INSECURE - 9
[Zee]

Aku baru sahaja pulang dari menghadiri kelas tuisyen. Setelah mengunci pintu pagar, aku berjalan menuju ke pintu rumah dengan tenang. Aku melihat Mama sedang berdiri di hadapan pintu sambil bercekak pinggang.

Apa salahku?

“Balik jugak kau akhirnya,’ ujar Mama dengan nada geram.

“Hm… aku…” Aku terdiam sejenak. “Aku tak ke mana-mana, Ma.”

“Kenapa kau pergi jumpa Papa?”

Tersirap darahku. Tiba-tiba rasa sakit datang dari segenap arah. Dingin. Tubuhku menggigil. Aku menelan air liur.

“Dari mana Mama tahu?” soalku berusaha untuk terus tenang.

“KENAPA KAU JUMPA DIA?”

Aku tersentak.

“JAWAB!”

“A…aku…tu kebetulan je Ma. Aku terserempak dengan dia kat shopping mall. Aku ingat lagi muka dia. Dia pun masih cam aku. Jadi kami berboraklah kejap. Tu je.”

Mama mengetap giginya. “Kau bohong!”

“Tak!” Aku menggelengkan kepalaku. “Tak bohong!”

“Kau jumpa dia! Kau cerita yang kau terseksa tinggal dengan aku. Kau cerita dekat dia yang aku selalu dera kau, kan?? Kenapa kau cerita benda tu? Kenapa kau mesti nak buruk-burukkan aku depan dia? Kenapa???”

“Ma… aku…”

“Dia datang cari aku di hospital. Dia bersumpah akan membawa kau keluar dari rumah ini. Dia akan pisahkan kau dari aku dan akan hantar aku ke penjara!”

Aku terkaku. Oh, sial. Papa tidak menepati janjinya. Kenapa dia buat semua ini?

“Patutnya aku tak harapkan anak dari dia! Tengok! Anak jenis apa yang aku dapat!” jerit Mama lagi. Wajahnya merah seperti dibakar api. Renungannya tajam seperti pedang yang bersedia untuk memenggal kepalaku.

Aku tahu, kemarahan Mama tidak ditujukan padaku. Dia marah pada Papa. Tetapi apa boleh buat, hanya aku yang Mama ada, jadi kemarahan itu dilampiaskan padaku. Bukan pada Papa.

“Ma-maaf, Ma. A-aku—”

Sebelum aku sempat menjelaskan semuanya, Mama menarikku masuk ke rumah. Pintu dihempas di belakangku. Aku kira aku akan mati hari ini. Tolong! Sesiapa yang boleh dengar aku! Tolong beritahu Tuhan yang aku masih belum mahu mati!

Mama mengheretku ke bilik mandi. Sekali lagi dia membenamkan kepalaku ke dalam kolah yang penuh dengan air. Mama membenamkan, mengangkat dan membenamkan kepalaku berulang-ulang kali sehingga aku hampir-hampir tidak boleh bernafas.

Aku sudah tidak tahan lagi. Aku cuba menarik tangannya dan menolaknya. Saat aku terlepas dari cengkaman Mama, tubuhku melanggar dinding. Pipiku menerima habuan dari Mama, bersama makian dan sumpah seranah yang dilontarkan bertubitubi dari mulutnya.

Dia menarikku ke ruang tamu. Setiba di situ, dia melepaskanku. Tapi kemudiannya dia menendang punggungku. Aku tersungkur di lantai. Kemudian dia duduk di atas perutku yang terlentang pasrah di atas lantai. Dia menindihku kuat-kuat.

“Kenapa kau jumpa bangsat tu, hah? Aku yang lahirkan kau, besarkan kau, bagi kau makan, pelajaran, duit! Aku yang jaga kau selama ni tapi kau pilih dia! ANAK TAK MENGENANG BUDI!” jeritnya sambil menarik rambutku.

“Berhenti!” jeritku. “Tolong Mama! Berhenti! Aku anak Mama. Aku takkan tinggalkan Mama!”

Sekali lagi Mama menamparku, membuat kepalaku berpusing ke kiri. Mataku menangkap tompokan darah di lantai, di sebelah wajahku. Aku meraba hidungku sendiri. Basah.

“Aaaaargghhh!!!” jeritku. Aku berusaha menolak mama dari terus menindihku. “Pergi! Lepaskan aku! Tolong!” jeritku sekuat-kuat hati.

“DIAM! DIAM!” jerit Mama. Dia termengah-mengah! Matanya terbeliak. Giginya diketap geram. “Aku benci kau! Aku benci kau!” jeritnya lagi berulang kali. Dia menamparku lagi dan lagi.

Kiri dan kanan.

“Berhentiiii…” jeritku.

Mama memegang kepalaku dan menghentakkannya ke lantai. “Anak tak pandai berterima kasih! Aku yang besarkan kau!” Aku tahu, Ma!

“Anak kurang ajar!”

Kepalaku masih dihentakkan ke lantai berulang kali.

“Tak bertanggungjawab!”

“Pembohong!”

“... aku cintakan kau sepenuh hati! Tapi kau tinggalkan aku dan memilih orang lain! Sekarang kau nak rampas anak aku! Lebih baik dia mati di tangan aku dari hidup dengan kau! Sialan! Bangsat!”

Kepalaku berdenyut-denyut. Pandanganku berpinar-pinar.

“Aku habiskan seluruh hidup aku jaga dia sorang-sorang. Dia je yang tinggal di rumah ni. Sekarang kau nak ambik dia? KURANG AJAR KAU!”

Sekali lagi Mama menamparku berulang-ulang. Darah segar memercik memenuhi wajahku, kali ini lebih banyak. Tanganku terkulai di tepi tubuhku. Jangankan mahu menyentuh wajahku, bersuara pun aku tidak mampu.

Sumpah, aku sudah memutuskan untuk terus tinggal bersama Mama kerana selama ini aku sangat sayang padanya. Tapi lihatlah sekarang! Aku masih menjadi sasaran kemarahannya yang membabi buta, yang sebenarnya ditujukan kepada Papa.

Aku mendengar semua yang dikatakannya. Tahu apa perasaannya saat menuturkan itu semua. Mama tidak benci Papa, tetapi selepas keruntuhan rumah tanggannya dengan Papa, dia kesunyian. Papa bergembira di luar sana.

“Mati je lah kau! Kau tak boleh bersama dia!”

Mama menarik kepalaku dan dengan sekuat tenaga dia menhentak kepalaku ke lantai marmar. Kemudian dia menindihku sebelum menghempas-hempaskan tubuhnya di atas tubuhku berulangulang. Aku merasa seperti ada darah di dalam mulutku. Aku memuntahkannya. Baunya yang tajam tercium ke hidungku.

Pandanganku yang tadinya suram menjadi semakin gelap. Entah kenapa, aku mendengar bunyi bising. Ada orang berlari mendekatiku. Ada keriuhan di sana sini. Kemudian beban yang berat itu dialihkan dari tubuhku. Ada orang menggoncanggoncang tubuhku, memanggil-manggil namaku.

Kemudian semuanya lenyap. Aku tidak lagi mendengar apa-apa, tidak lagi nampak apa-apa bahkan tidak lagi mampu menghidu apa-apa. Aku tidak dapat menggerakkan bibirku untuk bertanya, apa yang telah terjadi di luar sana.

Semuanya menjadi hening, hitam dan dingin.

jjjjj

[Sam]

Aku pulang selepas tengah malam. Tidak sangka yang acara pemilihan dan kawad hari ini sangat panjang. Padahal esok jam tujuh pagi aku harus kembali untuk ujian fizikal. Aku mematikan enjin motosikal dan menolaknya ke hadapan rumah.

Aku terkejut saat melihat emak dan Ghisa yang sedang duduk menungguku di tangga. Mereka saling bersandar antara satu sama lain, kelihatannya mereka mengantuk sekali.

Aku mendekati mereka. “Emak! Kak! Kenapa tidur kat sini?”

“Sam!” Ghisa membuka matanya luas-luas. Dia berdiri dan memelukku seketika. “Macam mana? Lulus kan? Boleh ikut ujian fizikal esok?”

Emak juga sudah sedar sepenuhnya tetapi dia tidak bangun kerana tubuhnya berat dan belakangnya masih sakit. Aku tahu kerana selalunya aku atau Ghisa perlu membantunya turun naik tangga. Emak juga bertanya benda yang sama padaku.

Oh, ya. Ayahku sudah dipenjara. Emak juga sudah memfailkan perceraian dibantu oleh petugas Unit Perlindungan Wanita. Aku dan Ghisa sudah boleh bernafas lega sekarang.

Mendengar pertanyaan mereka berdua, aku tersenyum girang. “Aku lulus. Esok boleh ikut ujian fizikal,” jawabku.

Ghisa memelukku. “Syukurlah. Tadi aku ada belikan telur ayam kampung dengan madu. Nanti subuh aku buatkan telur separuh masak dengan madu. Emak tadi pun ada beli roti dan mentega kacang coklat. Jadi esok kau boleh bawa untuk bekal. Ujian fizikal mesti kena guna tenaga banyak,” katanya dengan penuh semangat.

Aku mengangguk. “Ye lah. Terima kasih. Sekarang boleh kita tidur? Penatlah”

“Okay,” ujar Ghisa. “Jom, bu. Kita naik.”

Aku dan Ghisa membantu emak menaiki tangga. Setibanya di bilik emak, Ghisa membaringkan dan menyelimutkan emak. Kemudian kami keluar dari bilik itu.

“Kak, aku pinjam telefon kau sekejap, boleh?” soalku sebelum Ghisa masuk ke dalam biliknya.

Ghisa menyeluk saku baju tidurnya dan mengeluarkan telefon bimbit. “Nah. Jangan lama-lama. Dah siap, letak je depan pintu bilik. Jangan kejutkan aku,” katanya. Dia terus masuk ke dalam biliknya.

Dengan senyuman lebar, aku menuruni tangga. Tanganku lincah menekan nombor telefon bimbit Zee. Malangnya talian tidak aktif. Mungkin dia mematikan telefon bimbitnya.

Aku mendail nombor telefon Vini. Aku tahu hari sudah lewat malam tapi aku sangat ingin berkongsi kegembiraanku dengan seseorang. Aku sudah selangkah lebih hampir kepada kerjaya sebagai seorang polis.

“Hello…hmmm…” Vini menguap. Dia menjawabnya dengan suara perlahan tanpa minat. “Ada apa kak? Kan dah malam. Sam belum balik?”

Aku membayangkan Vini sedang menjawab panggilan itu dengan mata separuh terbuka, atau mungkin cuma separuh sedar saja. “Woi! Ni aku lah. Baru balik.”

“Oh..begitu…”

Aku tertawa kecil. “Oh, ya. Esok aku ujian fizikal. Aku nervouslah. Semoga latihan dengan Cikgu Gio itu berkesan. Doakan aku ya, Vin. Doa kau kan mujarab.”

“Hmm… kalau doa aku mujarab.. mesti aku dah kaya sekarang… huarghhh… “ Vini menguap lagi. “Kau suruhlah mana-mana ustaz doakan kau… aku ngantuk ni…”

Aku tergelak besar. “Kau ni kelakarlah.. Err..tolong bagitau Zee nanti, ya? Tadi aku telefon dia tapi telefon dia off. Mungkin dah tidur agaknya.”

“Huaaarghhhh… aku ngantuklah Sam. Hmmm.. ya..ya..nanti aku akan cakap kalu dia dah sedar. Aku mengantuk sangat ni.”

Keningku berkerut. “Kalau dia dah sedar?” soalku. “Apa maksud kau?”

“Dia di hospital… huuushhh..nyamuk sialan... Itu, Zee… dia pendarahan di kepala… tadi petang…papanya telefon… esok kita ke hospital…tempat emakmu…. Aku mengantuk ni Sam. Lapar…”

Tubuhku serasa seperti membeku.

Walaupun sebenarnya aku kurang percaya pada kata-kata orang yang separuh sedar, aku mematikan talian. Aku naik ke atas dan meletakkan telefon Ghisa di depan pintu biliknya. Kemudian aku kebingungan sendiri. Macam mana aku nak tinggalkan pesan pada Ghisa? Sudahnya aku mengambil telefon bimbit itu dan menaip mesej ringkas untuknya. Kak, aku ke hospital. Lawat kawan. Sam. Kemudian aku menghantar pesanan itu ke nombor Ghisa sendiri.

Aku menuruni tangga sepantas mungkin. Aku memacu motorku ke hospital tempat emak dibawa dulu. Kelajuan motosikalku bertambah seiring dengan kelajuan degupan jantungku yang semakin kencang.

jjjjj

[Zee]

Aku tidak tahu apa yang telah terjadi.

Saat aku dapat merasakan jantungku berdenyut kembali, aku berusaha membuka mataku. Kepalaku terasa sakit dan berdenyutdenyut. Pandanganku perlahan-lahan menjadi lebih jelas. Ada suara yang memanggil namaku.

Saat mataku sudah terbuka, di sekelilingku ramai sekali orang berpakaian serba putih seperti baju uniform Mama dan Papa. Hidungku terhidu bau ubat-ubatan. Ada saluran yang tersambung dari tanganku ke tiang di sebelah katilku.

Hospital!

“Mana Mama?”

Dan itu soalan pertama yang keluar dari mulutku. Aku bertanyakan Mama, bukannya keadaan diriku sendiri.

“Zee… ini Papa, sayang. Sekejap ya?” Lelaki berbaju putih yang mengaku sebagai ayahku itu menarik kelopak mataku ke atas dan bawah. Dia menyalakan lampu picit dan menyuluhkannya ke dalam mataku. Aku cuma diam.

“Syukurlah tak ada apa-apa,” ujarnya perlahan. Dia mengalihkan lampu suluh itu.

Aku merenung orang itu lama. Dan memang benar, dia Papa. “Mana Mama, Pa?” soalku lagi.

“Mama tak apa-apa. Dia sekarang ada di satu tempat. Nanti dia datang ke sini,” jawab Papa. “Kamu okay kan? Kamu rehat, ya?”

“Apa dah jadi?”

Papa menggeleng. “Sekarang kamu rehat je. Tak perlu fikir apaapa. Sekarang kamu dah selamat.” Dia menggenggam tanganku yang tidak tersambung saluran air itu.

Aku mencuba bangun. Aaaarggh. Sakit sekali. “Aku nak jumpa Mama! Mana Mama?”

Papa menahanku dari bangun. “Kamu jangan gerak dulu! Nanti Mama kamu datang. Tapi bukan sekarang, Zee.”

“Apa yang dah jadi?” soalku. “Cakap! Kalau tak aku lari dari sini! Aku nak jumpa Mama!” desakku.

“Okay.. bertenang sayang. Bertenang.” Papa memejamkan matanya sejenak sebelum menggenggam tanganku sekali lagi. “Petang tadi Papa dan pegawai JKM datang ke rumah Mama kamu. Kami nampak Mama kamu tengah belasah kamu. Mama kau sekarang ditahan polis sebab mencederakan kamu. Nanti polis akan datang ambik keterangan dari kamu. Nasiblah kami datang tepat pada masanya.”

Aku mengeluh panjang. “Tepat kata Papa?” balasku perlahan. “Jadi waktu yang tepat untuk selamatkan aku adalah masa aku di ambang kematian? Patutnya Papa tak tinggalkan kami. Patutnya Papa selalu datang tanya khabar kami. Itu baru waktu yang tepat!” Aku mengerang kecil. “Aku nyaris mati! Ni ke waktu yang tepat?” Papa terdiam. Pipiku terasa panas. Ada yang mengalir di situ.

“Aku tak nak bagi keterangan. Aku tak nak mama masuk penjara. Kalau dia masuk penjara, aku nak tinggal dengan siapa? Aku tak nak tinggal dengan Papa! Aku nak Mama!”

“Okay..okay.. Kamu belum sembuh, sayang. Jangan marah-marah dulu, ya? Tak baik. Sekarang kamu rehat. Nanti aku akan minta bantuan polis untuk bawak Mama datang sini jumpa kamu. Tapi janji kamu kena bagi pengajaran jugak dekat dia. Supaya dia sedar dan tak akan buat benda yang sama lagi.”

“Aku nak Mama dibawak ke hospital mental. Dia perlukan rawatan psikologi. Tolong jangan hantar Mama ke penjara! Tolonglah! Atau Papa nak aku cabut benda ni?” ugutku sambil memegang saluran di belakang tanganku.

Papa menahan tanganku. “Okay! Okay. Papa ikut kemahuan kamu.”

Tanganku melepaskan saluran yang kupegang. “Terima kasih,” balasku.

“Kamu ni memang sama dengan Manda. Suka mengugut. Suka buat perjanjian,” keluh Papa.

Aku tersenyum nipis.

“Sekarang rehatlah. Nanti ada nurse datang tengokkan kamu. Papa nak ke makmal. Nak tengok result x-ray kamu.” Dia membetulkan selimutku sebelum mencium dahiku. “Selamat malam.” Jadi sekarang sudah malam?

jjjjj

[Sam]

Aku tidak dibenarkan masuk. Kata mereka, pesakit bernama Zee Rasyid baru sahaja melepasi masa kritikalnya dan kini stabil. Tetapi dia masih belum boleh dilawati.

Aku memilih untuk menunggu agak jauh dari bilik yang ditempati Zee. Duduk di kerusi panjang dan berpeluk tubuh. Sialnya aku lupa membawa jaketku. Dan perutku sangat lapar.

Entah berapa lama aku duduk - atau mungkin tidur - di situ. Aku dikejutkan oleh seseorang yang menepuk bahuku perlahan-lahan. “Sam?” panggilnya. Orang itu memakai baju seragam polis.

Aku meggosok-gosok mata, cuba melihat siapa yang memanggil namaku. “Eh, Ibi!” Aku membetulkan dudukku. “Aku baru lepas lawat Zee. Kenapa kau tak masuk?” “Dah boleh masuk ke?” aku cepat-cepat berdiri.

Ibi mengerutkan kening. “Kau tidur kat sini ke semalam? Tak ikut ujian fizikal ke pagi ni?”

Aku menandang keadaan sekeliling. “Dah subuh ke?” soalku.

“Pukul lima setengah. Gelap lagi.” Dia menepuk bahuku. “Masuk sekejap jumpa Zee kemudian pergi ambik ujian. Tak payah mandi. Jangan sam---”

Aku tidak peduli apa yang dikatakan Ibi seterusnya. Aku berlari ke bilik Zee. Saat tiba di depan pintunya, aku berhenti mendadak. Aku memejamkan mata seketika dan menarik nafas panjang.

Kemudian aku membuka mataku dan menolak pintu bilik itu.

Aku melihatnya terbaring di atas katil. Matanya terpejam, dia sedang berbaring terlentang. Kepalanya berbalut. Aku cuma melihat kepalanya kerana bahagian lain tubuhnya ditutupi selimut. Aku menghampiri katilnya dan duduk di bangku bulat di tepi katilnya. “Zee.. ini aku.”

Matanya perlahan-lahan terbuka. Dia memandangku sebelum menyepetkan matanya. “Sam? Itu kau ke?”

Aku menyahut. “Ya, ni aku. Kau okay, kan?”

Dia tersenyum nipis. “Sekarang sudah. Terima kasih sebab dah tolong mempertemukan aku dan Papa. Abang Ibi yang cerita dengan aku. Tak kiralah apa yang kau dah buat, semuanya jadi buruk dan lepas tu semuanya dah pulih.”

Aku kebingungan. “Jadi sebenarnya benda yang aku buat tu betul ke tak?”

Zee tersenyum, kali ini lebih lebar. “Kau ini tak berubah dari dulu. Kau tak pergi ujian ke?”

Sebelum sempat aku menjawabnya, pintu bilik Zee terbuka.

“Woi! Kau nak jadi polis ke tak?”

Siapa lagi kalau bukan Vini. Cuma dia yang sanggup melakukan perkara itu di hospital dan di depan orang yang sedang sakit. Mungkin sebenarnya dia juga ‘sakit’.

“Eh Vin? Kau buat apa kat sini?”

Vini membawa beg di belakangnya. Dia melangkah menghampiriku dengan wajah garang. “Jawab! Kau masih nak jadi polis ke tak? Sekarang jam berapa? Belum mandi, belum makan! Semalam kau tidur kat mana?”

“Vin, aku…”

“Diam!”

Mengerikan.

Vini menanggalkan beg yang disandangnya. Rupa-rupanya itu beg milikku. Vini menghulurkannya padaku. “Di dalam ada telur separuh masak campur madu. Ada bekal roti coklat yang kakak kau buatkan. Dia risau sebab kau tak balik-balik malam tadi. Ada baju dengan seluar pendek putih yang kakak kau belikan untuk kau ambik ujian. Baju ni emak kau yang gosok.” Dia memukul bahuku kuat. “Tak sedar diri! Tak pandai berterima kasih!” Aku terdiam.

“Dah! Pergi sekarang!” tempiknya lagi

Dadaku sesak memandang beg itu. Kakak dan emak sudah menyiapkan keperluanku.

“Aku tahu kau risaukan Zee. Kau jangan risau, ada orang jaga dia dekat sini. Kau tak perlu temankan dia sampai terlepas ujian tu. Ujian tu lebih penting sekarang. Kau faham ke tak?” sungut Vini. “Dah nak pukul enam la! Ujian tu start pukul tujuh!” ujarnya geram. “Kau nak terus miskin sampai bila-bila ke? Nasib kau ditentukan hari ni! Nak pergi ke tak?”

“Vini… Sam…” lembut suara Zee memotong kata-kata Vini. Kami sama-sama memandang ke arahnya. “Jangan bertengkar, please?” Dia kemudian memandangku. “Betul cakap Vini tu Sam. Kau kena ambik ujian ni. Aku okay je kat sini. Tak payah risau. Kalau kau tak ambik ujian tu nanti aku rasa bersalah pulak. Pergi je lah. Aku tunggu khabar kau dekat sini.”

Vini menyela. “Tak kira apa yang terjadi, kau kena ambik ujian tu.

Aku dah janji dengan emak dan kakak kau. Dan kau kena ingat aku ni dah berusaha datang ke sini pagi-pagi buta. Aku belum mandi, tau tak? Dah la ada polis handsome tadi yang tunjukkan tempat bilik Zee. Jatuh saham aku!”

Kemudian Zee menyambung. “Dan jangan lupa budi Cikgu Gio yang dah bersusah payah melatih kau. Jangan kecewakan orang yang dah sokong kau selama ni.”

Aku terpegun. Nasihat dari dua gadis aneh di hadapanku memang benar. Semangatku membara lagi. Perlahan-lahan aku mengangguk. “Baiklah. Aku pergi sekarang. Zee, nanti lepas ujian tu aku datang balik ye??”

Zee mengangguk. “Aku tunggu.”

Aku menarik tangan Vini dan menggoncangnya kuat-kuat. “Terima kasih. Terima kasih. Cakap dekat emak dan Ghisa yang aku pergi ambik ujian tu sekarang. Aku gerak dulu. Tolong tengok-tengokkan Zee.”

“Siap kau kalau tak lulus!” ancamnya.

Aku tidak membalas kata-kata Vini atau menoleh ke arah Zee lagi. Ini saatnya aku berfikir tentang diriku sendiri. Aku mengerah tenaga sekuatnya berlari keluar dari hospital. Aku harus ikut ujian fizikal itu. Impianku cuma tinggal selangkah di hadapan, aku tidak boleh mengalah. Dan Zee juga baik-baik saja. Tak ada yang perlu dirisaukan lagi.

jjjjj

[Zee]

Selepas dibenarkan pulang, aku dibawa Papa ke rumahnya. Aku tidur di bilik Abang Ibi - dia sendiri tidur di sofa. Rumah Papa benar-benar di luar jangkaanku. Saiznya hanya satu perempat dari rumah Mama. Cuma ada dua bilik tidur. Satu milik Papa dan isterinya, satu lagi yang kutempati sekarang.

Pagi ini aku terbangun kerana mendengar bunyi ketukan di pintu bilik. Aku bangun dari katil perlahan-lahan dan berjalan ke pintu sebelum aku membukanya.

“Selamat pagi, Zee. Jom sarapan?”

“Nak mandi dulu.”

“Tak payahlah. Papa dengan Makcik Olla nak pergi kerja. Kita sarapan sama-sama dulu ya? Abang Ibi pun ada.”

“Sekejap,” kataku lalu menutup pintu. Aku melihat bayangan diriku di depan cermin. Rambutku kusikat perlahan dengan jari. Aku tak boleh menggunakan sikat kerana sebahagian rambutku dipotong semasa rawatan menyebabkan sebahagian kulit kepalaku terdedah. Dan luka itu tidak boleh tersentuh apa-apa kerana masih sakit.

Aku membuang tahi mata dan membasahkan bibirku. Kemudian aku menarik nafas panjang dan mencuba untuk senyum. Ya, apa pun yang terjadi semalam, hari ini dan masa akan datang, aku harus senyum. Hidup ini mesti diteruskan.

Kemudian aku keluar dari bilik, menuju ke dapur.

Di ruang yang sempit itu ada sebuah meja makan kecil di tengahtengahnya, dikelilingi empat kerusi. Aku menarik kerusi di sebelah Abang Ibi dan duduk.

“Selamat pagi Zee,” sapa Makcik Olla, isteri Papa.

Aku mengangguk. Tetapi entah kenapa sukar rasanya untuk aku lebih mesra dengannya. Dia tidak secantik Mama. Badannya kurus dan tubuhnya hampir sama tinggi denganku sahaja. Rambut panjangnya terikat rapi dengan mekap tipis di wajah. Dia memakai pendakap gigi dan tidak memakai anting-anting. Di dada bajunya tercatat nama sebuah penerbitan media cetak.

“Selesa tak tidur semalam?” soal Abang Ibi di sebelahku. “Nasib baik Mama ada tukar cadar. Aku malas kemas bilik, kadangkadang dua tiga bulan sekali baru tukar cadar,” ujarnya sambil tersengih.

Aku tersenyum. “Selesa je. Terima kasih, bang.”

Papa menghulurkan semangkuk bubur kepadaku. “Makanlah. Kamu kena makan banyak,” katanya. Dia sendiri sedang makan soto. Nampak macam lagi sedap.

Tetapi aku tetap makan tanpa banyak soal. Aku menyuapkan sesudu bubur ke mulut. Selepas menelannya, aku bertanya pada Papa. “Bila aku boleh keluar?”

“Kamu nak ke mana? Rumah Vini?”

Aku menggeleng. “Rumah Mama,” sahutku.

Papa menghela nafas berat. “Mama kamu kan dekat hospital sekarang. Nanti kalau dia dah keluar, baru kamu balik sana, ye? Tinggal kat sini je sementara.”

Aku mengambil gelas berisi air suam dan meneguknya. Kemudian aku bersuara lagi. “Aku nak balik rumah, Pa. Aku nak tinggal dekat rumah Mama.”

Papa berhenti makan. Pandangannya terpaku di wajahku. “Kamu tak nak tinggal di sini?”

Aku menggeleng lagi. “Aku lagi suka tinggal di rumah sendiri.”

“Ini kan rumah kamu jugak.”

“Ini rumah Papa bukan rumah aku.”

Sebelum sempat Papa membalas, Makcik Olla memotong. “Sudahlah. Jangan paksa dia. Dia kan sudah besar. Jangan kongkong sangat. Bagi dia peluang buat keputusan sendiri.”

Abang Ibi menyentuh lenganku. “Kamu ikut ujian kemasukan ke university tu kan?” soalnya.

Aku mengangguk. Segera topik perbualan kami berubah.

“Nak ingatkan je. Lagi tiga hari kan?”

Aku mengangguk. Baru aku ingat, ada sesuatu yang penting yang harus aku lakukan. “Nasib baik abang ingatkan.”

“Kamu nak abang hantar? Lusa abang cuti.”

“Ermm…” Aku berfikir sejenak. “Boleh aku pinjam skuter abang je? Nanti aku ajak kawan temankan aku. Kat rumah Mama ada kereta tapi aku takde lesen. Kalau motor adalah.”

“Kawan yang mana? Sam?”

Aku menggeleng. “Vini. Dia perempuan paling garang yang pernah aku jumpa.”

“Dia boleh jaga kau, kan?”

“Jangan pandang rendah dengan Vini. Hantu pun takut dengan dia,” ujarku sambil tertawa kecil.”Nanti aku kenalkan abang dengan dia. Dia tu garang tapi baik. Pandai pulak tu.”

Abang Ibi mengangguk. “Baiklah.” Dia menoleh ke arah Papa. “Aku pinjamkan skuter aku dengan Zee. Boleh, Pa?”

Papa mengeluh lagi. “Ikut kamulah,” jawabnya perlahan. Dia kemudian melirik jam tangannya. “Papa dah lambat. Jom Olla, kita pergi sekarang,” katanya. “Mana kot saya?”

“Dalam kereta,” sahut Makcik Olla. “Kami pergi dulu, ya?”

Papa menghampiriku dan mengucup keningku. “Rehat aje di rumah. Kalau nak balik ke rumah Mama kamu, tunggu sampai Papa balik. Nanti Papa hantar. Dan nanti Papa akan ambilkan ubat-ubat untukmu dari hospital, untuk kamu bawak ke sana. Jangan malas makan ubat.”

Aku mengangguk. “Hati-hati memandu, Pa.”

“Ibi, kamu pergi kerja jam berapa?” soal Makcik Olla.

“Tengah hari,” sahut Abang Ibi. “Selamat jalan Ma. Hati-hati masa bekerja. Ubat Mama jangan lupa, ya?” Dia mengucup pipi Makcik Olla. Kemudian Papa dan Makcik Olla beredar meninggalkan ruang itu.

Aku menyambung suapanku. Kemudian, pandanganku kembali kepada soto.

“Nak?” soal Abang Ibi, rupa-rupanya dia tahu apa yang aku perhatikan.

“Masih sakit. Mana boleh makan benda macam tu,” jawabku.

Abang Ibi tertawa. “Doktor dah takde,” katanya. Dia mengambil pinggan dan mengisinya dengan soto. Kemudian dia menolak mangkuk buburku ke tepi dan meletakkan pinggan di hadapanku. “Makan je lah. Jangan takut.”

Aku tertawa kecil dan mula makan. “Terima kasih, abang.”

Dia mengangguk. Kami terdiam seketika sebelum kemudiannya dia bersuara lagi.

“Keputusan kamu memang tepat. Jangan tinggalkan Mama kamu. Dia perlukan kamu untuk berubah, untuk teruskan hidup.”

Aku memandangnya, kurang percaya. “Abang sokong keputusan aku?”

Dia mengangguk. “Kalau abang jadi kamu, abang pun akan buat benda yang sama.”

“Hmm.. boleh aku tanya something? Kenapa abang suka Papa?”

“Oh… itu. Hmm.. sebab dia suami yang baik kepada Mama dan papa yang baik untuk abang. Jadi tak ada alasan untuk abang bencikan dia.”

Dia diam seketika sebelum meneruskan ayatnya. “Satu benda yang kau kena tahu. Mama abang tak rampas Papa dari Mama kau. Papa sendiri yang datang pada Mama abang. Dulu mereka kan pernah ada hubungan.”

“Tau,” jawabku. “Mereka pernah bercinta.”

“Abang masih ingat hari itu. Papa datang ke rumah. Abang mengintai dari dapur. Papa merayu dengan sepenuh hati. Dia masih sayangkan Mama walaupun selepas dia berkahwin. Dan aku terima saja siapa yang sayangkan Mama. Aku harap kau boleh belajar terima kehadiran dia.”

“Aku rasa aku takde alasan untuk benci Makcik Olla,” ujarku.

Abang Ibi tersenyum manis. “Lega abang dengar.” Dia menarik tanganku dan menggenggamnya. “Anggaplah abang ni abang kandung kau walaupun kita tak ada hubungan darah. Kalau ada apa-apa masalah, ceritakan dekat abang. Abang akan jaga kau. Abang tak benci pada adik tiri abang sendiri,” katanya. “Kamu adik abang.”

Aku tersenyum lebar. Seperti Sam dan Vini. Aku juga ingin ada seseorang yang melindungiku tanpa terikat perasaan cinta dengan orang yang berlainan jantina. Aku mengangguk setuju.

“Terima kasih, bang. Sebenarnya memang aku perlukan seorang saudara, tidak kiralah kandung ataupun tiri.”

Dia mencubit pipiku. “Akhirnya abang ada adik juga, katanya.” Aku tertawa gembira.