Jangan Baca Novel Ni - Chapter 3
?Bab 3 (7/4/2014)

Munir lalu di hadapan sebuah rumah usang. Keretanya sudah melewati rumah itu namun dia berhenti dan mengundur semula. Berhenti tepat-tepat di hadapan laman rumah itu. Munir keluar dari kereta. Matanya tertumpu pada tangga di hadapan beranda rumah papan buruk itu. Kemudian dia melihat sekeliling. Tak ada sesiapa. Matanya menumpu pada tangga semula. Ada seorang budak di situ. Budak lelaki. Budak tersebut hanya duduk di situ seorang diri. Kepalanya pula tertunduk sambil membaca buku. Menyembunyikan wajahnya. Munir mendekati budak lelaki itu.

Sebelum berkata apa-apa, dia memerhatikan dulu keadaan budak itu. Bajunya lusuh. Kedua belah tapak tangannya dipenuhi tanah hingga masuk ke celah-celah kuku. Kaki dan lututnya pula diselaputi lumpur yang sudah kering.

“Adik…”

Budak lelaki diam.

“Adik… adik buat apa dekat sini?”

Masih tiada respon.

Munir duduk di atas anak tangga bersebelahan dengan budak itu.

“Adik tinggal sini ke?” Munir mengutarakan soalan itu walaupun pada pemerhatiannya perkara itu kebarangkalian besar tidak mungkin kerana rumah tersebut terlalu usang. Seperti sudah lama ditinggalkan.

Budak itu menggeleng.

“Adik datang sini dengan siapa?”

Budak itu memanggungkan kepalanya. Menampakkan wajahnya pada Munir. Tenang. Namun terlalu tenang. Matanya kosong bagaikan tiada rasa.

“Adik datang sini dengan siapa?” Munir mengulang soalannya.

“Dengan nenek…” jawab budak tersebut perlahan.

“Oh, nenek adik mana?”

Budak itu menghalakan jari telunjuknya ke dalam rumah.

Munir bangun. Dia menolak pintu hadapan yang memang sudah terbuka sedikit. Dia masuk ke dalam. Rumah itu lengkap dengan perabot seperti biasa. Namun semuanya diselaputi habuk dan sawang. Ada pula beberapa buah beg berisi pakaian di tengah-tengah ruang tamu. Munir melihat di atas salah satu beg tersebut terdapat sehelai tudung warna putih. Barangkali milik nenek budak tersebut fikirnya.

Munir memeriksa rumah tersebut secara menyeluruh. Memang setiap sudutnya usang. Tentu sudah bertahun ditinggalkan. Munir mencari sehingga ke bahagian belakang rumah. Namun aneh, tiada kelibat nenek kepada budak itu. Munir ke hadapan semula. Mengambil tempatnya di sebelah si budak lelaki kembali. Di atas tangga.

“Adik tau mana nenek adik pergi?”

Budak itu mengangkat bahu.

Munir mengeluh panjang. Kepalanya tidak henti meninjau sekeliling. Namun tak ada kelibat siapa pun. Nak ditinggalkan saja budak itu seorang diri di situ, Munir tak sampai hati. Rumah itu rumah usang. Dan tak ada rumah lain yang berdekatan. Bagaimana kalau sesuatu buruk berlaku. Lalu Munir mengambil keputusan untuk menunggu di situ sehingga si nenek kembali kepada cucunya.

Dua jam sudah berlalu. Dalam hati, Munir menyumpah-nyumpah orang tua yang sanggup meninggalkan cucunya yang kecil seorang diri di rumah usang selama dua jam. Munir merangka rancangan. Dia akan tunggu lagi setengah jam. Kalau tak ada juga. Dia terpaksa membawa budak itu bersamanya.

…bersambung

Bab akan datang:

Kemanakah perginya nenek budak lelaki itu? Namun, benarkah budak lelaki dan neneknya itu wujud?