INSECURE - 10
[Sam]

Ujian kelayakan untuk mengikuti kursus asas kepolisan itu menggunakan sistem pengguguran, tetapi aku berjaya bertahan sehingga ke peringkat terakhir. Dan sekarang aku sedang menunggu keputusan yang akan diumumkan kira-kira sebulan dari sekarang. Aku sudah berusaha semampuku, bahkan lebih dari yang aku jangkakan. Dan sekarang yang tinggal cuma berharap yang nasib akan menyebelahiku.

Hari ini Vini menemankan Zee yang akan menduduki ujian kemasukan ke universiti. Lokasinya di dewan sebuah sekolah menengah yang tidak jauh dari sini. Aku telah berusaha mencarikan lokasi tempat ujian itu sehari sebelumnya. Aku juga sudah sedia mencuci motosikalku sehingga bersih.

Tapi rupa-rupanya Vini menumpang skuter yang dipinjam Zee dari abangnya. Jadi akhirnya aku cuma sendirian. Tapi tak apalah. Sepanjang ujian itu berlangsung, aku dan Vini menunggu di luar pagar sekolah. Saat menunggu itu, aku teringat sesuatu.

“Vini, result UPU dah keluar kan?”

Vini mengangguk. “Ya, aku dapat tawaran. Jurusan sastera bahasa Inggeris,” ujarnya dengan wajah yang tidak gembira.

“Kenapa macam tak happy je? Macam ada orang mati. Emak kau marah ke kau tak ambik bidang perubatan?”

Vini menggeleng. Dia tetap menundukkan wajahnya yang muram. “Diorang okay je. Diorang tak kisah aku dapat apa janji dapat sambung belajar dan dapat biasiswa.”

Aku geram dengan respons Vini yang tidak jelas. “Jadi apa masalahnya?” soalku agak kuat. “Kenapa muka kau macam ada masalah? Cakap!”

Dia mengangkat mukanya, bibirnya memuncung tanda kurang senang. “Jangan bisinglah! Orang tengah ujian tu.” Kemudian dia mengeluh panjang. “Ya, memang aku tengah ada masalah.” Aku terdiam sejenak. “Kau putus dengan Jo?” tebakku.

Vini mengangguk. “Dia yang putuskan hubungan kami, Sam. Aku sedih,” luahnya.

“Kenapa?” soalku lagi. “Ceritalah sampai habis jangan simpansimpan. Kau tau kan aku tak suka orang cerita separuh-separuh?”

Vini memukul belakangku agak kuat. “Kau nak kena halau guard ke?” soalnya agak garang. “Kalau kau tak bertenang, macam mana aku mahu teruskan cerita?”

Jadi aku berusaha menahan diriku. Walaupun begitu, hatiku tetap tidak tenang. Rasanya mahu aku cincang si Jo itu sekarang juga. Apa salah Vini sampai dia ditinggalkan?

“Dia putuskan perhubungan kami sehari selepas kita terima keputusan SPM. Dengan keputusannya, dia dapat sambung belajar ke Amerika. Kami kan sama-sama dapat 9A. Lepas itu dia putuskan perhubungan kami melalui SMS. Cuba kau fikir, lelaki jenis apa yang cuma berani putus melalui SMS? Pengecut!”

Aku terdiam. Agak terkejut. Melalui SMS?

“Aku nak tau kenapa dia putuskan aku. Lepas tu tak berani pulak cakap depan-depan. Aku call dia, tanya. Kami bergaduh,” ceritanya. Dia mengeluh lagi. “Rupa-rupanya selama ni dia nak ambik kesempatan je.”

“Maksud kau?”

“Sebelum SPM tu kami belajar sama-sama. Almost tiap-tiap hari, kan? Aku ajar dia benda yang lemah sampai dia faham. Macam bagi dia tuisyen free pulak untuk hampir semua subjek. Ruparupanya dia dah buat perjanjian dengan mak ayah dia. Kalau dia dapat 7A ke atas, dia dapat hadiah sports car. Lepas tu ayah dia akan hantar dia ke US. Dia kan hebat main basketball, jadi senanglah nak masuk universiti sana. Kalau bukan sebab dia belajar dengan aku, mungkin result dia tak sebagus tu.”

Mendengar penjelasan Vini, aku menggenggam penumbukku.

“Sebab itu dulu aku pernah rasa pelik, kenapa tiba-tiba dia rapat dengan aku. Padahal dulu kami pernah sekelas tapi dia tidak pernah perasan kehadiran aku. Lepas tu tiba-tiba je luahkan perasaan. Aku yang bodoh ni pulak terus percaya bulat-bulat.”

“Aduh…” aku merintih. “Mana toilet ye?” soalku sambil memegang perut.

“Sialan kau! Aku tengah buat luahan perasaan, kau boleh sakit perut pulak,” rungut Vini geram. “Sudah! Pergi cari toilet dekat masjid sebelah sana. Tak boleh masuk kawasan sekolah!”

Keningku berkerut. “Bukan tandas awam?”

“Tandas awam bayar. Tandas masjid free.”

Ah, dia memang genius. Aku mengangguk laju. “Nanti kau sambung cerita kau ye?” ujarku sambil terus memegang perut dan mengerutkan wajah. “Maaflah. Soal perut memang tak boleh kompromi.”

“Jangan lama-lama. Cerita aku belum habis lagi.”

“Ya.. ya…”

Aku meloncat naik motosikalku dan memecut laju. Kemarahan yang bersarang di dada membuat aku semakin melajukan pecutan. Aku tahu di mana aku boleh jumpa lelaki pengecut bernama Jonathan itu. Dia memang terkenal di bandar ini.

Dan akhirnya aku berjaya menemuinya yang sedang melatih satu pasukan bola keranjang remaja di padang awam tidak jauh dari sekolah kami. Aku memarkir motosikalku dan terus berjalan ke arahnya. Dia berhenti saat melihatku datang menghampirinya.

Tanpa banyak bicara, aku terus menumbuk mukanya. Remajaremaja yang dilatihnya pagi itu menjerit.

Dia terlentang kesakitan sambil memegang hidungnya. “Kau kenapa?”

Aku bercekak pinggang. “Kalau kau lelaki, jangan putuskan hubungan dengan SMS. Penakut! Cakap depan-depan lah!”

Jo bangun sambil mengesat darah di hidungnya. “Jadi apa kaitannya dengan kau?”

“Kan aku pernah bagi amaran, kalau kau sakitkan hati Vini, kita buat pertarungan,” ujarku. “Pandai kau ye? Ambik kesempatan atas kebaikan dia. Lelaki jenis apa kau ni?”

Darahku rasanya seperti menggelegak. Aku sudah menggenggam penumbukku kembali.

Jo tertawa sombong. “Alah, kalau kawan kau tu memang pandai, dia mesti tau kalau orang tu betul-betul suka dekat dia atau tak.” Dia menggeleng perlahan. “Ayat sikit terus jatuh cinta.”

“KAU DIAM!”

“Ah, dia tu bab pelajaran pandailah. Tapi kalau bab perasaan, fail. Tak sedar diri. Dia tu siapa? Orang miskin. Aku ni orang kaya. Layak ke dia bercinta dengan aku? Dan tak mungkin la aku pilih perempuan kampung kolot macam dia!”

Sekali lagi penumbukku melayang di wajah Jo. Saat dia terlentang di atas gelanggang, aku menarik kolar bajunya dan menumbuknya lagi dan lagi. Pukulan ke enam, ke tujuh dan ke lapan. Sehingga akhirnya aku berhenti kerana kepenatan.

Jo sudah terkulai di atas padang.

“Kau dengar ye? Vini itu walaupun dia miskin, tapi hati dia tak sebusuk kau! Kalau kau berani muncul lagi di depan dia, aku akan kerjakan kau lebih parah dari Theo!”

Kemudian aku memecut motosikalku pergi dari situ.

Sialan!

jjjjj

[Zee]

Aku duduk bersama mama di taman hospital mental itu. Mama kelihatan jauh lebih kurus dan itu membuatku terasa sangat sedih. Aku membawakan sedikit makanan ringan, beberapa helai baju dan beberapa buah buku untuk dia mengisi masa lapangnya.

“Kau dah pulang ke rumah?” soal Mama.

“Sudah. Aku dah bersihkan rumah,” jawabku. “Tapi ada yang berubah. Mama jangan marah ya, kalau aku suruh orang robohkan pagar dan buat pagar baru. Patung-patung dengan lukisan tu aku dah alihkan semuanya. Jadi sekarang rumah kita dah makin cerah dan lapang.”

Mama mengangguk perlahan. “Tak apa. Terpulang pada kamu. Siapa yang tolong kamu buat semua tu?”

“Err… Papa dengan anak tirinya,” sahutku.

Mama terdiam sejenak, membuat aku tiba-tiba merasa gusar. Adakah Mama sudah berubah?

“Okay,” sahut Mama. “Mama ingat kamu akan tinggalkan Mama dan duduk dengan Papa. Mama risau…”

Aku memeluk pinggang Mama dan menyandarkan kepala ke bahunya. “Yang dah berlalu tu jangan diungkit lagi. Anggap je lah sebagai pengajaran,” ujarku. “Kalau Mama sunyi, Mama kan boleh kahwin lagi. Asalkan orang itu sayangkan Mama dan aku, bukan sebab kehendak orang tua. Jangan sampai pisang berbuah dua kali.”

Mama menyentuh wajahku. “Jadi kamu sudah pandai menasihati Mama, ya? Dah dewasa ya sekarang?”

Aku tertawa kecil. “Tak lama lagi aku kan nak masuk universiti.”

Aku melihat Mama tersenyum, matanya kelihatan merah dan basah. Dia kemudian membelai rambutku. “Maafkan Mama. Sepatutnya semua ni tak terjadi. Masa mama nampak kamu diangkat masuk ke dalam ambulans, baru Mama sedar yang mama dah keterlaluan. Rasa nak gila. Mama bersalah dekat kamu.”

“Mama janji ya? Kita akan hidup bahagia selepas ini,” ujarku. Aku mengacung jari kelingking kepada Mama. “Janji anak dan ibu.”

Mama ketawa kecil. “Baiklah.” Dia mengaitkan jari kelingkingnya dengan jari kelingkingku. “Mama janji.”

Aku mendakap Mama erat. “Kalau macam ni, tenang je rasa. Kita tak perlukan Papa. Berdua pun dah cukup.”

Mama membalas pelukanku. “Belum cukup selagi kamu belum ada buah hati.”

Mataku terbeliak. Perlahan-lahan aku menatap wajah Mama. “Mama benarkan ke?” soalku. “Dah boleh bawak boyfriend jumpa Mama ke?”

“Asal dia sayangkan kamu dan Mama, boleh.”

Pipiku memerah. “Erm.. kalau ada, nanti aku kenalkan dia dengan Mama. Tapi aku tak tahulah samada dia sukakan aku atau tak,” ujarku malu-malu.

“Yang nama dia Sam tu kan?” soal Mama. “Kamu nampak sangat suka dekat dia.”

Aku terkejut. “Mama tahu?”

Mama mencubit pipiku. “Seorang ibu pasti akan tahu apa yang anaknya suka. Tapi masalahnya ego.” Dia mengeluh berat. “Nenek dulu tau Mama ada teman lelaki. Tapi dia ego. Dia nak Mama ikut pilihannya. Akhirnya Mama terpaksa belajar cintakan Papa.” Aku terdiam sambil mengusap-usap lengan Mama.

“Nenek kamu, mak Papa pun sama. Dia tahu Papa kamu sayangkan Olla tapi Olla bukan menantu pilihan dia. Keluarga Olla bukan orang kaya macam keluarga Mama.” Mama menggenggam tanganku. “Kemewahan, kejayaan, rupa paras. Semua tu tak boleh beli cinta. Mama ingat, lepas kahwin, kami akan saling belajar mencintai. Dan Mama berjaya jatuh cinta dengan Papa. Tapi Papa kamu tak boleh lupakan kisah silam dia. Masa kamu lahir, Mama memang sudah jatuh cinta dengan Papa. Tapi dia masih tak mampu cintakan Mama.”

Aku menundukkan wajahku.

Mama menyambung. “Itu maknanya kita tidak boleh belajar mencintai seseorang kerana hati akan mencintai dengan sendirinya. Jauh di sudut hati, kita tahu sebenarnya siapa yang kita paling sayang.”

Aku terdiam, cuba memahami maksud kata-kata Mama.

“Kau dah berjumpa dia, kan?”

Aku mengangguk. “Makcik Olla tu biasa je rupanya. Rumahnya pun kecik kalau nak dibandingkan dengan kita. Sangat berbeza dari Mama.”

“Memang dari dulu lagi Papa kamu suka benda yang sederhana. Asalkan dia suka. Bukan benda yang mewah tapi kemudian menyusahkan. Yang sederhana tu Olla. Yang mewah tapi menyusahkan tu Mama.”

“Ma, benda dah lepas kan? Jangan fikir lagilah.”

“Betul cakap kamu. Semua dah berlalu.” Dia tersenyum padaku. “Kalau Mama cuba buka hati pada orang lain, kamu rasa ada yang sudi?”

Aku menggenggam tangannya. “Mesti ada. Mama kan masih muda.”

“Ya? Kalau Mama ambik Sam dari kamu, boleh? Dia belum meluahkan perasaan dengan kamu, kan?”

Aku tertawa. “Jangan, Ma! Jangan!” Ketawaku semakin kuat. “Dia memang bukan orang paling pandai yang pernah aku kenal. Tapi aku suka dia. Dia itu pandai melawak. Mama cari orang lain aje lah.”

Mama juga tertawa riang sekali. “Mama gurau aje lah. Dia belajar dekat mana?”

“Dia bakal polis.”

Mata Mama membulat. “Kekasih kamu bakal polis? Serius?”

Aku tersengih. “Belum jadi kekasih lagi Ma…”

“Kalau kamu kahwin dengan dia, kamu akan gembira. Polis tidak boleh ceraikan isterinya sesuka hati. Mama setuju! Kamu mesti bersama dia!”

Aku menjeling Mama. “Ma, ingat ya. Jangan jadi nenek nombor dua tau. Bab pasangan hidup ni tolong bagi aku kebebasan memilih ya? Doakan aku bahagia, dah cukup.”

Mama menghela nafas panjang sebelum mengomel. “Dah besar anak aku ni rupanya. Dah pandai nasihat orang tua yang dah nak beruban ni.”

Aku tertawa kecil.

Mama mengukir senyuman manis. “Mama gembira kalau kau boleh jadi lebih bijak dan lebih dewasa dari Mama.”

Aku mencium pipinya. “Terima kasih sebab dah besarkan aku. Aku akan tetap bersama Mama sampai bila-bila.” Mama mengangguk. Air matanya sudah menitis.

“Maafkan Mama. Dan terima kasih sebab tak pernah tinggalkan Mama selama ini.”

Dia menarikku ke dalam pelukannya. Dan kali ini pelukan itu terasa hangat dan penuh kasih sayang. Aku bahagia.

jjjjj

[Sam]

Saat itu aku dan Zee sedang duduk berdua di sebuah kedai aiskrim. Duduk berdua di sebuah meja berhampiran dengan tingkap bersama dua mangkuk aiskrim. Asalnya kami mahu pergi bertiga. Tetapi tiba-tiba Vini tidak jadi turut serta. Ayahnya tibatiba pulang kerana cermin sisi bas mini yang dipandunya pecah.

Aku tiba-tiba menjadi pendiam sebaik tiba di sini. Aku takut! Sumpah! Peluh dinginku membasahi dahi. Jantungku berdegup kencang. Aku rasa mahu kencing. Perutku terasa memulas-mulas.

Tetapi hatiku dipenuhi kebahagiaan.

Kami mahu meraikan kejayaan masing-masing sebelum berpisah membawa haluan sendiri. Zee berjaya mendapat tempat di sebuah universiti swasta dalam jurusan undang-undang. Vini akan mendaftar kursus sastera Inggerisnya tidak lama lagi. Dan aku…

Ya! Aku lulus ujian kelayakan itu! Gila, kan? Tak lama lagi aku akan jadi polis. Masih terbayang di ingatanku saat emak dan kakakku menangis terharu saat aku memberitahu mereka berita baik itu

Dan masih terbayang di ingatanku saat Vini menepuk-nepuk pipiku sambil menjerit-jerit. “Naaaaahhhh… finally kau jadi orang berguna!” Dan dia melompat-lompat di dalam pelukanku. Aku juga sempat menghubungi Cikgu Gio dan mengucapkan ribuan terima kasih padanya. Aku pasti tak akan mampu membalas jasanya.

Kemudian aku menghubungi Zee. Dan dia mencadangkan kami keluar makan aiskrim untuk meraikan kejayaanku. Walaupun sebenarnya aku bukan penggemar aiskrim, tapi kesempatan bertemu Zee tidak akan aku tolak. Aku memang rindu padanya. Sejak dia sembuh dari sakit, aku jarang bertemu dia. Dia selalu menghabisan masa dengan ibunya di hospital. Dan sekarang dia ada di hadapanku. Perasaan yang dahulunya baru bertunas kini telah mekar, menunggu masa untuk disampaikan.

“Jadi lepas ni kau kena kuarantin dalam kem latihan lah kan?”

Aku mengangguk. “Jadi lepas ni tak bolehlah jumpa selalu.”

Dia menyuap aiskrim ke mulutnya. “Mesti aku akan rindu kau nanti. Rindu gurauan kau.”

“Aku pun mesti rindukan kau nanti Zee. Tapi tak lama kan? Lagi pun lepas ni mesti kau sibuk dengan kelas. Jumpa kawan-kawan baru semua.”

Zee tertawa kecil. “Tak akan ada orang seperti kau, Sam.”

Aku mendabik dada. “Mestilah. Orang macam aku ni kan rare.”

Zee ketawa besar. Dia kelihatan semakin cantik saat dia tersenyum dan ketawa. Dadaku merasa sesak tiba-tiba.

“Kalau Vini ada kat sini habislah kau kena pukul kena cubit. Mesti kecoh,” ujarnya.

“Jadi kau tak suka ke lepak berdua dengan aku?”

Tawanya terhenti. Dia menggeleng. “Bukan… bukan… maksud aku.. err…” Dia terdiam seketika. “Maksud aku, aku suka…je..

lepak dengan kau…maksud aku…”

Giliran aku pula yang ketawa besar. “Aku tahu maksud kau. Jangan risau. Rileks.”

Dia cuma tersengih. Pandangannya beralih ke luar tingkap. Jarinya mengetuk-ngetuk meja.

“Zee…” panggilku lembut.

Dia menoleh. “Ya?”

Peluh dingin mula membasahi dahiku lagi. “Hmm… sebenarnya… sebelum aku ikut kursus itu nanti, aku nak tahu jawapan kau...” Zee memandangku dengan kening berkerut. Ah! Cakap je lah!

“Aku nak tau… boleh tak kita jadi lebih dari kawan?” soalku perlahan. Saat itu, entah jantungku masih ada di dalam badan ataupun sudah melompat keluar, aku tidak pasti. Namun aku melanjutkan ayatku. “Aku suka kau, Zee. Aku nak tahu, apa perasaan kau dengan aku.”

Kulihat Zee sedikit terkejut. Matanya merenung tepat ke arahku. Dia terpaku. Aku tertanya-tanya samada dia masih boleh bernafas atau tidak. Lalu perlahan-lahan dia tersenyum.

“Nak.”

“Nak? Kau nak jadi girlfriend aku?” soalku, mahu mendapatkan kepastian.

Zee mengangguk. “Aku pun sukakan kau, Sam.”

Rasanya seperti aku sedang melayang-layang di udara. Ini bukan kali pertama aku melamar seseorang menjadi kekasihku, tetapi ini lain. Zee gadis pintar yang kehidupan ibu bapanya berantakan, dia pasti akan lebih berhati-hati saat memilih orang untuk dijadikan teman. Dan saat aku mengetahui dia juga memiliki perasaan yang sama denganku, aku rasa….seperti sudah menjadi seorang lelaki sejati.

Aku mengangkat kerusiku dan pindah di sebelah Zee. “Terima kasih, Zee. Jadi sekarang kita dah jadi couple kan? Jadi kalau ada masalah, jangan sorok. Cerita dekat aku. Aku akan jaga kau dan protect kau.” Aku menarik tangannya dan menggenggamnya.

Zee membalas genggamanku. Dia tersenyum.

“Aku bukan macam lelaki lain, aku sedar tu. Banyak sangat kekurangan aku. Tapi aku janji akan jaga kau. Aku janji takkan jadi lelaki macam ayah aku atau papa kau,” ujarku jujur.

Zee masih tersenyum. Tangannya menyentuh pipiku. “Sam, aku terima kau bukan sebab apa yang kau ada. Tapi sebab aku perlukan kau. Bukan cuma nakkan kau. Kemahuan dan keperluan tu tak sama,” katanya. “Kalau kau tanya aku, of course aku nak boyfriend yang handsome, yang kaya, yang kerja hebat-hebat, pandai, boleh dibanggakan. Tapi aku tak perlu tu semua. Aku perlu lelaki yang kelakar, berani dan pandai hiburkan aku. Macam kau.”

Aku merasa agak bangga saat mendengar apa yang Zee katakan. Rupa-rupanya ada juga sesuatu tentang aku yang membuat Zee tertarik padaku. Aku menggenggam tangannya erat. “Terima kasih, Zee. Saya sayang awak.”

Zee tertawa kecil mendengar panggilan yang sudah aku tukar. Dia memukul lenganku lembut. Pipinya kemerahan. “Kenapa luahkan perasaan sekarang? Kan lepas ni awak nak masuk pusat latihan. Nanti rindulah saya. Dah tak banyak masa dah ni.”

“Ya, kan? Sepatutnya dulu lagi saya dah cakap dekat awak. Tapi takpe. Lepas ni kita kumpul rindu banyak-banyak. Lepas saya habis kursus tu, bolehlah kita melepas rindu.”

“Bila kursus awak mula?” soal Zee sambil tersenyum.

“Isnin depan.”

“Cuma tinggal tiga hari je lagi. Kita pergi jalan-jalan nak? Temankan aku shopping, please?” ujarnya sambil mengenyitkan mata.

Aku ketawa. “Patahlah kaki saya lepas ni kena teman perempuan shopping,” ujarku. Kemudian aku berdiri tanpa melepaskan tangannya. “Jom? Lepas tu kita pergi tengok wayang, okay?”

“Okay!”

Kami keluar dari kedai aiskrim itu. Aku menghulurkan topi keledar pada Zee sebelum aku menghidupkan enjin motosikalku. Kemudian Zee membonceng di belakang. Tangannya melingkar di pinggangku. Kali ini rasanya sangat sesuai dan selesa.

Aku menunggang motosikalku menuju ke pusat membeli belah menggunakan jalan pintas. Tetapi, saat keluar dari satu lorong, tiba-tiba sebuah kereta menghalang jalanku. Aku membrek mendadak sambil memaki. Kereta itu berhenti tepat di hadapanku. Saat pintunya terbuka, dua orang lelaki keluar dari kereta itu. Salah seorangnya sangat aku kenali.

Jo!

Dia senyum mengejek padaku. “Apa khabar, Sam?”

jjjjj

[Zee]

“Turun, Zee.”

Aku turun dari motosikal Sam. Jujur aku merasakan ada sesuatu yang tidak kena saat Jo tiba-tiba muncul. Petanda kurang baik.

“Awak pergi dulu dari sini,” bisik Sam padaku.

Aku menggeleng. “Saya nak tunggu dekat sini. Apa urusan awak dengan dia?”

Sam tidak menjawab. Dia turun dari motornya dan menggamit tanganku. Matanya memandang tepat ke arah Jo. “Ada apa? Nak cari gaduh lagi?”

Jo tertawa. “Aku kena jahitan di hidung,” ujarnya. “Kau ingat aku nak lepaskan kau macam tu je?” Dia mengerling ke arahku. “Girlfriend kau ke? Ada jugak perempuan yang nakkan kau kan?”

“Hey, sial! Kalau nak balas dendam, datang seorang! Bukan bawa kawan! Pengecut! Lepas tu jangan main tahan-tahan tengah jalan macam ni!”

Jo berjalan menghampiri Sam, kepalanya disengetkan dan keningnya terjongket. Sebelah tangannya menepuk-nepuk bahu Sam. “Aku harap bahu kau kuat.”

Kemudian dia menumbuk perut Sam.

“Sam!” jeritku spontan. Sam terbaring di tanah, wajahnya berkerut menahan sakit. “Sam, awak okay?” Aku berlutut di sebelahnya, gementar. Aku tak tau apa yang harus dilakukan.

Sam mengangkat sebelah tangannya, mengisyaratkan yang dia baik-baik sahaja. “Saya okey.” Dia cuba berdiri. Aku cuba membantunya sebelum tiba-tiba lenganku disentap oleh Jo.

“Aaarghh!” jeritku. “Sam!!!”

“Bangsat! Lepaskan dia!” tempik Sam.

Jo memegangku kuat. Dia melingkarkan lengannya di leherku, membuat aku sukar untuk bernafas. Kemudian dia menuding jari ke arah Sam.

“Aku ada bawak member. Aku boleh bagi girlfriend kau dekat dia. Kalau kau melawan, kau akan tengok dengan mata kepala kau sendiri macam mana dia bunuh girlfriend kau.” “Sam! Tolong!” jeritku.

“Keparat! Hey! Lepaskan dia! Aku tau kau ada dendam dengan aku. Tapi jangan libatkan perempuan la wei! Lepaskan dia! Lepaskan dia, keparat!”

Sam cuba melepaskan aku tetapi ditepis oleh Jo. Lengan Jo semakin kuat mencekik leherku.

“Kau ada dua pilihan, Sam. Aku lepaskan girlfriend kau ni, tapi kau tak boleh melawan. Atau kita bertarung satu lawan satu, tapi girlfriend kau member aku pegang.”

“Yang pertama!” ujar Sam laju. “Lepaskan dia sekarang!”

“Boleh percaya ke

“Boleh percaya ke ni?” soal Jo dengan nada mengejek.

“Bangsat! Kau tak dengar apa yang aku cakap? Lepaskan dia! Lepas tu kau buatlah apa yang kau suka.”

Perlahan-lahan rangkulan Jo di leherku melonggar. Aku menghambur ke pelukan Sam. Nafasku termengah-mengah kerana ketakutan. Tubuhku menggigil, peluhku bercucuran.”

“Sam…saya…”

“Bertenang,” ujar Sam. “Awak tak apa-apa, kan” Dia menyelak rambutku yang menutup wajah. Aku menggeleng. “Sekarang pergi dari sini. Cepat!” Dia melepaskan pelukannya.

“Sss..saamm.. sssaaayaaaa…”

“Pergi Zee!” tempik Sam. “Saya tak nak dia buat apa-apa kat awak. Jangan risau dengan saya. Saya dah biasa! Pergi!”

Aku mengangguk laju meskipun sebenarnya aku benar-benar takut. Aku bingkas bangun dan berlari sepantas mungkin menjauhi mereka. Namun aku tidak sanggup membiarkan Sam menghadapi mereka sendirian.

Aku berhenti di sebalik sebatang pohon dan cuba mengintai. Sam sudah rebah di tanah. Jo sedang membelasahnya.

Oh Tuhan, apa yang perlu aku lakukan?

Aku tidak dapat meminta bantuan sesiapa kerana tidak ada orang di sini. Rumah-rumah di sekitar kebanyakannya sunyi. Aku menyeluk beg tanganku dan mengeluarkan telefon bimbit. Aku harus memberitahu seseorang! Sesiapa saja!

Dengan mata yang dikaburi tangisan, aku mendail nombor terakhir yang aku hubungi. Entah siapa.

“Hello?”

“Eh, Zee. Kenapa kau telefon aku?”

Vini! “Vini! Tolong!” Aku menjerit dan menangis. “Tolong!

Tolong! Sam kena belasah dengan Jo!”

“APA?!”

“Aku tak tau nak buat apa! Cepat!”

“Korang kat mana?”

“Dekat kedai aiskrim itu. Bukan… bukan.. Di dalam.. bukan… Dekat lorong luar. Dekat kedai aiskrim. Aku tak tau kat mana ni…” bebelku panik.

“Aku rasa aku tau. Short cut nak pergi mall tu kan? Sekejap lagi aku ke sana!”

Talian termati. Aku mencari-cari nombor lain yang boleh aku hubungi. Abang Ibi! Aku mencari nombor telefonnya dan mendail. Nada dering kedengaran. Lama sekali.

Aku terus memerhatikan Sam dan Jo. Aku tidak tahu bagaimana keadaan Sam sekarang. Yang aku pasti, dia dibelasah tanpa henti oleh Jo dan rakannya bersilih ganti.

“Hello, Zee?”

“Abang!” jeritku lagi. “Tolong! Ada orang belasah kawan aku! Cepat datang! Tolong!”

“Kamu dekat mana?”

“Aku tak tau. Dekat lorong belakang kedai aiskrim. Ikut situ.”

“Kedai aiskrim mana Zee? Cuba cakap pelan-pelan. Kamu takde apa-apa kan?”

Aku menggeleng. Air mataku terus bercucuran. “Kedai aiskrim Pelangi. Yang kecik tu, dekat kedai jual alat muzik. Aku tak tahu…” tangisanku berterusan.

“Tunggu! Abang datang sekarang.”

Aku terduduk di atas rumput. Mataku memandang ke hujung jalan. Seharusnya Sam melawan, kerana aku sudah tidak ada di situ. Dia tidak boleh mengorbankan dirinya. Kenapa aku selalu menjadi beban kepada orang lain?

Kemudian entah dari mana sebuah bas mini muncul lalu melanggar kereta yang menghadang motosikal Sam tadi. Kereta Jo. Seorang perempuan keluar dari bas mini itu. Pergaduhan terhenti. Aku berlari sekuat tenaga menghampiri Sam yang terbaring lesu di tanah. Seluruh tubuhnya luka-luka dan lebam.

“Sam! Vini!” Aku bersimpuh di sebelah Vini, tempat Sam terbaring. “Ya, Tuhan. Kenapa awak tak melawan?” marahku.

“Kenapa..awak ada kat sini lagi? Kan..saya..suruh…pergi…” ujar Sam terputus-putus.

“Jo! Urusan kau dengan aku! Bukan dengan Sam!” jerit Vini sambil bercekak pinggang. “Kenapa kau pukul dia? Tak cukup ke kau ambil kesempatan dekat aku?”

“Eh, Vini! Dia yang mula dulu okay? Tiba-tiba je datang lepas tu belasah aku kat padang. Tengok hidung aku ni, semua sebab dia! Jadi patutnya kau tanya dia kenapa aku belasah dia!”

“Patutnya KAU yang tanya kenapa dia belasah kau!” tengking Vini.

“Aku dah tak ada urusan dengan kau, Vini. Lagi pun aku sudah puas. Kita seri, bro! Jangan carik pasal lagi dengan aku!”

“Keparat kau Jo!” tempik Vini geram. “Perangai macam sial!”

Jo ketawa terbahak-bahak. “Oh ya, lupa pulak nak ucapkan terima kasih sebab dah ajar aku sampai aku lulus cemerlang. Memang hebatlah kau ni. Dah, sekarang alih bas buruk ni. Aku nak jalan.”

BUK!

Penumbuk Vini singgah di hidung Jo. “Cuba kau ulang?” jeritnya lagi.

“Sial!” maki Jo sambil meraba hidungnya.

Tanpa banyak bicara, Vini masuk ke dalam bas mini itu. Dia kemudian mengundur beberapa meter sebelum merempuh lagi kereta Jo dan menolaknya ke depan beberapa meter. Jo dan kawannya mengejar sambil memaki-maki. Aku ternganga, lupa seketika pada Sam.

Tiba-tiba ada sebuah motosikal menghampiri kami. “Zee!”

Abang Ibi! Dia masih berpakaian seragam lengkap. Dia turun dari motosikalnya dan memeriksa keadaan Sam. “Siapa yang belasah dia?”

Sebelum sempat aku menjawab, bas mini Vini datang kembali dalam keadaan mengundur. Bas itu berhenti tidak jauh dari kami dan Vini meluru keluar. “Kita ke klinik! Ada dekat hujung jalan sana tempat aku tolak kereta Jo tadi. Cepat Sam!”

“Aku boleh gerak sendiri,” kata Sam. Dengan perlahan, dia berusaha untuk berdiri.

Aku menoleh ke arah Abang Ibi. “Terima kasih kerana datang, abang. Sayangnya penjahat tu dah lari.”

“Tak apa. Sekarang kita bawa Sam ke klinik dulu,” ujarnya sambil mengusap kepalaku.

Sam dikejarkan ke klinik dengan bas mini milik ayah Vini. Abang Ibi mengekori kami dari belakang. Memang tidak jauh. Sebaik sampai di depan klinik, kami bersama-sama memapah Sam keluar dari bas mini masuk ke dalam. Petugas klinik segera datang membantu kami dan mula merawat Sam. Mungkin kerana ada polis yang datang bersama kami.

Tiba-tiba ada seorang polis lain yang masuk. Dia mencari Vini.

“Bas mini kat depan tu kamu yang punya?” soalnya. Seluruh klinik membisu.

Vini mengangguk. “Ada apa, tuan?” soalnya. Raut wajahnya selamba, langsung tidak menampakkan ketakutan.

“Kamu ada lesen memandu?”

“Tak ada,” ujar Vini sambil menggeleng. Dia menghela nafas panjang. “Saya tahu tadi saya dah langgar lampu merah dan memandu laju. Saya tidak ada lesen. Tapi tadi ada kecemasan. Kawan saya dibelasah orang. Tu, tengok,” ujarnya sambil menuding ke arah Sam yang sedang dirawat. “Masa tu polis semua dekat mana? Nasib baik saya datang.”

Ya, Tuhan. Vini ini memang tidak pernah berubah. Dia tidak peduli dengan siapa dia sedang bercakap.

Abang Ibi datang menyelamatkan keadaan. “Boleh kita selesaikan masalah ini di luar? Saya bertanggungjawab ke atas dia.”

Polis yang datang tadi mengangguk. “Baiklah.”

Abang tiriku itu menoleh ke arahku. “Uruskan Sam. Nanti aku selesaikan masalah kawan kamu.”

Aku mengangguk. “Namanya Vini. Tolong dia ya?”

“Zee! Aku tak perlu dibantu. Aku bol---”

Ayat Vini terputus kerana Abang Ibi mengangkat tangannya tanda amaran. “Jangan banyak cakap. Kita selesaikan di luar. Kamu bersalah kalau betul terbukti kamu langgar lampu merah dan tak ada lesen memandu,” ujarnya.

Vini mematung sejenak sambil memandang Abang Ibi. “Kita pernah berjumpa.”

“Di hospital. Masa tu kamu tengah cari bilik Zee dalam keadaan kelam kabut dan belum mandi. Jadi sekarang jangan komplen kalau nak aku tolong.”

Vini ditarik keluar oleh Abang Ibi. Aku tercengang.

“Kawan awak dah okay,” ujar salah seorang jururawat yang menolong merawat Sam tadi. Aku menoleh ke arah Sam yang sudah dirawat dan dibalut lukanya. Kepala, hidung, tangan dan kakinya penuh dengan plaster. Bibir dan matanya bengkak.

“Ada luka dalaman?” soalku pada jururawat itu.

“Itu kami tak pasti. Baik kamu bawak dia ke hospital untuk di X-ray. Lepas tu baru tau samada ada luka kat dalam atau tak.”

“Saya tak apa-apa Zee,” ujar Sam. Dia sedang berusaha untuk duduk. “Saya dah biasa. Nanti eloklah. Bukan kali pertama ni kena belasah orang.”

Aku mengeluh. “Sam, saya mintak maaf ye? Sebab saya awak kena belasah.”

Sam menggeleng dan kemudiannya menyeringai. “Adoi.. senyum pun sakit,” gerutunya. Kemudian dia menjawab. “Sebenanrnya memang salah saya sendiri. Hari tu saya belasah Jo sebab dia putus dengan Vini guna SMS je. Dan dia nak ambik kesempatan atas Vini. Jadi ni dia datang nak balas dendam. Kebetulan pulak awak ada dengan saya. Jadi dia ambik kesempatan lah nak kerjakan saya.”

Aku menundukkan wajahku. “Tapi saya rasa bersalah.”

Sam menyentuh daguku. “Kan saya dah janji akan lindungi awak, walaupun saya kena belasah macam ni. Asalkan awak selamat. Saya bahagia sebab dapat protect orang yang saya sayang.”

Aku mengukir senyum nipis. “Terima kasih, awak.”

Dia mengangkat tangannya perlahan, dalam kepayahan. Dia menarik kepalaku dan mendekatkannya kepada wajahnya. Kemudian dia mengucup dahiku lama. Keharuan menyerbu hatiku.