Jangan Baca Novel Ni - Chapter 19
?Bab 19 (29/4/2014)

Tapi keesokkan harinya, Haida menjadi takut dan keliru apabila setiap benda yang dia lihat berlaku di dalam mimpinya semalam benar-benar berlaku pada hari itu. Setiap perinciannya sama. Dari pusat membeli belah yang mereka pergi. Kedai-kedai yang mereka kunjungi. Sehinggalah kepada barang-barang yang mereka beli.

Sampaikan hadiah yang dipilih oleh suaminya untuk anak mereka juga sama seperti yang Haida lihat di dalam mimpinya semalam. Sedangkan Haida tidak pernah menceritakan pun tentang mimpinya kepada sesiapa termasuk suaminya.

Haida mulai cemas. Tapi dia menyembunyikan perasaannya. Dia tak mahu keluarganya bimbang. Justeru Haida cuma terus menjalani harinya seperti biasa.

Malam itu, Haida bermimpi lagi. Kali ini mimpi yang sangat panjang. Mimpi itu memaparkan hari Haida dari pagi sehinggalah ke malam. Pada waktu pagi, dia masuk ke bilik anak sulungnya dan mengucapkan selamat hari jadi. Kemudian dia dan suami melakukan semua persiapan untuk majlis yang akan berlangsung di waktu petang. Haida menyediakan makanan manakala suaminya pula menggantung perhiasan seperti belon dan banner yang tertulis 'HAPPY BIRTHDAY!!!'

Pada waktu petang, para hadirin yang terdiri dari rakan-rakan anaknya dan kenalan dia serta suaminya pun sampai. Mereka menyambut majlis hari jadi itu dengan meriah dan gembira. Apabila waktu malam, semua tetamu sudah pun pulang. Haida, suaminya dan keempat anak mereka duduk berehat-rehat di hadapan tv. Mereka semua terlalu penat hingga tertidur. Tiba-tiba Haida dapat melihat seseorang tiba-tiba memecah masuk ke dalam rumah mereka lalu membunuh keluarganya yang sedang tidur di atas sofa di hadapan tv.

Satu-persatu sehingga kesemuanya mati berlumuran darah. Haida menjerit dengan kuat. Dia terjaga dari tidur. Dia melihat jam di dinding. Sudahpun pukul enam setengah pagi. Memang sudah masa untuk bangun. Hari ini bakal hari yang panjang. Dia perlu mula melakukan persiapan untuk majlis hari jadi anaknya.

Setelah mandi. Haida pergi ke hadapan pintu bilik anaknya. Niatnya adalah untuk mengejutkan anaknya dan mengucapkan selamat hari jadi.

Tapi Haida hanya melengung di hadapan pintu tersebut. Entah kenapa dia ragu-ragu. Bagaimana kalau apa yang akan berlaku, sama dengan apa yang berlaku dalam mimpinya semalam? Haida membuang pemikiran itu jauh-jauh. Dia masuk ke dalam bilik anaknya. Anaknya sudahpun bangun namun masih duduk di atas katil. Haida sedikit terpempan apabila melihat anaknya. Anaknya sedang memakai baju tidur warna biru. Serupa macam di dalam mimpinya semalam. Haida mulai merasa tak sedap hati.

Sepanjang hari itu juga, satu persatu kejadian yang membuatkan Haida kecut perut berlaku. Setiap perkara yang berlaku dari yang besar-besar hinggalah ke yang kecil-kecil, sama seperti di dalam mimpinya. Haida resah dan gelisah. Jantungnya berdebar-debar. Hinggakan sepanjang majlis hari jadi anaknya pun, dia tak dapat hendak menumpukan perhatian. Dia terlalu takut untuk hari itu terus berjalan. Dia tak mahu semua orang balik dan meninggalkan dia dan keluarganya di rumah sahaja malam itu.

Haida takut apa yang sering dimimpikannya sejak sebulan yang lepas ini akan menjadi kenyataan. Dia terlalu-lalu takut.

Majlis sambutan hari jadi sudah selesai. Semua orang pun sudah pulang. Suami Haida dan anak-anaknya yang kepenatan duduk melepak di atas sofa sambil menonton tv. Haida pula hanya memerhatikan mereka. Dia tak mahu melepaskan pandangannya dari mereka walau sesaat pun. Haida memerhatikan suami dan keempat anak lelakinya tertidur satu-persatu kerana terlalu letih bergembira tadi. Sejurus itu, Haida merenung pada pintu depan rumahnya pula. Pada bila-bila masa saja, seseorang akan memecah masuk melalui pintu itu dan menikam keluarganya satu-persatu dengan sebilah pisau. Membunuh mereka di hadapan mata kepalanya sendiri. Orang-orang yang paling Haida sayangi dalam dunia ni. Haida tak dapat hendak membayangkan hidupnya tanpa mereka. Sebab suami dan anak-anaknya adalah nyawanya.

Haida terlalu takut untuk kehilangan mereka. Dia tak sanggup. Apa pun yang berlaku, dia tak akan membenarkan nyawa orang-orang kesayangannya jatuh di tangan seorang pembunuh kejam sepertimana yang dia sering lihat di dalam mimpinya.

Lalu Haida pun menuju ke dapur. Dia membuka laci. Lalu mengeluarkan sebilah pisau yang tajam. Haida membawa pisau itu ke ruang menonton tv dimana suami dan anak-anaknya sedang tidur tanpa sedar. Dia menarik nafas dalam-dalam. Kemudian tanpa teragak sedikitpun, Haida menikam keluarganya satu persatu dengan pisau itu. Dimulai dengan suaminya, anak sulungnya hinggalah kepada anaknya yang terakhir. Haida menikam mereka berkali-kali untuk memastikan mereka benar-benar mati. Sesudah selesai, Haida menarik nafas lega. Sekarang tak ada siapa boleh menyakiti keluarganya lagi. Haida duduk dikelilingi oleh mayat ahli keluarganya sambil tersenyum. Dia merasa tenang kini. Sebab ramalan di dalam mimpinya, tidak akan menjadi kenyataan kini.

- Habis -

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Munir akan mengalami pengalaman yang sama seperti Haida?