Jangan Baca Novel Ni - Chapter 17
?Bab 17 (25/4/2014)

Kemudian semakin banyak kes yang sama berlaku. Remaja-remaja 'istimewa' itu semakin ramai yang hilang. Mereka terapung tinggi tanpa dapat dikawal. Terus ke atas langit sana. Tanpa muncul semula. Skuad untuk menjejak dan mencari ditubuhkan. Semua pangkalan Tentera Udara Malaysia dikerahkan untuk menaiki pesawat mereka dan mencari semua remaja yang hilang itu. Namun ianya tiada hasil.

Orang ramai mulai cemas. Ibu bapa kepada remaja-remaja istimewa yang masih ada, bertindak drastik dengan mengurung anak-anak mereka. Ada juga yang bertindak lebih ekstrem lagi dengan merantai kaki anak-anak mereka yang berkebolehan untuk terapung itu. Namun mereka mempelajari sesuatu yang menakutkan selepas itu. Walaupun dikurung dan dirantai. Remaja-remaja itu tetap hilang. Mereka tetap terapung. Menembusi bumbung rumah. Dan memecahkan rantai besi yang memasung kaki mereka. Tanpa dapat dihalang, apabila sampai saja masanya, mereka akan melancar ke atas langit sepantas kilat. Dan tidak kembali lagi. Sehingga habis kesemuanya...

Tiga bulan kemudian...

Seorang lelaki pulang ke rumah dengan cemas. Dia mendapatkan isterinya di dapur lalu mengajak isterinya untuk ke ruang menonton tv.

Mereka menghidupkan tv kerana menurut lelaki itu, sedang kecoh seluruh dunia tentang satu berita yang barangkali ada kena-mengena dengan anak mereka yang hilang tiga bulan lepas. Yang seperti remaja-remaja lain seusia dengannya, telah terapung ke langit dan tidak kembali. Suara seorang wanita dengan nada serius dan mendebarkan terpancar dari kaca tv untuk melaporkan tentang apa yang sedang berlaku itu.

Berita tergempar! Mayat seorang remaja warganegara Malaysia dijumpai di Paris pada pukul lapan pagi ini waktu tempatan. Remaja berusia belasan tahun itu dikatakan telah jatuh dari langit. Menurut laporan bedah siasat yang dilakukan ke atasnya, keadaan tubuh remaja itu berkecai teruk barangkali kerana jatuh dari tempat yang sangat tinggi. Kami masih menunggu siasatan lanjut bagi mengenalpasti identiti sebenar remaja tersebut.

Pasangan suami isteri tadi menangis dengan cemas. Mereka takut perkara yang sama akan berlaku pada anak mereka juga. Tiba-tiba, mereka dapat melihat pembaca berita di dalam kaca tv itu terhenti bercakap. Dia sedang mendengar melalui alat komunikasi di telinganya.

Barangkali ada laporan yang baru saja masuk. Wajah pembaca berita itu tadi yang kelihatan profesional saja tiba-tiba berubah keruh. Seakan-akan takut. Matanya juga berair. Di dalam tangisan, pembaca berita itu terus melaporkan...

Kami baru mendapat laporan terkini. Lebih ramai remaja warganegara Malaysia yang jatuh dari langit di beberapa tempat di seluruh dunia. Ada beberapa di Eropah dan Amerika Syarikat. Begitu juga dengan beberapa negara-negara asia dan timur tengah. Terbaru, lima kejadian dilaporkan berlaku di Jepun. Manakala tujuh kejadian di Iran. Setakat ini, dijangkakan semua remaja yang jatuh dari langit itu adalah remaja yang sama yang hilang dari Malaysia tiga bulan lepas. Kami juga baru mendapat satu rakaman video yang dihantar dari seorang pemerhati di Afrika. Adalah dinasihatkan kepada penonton, rakaman video ini mengandungi visual yang ngeri.

...bersambung

Bab akan datang:

Dapatkah pihak berkuasa menyelamatkan remaja-remaja itu daripada terjatuh?