Jangan Baca Novel Ni - Chapter 31
?Bab 31(15/5)

"Abang gembira sangat hari ni. Terima kasih Kemboja. Sebab sudi keluar dengan abang," luah Aswad.

"Betul abang gembira?"

"Ya. Abang rasa kalau abang mati hari ni pun tak apa. Sebab abang dah cukup bahagia."

"Eh... kenapa tiba-tiba cakap pasal mati ni? Selalu kalau Kemboja cakap pasal mati, abang tak suka..."

"Entahlah. Semalam abang ada terbaca dalam sebuah buku. Buku tu kata, untuk sesetengah orang yang terpilih, dia akan dapat rasa bila ajalnya bakal tiba. Dia seolah-olah tau yang dia akan mati. Dan dia akan tau benda tu, empat puluh hari sebelum kematiannya," kata Aswad.

"Jadi?" soal Kemboja yang kurang faham akan relevannya cerita Aswad itu.

"Yalah.... Abang cuma terfikir. Hari ni secara kebetulan, adalah hari ke empat puluh abang kenal dengan Kemboja...."

Kemboja senyum. Lalu dia bertanya...

"Abang gembira?"

Aswad mengangguk dengan jujur. Memang dia begitu gembira sejak mengenali Kemboja empat puluh hari yang lepas. Walaupun sebelum hari ini, dia hanya menemui Kemboja di rumah orang mati, ataupun di tanah perkuburan. Aswad tetap gembira. Sebab dengan hanya melihat senyuman Kemboja, Aswad rasa seperti dia mampu untuk menghadapi apa saja. Walaupun kematian.

Di dalam perjalanan pulang, Aswad tersenyum sepanjang masa. Dia merasa bahagia apabila Kemboja memeluknya dari belakang ketika mereka sedang menaiki motor. Aswad ingin merasa pelukan itu sampai bila-bila.

Tiba-tiba, sebuah kereta telah terkeluar dari landasannya. Kereta itu meluncur laju dari arah bertentangan. Aswad tidak sempat mengelak. Lalu dia dan Kemboja dirempuh oleh kereta itu sehingga mereka berdua tercampak ke tengah jalan.

Aswad cuba untuk bernafas. Tapi dia dapat merasakan setiap detik nafasnya semakin berat. Semakin sukar untuk dihirup. Aswad tidak dapat merasakan tubuh badannya. Segalanya kebas. Pandangannya pula dikaburi oleh aliran darah yang banyak dari retakan di kepalanya.

Orang ramai mengerumuni tubuh Aswad yang tidak bergerak. Hanya matanya yang terkebil-kebil mencari sesuatu. Kemudian Aswad dapat melihat satu wajah yang dia tunggu. Wajah Kemboja. Aswad gembira apabila melihat bahawa Kemboja tidak apa-apa. Walaupun Kemboja juga turut terlibat di dalam kemalangan itu, tapi dia langsung tidak terjejas. Masih elok seperti sedia kala. Masih tenang. Masih indah. Menghiasi pandangan Aswad di saat-saat terakhir dia masih bernyawa.

Kemboja membisikkan dua kalimah syahadah pada telinga Aswad. Aswad mengulanginya dengan nafas yang masih ada. Sebelum dia pergi untuk selamanya....

Jenazah Aswad sudah selamat dikebumikan. Semua orang pun sudah beredar dari tanah perkuburan itu. Tapi Kemboja masih tinggal di situ. Dia ingin menemani Aswad sekejap saja lagi. Seakan-akan empat puluh hari, tidak mencukupi.

Kemboja mengambil sekuntum bunga yang terselit di telinganya. Dia meletakkan bunga kemboja putih itu di atas kubur Aswad. Kemboja senyum. Dia bangun dan berjalan menuju ke sebuah pohon berdekatan. Sebaik menghampiri pohon itu, Kemboja pun terus hilang dan tak kembali lagi. Dia sudah pulang ke tempat asalnya di sana. Kerana tugasnya di sini sudah selesai.

Pohon kemboja itu ditiup angin yang kuat. Sehingga menerbangkan sekuntum bunganya pergi. Bunga kemboja putih itu merantau lama dan jauh. Sehinggalah ia hinggap di atas selembar kain batik warna biru yang tersidai pada ranting pokok jati yang merintangi atas sebuah bilik mandi usang. Seorang gadis ternampak kain batik biru itu, lalu mengambilnya, dan mengucupnya lama.

Munir mengeluh deras. Dia mencampakkan novel di tangannya ke tepi. Lagi sekali novel itu menceritakan tentang kematian Suraya. Munir bangun dan berjalan ke hulu ke hilir. Kemudian dia mengambil telefon dan menelefon Suraya lagi. Hanya untuk memastikan yang Suraya tak apa-apa.

"Kenapa ni Munir? Selalu awak tak pernah risaukan saya macam ni pun..." kata Suraya dihujung talian.

"Entahlah.... Saya ada baca novel ni. Novel tu asyik kata awak akan mati..."

"La... itukan cuma buku cerita. Bukannya betul-betul..."

"Awak tak faham Suraya. Banyak benda dalam buku tu yang dah betul-betul berlaku."

"Tak mungkinlah. Kebetulan saja semua tu. Lagipun awak bukannya jenis yang percaya pada benda-benda karut, Munir. Kenapa awak nak percaya pada novel tu pulak?"

"Tapi..."

"Dahlah Munir. Bila saya dengan Adib balik nanti kita cerita lagi okey? Apa pun percayalah cakap saya yang novel tu tak ada apa-apa. Kalau awak tak percaya cakap saya, cuba awak habiskan baca novel tu. Saya pasti tak akan ada apa-apa yang berlaku," kata Suraya sebelum mematikan talian.

Munir mengambil semula novel yang dicampaknya tadi. Lalu sambung membacanya seperti yang disuruh Suraya.

...bersambung

Bab akan datang:

Benarkah kata-kata Suraya bahawa tidak akan ada apa-apa yang akan berlaku?