INSECURE - 6
[Zee]

Loceng menandakan waktu rehat sudah berbunyi lima minit yang lalu. Semua orang sudah keluar dari kelas. Cuma ada Vini yang sedang menulis di mejanya di barisan paling hadapan. Dan aku di barisan tengah sedang makan. Aku membawa bekal dari rumah. Bekal yang disiapkan mama.

Baru sahaja aku mahu menyuapkan nasi goreng ke mulut, pintu kelas yang tadinya tertutup terbuka dengan dentuman yang agak kuat. Aku terkejut, sehingga sudu terlepas dari tangan dan butirbutir nasi goreng bertaburan di atas mejaku.

Sam berdiri di depan pintu, merenungku tajam. Dia kemudian berjalan mendekatiku sambil bercekak pinggang. Jika renungan matanya itu diibaratkan seperti pedang, mungkin kepalaku sudah putus.

“Apa?” soalku kebingungan.

“Apa masalah kau dengan Cikgu Imari?” soalnya agak kasar.

“Masalah apa? Aku tak faham,” jawabku.

“Kenapa Cikgu Imari tak nak ambik kisah pasal kau lagi?” suara Sam mula meninggi. “Sampai dia tak peduli pun cerita aku pasal kau diseksa Mama kau sendiri?”

“Heh! Siapa yang menyeksa aku?” jeritku. Seluruh tubuhku menggigil menahan marah. Aku berdiri dan merenung matanya. “Tak perlulah buat-buat sibuk hal aku. Jangan masuk campur!”

“Aku cuma nak tolong kau.”

“Tak perlu!” Rahangku kuketap. “Aku tak pernah mintak bantuan kau! Hari tu aku accident! Bukan diseksa! Jangan pandai-pandai buat cerita!” ujarku separuh menjerit.

“Eh, apa masalah korang ni?” sampuk Vini tiba-tiba.

“DIAM!!!”

Sam mengangkat tangannya dan menuding jari ke wajahku. “Aku ini memang bodoh, Zee. Tapi aku sendiri nampak dengan mata kepala aku sendiri. Badan kau luka-luka. Mama kau tolak kau sampai jatuh tersungkur depan pintu. Dia pegang gunting macam nak bunuh kau. Rambut kau macam kena gunting sesuka hati. Aku memang bodoh, tapi mata aku, otak aku semua masih normal. Aku tau apa yang aku nampak!”

“DIAM!” jeritku. “Boleh diam tak?”

“Tak boleh!” balas Sam. “Mesti kau pernah cakap sesuatu dekat Cikgu Imari sampai dia tak nak ambik peduli pasal kau lagi. Sekarang baik kau mintak maaf dekat dia! Lepas tu mungkin dia akan tolong kau keluar dari masalah kau ni!”

“Kau siapa nak arah-arah aku, hah?”

“Aku…” Sam terdiam. Dia merenungku lama. Kemudian dia mengeluh berat. “Okay, betul apa kau cakap. Aku memang bukan siapa-siapa untuk kau. Sepatutnya aku tak masuk campur urusan kau. Aku ni cuma orang bodoh, miskin, tak tau apa-apa.”

“Sam, aku..”

Sam mengangkat tangannya. “Cukup! Tak payah cakap apa-apa lagi” Dia menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan sekeping kertas berlipat. “Ni slip exam kau,” katanya. “Dan mulai esok, aku tak akan susahkan kau lagi. Kau boleh duduk sorang-sorang kat sini macam masa kau mula-mula masuk kelas ni dulu.” Aku terdiam.

“Aku pantang sangat kalau tau orang yang aku sayang, orang yang aku ambik berat pasal dia, kena pukul, kena caci atau diapaapakan. Kau mesti pernah dengar kisah aku belasah Theo sampai kaki dia tempang, kan?” Nafas Sam makin kencang. “Kau mesti pernah dengar cerita aku tumbuk PK HEM sebab dia kata emak aku tak pandai didik anak. Aku berani pukul ayah aku sendiri kalau dia pukul emak dan kakakku.” Sam mengeluh. “Aku peduli, aku masuk campur, semuanyan sebab aku sayang. Aku cuba nak protect kau pun sebab alasan yang sama. Aku ingat kau ni lain dari yang lain. Tapi rupanya kau sama je dengan orang lain. Anggap aku budak nakal yang tak guna.” “Sam…aku…” Air mataku menitis.

“Tak payah menangis depan aku. Aku paling benci orang nangis. Tiap-tiap hari aku tengok orang yang mata bengkak sebab menangis. Aku muak tengok orang menangis. Tak perlu buang air mata kau depan aku. Aku tak berminat!”

Selepas menuturkan itu, Sam berpaling dan terus meninggalkanku. Selepas keluar, dia menghempas pintu kelas. Aku terhenyak di kerusiku sambil menahan tangis. Air mataku bercucuran. Seharusnya aku mengejar Sam dan meminta maaf darinya tetapi aku tak mampu melakukannya.

Vini datang dan duduk di sebelahku. Dia mendepangkan lengan, dan spontan aku memeluknya. Aku menangis di bahu Vini. Vini tidak berkata apa-apa, hanya mengusap belakang tubuhku sehingga akhirnya aku berhenti menangis sendiri.

“Jangan ambik hati dengan kata-kata Sam tu,” ujar Vini perlahan. “Dia tengah emosi. Dia pun tengah ada masalah dengan ayahnya.”

Aku yang sedang mengesat hidungku dengan tisu terhenti. Pandanganku terangkat. “Maksud kau?”

“Keluarga Sam tu bermasalah jugak. Ayah dia selalu pukul emak dengan kakaknya. Dulu masa Sam kecik-kecik, dia selalu dipukul jugak. Aku selalu sorokkan dia dalam rumah aku time ayah dia mengamuk. Tapi kebelakangan ni, dia dah makin berani lawan ayah dia. Dia nak protect emak dengan kakaknya.” Aku terdiam.

“Jadi tak hairanlah kalau dia marah bila tahu kau dipukul orang walaupun orang tu orang yang kau sayang. Kau kan baik dengan dia, jadi mungkin dia rasa kau penting untuk dia.” Aku masih diam.

Kemudian Vini memandangku, pandangan penuh ingin tahu. “Betul ke mama kau selalu pukul kau?” soalnya. “Kau boleh jujur dengan aku. Aku tak akan masuk campur. Aku cuma nak tau perkara sebenar je.”

Perlahan-lahan aku mengangguk. “Apa yang Sam cakap dan fikir tu betul. Tapi aku tak boleh laporkan apa yang dia buat. Aku sayang dia, Vin. Cuma dia je yang aku ada. Dia yang jaga dan bagi kasih sayang dengan aku selama ni. Aku tak ada siapa-siapa selain dia.”

Vini mengangguk-angguk. “Kau dengan emak Sam memang ada persamaan. Dua-dua diseksa oleh orang yang paling kamu berdua sayang, tapi masih tak menyalahkan orang tu.” Vini mengelus lenganku. “Memang betul apa orang cakap, kalau kita sayangkan seseorang, kita jadi buta. Kalau kau sayangkan seseorang dan sanggup terima seksaan tu semua, maknanya kau memang betulbetul sayangkan dia. Kau tak sanggup lapor perbuatan Mama kau bukan sebab kau kenang budi baik dia besarkan kau, tapi sebab kau memang betul-betul sayang dia.”

Aku mengeluh berat. Kata-kata Vini memang ada benarnya.

“Maafkan Sam, ya Zee? Nanti aku akan cakap dengan dia.” Aku mengangguk. “Tolong aku, Vin,” pintaku.

jjjjj

[Sam]

“Bangun perlahan-lahan. Tahan perut tu. Angkat bahagian belakang,” Cikgu Gio memberi arahan sambil menahan kedua kakiku. “Teruskan. Kamu agak lambat.”

“Uggghh…” erangku sambil terus mencuba gerakan sit up yang betul.

“Gerakan bertumpu pada otot perut, Sam. Cuba lagi. Dagu kena sentuh tulang dada.”

“Uggghhh….”

“Kalau penat, rehat dulu,” cadang Cikgu Gio.

Aku terbaring kembali tanpa bantahan. Nafasku pendek-pendek. Peluh membanjiri tubuhku. Aku terlentang pasrah menghadap langit. Kakiku sudah dilepaskan Cikgu Gio. “Lepas ini latihan berlari ke cikgu?”

“Esok je lah,” ujar Cikgu Gio yang sudah duduk di sebelahku. “Jangan paksa diri. Masih ada masa untuk kamu berlatih.”

“Mana ada masa, cikgu,” ujarku. “Dari hujung minggu ni sampai habis SPM saya sibuk. Lepas itu cuma ada seminggu je lagi. Borang tu pun saya belum isi.”

“Ye tak ye kan?”

“Kalau cikgu penat, kita berhenti sekarang je lah,” kataku lagi.

“Hmm.. saya memang penat sebenarnya. Esok kita sambung, ya?” Dia membersihkan daun-daun yang melekat di tangan dan kakinya. “Saya kena balik sekarang. Dah lepas waktu Maghrib. Kamu pun kena balik.”

“Terima kasih untuk hari ni, cikgu. Cikgu baliklah dulu. Saya nak rehat kat sini kejap.”

“Okay. Oh ya, Zee Rasyid setuju untuk tolong kamu belajar?”

Aku terdiam. Apa yang harus aku katakan? “Ya.. ya.. dia nak tolong,” sahutku kemudiannya. “Yang itu jangan risau, cikgu. Lagi pun sekarang dia sibuk dengan SPM kan. Jadi saya tak nak lah ganggu dia dulu.”

“Baguslah. Saya balik dulu ya?” Cikgu Gio melambaikan tangan dan terus berlalu.

Aku menghabiskan masaku dengan memandang langit yang hampir tertutup permaidani hitam. Angin yang agak kuat membuat kelopak mataku terasa semakin berat. Akhirnya aku menyerah pada kehendak alam. Tetapi… entah kenapa beberapa minit kemudian, aku merasa ada yang sedang duduk di sebelahku. Aku gelisah. Bulu romaku meremang. Kerana sekarang waktu malam dan biasanya waktu ini sekolah sudah kosong. Perlahanlahan aku membuka mataku.

“Vini?” Spontan aku duduk dan menggosok-gosok mataku. “Kau ke tu?”

Vini berdengus. “Kau ingat siapa yang sanggup susah payah datang sini carik kau?” soalnya kembali. Dia sedang membaca sebuah buku.

“Dah lama kau sampai?”

“Dua puluh minit. Kau tidur.”

“Aku tertidur ke tadi?” soalku. Aku ingat aku cuma memejamkan mata untuk beberapa saat sahaja tadi.

“Tahap tidur itu ada empat, Sam. Mungkin tidur kau masih di tahap awal, belum sampai tahap Rapid Eye Movement. Dijelaskan panjang-panjang pun bukannya kau faham, jadi…”

Aku melihat buku di tangan Vini. The Great Gatsby oleh F. Scott Fiztgerald. Aku menggeleng. “Buku-buku yang kau baca ni semuanya aku tak faham,” kataku.

“Tadi kau berlatih dengan Cikgu Gio ke? Tadi masa aku datang, aku berselisih dengan dia depan gate. Kau mesti belum makan, kan?”

Tanpa menunggu jawapanku, Vini mengambil beg yang dibawanya dan mengeluarkan sebuah bekas kecil. “Apam balik cheese coklat kesukaan kau. Ini bukan lebih dari jualan. Baru buat sebelum aku datang tadi.”

Aku terdiam melihat bekas di tangan Vini. “Aku punya?”

Vini meletakkannya di pangkuanku. “Sorry sebab letak dalam bekas plastik je bukan kotak kertas macam yang selalu. Rugi banyak nanti. Dah! Cepat makan!”

Aku ketawa besar. “Kau ni masih tak berubah, kan? Masih kedekut!” ejekku sambil membuka bekas plastik itu. Sepotong apam balik dikunyah.

“Emak dan kakak kau pun risau, kau belum balik-balik. Aku tau kau tengah latihan intensif dengan Cikgu Gio jadi aku kata nanti aku pergi carik kau. Lagi pun kan kita belum cerita tentang kau nak masuk pemilihan polis tu.”

“Nanti lepas aku daftar online baru aku cakap,” ujarku. “Sekarang fokus dengan SPM dulu.” Aku menepuk dada. Tekak terasa kesat. “Ada air?”

Vini mengeluarkan sebotol air dari begnya. Aku mengambilnya dan meneguknya.

“Esok tarikh tutup hantar borang permohonan kemasukan ke universiti. Aku tak tahu nak pilih jurusan apa. Aku risau,” ujar Vini padaku.

“Senang. Pilih apa yang kau suka.”

“Kan aku dah kata, apa yang aku suka tak akan dapat menyenangkan keluarga aku nanti. Aku dah penat hidup miskin, Sam. Sumpah, aku penat.” Aku terdiam.

Vini mengeluh berat. “Aku nak buat apa? Aku nak bahagiakan mak ayah tapi kalau aku sendiri tak bahagia, macam mana?” “Kalau mak ayah kau bahagia, mesti kau pun bahagia, kan?” “Kalau aku bahagia kan patutnya mak ayah aku pun bahagia?” Aku terdiam lagi. Benar katanya.

Kemudian Vini melanjutkan. “Kalau ikut keinginan sendiri, aku takut aku tak boleh bahagiakan emak ayah aku, tapi aku akan gembira. Tapi kalau ikut kehendak mereka, aku takut satu hari nanti aku akan menyesal walaupun mereka bahagia.”

Aku menggaru kepalaku. “Aku rasa emak dengan ayah kau tu bukanlah jenis yang kejar kedudukan, Vini. Walaupun mereka hidup susah selama ni. Yang penting kau gembira.”

Kali ini Vini terdiam. Aku menyambung. “Setahu aku, biasanya cuma golongan berada yang suka tentukan apa yang anak mereka kena buat. Ye lah, takut nanti anak tak boleh mewarisi kekayaan mereka, jadi malu lah kan? Tapi kalau orang miskin macam kita, dapat kerja pun dah syukur. Tak kiralah kerja apa. Tak kisah pun status sosial ke apa. Ke kau ni sebenarnya tak yakin dengan diri sendiri? Mungkin kau rasa orang pandai macam kau tak layak hidup miskin?”

Vini tertunduk. Tangannya memain-mainkan helaian buku di pangkuannya.

Aku sudah lama tahu apa yang dicita-citakan Vini dan aku rasa aku perlu memberitahunya sekarang. Aku mengangkat dagu Vini, memaksanya untuk memandang tepat ke mataku. “Sekarang aku tanya kau. Jawab jujur. Apa yang kau pegang sekarang?”

Vini berkerut. “Buku.”

“Buku apa? Jelaskan.”

“Novel. Fiksyen. Sastera klasik. Bahasa Inggeris.”

“Apa lagi?”

“Tentang seorang lelaki yang kaya raya yang akan mengadakan pesta di rumahnya, berharap salah seorang yang datang adalah bekas kekasihnya yang…” Vini terdiam sejenak. “Sam, apa yang kau…”

“Aku tau, Vin. Aku sedar yang kau selalu mencari seribu cara supaya kau boleh baca buku. Berdiri berjam-jam dekat kedai buku. Tolong kawan-kawan buat kerja rumah supaya dapat balasan dipinjamkan buku cerita. Cari buku second hand dekat pasar lambak. Kau sangat menghargai buku. Kalau aku campak kasut kau ke longkang sekarang mungkin kau marah kejap je, tapi kalau aku terlipat sikit je buku kau, confirm nyawa aku tercabut sekarang.”

Vini membisu, matanya merah.

“Aku tau. Masa kau membaca dan menulis, muka kau nampak tenang sangat. Macam tengah duduk dalam sebuah taman yang paling cantik. Kau paling suka kritik penulisan cikgu kita. Kalau baca surat khabar kau siap bulatkan kalau ada ayat yang salah.” Aku melepaskan dagu Vini. Dia memandangku lama sekali.

“Sam… aku…” Dia menghela nafas dan diam kembali. Dia mendongak, berusaha untuk menahan air matanya agar tidak jatuh.

“Kenapa kau tak ambik jurusan sastera je? Sastera Melayu ke, Inggeris ke, Jepun ke. Apa-apalah yang kau suka. Lepas tu kan boleh kerja dekat syarikat penerbitan sebagai editor atau penterjemah. Setiap hari kau akan buat kerja yang kau suka. Setiap hari kau akan kerja di ‘playground’, bukan penjara. Itu kata Cikgu Gio. Dari kau jadi macam dia, yang cuma sedar apa yang dia minat masa umur dia 24 tahun, lebih baik kau mula dari sekarang. Sebelum kau menyesal.”

Butir-butir jernih itu jatuh juga. Vini menangis.

“Aku kan dah kata, aku tak suka tengok orang----”

Ayatku terputus saat itu kerana Vini sudah memelukku. Dia menangis sambil menyembamkan wajahnya di dadaku.

“Sam…” ujar Vini di sela-sela esakannya. “Cuma kau sorang yang sedar apa cita-cita dan minat aku. Cuma kau sorang. Emak ayah aku pun tak sedar. Yang penting bagi mereka, aku pandai dan aku mesti jadi orang kaya.”

Aku menyandarkan kepalaku ke kepala Vini sambil mengusap belakangnya perlahan-lahan. “Dari kecik lagi kita selalu samasama. Main sama-sama, walaupun kau perempuan tapi kau lebih suka ikut aku. Makan pun berkongsi. Aku rasa kita lebih banyak habiskan masa bersama dari dengan keluarga masing-masing. Aku kenal siapa kau dan kau kenal siapa aku.”

Vini melepaskan pelukannya, dia masih menangis. “Aku takut emak dengan ayah kecewa.”

“Tak mungkin. Nanti aku tolong jelaskan kat mereka.”

“Tapi gaji doktor lagi banyak dari editor.”

“Siapa cakap?” soalku. “Kerja kat mana-mana pun sama. Nilai ilmu tu belum tentu sama. Jangan rendah diri sangat.” Vini mengesat air matanya.

“Lagi pun nanti bila buku kau diterbitkan, bolehlah kau dapat duit extra. Silap-silap satu hari nanti kau boleh bukak restoran apam balik, bukan gerai je. Boleh ambik orang kerja dengan kau.”

“Sam?” Vini jelas terkejut. “Kau tau?”

Aku mengangguk. “Aku tau sekarang kau tengah tulis sesuatu. Aku tak taulah pasal apa tapi aku harap kau tak berhenti separuh jalan. Yang penting kau mesti yakin dengan jalan yang kau pilih ni, supaya orang tak boleh kata yang bukan-bukan. Baru orang boleh hormat kau. Kalau kau tak yakin, mungkin kau akan gagal dan buktikan kata-kata orang yang tak suka dengan pilihan kau.”

Vini menghela nafas panjang. Dia terdiam sejenak. Perlahanlahan senyum menguntum di bibirnya, membuat aku juga ikut lega. “Aku beruntung ada kau, Sam.”

“Nah, sekarang cuba makan apam balik kau sendiri.”

Aku menyuapkan sepotong apam balik ke mulut Vini. Saat dia mengunyahnya, aku cuba mengusiknya. “Kau tau kan yang coklat dengan cheese tu tak seimbang?”

“Ehhh… bagi free pun nak komplen” Vini mencubit lenganku. “Tu harga dia lima ringgit, tau?”

Aku tertawa. “Nah, ini barulah Vini kawan baik aku.”

jjjjj

[Zee]

Hari Khamis malam, aku sedang sibuk mengulangkaji untuk SPM yang akan bermula esok. Meskipun sudah belajar selama dua tahun, tetapi aku tetap rasa perlu mengulangkaji malam ini, bukannya rehat seperti yang disarankan guru-guru. Kemudian telefon bimbitku berdering. Saat melihat nama pemanggilnya, keningku berkerut. Vini?

Ini kali pertama Vini menghubungiku. Biasanya cuma aku yang menelefonnya. “Hello?”

“Zee, kau ada di rumah, kan?”

“Ya. Kenapa Vin?”

“Boleh keluar sekejap? Aku dengan Sam kat depan rumah kau. Tinggi gila pagar rumah kau ni.”

“Apa?” aku tersentak. “Kau ada kat depan rumah? Sam pun?”

“Haah. Ada benda yang kami nak cakap. Kejap je, boleh tak? Tak bukak pagar pun takpe.”

“Kejap ye, aku keluar. Jangan panjat pagar tau?.”

“Okay.”

Seketika jantungku berdegup kencang. Aku keliru untuk seketika. Aku melihat diriku di dalam cermin. Kusut masai. Aku mencapai jaket untuk menutup singlet yang kupakai. Rambut kusikat sedikit. Seluar pendekku kutukar dengan seluar panjang. Kemudian aku mengambil telefon bimbitku.

Perlahan-lahan aku keluar dari bilikku. Mama sedang menonton televisyen di ruang tamu. “Ma, aku ke luar kejap. Ada kawan nak jumpa.”

Mama menoleh. “Hari dah lewat.”

“Kat depan tu je. Mama boleh tengok aku dari depan pintu.”

Mama kemudian berdiri. “Nanti cakap dengan kawan kau, lain kali jangan datang malam-malam.”

Dia berjalan menuju ke pintu rumah dan membukanya. Aku mengekor dari belakang.

“Cepat selesaikan urusan kau. Jangan buka pagar.” Mama bersandar di birai pintu memerhatikanku.

Aku mengangguk. “Terima kasih, Ma.” Aku berlari ke luar mendekati pagar. Memang ada Vini dan Sam di situ. Vini bersandar di pagar, Sam duduk di atas motosikalnya. Saat aku sampai, Vini tersenyum. Sam hanya diam sambil merenung langit. Mungkin dia masih marah padaku.

“Ada apa, Vini?” tanyaku.

“Itu Mama kau ke? Cantiknya.”

“Terima kasih,” sahutku. Bibirku mengukir senyum.

“Oh, ye..” Sepertinya dia baru teringat tujuannya datang. Kemudian pandangannya beralih kepada Sam. “Hey, turunlah! Kau ni kenapa? Turun!” ancam Vini. Suaranya lantang.

Sam berdengus. Dia turun dari motosikalnya dan menghampiriku. Barulah dia memandangku dan tersengih.

“Hai,” sapanya.

Dengan bodohnya, aku cuma mengangguk. Tumpuanku kembali kepada Vini. Ada apa? Aku tak boleh lama-lama ni.”

“Macam ni. Tadi semua budak form five dah buat perjanjian sebelum SPM mula. Lupakan semua masalah antara kita semua dan fokus dengan exam.”

Aku kebingungan. “Jadi apa kaitannya dengan aku?”

“Lepas habis kelas tadi kau terus balik, kan? Kau tak ada dengar pengumuman? Or baca dekat papan notis?”

“Ada apa?” Aku benar-benar kebingungan. Ada yang aku terlupa?

“Tadi ada program muhasabah diri. Ada ustaz yang dijemput untuk bagi ceramah. Semua orang berkumpul kat dewan. Ustaz tu pesan agar kami minta maaf pada semua orang sebelum SPM. Dengan mak ayah, dengan cikgu, dengan kawan-kawan. Mintak ampun atas dosa kita semua dengan Tuhan. Kemudian semua saling bermaaf-maafan. Ada yang menangis, tapi tak tahulah berlakon ke apa. Ada yang diam, ada yang nampak tak berminat. Ada yang sibuk dengan handphone.” Dia menuding jari ke arah Sam. “Samseng taik kucing ni tidur dengan kawan-kawannya kat belakang.”

Sam berdengus. “Buat apa nak nangis-nangis? Bukan dapat apa pun?” rungutnya.

“Jadi?”

“Kau sorang je yang belum mintak maaf ni. Orang lain semua dah. Tapi aku dah maafkan kau.”

Aku ada salah ke dengan makhluk ni?

Vini kemudian menyiku Sam. “Cepat, cakap!” ujarnya.

“Kau ni kenapa?” sahut Sam.

“Kau kan dah janji nak minta maaf dengan Zee? Cakap sekarang!” ujar Vini tanpa berselindung. Aku menahan nafas. “Kalau kau tak minta maaf, nanti gagal SPM baru padan muka. Kau tak dengar apa ustaz tu cakap tadi?”

Sam memandangku. “Aku minta maaf ye? Sebab marah-marah kat kau,” ucap Sam. “Aku minta maaf Zee. Niat aku cuma nak melindungi kau,” katanya. “Sumpah!”

Aku menarik nafas lega. “Sama-sama. Aku pun nak minta maaf.”

“Tapi kau masih sudi tolong aku kan? Untuk ujian kemasukan kursus polis tu. Dan tolong aku daftar online jugak kan?”

Jadi sebab itu dia minta maaf? Aku kecewa. Tapi apa-apalah. Yang penting aku dan Sam sudah berbaik. “Baiklah. Lepas SPM, OK?” ujarku.

Sam tersenyum. “Terima kasih Zee. Leganya” “Kami balik dulu, ya?” ujar Vini.

“Hmm…okay.”

“Cepat, Vin!” Sam menaiki motosikalnya. Vini melambaikan tangan. Aku membalas lambaiannya. Selepas naik membonceng Sam, Vini melingkarkan tangannya di pinggang Sam. “Aku tidur kat belakang kau, ok?”

“Tidur lah… tapi pegang kuat-kuat. Kalau kau jatuh nanti emak kau bunuh aku.”

Kemudian mereka beredar. Dulu aku pernah membonceng motosikal Sam. Aku juga pernah memeluk pinggangnya. Saat motosikal membrek, aku sempat memeluknya erat. Dan melihat Vini berada di posisi itu sekarang membuat dadaku terasa sesak.

Aku cemburu? Apa aku sudah jatuh cin---”

“Zee! Cepat masuk!”

Oh, aku hampir terlupa Mama. “Ya, Ma.” Kemudian aku berlari masuk ke rumah.

jjjjj

[Sam]

Selepas kertas terakhir SPM tamat, kami sudah merancang untuk meraikannya dengan memanggang ikan di padang sekolah sebelah malam nanti. Kami sudah meminta kebenaran pihak sekolah, dengan syarat kami tidak meninggalkan sampah. Kali ini pelajar nakal aliran sastera bergabung dengan pelajar nakal aliran sains. Meriah sekali. Ternyata SPM telah mengeratkan perhubungan antara kami, remaja-remaja yang berotak kosong ini.

Yang sialnya, aku ditugaskan membeli ikan di pasar. Aku dan tiga orang lagi diberikan tugas ini. Dan mereka sudah terlambat sepuluh minit. Aku menunggu tidak jauh dari tempat bas mini berhenti tidak jauh dari pasar basah. Duduk sendirian sambil menghitung bas mini yang melewatiku.

Tiba-tiba seorang polis berpakaian seragam menghampiri tempatku duduk. Muda dan kacak. Mujurlah aku masih normal. Dia berdiri di sebelahku dengan tangannya di dalam poket seluar. Matanya bulat menatap tajam ke arah bas mini yang berhenti di situ. Sepertinya dia sedang mengawasi seseorang.

“Cari penyeluk saku ke tuan?” soalku tanpa rasa takut.

Polis muda itu menoleh. “Bukan,” jawabnya datar.

“Oh, bukan ya?” aku mengangguk-angguk. Kemudian kami sama-sama diam. Polis itu hanya memandang tepat ke depan.

Aku melihat ke arah yang dipandangnya. Kalau aku tidak salah menembak, dia sedang memerhatikan seorang lelaki yang sedang bersandar di tepi sebuah bas mini, sedang mengira-ngira wang di tangannya. Aku rasa aku kenal dia.

“Nampaknya kamu tau apa yang saya tengah tengok sekarang,” ujar polis itu tanpa menatapku. Ah, berlagak cool nampak! Bencinya. Tapi jealousnya! Aku pun nak jadi macam dia!

Ah, sekejap. Aku baru ingat siapa lelaki yang disasarkan itu. “Saya kenal dia tu. Dia pernah bertumbuk dengan bapak kawan saya. Sama-sama driver bas ni. Tuan nak tangkap dia ke?”

Polis itu tidak menjawab, masih fokus memandang ke arah pemandu bas mini itu.

Kemudian aku teringat sesuatu. “Oh, ya tuan. Orang itu pernah cedera dekat bahu masa dia bertumbuk dengan bapak kawan saya. Jadi kalau masa tuan nak tangkap dia nanti, pukul je lengan dia sebelah kiri. Confirm dia tak dapat melawan lagi. Saya rasa tak sembuh lagi lengan dia sebab teruk jugak masa tu.”

Polis itu memandangku sebelum tersenyum nipis. “Thanks. Dah biasa bertumbuk ke?”

Entah itu pujian atau sindiran, aku tak tahu. Aku cuma membalas dengan senyuman.

Polis itu kembali memandang ke arah lelaki yang sedang diintipnya. Aku juga sama. Sebentar kemudian, lelaki itu berjalan masuk ke dalam pasar. Polis itu mengambil telefon bimbit dari sakunya dan menekan-nekan layarnya. “Sasaran pernah terlepas sekali. Jangan sampai dia terlepas lagi. Pukul bahu dia sebelah kiri. Ingat tu.”

Terselit rasa bangga di hatiku kerana sudah membantu. Polis itu memasukkan telefon bimbitnya kembali ke dalam saku. Kemudian dia menghulur tangan kepadaku. “Jangan panggil saya tuan. Saya muda lagi. Panggil Ibi. Nama kamu siapa?”

Aku menjabat tangan yang tegap itu. “Sam. Panggil saya Sam. Saya bakal polis. Tapi belum daftar,” ujarku sambil menyeringai. Lelaki itu juga ketawa.

Kemudian seorang lelaki separuh umur bertubuh kurus dan berpakaian seragam doktor menghampiri kami. Wajahnya

kelihatan riang. “Ibi! Dah habis kerja?”

Saat doktor itu berdiri di sebelah kami, aku merasakan seperti pernah bertemu dengannya.

“Sudah, Pa. Kebetulan jugak ya Papa keluar sekarang. Tak ramai pesakit ke dekat hospital? Terkejut aku masa Papa call tadi.”

“Lapar. Jom makan?” ujar doktor itu sambil menepuk perutnya.

Saat itu pandanganku jatuh pada gelang yang dipakainya. Gelang besi dengan ukiran bunga melati. Mirip sekali dengan gelang Zee. Mataku merenung tajam pada gelang itu. Aku cuba membaca huruf-huruf yang terukir pada gelang itu sehingga senget kepalaku dibuatnya. “Ru…ru..di…” “Kamu kenapa?” soal doktor itu.

Aku tersentak. “Errmm..emm.. itu.. gelang tuan cantik,” ujarku sambil tersengih seperti orang tolol.

“Terima kasih,” jawabnya dingin. “Kau nak curi ke?”

“Hish! Sesuka hati je tuduh orang,” rungutku. “Gelang macam tu kalau bagi free pun saya tak nak.”

“Jangan cakap kosonglah,” bebel doktor itu. Matanya membulat, seperti mahu marah. Mujurlah Ibi memecah ketenangan dengan ketawanya.

“Papa, budak-budak muda. Jangan ambik hati sangat.”

Doktor itu menghela nafas berat. “Sudah. Jom pergi makan,” ujarnya pada Ibi.

Ibi menoleh padaku. “Baiklah Sam. Saya pergi dulu. Semoga satu hari nanti kita akan jumpa lagi,” ujarnya.

Saat mereka beredar, mataku masih terpaku pada gelang yang dipakai lelaki itu. Tak mungkin dia beli gelang yang sama dengan Zee dan turut mengukir namanya di situ.

Dia tak mungkin lupa berapa umurnya saat itu, kan?

Aku harus tanya pada Zee. Ada sesuatu yang tak kena di sini.