Jangan Baca Novel Ni - Chapter 35
?Bab 35 (21/5)

"Kejadian apa ni mak?"

"Anom tau kan dalam masa beberapa bulan ni, ramai orang dalam kampung kita yang mati secara mengejut. Tak ada sebab pulak tu. Semua pulak mati dalam keadaan yang sama. Dengan mulut ternganga dan mata terbeliak. Macam... dia orang nampak sesuatu yang terlalu menakutkan sebelum dia orang mati..."

Anom mengangguk. Dia memang ada mendengar berita-berita itu.

"Habis tu apa kena-mengenanya sampai nak panggil bayi dalam kandungan Anom ni anak hantu pulak?" kata Anom sambil mengusap lembut perutnya. Barangkali ingin menenangkan bayinya yang sedang resah dan asyik menendang.

"Mungkin Anom tak perasan, tapi secara kebetulan semua orang yang mati tu, ada kena-mengena dengan Anom."

"Kena mengena macam mana?"

"Mak pun tak tau.... Ini cuma apa yang orang kampung dakwa. Anom tak payah taulah..."

"Mak.... Cerita sajalah..." tekan Anom. Menjadikan Mariah serba salah.

"Macam ni.... Semua orang yang mati secara mengejut tu, pada hari sebelumnya, mesti ada cakap benda yang tak elok pasal Anom."

"Mak... kalau nak ikutkan macam tu, semua orang dalam kampung ni dah mati dah. Sebab semuanya mengutuk Anom dekat belakang."

"Itulah bezanya. Dia orang mengutuk Anom dekat belakang. Tapi yang mati tu, semua yang mengutuk Anom depan-depan. Pada Anom sendiri. Anom ingat tak Salina? Masa tu Anom berselisih dengan dia masa nak ke kedai. Dia panggil Anom perempuan sundal. Hanya beberapa jam lepas tu, orang kampung jumpa dia dekat dalam hutan. Dah mati dengan mata terbeliak."

Hati Anom jadi kecut. Dia ingat akan kejadian itu. Salina yang mengutuknya secara berdepan. Kemudian mati secara tiba-tiba. Tapi Anom tak pernah mengaitkan kedua-dua kejadian itu sebelum ini.

"Lepas tu, Anom ingat tak beberapa bulan lepas, bila si Ajoi tu menyakat Anom. Dia ajak Anom kahwin dengan dia sebab dia kata dah tak ada lelaki yang nak dekat Anom sebab Anom dah rosak. Dia pun secara tiba-tiba, malam tu jugak mati terlentang dekat dalam rumah dia sendiri. Seorang diri dengan mulut ternganga dan mata terbeliak."

Anom cuba menarik nafas. Terasa begitu berat. Macam ada sesuatu sedang mencengkam ulu hatinya. Lepas tu Anom cuba pula untuk mengingati kejadian-kejadian lain yang melibatkan orang kampung mencaci dirinya dan bayinya secara berdepan. Memang benar, semuanya selepas itu mati secara mengejut. Dalam keadaan yang sama. Enam orang kesemuanya.

"Sudahlah Anom.... Tak payah Anom fikir lagi. Semua kebetulan saja tu. Tapi Anom tau sajalah orang kampung kita ni. Suka fikir yang bukan-bukan. Itu semua karut. Takkanlah bayi dalam kandungan Anom tu ada kena-mengena pulak dengan kematian dia orang semua tu. Padahal ajal maut kan di tangan Tuhan. Dah jangan fikir dah. Sekarang ni pergi ambil wudhuk lepas tu sembahyang Isya'. Mintak doa banyak-banyak pada Allah agar dijauhkan dari sebarang perkara tak elok." Begitulah nasihat Mariah pada anak gadisnya yang malang.

Bagi Anom pula, memang itu sajalah yang mampu dia lakukan pun. Berdoa. Selebihnya, adalah ketentuan dari Ilahi. Yang kadangkala, manusia sendiri tidak dapat mengerti. Tapi sebagai hamba, kita tidak perlu mengerti. Hanya perlu meyakini bahawa setiap kejadian Allah itu, ada sebab di sebaliknya.

Ya Allah Ya Tuhanku,

Tuhan sekalian alam,

Yang menciptakan perkara-perkara nampak juga tidak,

Yang mengurniakanku kehidupan,

Dan yang bakal mengambilku kembali nanti,

Aku bermohon pada-Mu Ya Allah,

Hapuskanlah segala dosa-dosa silamku,

Dan lakarkanlah perkara-perkara yang baik di masa mukaku,

Dekatkan aku dengan kebaikkan,

Hindari aku dari kemungkaran,

Berikanku kehidupan yang sejahtera,

Jauhkanku dari malapetaka,

Dan segala benda yang jahat sifatnya...

Aduh...

Anom meraba perutnya. Kemudian dia merasa bahagian bawah kain telekungnya. Basah. Anom menjerit memanggil Mariah. Namun Mariah tak ada di rumah. Anom baru teringat bahawa ibunya pergi ke rumah Mak Dom untuk mengurut.

Di dalam kesakitan yang teramat, Anom mengesot ke arah pintu depan rumah. Dia menggagahkan dirinya untuk bangun. Rumah Mak Dom tidak begitu jauh dari rumahnya. Anom kira dia tiada pilihan melainkan untuk ke sana saja. Lalu dalam susah payahnya. Masih di dalam telekung putihnya yang mengerbang ditiup angin malam yang kencang tiba-tiba. Anom terenjut-enjut berjalan ke rumah Mak Dom sambil menampung perutnya yang begitu sakit kerana bayi yang meronta-ronta, sedia untuk keluar melihat dunia yang gelap.

Sampai saja di rumah Mak Dom, Mariah dan Mak Dom yang terkejut besar terus memapah Anom masuk. Lalu Anom terus dibaringkan di tengah-tengah rumah sementara Mak Dom bersiap-sedia untuk menyambut bayi dalam kandungan yang sudah begitu hampir untuk keluar itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Berjayakah Anom melahirkan bayinya itu?