INSECURE - 4
[Zee]

Gelangku masih gagal aku temui. Aku mulai pasrah, tetapi masih tidak rela. Sekarang aku berdiri di depan padang perhimpunan, memandang rumput-rumput yang pendek dan hampir mati kerana selalu dipijak. Semua orang sudah pulang, dan aku juga mahu segera pulang, tetapi gelang itu… Ah, sudahlah!

“Hai Zee!”

Aku menoleh. Ternyata itu Sam. Lelaki itu menyandang beg yang hampir kosong. Hujung baju kemejanya sudah keluar dari seluar yang dipakainya. Wajahnya kelihatan segar, seperti baru lepas mencuci muka. Ya, tadi di dalam kelas dia tidur nyenyak sekali. Entah siapa yang membangunkannya. Mungkin Vini. Ah, seharusnya aku membangunkannya tapi aku takut.

“Ada apa?” soalku saat dia menghampiriku.

“Kau belum balik?”

“Ha..haah.. nak baliklah sekarang.”

“Okay. By the way terima kasih tau sebab bagi aku tiru homework Fizik tadi.”

Aku mengangguk. “SPM kan makin dekat. Takut kau tak lulus kalau kau terus-terusan meniru.”

Sam tersenyum lebar. “Jangan risau. Ini Sam Alqori. Kalau bab meniru tu serahkan saja kat aku.”

Aku mengeluh. Melihat reaksiku, Sam tertawa.

“Jangan risau. Orang macam aku selalunya akan dapat result lagi baik dari orang yang belajar sepanjang tahun. Banyak buktinya kan?”

Aku mengangkat bahu. “Suka hati kaulah. Yang penting aku dah ingatkan kau.”

“Okay!” balas Sam.

Pandanganku kembali terarah ke rumput-rumput di depan padang perhimpunan itu. Cari lagi atau terus pulang?

“Kau masih cari gelang itu ya?” soalnya lagi. “Alah..lupakan saja, Zee!”

Aku tersenyum nipis. “Mungkin betul kata kau.”

Salah seorang rakan perempuan yang sekelas dengan kami melintas di depan kami sambil menolak motosikalnya. Dia berhenti saat melihat Sam.

“Sam! Tolong. Motor aku tak boleh start la.”

“Beli baru je lah, kan senang,” sahut Sam selamba.

“Hish! Tolonglah tolak please!”

Sam menoleh padaku. Seketika dia seperti mahu menepuk bahuku. Tetapi kemudian dia mengurungkan niatnya. “Hmm…bahu kau masih sakit kan? Tunggu di sini sekejap ye? Aku tolong dia kejap,” ujar Sam. Dia meninggalkanku dan berjalan menghampiri teman itu sebelum menolongnya menolak motosikal dari belakang. Tidak lama kemudian, motosikal itu berjaya dihidupkan. Sam berpatah balik ke arahku.

“Nah, settle dah. Terima kasih sebab tunggu.”

Aku mengangguk. “Kau sangat baik.”

“Hahaha.. Buat apa ada badan yang tinggi dan tegap kalau tak boleeh tolong orang tolak motor?”

Ya, rasanya Sam diberi bakat mudah menolong orang walaupun dari segi akademiknya dia biasa-biasa sahaja. Tinggi Sam lebih 25cm dari ketinggianku yang hanya 155cm. Badannya juga tegap berotot. Rambutnya agak kasar tetapi lurus, dipotong pendek. Dia kerap kali jadi sasaran ketika pemeriksaan mengejut oleh guru disiplin sehingga Sam selalu merungut kerana tidak dapat menyimpan rambut panjang. Akhirnya dia pasrah sahaja berambut pendek. Dia mempunyai rahang yang tajam. Sorot matanya juga tajam tetapi akan melembut saat dia tertawa. Hidungnya pesek - itu memang kenyataannya ya. Bibirnya berbentuk sempurna dan kemerah-merahan. Tiba-tiba aku merasa ingin bertanyakan sesuatu.

“Kau tak pernah merokok ke?”

Sam menggeleng. “Dulu pernah, masa menengah rendah. Masuk tingkatan empat, aku berhenti. Semua sebab Vini,” ujarnya. “Dia datang ke rumah bawak artikel pasal bahaya perokok pasif. Dia kata dia tak nak dekat dengan aku kalau aku masih merokok. Dia tak nak mati cepat.”

“Jadi sebenarnya dia lebih risau pasal diri dia sendiri lah kan?

Bukannya kesihatan kau.”

Sam tertawa. “Kau ni macam tak kenal Vini. Dia tu mana nak rugi.”

Aku mengangguk. Sejurus kemudian, muncul Vini bersama Jo. Ya, Jonathan. Aku kenal kapten pasukan bola keranjang sekolah itu. Sejak aktiviti ko kurikulum untuk pelajar tingkatan lima dihentikan, dia hanya bermain untuk suka-suka. Tetapi semua orang ternanti-nanti untuk melihat dia beraksi.

“Hai Sam,” sapa Vini dengan suara lembut. “Hai Zee!” Pipinya memerah.

“Kenapa cari aku?” soal Sam. Aku membalas sapaan Vini dengan mengukir seulas senyuman,

“Aku balik dengan Jo, okay?”

“Aku pinjam kawan kau sekejap, Sam. Aku janji aku hantar dia balik dengan selamat,” ujar Jo. Dia tersenyum. Kedua tangannya dimasukkan ke dalam saku seluarnya.

Dari segi fizikalnya, Jo dan Sam kelihatan setara. Ketinggian dan bentuk tubuh mereka sama. Bezanya Jo lebih kacak, kulitnya lebih cerah dan dia tidak ada apa-apa masalah disiplin. Aku pernah sekelas dengannya dulu sebelum aku dipindahkan ke kelas Sam.

Sam ketawa. “Bawak je. Dia tak berguna untuk aku,”ejeknya. Kemudian dia melirik ke arah Vini dengan pandangan nakal. “Kenapa kau tak melawan? Selalunya mesti mulut kau dah maki aku macam-macam kan? Mana pergi Vini jiran aku yang sebenar?”

“Eih…Kau ni kenapa?” balas Vini dengan suara yang masih lembut. Mukanya merah padam.

Sam tertawa semakin kuat. “Sekali-sekala kau boleh pulak jadi macam perempuan betul, kan?” komennya. “Sudah, pergi sana.” Dia menepuk bahu Jo. “Hati-hati ya bawa jiranku itu. Luka sikit saja, kita buat perhitungan di padang. Dekat balai polis pun boleh.”

Jo juga tertawa. “Ya..ya…”

“Eh, tapi korang dah declare couple belum?” soal Sam.

“Rileks bro. Kenal-kenal dulu…” balas Jo. “Betul kan, Vin?”

Vini sudah kehilangan kata-kata. Dia hanya tersengih menahan geram. Mukanya sudah berubah seperti tomato merah yang segar. Melihat itu, aku menahan tawaku. Sam sudah terbahak-bahak di sebelahku.

“Eh, kenapa muka kau merah macam buntut monyet? Hahahaha!”

Mulut Sam memang celupar. Tapi saat itu Vini langsung tidak melawan. Dia hanya memuncungkan mulutnya tanda tidak puas hati. Dia kemudian berpaling ke arah Jo. “Jom? Kalau layan dia ni sampai esok pun tak habis.”

Jo mengangguk. “Gerak dulu,” ujarnya sebelum mengangkat sebelah tangannya. Sebelah lagi memegang tangan Vini.

Aku tidak menjawab kerana Jo langsung tidak memandang ke arahku. Bahkan aku tak pasti samada dia perasan kehadiranku di situ atau tidak.

Hanya Sam yang menyahut. “Baik-baik jalan!” ujarnya sambil melambaikan tangan. Beberapa saat kemudian dia melaung. “Vin! Jangan lupa apam balik cheese coklat aku ok? Aku doakan kau bertemu jodoh dengan Jo!”

Vini tidak menyahut, berpaling pun tidak. Dia hanya mengepal penumbuknya di belakang badannya. Aku ketawa. Di sebelahku Sam terbahak-bahak.

“Kalau kita dengan orang yang kita suka, mesti perangai kita pun akan berubah, kan?” ujarku pada Sam. “Macam Vini tu contohnya.”

Sam mengangguk. “Nanti dekat rumah confirm aku kena cakar, kena maki,” ujarnya. Dia terdiam sejenak sebelum memandangku. “Kau pun lain kalau dengan aku. Kau suka aku eh?”

“Hah?”

“Gotcha! Hahahaha!”

Aku menghela nafas yang terasa sesak. Sekarang aku pasti mukaku sudah semerah tomato masak. Atau buntut monyet. Apa-apalah.

“Aku balik dulu, okay? Takut Mama risau pulak.”

“Okay. Nak aku hantar?”

Aku menggeleng. “Tak payahlah. Jumpa esok!”

Buru-buru aku meninggalkannya, sehingga hampir terlanggar orang di hadapanku yang tiba-tiba berhenti berjalan. Sepantas kilat aku sudah meninggalkan kawasan sekolah dan naik bas mini.

Ini semua salah Sam. Kenapa dia begitu selamba bertanya adakah aku sukakan dia sebab aku lebih banyak bercakap dan ketawa saat dengannya? Astaga!

Ah, lupakan dulu tentang dia.

Setibanya di rumah, aku melihat lampu-lampu rumah sudah dinyalakan dan tingkap sudah tertutup. Aku melangkah lambatlambat melintasi ruang tamu. Saat melihat pintu bilik Mama yang tertutup, aku berhenti. Aku menarik nafas sedalam mungkin dan memberanikan diri menghampirinya. Perlahan pintu kuketuk. “Mama…” Aku mengetuk lagi. “Mama ada kat dalam?”

Tiada jawapan. Aku memberanikan diri membuka pintu itu. Ternyata mama memang sudah pulang. Sedang berbaring dengan sapu tangan terikat di kepala. Aku tersentak. Segera aku melepaskan beg yang ku sandang dan berjalan mendekatinya.

“Mama sakit ke?” soalku sambil duduk di birai katil. Lehernya kusentuh. Tidak panas. Syukurlah. Aku menghela nafas lega.

Mama membuka matanya. “Oh, kamu dah balik.”

Aku mengangguk. “Mama dah makan? Sakit kepala lagi ke?” soalku.

“Ya. Tapi sekarang dah kurang selepas diikat ketat-ketat,” sahut Mama sambil ketawa kecil. Dia kemudian mengelus pipiku perlahan. “Umm..boleh buatkan Mama bubur, sayang?”

“Boleh. Tunggu ya, Mama.”

Aku segera ke dapur tanpa menukar pakaian terlebih dahulu. Aku pernah diajar Papa cara membuat bubur kesukaan Mama. Saat itu kami masih tinggal bersama. Selesai memasak, aku membawa dulang berisi semangkuk bubur dan segelas air suam ke bilik Mama. Melihat aku datang, Mama segera bangkit dari pembaringannya. Dia menyambut dulang yang kuhulurkan. “Terima kasih, Zee. Mama tak larat masak.”

“Tak apa Ma. Bubur je.”

Mama tersenyum nipis. Kemudian dia menyudukan bubur itu ke mulutnya. Suapan pertama membuat dia terpegun.

“Kenapa, Ma? Tak sedap?”

Mama menggeleng. Kemudian dia menyuap lagi. Lagi dan lagi.

Entah kenapa tiba-tiba air matanya gugur ke mangkuk bubur itu. Mama menangis. Aku tersentak.

“Mama, kenapa?”

Kali ini Mama menatapku dengan renungan yang berbeza. Renungan yang membuatku teringat akan lebam di belakang tubuhku. Tolong. Jangan!

Mama melempar mangkuk bubur ke lantai. Gelas di tanganku terlepas. Mama kemudian berdiri dan menyeretku dengan kasar ke luar bilik. “Anak sial! Kenapa kau lahir, hah???” Kenapa aku dilahirkan, Tuhan? Jawab!

Mama terus mengheretku ke bilik mandi tanpa mempedulikan rayuanku meminta maaf. Meskipun aku sebenarnya tidak tahu apa kesalahanku. Aku ditolak lagi masuk ke dalam bilik mandi. Pancuran air dihidupkan dan sekali lagi tubuhku basah kuyup.

Kenapa aku dilahirkan, Tuhan? Kenapa?

“Bukak baju kau!” jerit Mama kuat.

Aku menanggalkan uniform sekolahku, yang tinggal hanya singlet dan seluar pendek. “Apa salah aku, Mama? Kenapa Mama pukul aku lagi?” soalku sambil teresak-esak.

“Bubur yang kau masak buat aku teringat dekat lelaki sial tu!” jerit Mama di depan mukaku.

PAK!

“Kenapa mukamu mirip muka dia, hah?” PAK!

“Kenapa muka kau tak ikut muka aku?” PAK!

Kenapa wajahku mirip Papa, Tuhan?

Aku masih teresak-esak. Wajahku terasa dibakar.

“Kau duduk di sini sampai pagi! Jangan keluar!” herdik Mama. “Kalau aku dengar kau menangis, aku tampar kau lagi. Faham?!” Aku mengangguk.

Mama beredar. Saat pintu bilik mandi ditutup, tubuhku merasa lemah. Aku duduk memeluk tubuhku yang sedang menggigil kedinginan. Meski air mataku sudah bercampur dengan air paip yang mencurah dari pancuran hujan, aku masih boleh membezakannya. Yang hangat itu adalah air mataku.

Aku menggigit bibir menahan tangis. Menyedari aku boleh mati seandainya terus dibasahi air paip sehingga pagi, aku berpindah ke sudut bilik air yang masih kering. Aku terus menangis sehingga keletihan dan akhirnya aku melamun.

Aku tidak sedar apa yang terjadi selepas kelopak mataku semakin berat, mengajakku berpindah ke alam mimpi. Semalaman, aku tertidur di situ.

Pagi itu, saat terbangun aku merasa kepalaku berat dan nafasku hangat. Beberapa kali aku bersin. Dan aku tersentak saat Mama datang membukakan pintu bilik air.

“Cepat, pergi ke sekolah!” Meskipun ayatnya berbentuk arahan, tetapi nadanya lembut sekali.

Aku menggeleng. “Aku demam, Ma.”

Mama menghampiriku dan menyentuh dahiku. “Ok. Tinggal kat rumah je hari ni. Mama dah siap masak. Hari ini mama shift pagi. Kamu rehatlah, okay?”

Aku bingkas bangun, meski kepalaku terasa sangat berat. “Aku nak tidur dulu. Nanti aku makan.”

Mama menuntunku ke bilikku sendiri. Dia mengeluarkan pakaian bersih dari almari dan meletakkannya di atas katil. “Tukar baju. Kemudian rehat. Nanti Mama letak ubat atas meja makan.”

Aku hanya menurut. Selepas Mama pergi, aku kembali tidur di katilku. Cuti sehari pasti tidak ada masalah. Semoga tidak ada urusan penting di sekolah.

Di saat seperti ini, aku ingin sekali mendengar gelak ketawa Sam.

Entah kenapa.

jjjjj

[Sam]

Aku mengembalikan borang biasiswa kepada Cikgu Imari dalam keadaan kosong. Dia hanya mengeluh saat melihatnya. “Sudahlah, kalau tak nak sambung belajar,” keluhnya. Dia merenyukkan borang itu dan mencampakkannya ke dalam bakul sampah di bawah mejanya. “Jadi lepas ini kamu nak buat apa, Sam?”

“Belum tahu, Cikgu.”

“Saya dapat laporan kamu tak hantar semua kerja rumah hari ini.

Kenapa?”

“Kan ramai yang tak hantar, cikgu.”

“Ya, kamu dan pengikut-pengikutmu. Tapi saya nak tahu apa alasan kamu?”

Aku tersengih. “Sebab Zee Rasyid tak datang hari ini, cikgu. Saya tak boleh tiru jawapan dia. Yang lain kedekut, termasuk si Vini.”

“Sejak bila Zee tak datang?”

“Hari ini cikgu. Dia sakit. Tadi dia SMS Vini.”

“Oh begitu. Baiklah, kamu boleh pergi.”

“Saya nak main bola dengan kawan-kawan, cikgu. Doakan kami tak bertumbuk nanti ye?”

Cikgu Imari berdengus. “Kalau kamu semua buat hal, angka giliran SPM kamu semua saya tahan. Lepas tu nanti baru kamu semua tahu tinggi rendahnya langit.”

Aku tertawa. “Cikgu jangan marah-marah. Kami budak-budak nakal pasti akan jadi insan berguna nanti. Tenang saja. Beri kami masa.”

“Suka hati kamulah. Sudah, keluar! Syuh…syuh!” Dia menghalauku seperti menghalau ayam yang mematuk padi saja. Aku cuma ketawa sebelum beredar meninggalkan bilik guru. Kebetulan terserempak Diga yang baru keluar dari bilik kaunseling.

“Kau tak pergi padang?”

“Baru nak pergi. Kau pulak kenapa masuk bilik kaunseling?” “Biasalah. Hantar senarai kehadiran. Eh, aku dengar Cikgu Gio tak mengajar lagi dah lepas ni. Cikgu kaunseling kita yang cerita tadi. Kiranya kita semua pelajarnya yang pertama dan terakhir.”

Keningku berkerut. “Kenapa?”

“Manalah aku tau, Sam. Aku bukan bapak dia,” sahut Diga.

Aku tertawa kecil, lalu menghentikan langkahku. “Kau gerak dulu. Aku nak pergi tandas kejap. Nanti aku pergi padang.” “Ish. Macam-macamlah. Cepat sikit!” Diga terus beredar.

Aku berpatah balik ke bilik guru lalu menuju ke meja Cikgu Gio yang sedang sibuk menyusun kertas-kertas di atas mejanya.

“Cikgu, boleh saya ganggu cikgu?” soalku dengan nada ceria.

Dia mengangguk lalu menarik kerusi plastik di sebelah mejanya sebelum mengisyaratkan aku duduk. “Tengok muka pun dah tahu. Ada apa Sam?”

“Betul ke cikgu nak berhenti kerja hujung tahun ni?”

Cikgu Gio menghentikan gerakan tangannya. Matanya merenung tepat ke arahku. “Mana kamu tau?”

“Itu tak penting, cikgu. Betul ke tak?”

“Kenapa nak tau?”

Aku terdiam sejenak. “Nak tau je lah.”

Cikgu Gio bersandar sambil menghela nafas panjang. Seulas senyuman muncul di bibirnya. “Memang betul. Hujung tahun ni saya akan berhenti kerja sebagai cikgu. Saya dapat kerja di KL, jadi ilustrator dan pereka grafik.”

“Kenapa, cikgu?”

“Hmmm… kenapa? Mungkin sebab itu passion saya.”

Aku menggaru kepala kurang faham. Dia tertawa kecil melihat aksiku yang kebingungan.

“Baiklah saya akan ceritakan. Saya baru sedar, apa yang sebenarnya yang saya suka saat usia saya masuk 24 tahun ini. Dan mujurlah saya masih muda, jadi rasanya tak salah saya mencari rezeki dalam bidang yang saya suka.” Aku diam saja mendengar ceritanya.

“Mesti kamu tertanya-tanya kenapa saya ambil jurusan sains sukan padahal saya suka melukis, kan?” Aku mengangguk.

“Itu kesilapan saya zaman belajar dulu. Saya cuma tau belajar je, tak tau pun apa minat dan kenginan sendiri. Lepas masuk universiti baru saya tau apa yang saya suka, tapi masa tu saya dah masuk bidang sains sukan. Tak mungkinlah saya nak patah balik, kan? Jadi saya puaskan diri dengan jadi ilustrator sambilan je.”

“Cikgu rasa terpaksa ke dengan kerja sekarang?”

Dia menggeleng. “Dulu taklah. Tapi sekarang lepas saya bandingkan kerja guru sukan dan ilustrator, saya sudah berfikir panjang.” Matanya menatapku lama. “Sepatutnya tempat kita bekerja itu adalah ‘playground’ kita. Jadi kita tidak stress masa bekerja. Tapi kalau kita rasa tempat kerja kita tu macam penjara, mesti cepat bosan dan penat bekerja.”

Aku menggaru kepalaku lagi. “Erm.. kalau macam tu, semoga berjaya ya, cikgu. Saya gembira cikgu sudah bertemu ‘playground’ cikgu. Saya seronok berlatih dengan cikgu sepanjang setahun ni.” Cikgu Gio tersenyum lebar. “Sama-sama. Saya harap kamu belajar dari pengalaman saya ini. Kamu harus belajar menyelami minat kamu sendiri dari sekarang. Tanya diri sendiri. Jangan dengar bisikan orang lain. Mereka itu cuma syaitan yang menyesatkan kita. Percayalah.”

Aku mengangguk. “Saya tak boleh terlalu mengikut keputusan peperiksaan saya, kan? Dan juga tak boleh terlalu mengikut trend. Orang masuk universiti, saya juga ikut masuk universiti padahal sebenarnya saya tak berminat. Orang ambik bidang perubatan saya pun nak ikut padahal saya ni bodoh orangnya.”

Cikgu Gio ketawa besar. “Kamu ni. Bukanlah bodoh sangat sebenarnya, tapi pemalas,” katanya. “Asyik tidur saja dalam kelas, jadi bila cikgu tanya, semua tak tahu.”

Aku cuma tersengih mendengar kata-katanya.

“Jadi lepas ini kamu ke mana? Dah tahu apa yang kamu nak buat?”

Aku menggeleng. “Yang pasti bukan masuk universiti. Mungkin terus cari kerja.”

Dia terdiam sejenak. Kemudian dia bertanya soalan yang agak aneh. “Berat dan tinggi kamu berapa?”

“Tinggi 180cm. Berat 68 kilogram. Kurang dua kilo dari berat ideal.”

“Kamu boleh berenang kan? Latihan fizikal pun tak ada masalah, kan?”

“Boleh, tak ada masalah, cikgu.”

“Hari tu kan kamu pernah kata nak jadi polis. Kenapa tak cuba?”

Aku tertawa besar. “Mana ada polis bodoh macam saya, cikgu.” Cikgu Gio tersenyum nipis. “Belum cuba belum tahu. Lagipun jadi polis tidak semestinya mesti cemerlang akademik. Kamu cuma perlu lulus ujian pemilihannya. Selepas itu baru kamu ikut latihan lagi.”

Aku terdiam sejenak sambil mengusap-usap tengkukku. “Erm.. sebenarnya memang dari dulu saya teringin mahu jadi polis. Tapi saya dengar untuk jadi polis perlu ada ‘orang dalam’, mesti ada bayar orang baru dapat masuk. Saya kan orang miskin. Kalau dapat makan pun sudah seribu syukur. So tak jadilah.”

Cikgu Gio menggoyangkan telunjuknya. “Jangan salah anggap. Mungkin memang ada yang masuk secara salah. Tapi yang memang masuk ikut saluran yang betul tu pun ramai. Adik tunang saya pun dah jadi polis sejak beberapa tahun lepas. Sekarang pangkat dan gajinya lebih tinggi dari saya. Percayalah, masih ada orang yang jujur dalam negara kita. Jangan pukul rata semuanya.” Aku terdiam.

“Saya bangga sebab kamu berani jujur dan saya tabik kerana kamu tahu apa yang kamu nak dari sekarang. Sekarang, tinggal kamu merealisasikannya saja. Kalau gagal, cuba lagi tahun depan. Sampailah kamu tidak memenuhi syarat asas, macam umur contohnya.”

“Betul tak perlu bayar rasuah?”

“Kalau kamu memang betul-betul layak, tidak.” Aku terdiam lagi.

“Sekejap,” Cikgu Gio menyentuh kepalanya seperti sedang berfikir sesuatu. Sebentar kemudian, dia kembali menatapku. “Permohonan untuk kursus asas kepolisan sudah bermula dua minggu lepas. Tarikh tutupnya seminggu lepas SPM. Kau rasa ada masa untuk berlatih?”

Aku ketawa. “Cikgu ni macamlah tak kenal saya. Mana pernah saya belajar untuk apa-apa ujian. Buat apa ada kawan yang pandai-pandai. ”

Cikgu Gio mendekatkan wajahnya ke depanku. “Kalau kamu nak, saya akan tolong kamu untuk latihan fizikalnya. Ada ujian saringan yang perlu kamu lalui sebelum boleh masuk kursus itu. Banyak orang gagal di peringkat tu. Sebab lepas ni saya takkan jadi cikgu lagi so saya nak manfaatkan ilmu yang saya ada ni untuk tolong kamu.”

Aku terpana. “Serius? Cikgu nak tolong saya?”

Dia mengangguk laju. “Asalkan kamu boleh naikkan berat badan kamu dua kilo. Dan kamu sanggup belajar untuk ujian bertulisnya nanti.”

Aku mengeluh. “Ada ujian bertulis jugak ke? Saya ni bukannya pandai sangat.”

“Ada. Tapi ujiannya senang je. Cuma ujian pengetahuan am dan psikologi saja. Saya pasti kamu boleh.” Dia terdiam sejenak. “Kalau kamu nak, mintak tolong kawan kamu untuk ajar kamu cara-cara jawab soalan ujian tu nanti. Yang penting kamu tahu bentuk soalan dan cara menjawabnya. Serius, memang senang. Lebih senang dari SPM.”

“Jadi kena mintak tolong Vini lah ni? Entah dia nak atau tak.”

“Bukan, bukan Vini. Kalau dia saya rasa kamu berdua bukannya belajar tapi bertengkar. Cuba mintak tolong Zee Rasyid. Dia tu teliti dan selalu sabar mengajar orang. Bukan macam Vini yang kurang sabar sikit.” “Zee Rasyid?”

“Ya, mungkin kamu akan lebih cepat faham kalau dia yang ajar kamu.”

Aku mengangguk. “Saya tanya dia dulu ye cikgu? Nanti saya cakap kalau dia setuju.”

“Bagus! Saya boleh nampak masa depan yang cerah dalam semangat kamu,”

Aku tersenyum lebar. “Amin.”

Saat ini rasanya ada sejalur cahaya di hadapanku. Meskipun belum pasti, setidak-tidaknya aku mencuba. Aku perlu yakin dengan impianku sendiri. Kerana keraguan tidak akan menjadi nyata. Betul kan?

“Saya pergi dulu ya, cikgu. Nak main bola.” Aku bingkas bangun.

“Ya…ya…” Tumpuan Cikgu Gio juga sudah beralih kepada kertas-kertas di hadapannya.

Aku berlari keluar dari bilik guru dan terus menuju ke padang. Di situ, teman-temanku sudah bercekak pinggang menungguku.

“Kau kencing kat toilet mana?” soal Diga.

“Belum start, kan?” soalku tanpa mengendahkan pertanyaannya. “Jom main!”

“Kenapa muka kau berseri-seri?” soal Roki, teman sekelasku.

“Ini macam baru dapat girlfriend baru ni,” sambung Azri. Yang lain juga mengangguk.

Aku tersengih. “Tadi aku mengintai kat toilet perempuan. Syok gila! Hahahaha!”

“Ahh… boraklah! Dahlah! Jom main!”

Dan permainan dimulakan. Hatiku sangat gembira. Fikiranku terasa lapang. Aku bermain bola dengan penuh semangat. Sehingga teman-temanku curiga, adakah benar aku pergi mengintip di tandas perempuan sebelumnya.

?

5

[Zee]

Demamku sudah kebah selepas makan ubat yang ditinggalkan Mama pagi itu. Tapi sekarang belakang, bahu dan ulu hatiku terasa sakit. Pukulan dari Mama boleh diubati dengan menyapu minyak urut. Tetapi aku takut dengan kesan jangka panjangnya pada organ-organ dalam tubuhku.

Saat mandi tadi aku menatap lebam-lebam di seluruh tubuhku. Aku memilih untuk memakai pakaian yang agak terbuka, agar lebam-lebam itu terdedah pada udara dan cahaya. Lagipun aku cuma di rumah, tidak ke mana-mana. Aku cuma menyarung sehelai singlet dan seluar pendek separas paha yang longgar.

Saat itu aku duduk di tepi tingkap sambil memandang kisikisinya yang berdebu. Aku sudah lupa bila kali terakhir aku membersihkannya. Itu maknanya aku terlalu sibuk mengubati lebam-lebam di tubuhku.

“Zee!”

Aku menoleh. “Oh, Mama dah pulang,” ujarku, cuba memaniskan muka.

Mama masih memakai pakaian seragam putihnya. Wajahnya kelihatan lelah. Di tangannya ada seplastik buah limau. Sebelah lagi menjinjing beg tangannya. Dia kelihatan terpaku sejenak menatapku. Aku juga diam tidak berkutik. Kemudian mata Mama kelihatan basah.

“Oh anakku…” Kemudian tangisnya pecah. Dia melepaskan barang-barang di tangannya lalu lalu segera berlari ke arahku dan mendakapku begitu erat.

Aku menghela nafas lega. Aku menepuk-nepuk belakangnya tanpa berkata apa-apa. Mama menangis tersedu-sedu, dakapannya masih erat di tubuhku.

“Maaf, maafkan Mama. Sepatutnya Mama tak pukul kamu semalam,” ujarnya sebelum merenggangkan pelukan kami. Matanya menatap sekujur tubuhku yang separuh terdedah. “Sakit ya? Lebam-lebam badan kamu. Sudah disapu minyak? Maafkan Mama, ya?”

Kata-kata yang sama.

Beberapa tahun lalu, aku juga akan menangis sambil memeluk Mama erat-erat dan mengatakan yang aku memaafkannya. Aku yang salah. Aku yang nakal. Meskipun aku tidak ada membuat sebarang kesalahan, aku mengatakan aku yang salah kerana telah mengganggu emosi Mama. Sekarang aku kebal. Sesiapa pun akan kebal jika sudah mengalaminya berulang-ulang. Aku hanya mampu menggulingkan mata dalam pelukan Mama.

“Hmm.. Mama dah makan?” soalku.

“Belum. Kamu?” soalnya sambil mengesat air mata di pipinya. Pelukan kami terlerai.

“Belum. Kita makan sama-sama, ya?” ajakku. “Tadi aku masak.

Ada ayam dalam peti sejuk jadi aku buat ayam masak kicap.” Mama tersenyum. “Mesti sedap. Jom?”

Kami berjalan ke meja makan. Mama mengambilkan pinggan dan menyendukkan nasi untukku. Aku menyenduk ayam masak kicap ke pinggan kami dan menuangkan air kosong ke dalam gelas. Kemudian kami makan bersama, seperti sepasang ibu dan anak yang sangat rapat dan akrab. Seharusnya kami begini setiap hari. Tapi kenapa kadang-kadang Mama perlu mengamuk dan menyeksaku seperti aku ini binatang? Kenapa?

“Tak lama lagi kamu habis SPM kan? Kamu nak sambung belajar dekat mana, sayang? Cakap je. Mama akan hantar kamu di tempat terbaik. Kamu nak jadi jururawat macam mama?”

Tak mungkin! “Ermmm….aku nak belajar undang-undang, Ma. Dekat-dekat sini je lah. Tak nak jauh-jauh.”

“Boleh jugak,” ujar Mama sambil menambah nasi di pinggannya. “Kenapa jurusan undang-undang?”

Senang sahaja. Aku mahu melindungi kanak-kanak sepertiku nanti bila aku sudah dewasa. Itu alasanku, tapi tak mungkin aku akan mengatakannya di hadapannya. “Macam menarik. Jadi teringin.”

“Terpulang dengan kamu, sayang. Yang penting kamu suka.” Aku menghela nafas lega.

“Tambah lagi sayang?” soalnya. Aku mengangguk. Mama menambah sesenduk nasi dan dua potong ayam ke pingganku. “Makan banyak sikit,” katanya.

Aku mengangguk lagi. Tersenyum. Saat ini, orang di sebelahku ini sebaik malaikat. Aku ingin sekali melihat Mama terus begini. Aku cuma hairan, kenapa kadang-kadang mama membenciku kalau ianya berkaitan dengan Papa. Itu sesuatu yang aku tidak pernah tanyakan padanya.

Aku sangat ingin tahu. Tapi kalau bertanya sekarang, mungkin ayam-ayam di dalam pingganku sekarang akan hidup lagi dek kerana kemarahan Mama. Aku cuba melenyapkan persoalan itu dari fikiranku. Sekarang aku hanya mahu menikmati detik-detik penuh kedamaian dan kasih sayang ini dengan Mama. Kalau boleh selamanya. Dan kalau boleh, bersama Papa. Kalau saja.

jjjjj

[ Sam ]

Aku duduk sendirian di tepi padang. Teman-temanku semuanya sudah pulang. Dari sini, aku boleh melihat dengan jelas gelanggang bola keranjang. Dan di bangku penonton itu ada Vini dan Jo sedang duduk berduaan.

Jadi mereka sudah rasmi sebagai pasangan kekasih. Syukurlah. Ini kali pertama Vini berpasangan dengan seseorang. Dia memang sudah sukakan Jo sejak dua tahun lalu, tetapi hanya mampu memandang dari kejauhan. Aku sendiri pun sudah lama tidak mempunyai kekasih sejak putus cinta dua tahun lalu. Sekarang memang ada orang yang aku suka, tetapi aku masih belum yakin dengan perasaanku sendiri. Gadis itu memang misteri orangnya.

Tiba-tiba aku melihat dia sedang menunduk-nunduk di celahcelah tempat duduk penonton berhadapan gelanggang bola keranjang. Dia sedang buat apa?

Lantas aku memekik. “Zee! Jangan kacau Vini dating kalau kau tak nak kena belasah. Tepi!”

Aku lihat Zee tersentak. Dia kemudiannya terbeliak saat matanya melihat kelibat Vini dan Jo - padahal mereka berdua cuma tersenyum. Kemudian dia membongkok - sepertinya mahu minta maaf - dan segera beredar dari situ.

“Zee! Sini!” Aku melambainya.

Zee berhenti berjalan. Sejenak, dia terpaku memandangku. Kemudian aku boleh rasa yang dia mengalah dengan keraguannya dan berjalan menghampiriku.

“Cepat duduk!”

Zee patuh. Dia melabuhkan punggungnya di sebelahku.

“Ada apa, Sam?” ujarnya sambil mengesat peluh yang meleleh di dahinya dengan belakang tangan.

“Semalam kau sakit apa?”

“Demam.”

“La.. kau kenalah jaga kesihatan. Kan tak lama lagi SPM. Kau nervous ke?”

“Taklah. Sebab aku belajar tiap-tiap hari.”

Aku tertawa. “Betul jugak kan?”

“Kau dah start belajar?”

“Kau kan dah tahu jawapannya,” sahutku santai. Zee berdengus.

Aku ketawa lagi. “Rileks. Jangan risaukan orang macam aku.

Confirm lulus.”

“Ya..ya.. Okay. Aku percaya. Aku sebenarnya nak kita sama-sama lulus dan dapat kejar impian kita.”

Kemudian aku teringat sesuatu. Aku menggosok-gosok tengkukku sebelum memulakan bicara. “Erm.. sebenarnya aku ada benda nak cakap.”

“Apa?” soal Zee, keningnya terangkat sebelah.

“Apa pendapat kau kalau dengar seorang Sam Alqori nak cuba masuk pasukan polis?”

Zee menjongket bahu. “Biasa jer.”

Aku terdiam. Takjub. Aku kira dia akan mentertawakanku, atau mengejekku. Aku kira dia akan menyuruhku bangun dari mimpi. Aku kira dia akan… ah, lebih kurang begitulah.

“Kau dah daftar?” soalnya.

Aku menggeleng. “Nanti. Lepas SPM”

Zee mengangguk. “Semoga berjaya, okay? Kalau aku, aku ingat nak sambung dalam bidang undang-undang.”

“Semoga kau pun lulus jugak,” ujarku. “Tapi sebenarnya aku nak mintak tolong.”

“Apa?”

Aku menggosok-gosok tengkukku lagi. “Dalam ujian kelayakan tu nanti, ada ujian bertulis. Kau tau kan, aku ni bukannya pandai bab-bab begini. Kalau boleh…” Aku terdiam sejenak sambil tersenyum padanya. “Kalau boleh aku nak mintak tolong kau ajar aku. Boleh kan? Sebab Vini mesti tak nak. Tengah asyik bercinta lah katakan.”

“Kau dah tanya Vini?”

“Aku pilih kau dulu. Kalau kau tak nak baru aku tanya Vini.”

“Jadi aku orang pertama yang kau pilih?”

Aku mengangguk. “So? Macam mana?”

Seketika Zee sibuk dengan telefon bimbitnya. Aku kehairanan, tapi tidak bertanya apa-apa. Kemudian dia kembali memandangku dengan senyuman lebar. “Kau kena daftar dulu secara online. Kau tahu caranya?”

“Hah?” Aku kebingungan. “Bukan terus pergi ke ibu pejabat polis terdekat?”

Zee menggeleng. “Daftar online dulu. Kemudian bukti pendaftaran tu diprint. Kemudian borang tu sekali dengan salinan-salinan sijil yang diperlukan itu bawak ke ibu pejabat polis terdekat baru dikira lengkap.” Dia menepuk bahuku. “Nanti aku tolong kau. Dan aku akan ajar kau sekali. Cuma ujian tentang pengetahuan am dan psikologi so rasanya tak ada masalah.”

Rasanya seperti ada kupu-kupu menari di sekelilingku.

“Wah, terima kasih banyak Zee!” Aku menggenggam tangannya erat-erat dan menggoncang-goncangnya.

Zee ketawa besar. “Sudah! Sudah! Nanti tercabut tangan aku!”

Aku melepaskan tangannya. “Maaf, maaf. Aku happy sangat,” ujarku sambil tersengih-sengih seperti orang gila.

Zee juga tersenyum lebar. “Aku bangga dengan kau. Akhirnya kau ada impian jugak.”

Senyumannya membuat dadaku sesak tiba-tiba. Aku yakin, hatiku memang sudah terpaut padanya. Tapi ini bukan saatnya meluahkan perasaan pada dia. Kalau dia tidak ada apa-apa perasaan padaku, pasti keadaannya akan berubah. Dia pasti akan menjauhiku dan tidak mahu membantuku membuat persiapan ujian itu. Nanti cinta hilang, cita-cita pun lenyap. Lebih baik aku simpan dulu.

jjjjj

[Zee]

Setelah habis mengulangkaji, aku menonton televisyen, tapi tidak ada rancangan yang menarik perhatianku. Akhirnya aku memutuskan untuk mengisi masa luangku dengan melukis. Cuma main-main untuk menghiburkan hati. Aku melukis gambarku sedang duduk di taman memandang ke kolam. Mula-mula aku mahu melukis gambar Sam yang terjatuh ke dalam kolam. Tetapi kemudian aku mula melukis gambar Papa yang sedang duduk di sebelahku. Kami sedang berbual-bual. Bahagia.

Meskipun sudah enam tahun tidak bertemu, aku masih ingat wajahnya. Mungkin sekarang papa lebih tua, tetapi di fikiranku, dia masih muda. Kemudian aku melukis Mama yang sedang berdiri di hadapan kami sambil mengambil gambar kami. Lukisan itu tidaklah sehebat mana, lebih kepada kartun. Tetapi kemesraan dalam gambar itu menusuk ke hatiku. Dan rasanya sangat membahagiakan.

“Kenapa belum tidur, Zee?”

Suara Mama! Aku segera menutup buku lukisanku dengan gerakan sepantas orang yang tertangkap mencuri. Aku mengangguk lajulaju. “Y-ya Ma. Nak tidur la ni.”

Mama duduk di sofa di sebelahku. Dia mengambil alat kawalan jauh televisyen dan mula menukar siaran. “Kamu tengah buat apa? Kenapa pucat?”

“Belajar untuk SPM, Ma. Aku terkejut tadi dengar suara Mama,” jawabku.

Mama tersenyum. “Sorry.”

Aku membalas senyumannya walau terasa agak dipaksa.

Kemudian, pandangan Mama beralih ke meja. “Itu apa?” soalnya. “Boleh mama tengok?”

Tangannya terhulur ke arahku. Mati aku!

“Y-yang mana, Ma?” soalku. Di atas meja itu memang ada beberapa buah buku yang tidak tersusun.

“Yang kau sorok di bawah lenganmu tu. Buku lukisan ke?”

Aku tidak dapat mengelak lagi. “Cuma main-main aje ma,” ujarku sambil menyerahkan buku lukisan itu padanya. “Jangan marah ya, Ma? Sumpah, aku cuma main-main je.”

Saat buku lukisan itu berpindah ke tangan Mama, aku rasa jantungku sudah bersedia untuk memecut keluar dari tubuhku bila-bila masa saja. Mama menghela nafas berat saat dia melihat gambar yang kulukis. Tetapi sorot di matanya tidak menggambarkan dia sedang marah. Aku menghela nafas lega.

Kemudian Mama mengembalikan buku lukisan itu kepadaku.

“Kamu rindu Papa?”

Aku mengambil buku itu dan mengangguk.

“Papamu dah berkahwin lagi selepas kami bercerai.”

“Oh…” sahutku. Jadi Papa sudah ada keluarga baru. Mungkin sebab itulah dia tidak pernah mencariku, tidak pernah rindu padaku. Isteri dan anak barunya pasti lebih membuatnya bahagia.

“Dia kembali dengan bekas kekasihnya,” terang Mama tanpa ditanya. “Itulah padahnya kahwin dengan orag yang tak boleh lupa kisah silamnya. Akhirnya jadi masalah besar.”

Aku merasa simpati pada Mama. “Tapi Mama cantik. Dan berjaya,” kataku. “Aku pun membesar dengan normal, pintar dan baik. Rasanya tidak ada yang kurang kan, Ma?”

Mama mengeluh lagi. “Sayangnya perasaan tak boleh dibeli dengan semua itu, Zee.”

“Jadi maknanya semasa berkahwin, Mama dengan Papa tidak saling mencintai?” soalku memberanikan diri.

Mama menggeleng. “Kami kahwin sebab pertalian saudara. Kemudian lepas kahwin, Mama belajar mencintai Papa kamu sepenuh hati. Tapi dia membalas cinta Mama cuma separuh hati. Lepas dia dapat tau suami bekas kekasihnya meninggal, dia terus ceraikan mama.”

Aku menjerit dalam hati. Papa jahat!

“Kenapa aku tak pernah jumpa Papa ya, Ma?” soalku lagi.

Mama menggeleng. “Jangan! Dia tidak layak untuk kau temui!”

“Tapi dia kan papa aku. Kadang-kadang aku rindu.”

“Kalau kau jumpa dia, mungkin kau tak akan kembali ke sini lagi. Mesti kau akan pilih untuk tinggal dengan dia. Kau akan tinggalkan aku.”

“Bukan macam tu, Ma. Aku cuma---“

“Anak tak mengenang budi!” Suara Mama tiba-tiba melengking kuat, membuat wajahku berubah pucat. “Aku yang dah membesarkan kau. Beri kau makan. Hantar kau ke sekolah. Kau masih nak jumpa lelaki tak bertanggungjawab tu?” Mama sudah bercekak pinggang di hadapanku.

“Ta-tapi Ma. Aku---”

“Anak kurang ajar! Kau dah sakitkan hati aku! Kau tak boleh jumpa lelaki keparat tu! Tak boleh!!!” jerit Mama histeria. Pandangan matanya sudah berubah. Sorotnya memberitahuku yang aku kini dalam bahaya.

Sekelip mata Mama sudah menyeretku dengan kasar kembali. Aku menjerit-jerit meminta maaf. Tubuhku terhempas di lantai, melanggar bucu sofa, melanggar meja, pintu hinggalah ke bilik air. Kemudian Mama menarik lenganku, memaksaku berdiri. Tangan Mama menyentuh kepalaku, menekannya kuat-kuat.

“Inilah akibatnya kalau kau buat aku teringat lelaki celaka itu!”

Dan kemudian kepalaku dibenamkan ke dalam kolah mandi yang penuh dengan air. “Baik kau mati! Baik kau mati!!” jerit Mama sambil terus menekan kepalaku ke dalam kolah.

Aku tercungap-cungap di dalam air. Mencuba mencari bernafas agar aku tidak mati lemas saat itu. Mama mengangkat kepalaku kembali. Aku mencuba bernafas walapun rasanya seperti aku akan mati.

“Ma-maaf. Ma… Maaf…” ujarku terputus-putus. Tangisku kembali pecah.

“Lebih baik kau mati dari kau jumpa jantan itu!” tempik Mama lagi.

“Aku tak akan jumpa Papa, Ma… aku tak akan sebut lagi pasal dia! Sumpah! Aku janji!” Aku memegang tangan Mama yang sedang mencengkam rambutku. “Lepas Ma. Sakit…”

“Sakit kau kata?!” jerit Mama di dalam telingaku. “Aku lebih sakit dari ni dah bertahun-tahun lamanya! Dan aku tanggung semua tu seorang diri! Sakit kau kata?” Aku menangis teresak-esak.

Mama kemudiannya mengheretku keluar dari bilik air. Dia menyeretku sehingga ke depan pintu bilikku. Kemudian dia menolakku kuat sehingga tubuhku terhempas ke pintu, membuat pintu itu terbuka.

“Dengar ya! Kau tak boleh keluar lagi dari rumah ini. Aku akan tukar kunci rumah dan kunci pagar! Kau tak akan boleh keluar lagi dari rumah ini. Faham?!”

Aku menggeleng. “Tapi aku kena sekolah, Ma…”

“Tak perlu! Masuk bilik!”

Aku berusaha berdiri walaupun sukar. Tiba-tiba Mama menendangku sekali lagi. Aku tersungkur di lantai bilikku. Tangisanku semakin menjadi-jadi.

“Siap kau kalau berani pergi sekolah esok!”

BAM! Mama menghempas pintu kamarku. Spontan aku menjerit sekuat-kuatnya sambil menghentak-hentak kakiku.

Aku melampiaskan kekesalanku, kemarahanku. Rasa sakit yang bersarang di dalam dadaku seperti turut keluar bersama jeritan itu.

Pintu bilikku terbuka lagi. PAK! Mama menamparku.

“Kau fikir ini tempat apa? Telan tangismu! Atau kau nak aku lemaskan kau lagi?”

Aku menelan sisa-sisa tangisku, menyimpan semua bentuk kesakitan itu. Bilik itu serta-merta sunyi. Hanya terdengan detik jam dinding dan dengung dari televisyen. Aku rasa seperti jantungku juga berhenti berdenyut saat itu.

Mama keluar dan menghempas pintu. Aku kembali terjelepok di lantai.

Entah berapa lama aku duduk bermenung di tepi katilku sambil mengeringkan rambut. Aku kurang pasti. Yang aku pasti, aku sudah kembali tenang. Dan rasanya Mama juga begitu. Kemudian, aku mengambil buku lukisan yang baru di atas meja bersama sebatang pensel. Aku kembali melukis.

Kali ini aku melukis gambarku sedang duduk di atas sebuah bangku di taman, mengadap kolam ikan. Tetapi kali ini aku tidak melukis Papa. Aku melukis gambar Sam yang terjatuh di dalam kolam. Saat lukisan itu siap, aku tertawa kecil. Serentak dengan itu, air mataku menitis.

Aku membuka halaman baru.

Kemudian aku melukis lagi. Kali ini gambar Sam sedang bermain bola dengan teman-teman sekelas. Aku duduk di tepi padang memberi sokongan. Vini di sebelahku. Aku sedang duduk dengan penuh senyuman. Vini pula sedang berdiri bercekak pinggang dengan aksi sedang bersorak dan muka agak serius. Setelah lukisan itu siap, aku tersenyum lagi.

Aku membuka halaman baru.

Aku melukis gambar Sam sedang menunggang motornya melintasi padang sekolah menuju ke pintu pagar. Dan aku sedang membonceng di belakangnya. Selepas gambar itu siap, aku menatap gambar itu sambil tersenyum-senyum sendiri. Akhirnya gambar itu kubawa naik ke katil. Aku mendakap gambar itu dan cuba memejamkan mata.

Tidak lama kemudian, aku tertidur.

Esok paginya, aku melihat diriku di dalam cermin dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Dengan perlahan, aku menuju ke pintu dan mencuba membukanya. Tak berkunci! Aku berjalan keluar perlahan-lahan. Jarum jam dinding menunjukkan pukul 8. Aku sudah terlewat untuk ke sekolah. Dan saat itu, aku tersedar yang Mama tidak membenarkanku pergi ke sekolah hari ini. Tadinya aku berniat untuk berunding, tapi rupanya Mama sudah keluar lebih awal.

Aku segera keluar ke halaman rumah dan memandang pagar yang tinggi itu. Aku pernah memanjatnya. Dan kali ini, pasti aku boleh melakukannya. Aku mesti sekolah!

Aku kembali masuk ke dalam bilik. Aku menyarung baju sekolah sebelum memasukkan buku-buku ke dalam beg sekolahku. Saat memasukkan buku dengan tergesa-gesa, sebuah buku notaku jatuh, terbuka tepat pada satu halaman.

Aku mengambilnya. Dan seketika aku terpegun.

Halaman yang terbuka itu menampakkan sederet angka dan alamat JKM yang aku salin saat mereka datang ke kelasku. Aku boleh saja melaporkan penderaan Mama ke atas diriku pada mereka.

Aku akan selamat.

Aku akan keluar dari rumah neraka ini.

Aku tak akan pernah dipukul lagi.

Aku boleh mencari Papa dan tinggal bersamanya.

Idea terakhir itu membuatkan aku terduduk di katil. Bagaimana kalau Papa tidak boleh menerima kehadiranku? Tidak peduli padaku? Sedangkan Mama sudah ditangkap dan dipenjara. Aku akan tinggal bersama siapa? Siapa yang akan membiayai pengajianku nanti? Siapa yang memberiku makan?

Hanya Mama.

Aku melontar begku kembali ke atas meja. Aku tertunduk, seiring nafasku yang terasa semakin sesak.

Aku cuma ada Mama.

Aku menukar semula baju sekolahku dengan baju yang selalu kupakai di rumah. Kemudian aku mengambil telefon bimbitku dan mendail sederet nombor. Nombor Vini. Tidak lama kemudian, panggilanku berjawab.

“Hello?”

“Hello Vini, ni Zee.”

“Ya aku tahu. Tunggu sekejap.” Hening seketika. “Cikgu, sekejap ya? Saya jawab panggilan dari Zee!” Aku mendengar suaranya yang lantang dan bunyi derap langkah. “Ok, sekarang aku dah kat luar. Kenapa? Kau masih sakit ke?”

“Haah… Aku masih belum sihat. Mama pun belum sempat hantar surat sakit ke sekolah. Dia kerja malam, belum balik lagi.

Tolong aku ya?”

“Ok. Ada lagi?”

“Itu je. Terima kasih, Vini.”

“Sama-sama. Oh ya, lupa nak cakap. Sejak kau tak datang, Sam ditimpa masalah. Dia tak hantar kerja rumah. Jadi sekarang dia kena duduk di lantai dengan yang lain. Padan muka dia. Aku tak bagi dia tiru jawapan aku.”

Aku tertawa kecil. “Dia mesti marah dekat kau kan?”

“Tak perlu la kau tanya soalan tu, hahahaha! Ok, aku masuk kelas dulu ya? Cepat sembuh. Tak lama lagi SPM.”

“Baik. Terima kasih ya?”

Aku menamatkan panggilan. Dengan lemah, aku meletakkan telefonku kembali ke meja. Kemudian aku mencapai buku lukisanku. Sekali lagi aku mendakap gambarku yang sedang membonceng motosikal Sam itu.

Aku rindukan Sam. Dia boleh membuatku banyak bercakap dan ketawa.

Tapi adakah dia juga rindu padaku?

Apakah dia suka pada gadis yang kehidupannya sangat menyedihkan ini?

jjjjj

[Sam]

Hari ini aku membuat onar di dalam kelas Biologi. Guru perempuan kami yang sudah separuh umur itu bertanya, apakah kami ada apa-apa soalan. Terus aku angkat tangan dan bertanya dia, macam mana nak buat anak? Seluruh kelas ketawa berdekahdekah. Hasilnya aku dimarahi oleh cikgu. Dan aku terpaksa minta maaf kerana telah mengakibatkan kekecohan. Niatku cuma mahu bergurau kerana saat itu semua orang kelihatan bosan dan tertekan. Tetapi cikgu itu masih marah-marah. Katanya di rumah aku tidak diberi didikan agama. Itu membuatku sakit hati.

Tanpa berfikir panjang, aku memaki guru itu dan menolak meja sehingga terbalik. Kerana itulah aku diseret ke bilik guru untuk mengadap guru kelas kami dan guru kaunseling. Mereka turut memarahiku. Itu wajar. Guru Biologi itu - ah, jangan tanya namanya padaku, aku lupa - masih lagi marah-marah. Okay. Aku masih cuba bertenang. Tetapi yang membuatku makin marah adalah guru-guru lain yang sibuk menyampuk dan marah-marah juga. Aku bukannya buat hal dalam kelas mereka, kenapa nak sibuk-sibuk? Kenapa tak ajak pengetua sekali? Sialan.

“Kau tak pegi kantin?” soal Diga saat dia melihat aku keluar dari bilik guru selepas sebelumnya disuruh menulis surat aku janji akan berkelakuan baik dan membayar denda.

Aku menggeleng. “Nak balik kelas tidur. Pening.”

Diga mengangguk, menepuk bahuku sebelum dia ke kantin sendirian untuk menyusul teman-teman lain yang sudah pergi menyelamatkan perut sendiri. Aku melangkah gontai ke kelas.

Saat tiba di kelas, aku melihat Vini yang sedang menulis sambil dikelilingi buku-buku tebal. Orang lain biasanya akan merayaurayau atau melepak di sekitar sekolah pada waktu rehat sambil bergurau senda seolah-olah hidup mereka terjamin dunia akhirat.

Aku berjalan menghampiri Vini. Kerusi yang ada di hadapan mejanya aku pusing menghadapnya sebelum aku duduk. Dia mengangkat muka. Matanya mengecil. Salah satu dari alisnya terangkat. “Dah settle masalah kau?”

Aku cuma menjongket bahu sebagai jawapan.

Vini mengeluh. “Sabar je lah Sam. Bukan lama lagi nak habis sekolah,” katanya sambil menutup buku tulisnya.

“Rasanya tu bukan kerja rumah, kan?”

Vini menggeleng. Dia mengambil buku-buku lain dan meletakkannya di atas buku tadi. “Saja-saja. Buat tahan lapar,” jawabnya.

“Kau tak bawa bekal?”

“Beras habis pagi tadi. Kalau nak pergi kedai beli beras dan balik masak, memang lambatlah aku sampai sekolah. Tak sanggup lah nak bayar denda dua ringgit.”

Aku kemudiannya berdiri. “Kau tunggu sini. Jangan pergi manamana. Baca buku sampai aku balik.” “Kau nak pergi mana?” soal Vini.

Aku tidak mengendahkan pertanyaannya. Segera aku berlari keluar dari kelas. Langkah kulajukan menuju ke koperasi. Lihat kiri kanan dulu

“Loli! Banyaknya makanan! Share lah!” ujarku sambil menadah tangan di depan Loli. Dia dulu pernah sekelas denganku tahun lepas.

Loli memberikaku sebatang coklat dan dua cucur udang yang dibungkus dengan plastik.

“Wow, Loli. Kau ni memang cantik lah!”

“Ish! Kalau bab makanan, memang automatik kau ni jadi orang yang pandai memuji, kan?”

Aku tertawa. “Betul! Kau memang cantik! Sumpah!” ujarku sambil menyeluk beg plastik Loli. Sebotol air mineral kukeluarkan. “Air satu ok?”

Loli memuncung. “Adoi.. rugi banyak la aku. Dahlah, aku balik kelas dulu.”

Aku melambaikan tangan meski tidak dibalas. Kemudian seorang gadis melanggarku. “Eh, sorry, Sam. Tak perasan,” katanya.

“Badan besar macam ni pun kau tak nampak? Ini satu penghinaan,” ujarku sambil tertawa. Kulihat dia membeli makanan banyak sekali. “Eh, mintak makanan sikit?”

Dia menatap makanan di tanganku. “Tu kat tangan kau tu apa?”

“Tapi fishball tu nampak sedaplah.”

Dia mengeluh. “Orang kata jangan cari pasal dengan Sam kalau tak nak tempang macam Theo.” Kemudian dia menghulurkan plastik batagor itu kepadaku. “Nah. Jangan kacau aku, ok?”

Aku tertawa saat menerimanya. “Beres.”

Selepas dia pergi, aku masuk ke dalam koperasi sekolah. “Kak, mintak plastik satu boleh? Banyak sangat makanan ni.”Tanpa menunggu persetujuan juruwang koperasi itu, aku mengambil satu plastik putih dan memasukkan makanan yang kupegang tadi ke dalamnya. Kemudian, pandangan mataku beralih pada makanan di dalam koperasi. “Kak, ada makanan free tak?” “Tolong angkat kotak air mineral itu dulu, nanti kakak bagi.”

“Okay!” Aku menurunkan dua kotak air mineral dari longgokan yang agak tinggi itu ke lantai. Kemudian aku membukanya dan mula menyusunnya satu persatu ke dalam peti sejuk. “Dah siap kak. Ada lagi?”

Kakak penjaga koperasi itu menggeleng. Dia menghulurkan dua bungkus roti, tiga ketul tauhu sumbat dan keropok. “Terima kasih ya Sam. Kamu ni memang sesuai jadi pembantu.”

Aku ketawa besar. “Sama-sama,” sahutku riang. Makanan itu semua kumasukkan ke dalam plastik makanan tadi. Kemudian aku segera kembali ke kelas.

Vini masih duduk di mejanya, khusyuk menulis. Saat aku masuk, dia buru-buru menutup bukunya dan menyimpannya ke dalam laci. Dia kemudiannya mengambil buku lain.

Aku meletakkan plastik yang penuh berisi makanan itu di atas mejanya. “Jom, party!”

Vini menepuk dahinya. “Kau curi dekat mana?”

“Hish! Cakap baik-baik sikit. Aku ni walaupun miskin pantang mencuri. Kalau mintak tu selalulah.” Satu plastik roti kubuka sebelum memamahnya dengan lahap. “Halal! Confirm.”

Vini ketawa kecil sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. “I love you, Sam.” Dia mencapai tauhu sumbat dan mula melahapnya.

“Kenapa tak mintak Jo belanja makan?” soalku. Tanganku meraih botol air mineral dan mengoyakkan plastik penutupnya sebelum membuka tudung botol itu. Air itu kuteguk rakus.

Vini menggeleng. “Walaupun aku ni miskin, aku masih ada harga diri, okay? Memanglah dia boyfriend aku tapi aku pantang mintak-mintak dengan orang ni.”

“Kaulah perempuan paling cool, Vini.”

Botol minuman aku suakan padanya. Dia menerimanya dan meneguk air itu. Tanganku mengambil sate bebola ikan pula. “Oh, lupa. Aku ingat aku nak masuk pasukan polis. Apa pendapat kau?”

Vini tersedak. Dia terbatuk-batuk sampai matanya menjadi merah dan hidungnya berair. Aku menepuk-nepuk belakangnya. “Sabar…sabar. Aku kata aku nak masuk polis, bukan jadi Perdana Menteri.”

Vini menumbuk lenganku. “Kau tak bergurau kan?”

Aku menggeleng sambil mengelus lengan yang ditumbuk Vini.

“Serius?”

“Seriuslah. Lepas SPM nanti aku daftar. Cikgu Gio dah janji nak latih aku untuk ujian kecergasan. Zee pulak dah janji nak tolong aku belajar untuk ujian bertulis. Kau pulak, kena tolong aku dengan berdoa.”

Senyuman terbit di bibir Vini, merekah. “Nah, ini baru berita bagus!” Dia menepuk-nepuk bahuku. Sepertinya air matanya mahu tumpah. “Aku yakin kau akan berjaya nanti.” Dan setitis air matanya jatuh tanpa dapat ditahan.

Aku juga membisu, turut merasa sebak.

Dan beberapa saat kemudian, loceng penamat waktu rehat berbunyi, membubarkan suasana haru itu.