan tanda di depannya. “Kat sini tempatnya. Masuklah,” katanya.

Aku menolak pintu kaca itu dan mempersilakan Zee masuk. Di dalam bilik itu ada dua orang pemuda yang ditemani ahli keluarga masing-masing sedang menunggu untuk diukur tinggi dan berat badan mereka. Zee menyapa dua jururawat yang duduk di kaunter hadapan bilik itu.

“Maaf cik, saya Zee Rasyid. Anak Manda Rasyid. Kalau nak buat medical check up dekat sini kan?”

“Haah. Tadi mak awak ada telefon sini,” sahut salah seorang dari jururawat yang duduk di kaunter itu. “Cantiknya awak ni macam mak awak. Datanglah sini selalu nanti, mana tau berminat nak jadi doktor ke nurse ke.” Kemudian jururawat itu memandang kami silih berganti. “Siapa yang nak buat medical check up?”

“Bukan saya, tapi kawan saya,” sahut Zee sambil menunjuk ke arahku.

“Oh, begitu. Silakan duduk.”

Zee bangkit dan menyuruhku duduk. “Nah, duduk sekarang. Ni urusan kau.”

Aku mengambil alih tempat Zee. Kemudian petugas itu menghulurkan empat helai kertas kepadaku. “Isi borang ini dulu. Kemudian terus pergi makmal belah sana. Tapi sebelum tu bayar dulu dekat kaunter pendaftaran.”

“Berapa, cik?” soalku sambil mengambil pen. “Semua sekali termasuk ujian air kencing RM 180.00.” Pen di tanganku terlepas. Mahalnya!

Aku menoleh ke arah Zee. “Betul ke? Aku takde duit, Zee! Kita balik je lah.”

Zee menahanku. “Isi je lah borang tu! Tunggu sini!” perintahnya tegas. Dia kemudiannya menoleh ke arah jururawat itu. “Kaunter belah mana?”

“Di luar. Dekat sebelah tempat menunggu tu.” Petugas itu menyerahkan sehelai kertas. “Bawak ni sekali. Lepas bayar, datang semula ke sini. Nanti kami terus proceed dengan check up.” Kemudian Zee kembali memandangku. “Isi borang tu. Aku keluar kejap. Jangan lari, tau?”

“Tapi Zee.. tak payah la buat semua ni untuk aku. Dah dekat nak dua ratus tu. Aku mana ada duit nak bayar balik dekat kau. Kau jangan main-main boleh tak?”

“Rileks boleh tak? Aku ada duit. Wang yang Mama selalu bagi lebih dari cukup untuk aku jadi aku selalu simpan. Tak perlu bayar. Anggap je ni hadiah galakan dari aku. Tapi lepas ni kau kena belanja aku makan mee ayam emak kau. Dua mangkuk. Boleh?” Dia menepuk bahuku. “Jangan buat drama kat sinilah. Malu.”

Dia kemudiannya menghilang di sebalik pintu masuk.