Jangan Baca Novel Ni - Chapter 2
?Bab 2 (4/4/2014)

Munir menggeleng kepala dengan laju. Cuba mencampak keluar puisi itu dari kotak mindanya. Dia menguatkan volum radio. Sehinggakan lagu rock dari kumpulan kegemarannya itu menggetarkan cermin tingkap kereta. Munir senyum. Sambil menghangguk-hanggukkan kepala. Kadangkala dia tertawa. Seronok apabila mendengar lirik-lirik yang sepanjang lagu itu hanyalah bercakap tentang keganasan dan juga wanita-wanita seksi. Barangkali dua perkara dalam dunia ini yang paling menarik perhatiannya. Keganasan adalah lumrah dalam pekerjaannya. Dan wanita adalah lumrah kepada jiwa lelakinya. Selama kehidupan dewasanya, hanya dua perkara itu yang berselang seli. Kerja dan wanita. Bagaikan anyaman kuat yang membentuk tikar yang menjadi dasar kepada duduk baringnya.

Tiba-tiba telefon bimbit berbunyi. Munir mencapai handsfree dan memasukkan ke telinga.

“Hello.”

“Assalamualaikum…” suara lembut seorang wanita hadir dari hujung talian.

“Waalaikumsalam.” Munir menjawab dengan suara mendatar.

“Awak dah sampai kampung ke?”

“Belum. Jauh lagi.”

“Sekarang dekat mana?”

“Baru sampai Pahang.”

“Oh… awak dah makan sebelum bertolak tadi?”

“Dah.”

“Makan apa?”

“Sura, saya tengah drive ni.”

“Oh, sorry…”

“Saya telefon bila dah sampai nanti jelah.”

“Okey… awak…”

“Hmm?”

“I love you…”

“Yup!”

Butang merah ditekan mematikan sambungan talian. Munir senyum. Dia gembira mendapat panggilan telefon dari Suraya. Dia terharu akan sifat ambil berat kekasihnya itu. Namun memang sudah sifatnya tidak pernah menunjukkan perasaan-perasaan itu. Dia sentiasa serius. Tegas. Jauh sekali hendak berkelakuan romantis. Walaupun hanya Tuhan saja yang tau betapa dia menyintai gadis itu. Memang benar. Hanya Tuhan saja yang tau. Sebab Suraya sendiri pun tidak pernah mendengar kata-kata cinta lahir dari bibir Munir. Selama empat tahun mereka bersama, sekali pun Munir tidak pernah mengatakan cinta. Bila Suraya mengatakannya pula, Munir hanya mengangguk atau mengiyakan saja. Tetap degil mengunci bibirnya dari mengucapkan perkataan keramat itu. Kalau wanita lain sudah tentunya tidak akan bertahan dengan sifat Munir yang tak berperasaan itu.

Malah ada beberapa orang kekasihnya yang sebelum ini mengatakan bahawa robot pun punya lebih perasaan dari Munir. Namun Suraya lain. Bagi Suraya cinta itu bererti sanggup menerima sepenuhnya. Buruk dan baik. Dan lebih penting lagi, walau tak pernah cakap, dan tak pernah tunjukkan, Suraya tahu yang Munir mencintainya. Kerana cinta sejati boleh merasai. Walaupun ia terbenam di dasar lautan yang paling dalam.

Munir memerlahankan keretanya. Lehernya panjang menjenguk sekeliling. Kawasan itu seperti asing baginya. Tak pernah dilalui selama dia balik ke kampung selama ini.

Salah jalan ke aku ni?

Munir menggerakkan keretanya dengan berhati-hati. Tambah perlahan lagi apabila dia sedar bahawa dia sudah memasuki sebuah perkampungan. Matanya meliar memerhatikan kalau-kalau ada orang kampung yang boleh dia bertanyakan jalan. Lengang.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah Munir telah tersesat dan pergi ke kampung lain?