Jangan Baca Novel Ni - Chapter 14
?Bab 14 (22/4/2014)

"Awak okey ke, Azim? Awak tak sihat?" soal Elmira.

"Tak.... Saya okey je. Awak nampak cantik Elmira."

"Terima kasih. Awak pun nampak handsome sangat!" kata Elmira sambil mencubit pipi Azim. Dia merenung ke dalam mata Azim yang masih hijau bercahaya. Walaupun aneh dan menakutkan. Tapi ia masih milik Azim. Mata yang Elmira ingin tatap selalu.

"Aaaaarrrrgggghhhhhh!!!!"

Tiba-tiba Azim menjerit dengan kuat. Dia terduduk melutut sambil membongkok. Dia memeluk dirinya sendiri di dalam kesakitan.

Semua yang hadir memerhatikan dengan cemas. Tapi reaksi mereka waktu itu langsung tak dapat hendak dibandingkan dengan perasaan Elmira.

"Azim... kenapa ni? Tolonglah jawab. Jangan buat saya macam ni..."

Walaupun Elmira terus merayu, Azim tetap tidak menjawab. Dia hanya berdengus dan mengerang beberapa kali dengan kuat. Elmira mengangkat wajah Azim.

Dia terkejut. Mulut Azim berdarah. Dan giginya... menampakkan taring yang panjang dan tajam. Secara perlahan-lahan juga, wajahnya mulai ditumbuhi bulu-bulu halus berwarna hitam. Semakin lama semakin lebat. Sehingga menutupi seluruh wajahnya. Yang nampak hanyalah matanya yang hijau, hidungnya yang merah dan taringnya yang kuning bersinar.

Azim meraba wajahnya sendiri. Menampakkan kuku-kuku jari tangannya yang tajam dan melengkung. Kemudian dia cuba untuk menyentuh wajah mulus Elmira.

Elmira hanya membiarkan. Dia hanya menunggu wajahnya disentuh Azim. Untuk suatu sebab... dia tak takut. Sebab dia tau itu Azim.

Namun berbeza kesnya dengan orang lain di situ. Semuanya ada yang terkejut, takut, tidak percaya. Malah ramai juga yang sudah lari lintang-pukang kerana terlalu gerun dengan apa yang berada di hadapan mereka.

Seorang manusia yang bertukar menjadi seekor makhluk yang menakutkan. Seluruh majlis jadi gempar. Abang Elmira juga sudah menelefon pihak polis yang hanya mengambil masa lima minit saja untuk sampai ke situ.

Elmira dan Azim dikelilingi oleh pihak polis yang dari lagak mereka juga seperti tak tahu nak buat apa. Mereka keliru. Adakah mereka sedang berhadapan dengan manusia, atau binatang? Sebab itulah mereka hanya berdiri dan mengepung Azim sambil mengacukan senjata api mereka.

Sepanjang kekecohan itu, Elmira dan Azim seperti berada di dalam dunia mereka sendiri. Mereka hanya merenung wajah masing-masing.

Azim menikmati wajah indah Elmira manakala Elmira cuba untuk mencari Azim yang masih tinggal di sebalik semua perubahan yang telah berlaku pada dirinya itu.

Elmira memegang wajah Azim dengan kedua belah tangannya. Dia mendekatkan wajah Azim pada wajahnya hingga dahi mereka bersatu.

"Awak masih Azim.... Dan sampai bila-bila pun awak akan menjadi Azim saya..." kata Elmira.

Azim membelai wajah Elmira. Namun kukunya yang tajam secara tidak sengaja telah mengguris kulit pipi Elmira hingga berdarah. Azim menarik tangannya dengan cemas namun dengan pantas ditangkap Elmira, lalu diletakkan semula ke wajahnya.

"Awak takkan boleh sakiti saya, Azim.... Tapi mereka boleh," luah Elmira. Dia memaksudkan hampir sepuluh orang polis yang sedang menunggu untuk melepaskan tembakan kepada Azim.

"Jadi saya nak awak lari. Sepantas yang boleh. Sejauh yang awak mampu. Jangan risaukan saya. Saya akan rindui awak. Tapi dalam masa yang sama, saya tau awak takkan lupakan saya.... Azim, saya cintakan awak."

...bersambung

Bab akan datang:

Dapatkah Azim melepaskan dirinya?