Jangan Baca Novel Ni - Chapter 5
?Bab 5 (9/4/2014)

Adib diam. Matanya terus menumpu ke hadapan. Munir pula terbahagi pandangannya pada jalan di hadapan dan pada Adib. Wajah Adib nampak risau. Membuatkan Munir memerhatikannya berkali-kali. Sehinggakan ada beberapa ketika matanya terus lepas dari melihat jalan di depan.

“Adib okey ke?”

Adib terus diam. Tiba-tiba dia mengangkat tangan kanannya perlahan-lahan dan menunjuk ke depan. Munir pun melihat ke hadapan. Entah bagaimana, di tengah-tengah jalan di hadapannya ada seorang wanita sedang berdiri tegak. Mengiring sambil kepala tertunduk ke bawah. Wanita berambut panjang itu keras dan kaku. Langsung tak bergerak sikitpun. Munir terkejut. Dia cepat-cepat menekan brek dengan kuat. Keretanya berpusing beberapa kali sebelum tersadai di pinggir jalan. Sedikit sahaja lagi hendak merempuh sebuah pokok besar di tebing hutan itu.

Munir cuba menarik angin melalui hidungnya namun tidak berjaya. Dadanya berombak kuat. Terlalu gementar untuk bernafas pun. Dia mengurut dadanya beberapa kali sambil beristighfar. Munir melihat ke kirinya. Mahu memastikan yang Adib tidak apa-apa.

Dia merasa lega apabila melihat keadaan Adib yang tidak terjejas. Namun selepas sedetik, leganya berubah menjadi pelik. Pelik kerana Adib begitu tenang. Terlalu tenang. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Munir membuka tali pinggang keledarnya dan turun. Dalam fikirannya hanyalah berharap wanita itu tadi selamat. Munir ke tengah-tengah jalan yang kelam gelita. Di tempat wanita itu tadi berdiri. Namun dia tiada di situ. Munir melihat sekeliling pula. Juga tiada siapa. Lampu pada telefon bimbitnya dijadikan bahan penyuluh. Namun memang tak ada sesiapa di situ. Aneh.

Munir hanya berdiri di situ buat seketika. Dia bingung. Tak tahu hendak buat apa. Dia juga mula mempersoalkan apa yang dia nampak tadi. Adakah benar-benar di situ, atau hanya wujud di matanya saja? Hanya satu cara untuk pastikan.

“Adib… Adib nampak tak perempuan tu tadi?”

Adib menggeleng.

“Adib tak nampak apa-apa pun,” jawab budak itu bersahaja.

“Tapi kan tadi Adib yang tunjuk dekat abang?”

Adib hanya mengangkat bahu.

“Adib ingat tak? Masa abang tengah pandang Adib tadi, tiba-tiba saja Adib suruh abang pandang ke depan. Adib angkat tangan dan tunjuk ke depan macam ada sesuatu kat tengah jalan. Lepas tu bila abang tengok je, ada perempuan tu dekat tengah jalan. Kan?”

“Entah. Adib tak nampak apa-apa pun.”

Munir mengeluh panjang. Pelik dengan jawapan Adib namun tak ada apa-apa yang boleh dilakukan tentangnya. Kemudian Munir mengelap peluh sejuk yang merenik di dahi. Peluh yang memancar kerana fikiran yang kusut dan hati yang memberontak dengan keadaan.

Setelah mengambil masa beberapa minit untuk menenangkan diri dan merasionalkan fikiran, Munir pun menghidupkan semula enjin keretanya dan menyambung perjalanan. Saki-baki perjalanan yang tinggal hanya berisi imej wanita itu tadi yang tak henti-henti menghantui kotak fikiran Munir. Bermacam sebab dan teori logik yang cuba Munir fikirkan tentang apa yang berlaku namun satu pun tak boleh diterima oleh hatinya.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang difikirkan oleh Munir tentang wanita itu?