Jangan Baca Novel Ni - Chapter 16
?Bab 16 (24/4/2014)

Cerita 2

Terapung

Jom kita terbang nak tak?

Tepat pukul 12.01 AM. Bertarikh 1/1/2000. Kesemua bayi yang dilahirkan pada detik itu semuanya sihat dan ceria. Alhamdulillah...

Tapi sesuatu berlaku pada tanggal 1/1/2016. Seorang remaja berusia enam belas tahun tiba-tiba terapung di Shah Alam. Iya. Terapung. Setinggi satu kaki dari lantai. Kemudian ada pula remaja-remaja lain mengalami perkara yang sama. Mereka secara tiba-tiba mempunyai kebolehan untuk mengapungkan diri.

Semuanya remaja berusia enam belas tahun. Yang lahir pada tarikh 1/1/2000. Dari semasa ke semasa, semakin ramai remaja yang dikesan mengalami fenomena itu.

Hingga kini sudah dapat dipastikan melalui kajian statistik, bahawa kesemua bayi yang dilahirkan pada tarikh tersebut, mengalami benda yang sama. Mereka semua boleh terapung sebaik usia mereka mencecah enam belas tahun.

Walaupun pada mulanya, seluruh negara gempar dengan kejadian itu. Namun setelah beberapa bulan, orang ramai seakan semakin membiasakan diri dengan keadaan itu. Lebih-lebih lagi bila melihatkan yang perkara tersebut tidaklah begitu memudharatkan. Cuma ada beberapa kes terpencil dimana ada remaja yang tercedera.

Ada yang tiba-tiba terjatuh ketika sedang terapung setinggi beberapa kaki. Patah kaki. Ada pula satu kes dimana seorang remaja lelaki tidak perasan bahawa dia sedang terapung di bawah kipas. Dia mengalami kecederaan yang agak berat di kepala apabila terkena bilah kipas yang sedang berpusing laju.

Namun rata-rata, tidak ada apa-apa yang berlaku. Semua remaja-remaja itu sihat dan normal. Malah mereka gembira dengan kebolehan baru mereka itu. Rasa seperti watak-watak superhero yang mereka baca di dalam komik dan tonton di tv. Lebih-lebih lagi apabila semakin hari, kebolehan mereka semakin meningkat. Mereka mampu terapung semakin tinggi dan tinggi.

Maka rata-rata sekarang ini, dapat dilihat anak-anak muda yang berterbangan di udara. Bermain dan bergelak ketawa sesama sendiri. Ada juga yang sudah tidak menaiki bas sekolah ataupun kenderaan lain lagi. Mereka hanya perlu terapung dan terbang untuk ke sekolah.

Para ibu dan bapa yang pada mulanya begitu risaukan anak-anak mereka yang terkesan dengan fenomena itu, juga mulai menarik nafas lega apabila keadaan nampaknya semakin terkawal akhir-akhir ini.

Anak-anak mereka juga langsung tak memberontak mahupun mengeluh dengan keadaan itu. Malah mereka gembira dan berbangga. Terlalu gembira. Dan terlalu berbangga. Sehingga mencetuskan kemarahan dan tentangan dari beberapa pihak yang melihat perkara itu sebagai suatu kejadian 'luar tabii'. Sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kepada manusia biasa. Sesuatu yang seharusnya dikawal dan dibendung secara drastik. Sebelum ianya terlambat.

Namun barangkali ianya sudahpun terlambat. Apabila keadaan yang aman dan damai tiba-tiba menjadi kecoh apabila seorang remaja hilang dan tidak dapat dikesan. Menurut laporan dari ibu bapanya, remaja lelaki itu pada suatu hari sedang bermain seperti biasa. Dia mengapungkan diri di halaman rumah mereka. Namun ada sesuatu yang agak luar dari kebiasaan pada hari itu. Remaja tersebut terapung lebih tinggi dari biasa.

Selalunya paling tinggi pun hanya sepuluh kaki. Tapi pada hari itu, dia mampu terapung lebih tinggi dari itu. Semakin tinggi dan semakin tinggi, hingga akhirnya dia terus melancar ke langit. Dan tidak turun-turun lagi. Hingga ke hari ini. Sudah seminggu.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang sebenarnya berlaku? Di manakah remaja itu menghilang?