Jangan Baca Novel Ni - Chapter 36
?Bab 36 (22/5)

Angin kencang memukul rumah Mak Dom sehinggakan berdentum-dentam segala pintu dan tingkap. Disusuli dengan guruh serta kilat, namun tiada hujan walau setitis pun. Anom menjerit sehingga ke hujung tekaknya. Kesakitan yang dirasa tidak tertanggung. Sampaikan guruh serta kilat juga tidak mampu menandingi tangisan dan raungan Anom yang terseksa saat itu.

Mak Dom cemas. Sudah berpuluh malah mungkin beratus kelahiran yang dia sambut. Namun dia tidak pernah melihat keadaan seperti itu. Semua wanita yang sedang melahirkan memang akan melalui kesakitan. Tapi tak pernah seteruk Anom. Sehinggakan wajahnya menjadi merah kebiruan. Matanya bagaikan tersembul. Dan setiap urat-birat pada tubuhnya timbul bagaikan ingin memecah keluar.

Dalam detik-detik cemas itu, Mariah terdengar bunyi riuh-rendah di luar. Mariah keluar hanya untuk mendapati beberapa orang kampung yang datang bersama dengan obor di tangan mereka. Sambil melaungkan kalimah 'Allahu Akbar!'

"Apa kau semua buat dekat sini hah? Anak aku nak bersalin. Pergi balik!" laung Mariah pada mereka dari atas beranda.

"Kami nak Anom dengan anak hantu dia tu keluar dari kampung ni. Sejak dia mengandung, bermacam-macam perkara sial dah berlaku pada kampung kita. Sampaikan bawak kepada kematian orang ramai yang tak bersalah. Jadi kami dah sepakat. Anom dan anak dia tak boleh tinggal dalam kampung ni lagi! Dia kena berambus sekarang jugak!" kata salah seorang pemuda sambil disokong oleh yang lainnya dengan sorakkan marah.

"Sabar dulu. Jangan bertindak melulu. Kesian la pada anak mak cik tu. Dia tengah bersalin sekarang ni. Sedang bersabung nyawa. Janganlah buat macam ni... tolonglah...!" rayu Mariah.

Namun rayuan itu langsung tidak memberi kesan. Kemarahan orang kampung terlalu membuak-buak. Ada juga antara mereka yang seperti hilang pertimbangan. Lupa pada sifat belas kasihan yang Allah kurniakan pada manusia. Sebaliknya lebih terpengaruh dengan hasutan syaitan yang memang cintakan kekejaman.

Lalu tanpa dapat dikawal, mereka telah membaling obor api di tangan mereka ke arah rumah Mak Dom. Mariah berlari masuk ke dalam. Dia merangkul Anom. Dia cuba untuk mengheret Anom keluar dari rumah yang sedang terbakar itu namun ditegah oleh Mak Dom kerana bayi Anom sedang menjengah.

Mak Dom meminta Anom meneran sekali lagi. Namun Anom terlalu lemah. Seluruh tubuhnya seakan lumpuh. Hanya penglihatannya yang masih bernyawa. Sebab Anom dapat melihat dengan jelas, api yang sedang marak. Menjilat bumbung rumah di atas kepalanya. Anom berpaling ke kiri dan ke kanan. Api yang berwarna merah keunguan bagaikan sedang menari di sekelilingnya. Seolah-olah memanggil-manggilnya. Bagaikan begitu gembira hendak menyambut tubuhnya.

Mak Dom berkali-kali memanggil nama Anom. Namun Anom tidak memberikan sebarang reaksi. Dia hanya terlantar tenang tanpa pergerakkan walaupun anaknya baru sebahagian keluar. Mak Dom tak ada pilihan selain untuk menarik bayi itu keluar dengan tangannya sendiri memandangkan api yang sudah begitu buas.

Mak Dom menyerahkan bayi itu kepada Mariah untuk dibawa keluar dari rumah yang sedang terbakar itu secepat mungkin. Sementara Mak Dom pula cuba untuk mengheret Anom yang masih kaku. Namun entah kenapa, tubuh Anom yang kecil molek itu menjadi begitu berat seperti batu. Sehinggakan Mak Dom yang berkederat besar itu pun tidak mampu untuk menariknya.

Lalu di dalam tangisan, Mak Dom mengucup dahi Anom yang sejuk tatkala api di sekelilingnya semakin menghampiri. Sudah mencecah kainnya pun. Walaupun berat hati, Mak Dom terpaksa meninggalkan Anom di situ. Dia sudah mencuba sedaya upaya. Tapi dia tak mampu untuk menyelamatkan Anom. Barangkali memang sudah sampai masanya untuk Anom pergi.

Lalu Anom pun terus terlantar keseorangan di tengah-tengah rumah yang telah menyambut kelahiran anaknya itu. Rumah yang telah menyaksikan kehidupan anaknya bermula, dan kehidupannya sendiri berakhir.

Walaupun bibir Anom tidak dapat bergerak. Di dalam hati dia masih mampu untuk mengucapkan dua kalimah syahadah.

Lalu Anom pun memejamkan matanya dengan tenang. Merasai kepanasan yang mencium hujung-hujung jari tangan dan kakinya. Kepanasan yang perlahan berubah menjadi kepedihan. Dan kesakitan yang tak ada manusia boleh gambarkan. Anom dapat merasai tubuhnya semakin dimamah oleh kesakitan itu. Namun dia terus terlantar tenang. Menerimanya dengan redha. Sambil terus berdoa agar kehidupannya di sana, lebih indah. Barangkali Tuhan sudi menerimanya di syurga.

Nyawa Anom perlahan-lahan menyusup pergi. Dengan tenang. Lembut. Seolah-olah indah. Betapa api itu suatu kejadian yang luarbiasa. Sifatnya cantik, lemah gemalai dan mengasyikkan.

Sehinggakan ke saat-saat terakhir kehidupan mangsa yang dijamahnya pun, ia terus bersifat cantik, lemah gemalai dan mengasyikkan. Seolah menghiburkan tatkala mematikan. Sehingga ke akhirnya juga, api terus menari dengan gembira. Gembira untuk menghantar roh Anom kembali ke tempat asalnya. Dan membebaskan Anom dari kejahatan dunia.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah nasib bayi Anom dan juga Mariah?