Jangan Baca Novel Ni - Chapter 18
?Bab 18 28/4/2014

Satu rakaman video pun dimainkan ke udara. Rakaman video yang menggerunkan itu menunjukkan ratusan remaja yang jatuh dari langit dalam masa yang sama. Mayat mereka yang berdarah dan patah riuk bertimbunan di beberapa kawasan lapang.

Kami akan terus melaporkan dari semasa ke semasa perkembangan tragedi yang menakutkan ini. Bagaimanapun, orang ramai di seluruh dunia mulai melabelkan fenomena ini dengan nama 'Human Rain'. Ataupun hujan manusia. Kita akan kembali lagi dengan laporan yang terkini....

- Habis -

Munir meraba tengkuknya yang meremang. Gerun dengan cerita itu. Dia menutup novel tersebut. Mulai merasa tindakannya merampas novel tersebut dari Adib adalah tindakan yang tepat. Munir melihat ke sisinya lagi. Seperti tadi, kopinya juga tak bersentuh kali ni. Dia mengeluh. Lalu bangun untuk ke dapur dan memanaskan kopinya. Sekali lagi.

Sebelum itu dia sempat menjenguk ke dalam bilik Adib. Aneh. Budak itu tiada. Munir pun mencari ke serata rumah dan bertanyakan pada Ramlah. Juga tak ditemui. Munir menggaru kepalanya.

Tiba-tiba dia terdengar bunyi berdentum di dalam bilik. Seperti sesuatu terjatuh. Munir bergegas ke situ untuk melihat. Dia menjumpai Adib sedang duduk di atas lantai sambil mengurut kakinya.

"La... kenapa ni? Adib pergi mana tadi?" soal Munir sambil melihat kaki Adib yang agak bengkak. Seperti terseliuh.

Adib hanya menjawab dengan menunjukkan ke atas siling rumah.

"Cakap la betul-betul. Adib pergi mana tadi? Masa abang tengok tadi, Adib tak ada pun dalam bilik..."

"Adib pergi terbang..." jawab Adib dengan selamba. Dia mengurut kakinya.

"Jangan merepeklah. Ni mesti terpengaruh dengan novel yang Adib baca tu.... Sebab tu Abang Munir rampas."

Adib cuma diam.

"Dah. Jom ikut abang. Kita minta mak abang letakkan minyak angin dekat kaki Adib tu."

Adib pun menurut tanpa sebarang bantahan.

Sementara Ramlah sedang menyapu minyak pada kaki Adib, Munir kembali ke beranda. Dia duduk bersila di situ untuk menyambung bacaan. Kali ni dia teguk siap-siap kopi o' panas yang dibawanya. Kerepek pun sempat disuap beberapa kali. Dia dah tau. Kalau dah mula baca buku ni nanti, mesti leka.

Cerita 3

Ramalan

Masa depan yang menakutkan...

Haida adalah seorang surirumah yang rajin, seorang isteri yang taat, dan seorang ibu yang penyayang. Dia sudah berkahwin dengan suaminya selama tiga belas tahun. Sepanjang masa itu mereka telah dikurniakan dengan empat orang cahaya mata. Kesemuanya lelaki. Yang sulung berusia sebelas tahun. Yang kedua sembilan tahun. Ketiga tujuh tahun dan yang bongsu baru berusia lima tahun. Suami Haida bekerja sebagai seorang doktor perubatan yang berjaya.

Maka secara keseluruhannya, kehidupan Haida dan keluarganya cukup sempurna dan bahagia. Sehinggalah apabila sejak kebelakangan ini, Haida sering mendapat mimpi buruk ketika tidur.

Haida sering bermimpikan imej-imej yang menakutkan. Pada mulanya, mimpi Haida cuma mengandungi gambaran-gambaran tidak jelas tentang perkara-perkara ngeri seperti mayat, darah, pembunuhan dan sebagainya. Namun semakin hari, mimpinya menjadi semakin jelas. Sehinggalah akhirnya pada suatu malam ketika Haida sedang tidur, dia bermimpikan sesuatu yang cukup dasyat. Sesuatu yang berlaku kepada keluarganya sendiri.

Haida bermimpi melihat suami dan keempat-empat orang anaknya dibunuh dengan kejam. Tapi dia tidak dapat melihat siapa yang telah membunuh keluarganya itu. Kerana imej pembunuh itu kelihatan samar-samar sahaja.

Haida terkejut jaga. Dia mengurut dadanya yang berombak sambil mengucap panjang. Dia mengelap peluh di lehernya. Haida memerhatikan suaminya yang sedang tidur dengan aman. Kemudian dia memeriksa pula satu-persatu anak-anaknya. Semuanya sedang tidur dengan tenang. Haida menghela nafas lega.

Pun begitu, setiap malam, mimpi yang sama berulang. Setiap kali dengan perincian yang semakin jelas. Contohnya, melalui mimpinya itu, Haida tahu bahawa pembunuhan tersebut berlaku pada hari sambutan majlis hari jadi anak sulungnya.

Kerana Haida nampak banyak perhiasan seperti belon dan kek yang sudah tinggal separuh, namun masih tertulis sebahagian dari nama dan umur anak sulungnya. Perkara itu agak merunsingkan Haida kerana memang dia dan suami sedang merancang untuk membuat majlis hari jadi untuk anak sulung mereka yang akan berlaku minggu hadapan. Perkara tersebut sedikit sebanyak memberi kesan kepada Haida. Walaupun dia masih menganggap perkara itu sebagai kebetulan dan mimpi-mimpinya tidak lebih dari sekadar mainan tidur.

Namun semua itu berubah dalam sekelip mata apabila pada suatu malam, Haida bermimpikan dia dan suami serta anak-anaknya pergi berjalan-jalan di sebuah pusat membeli belah untuk membeli kelengkapan bagi majlis hari jadi anak sulungnya. Pada mulanya, Haida tidak mengesyak apa-apa setelah bermimpikan perkara itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah mimpi Haida akan menjadi kenyataan?