Jangan Baca Novel Ni - Chapter 25
?Bab 25 (7/5)

Zakiah cuma membuat andaian barangkali itu uniform kerja Suraya. Mungkin dia kerja di sebuah spa kecantikan ataupun restoran makanan tradisional melayu.

Tiba-tiba telefon rumah Zakiah berbunyi. Dia bangun dan berlari untuk mengangkatnya. Tapi tak ada siapa di hujung talian. Hanya bunyi berdesir. Zakiah meletakkan ganggang telefon dan kembali semula ke meja menjahitnya.

Tanggggg!!!

Semangat Zakiah melompat keluar dari jasadnya. Dia mengurut dada beberapa kali.

Setelah boleh bernafas semula, Zakiah pun bangun untuk melihat apa yang terjatuh di dapur. Barangkali kuali besarnya yang tergantung di tepi tingkap. Tapi apabila masuk ke dapur, segalanya sunyi sepi dan sempurna. Tak berusik sedikitpun. Tak ada satu benda pun yang jatuh. Zakiah mula rasa tak sedap. Tiba-tiba tengkuknya meremang.

Baru saja Zakiah hendak meninggalkan dapur, dia terdengar bunyi sesuatu mengetuk pada tingkap belakang dapurnya yang bertutup langsir. Lagi sekali Zakiah kecut perut. Bunyinya bukan macam pekerjaan binatang. Memang hanya manusia yang boleh menghasilkan bunyi ketukan semacam tu.

"Siapa pulak yang mengetuk tingkap dapur aku malam-malam ni?"

Zakiah mengumpulkan kekuatan untuk menghampiri tingkap tersebut. Zakiah tidak berkata apa-apa pun. Mahupun untuk bertanyakan siapa yang sedang mengetuk itu kerana Zakiah tahu memang tak mungkin ada orang di sebalik tingkap itu. Belakang rumahnya dipagari tembok besar dan di sebalik tembok itu pula adalah hutan tebal.

Tak ada rumah lain dan tak ada sesiapa yang mungkin lalu di situ.

Zakiah menarik nafas dalam-dalam. Bunyi ketukan pada tingkap semakin lama semakin kuat. Ketukan yang tadinya perlahan dan tenang kini berubah menjadi cepat dan ganas. Seolah-olah ketukan seseorang yang dalam kecemasan. Seakan-akan seseorang yang memerlukan pertolongan. Yang ingin masuk ke dalam rumah kerana diganggu sesuatu.

Tubuh Zakiah menggigil. Tangannya tergetar-getar. Hanya Tuhan yang tahu betapa takutnya dia. Zakiah menggenggam kain langsir. Dengan sekali nafas dia menarik langsir itu sehingga terselak luas.

"Toloooonnnngggg!!!!"

"Ya Allah!" luah Zakiah sebaik nampak seorang gadis berlumuran darah sedang menjerit meminta tolong sambil memukul cermin tingkap dapurnya.

Zakiah cepat-cepat berlari ke pintu dapur. Dia membukanya untuk keluar dan membantu gadis yang cedera dan memerlukan pertolongan itu. Namun sebaik Zakiah keluar... tak ada sesiapa di situ.

Zakiah masuk semula. Mengunci pintu dapurnya rapat-rapat. Dia mengucap panjang. Lututnya terasa lembik lalu Zakiah duduk sebentar di situ. Dia termenung. Tak tahu apa yang nak difikirkan.

Masih terbayang wajah gadis itu yang berlumuran darah. Zakiah cuba juga untuk mengingati wajah gadis itu tapi tak berjaya kerana wajah gadis itu tertutup dengan juraian rambutnya yang panjang.

Telefon Zakiah berbunyi lagi. Kali ini telefon bimbitnya. Zakiah cepat-cepat bangun untuk menjawabnya. Zakiah tersenyum apabila melihat di skrin telefonnya tertera nama Azwa sebagai pemanggil.

"Assalamualaikum Azwa. Dah berhari-hari mak cik cuba telefon tapi tak dapat. Nak bagitau baju Azwa tak siap lagi. Tapi mak cik akan cuba siapkan dalam minggu ni jugak ya..."

.... sunyi sepi.

"Hello? Azwa... Azwa...?" Zakiah memanggil beberapa kali. Tapi Azwa tetap diam.

Kemudian talian terputus. Zakiah menelefon Azwa semula. Namun tak berjawab.

Hari Sembilan

Zakiah sedang menyidai pakaian di luar memandangkan tengah hari itu panas elok. Tidak mendung seperti kebelakangan ini. Tiba-tiba dia disapa oleh seorang lelaki yang berdiri di hadapan pagar rumahnya.

"Assalamualaikum mak cik..."

"Waalaikumsalam..."

"Nama saya Sahar. Saya tengah cari adik perempuan saya, Suraya. Ni gambar dia. Dah lebih seminggu dia hilang. Manalah tau mak cik pernah nampak dia lalu di sini ke? Kami duduk di kawasan perumahan sebelah sana tu."

Zakiah mengambil gambar yang disuakan oleh lelaki tersebut.

"Kawan Azwa...?" luah Zakiah dalam terkejut.

"Mak cik pernah nampak dia? Nama dia Suraya..." ujar lelaki itu dengan sinar harapan yang terpancar di matanya.

"Iya.... Tiap-tiap petang dia datang rumah mak cik. Katanya dia kawan kepada seorang budak perempuan yang duk tempah baju dekat mak cik."

"Betul ke mak cik? Macam mana keadaan dia?"

"Mak cik tengok elok saja..."

"Alhamdulillah.... Mak cik, boleh tak mak cik bagi saya nombor telefon kawan Suraya tu? Mungkin Suraya duduk di rumah dia tanpa pengetahuan kami. Saya nak cuba cari dia di sana."

Zakiah pun memberikan nombor telefon Azwa kepada lelaki tersebut.

"Dan lagi satu, kalau Suraya datang ke rumah mak cik lagi nanti, mak cik tolong beritahu dia yang kami sekeluarga risaukan dia. Kalau boleh, mak cik hubungi saya sekali," pinta lelaki itu.

Zakiah cuma mengangguk.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Suraya akan datang lagi ke rumah Zakiah?