Jangan Baca Novel Ni - Chapter 30
?Bab 30(14/5)

Kali ini seorang gadis yang bernama Azwa. Aswad menuju ke rumah si mati dengan gembira. Sebab dia tahu dia akan berjumpa dengan Kemboja lagi. Seperti yang sudah berlaku sejak kebelakangan ini. Sejak pertama kali dia bertemu dengan Kemboja di majlis pengebumian seorang lelaki tua yang meninggal kerana strok, tiga puluh tujuh hari yang lepas.

Sejak itu, bila ada saja kematian, tentu akan ada Kemboja. Dan Aswad akan jadi begitu teruja setiap kali melihat wajah Kemboja yang tenang dan suci.

Orang yang ditunggu-tunggu pun sampai. Dari jauh lagi, Aswad dapat melihat kelibat berpakaian serba hitam yang berjalan kearahnya dengan lemah gemalai. Seolah-olah seperti sedang terapung. Cantik bagaikan bidadari.

"Assalamualaikum Abang Aswad..."

"Waalaikumsalam Kemboja..." balas Aswad dengan senyuman.

"Kemboja masuk dalam dulu ya?"

"Nanti dulu.... Abang ada sesuatu nak mintak dari Kemboja."

"Apa dia?"

"Nombor telefon. Abang nak hubungi Kemboja. Kalau sudi."

Kemboja menggeleng sambil senyum.

"Kenapa? Kemboja dah milik seseorang?"

"Bukan. Tapi Kemboja memang tak akan dimiliki oleh sesiapa. Kemboja hanya milik Tuhan."

"Kemboja tak suka pada abang?"

"Bukan macam tu..."

"Habis tu?"

"Abang akan faham nanti...

"

Kemboja pun masuk ke dalam untuk menziarahi si mati, meninggalkan Aswad dalam keadaan kecewa.

Di tanah perkuburan, Aswad menunggu di bawah sepohon kemboja. Apabila dia nampak Kemboja sedang menghampiri, Aswad pun mencapai sekuntum bunga di pokok itu lalu memetiknya.

"Nah..." kata Aswad sambil menghulurkan bunga itu tadi pada Kemboja.

"Abang tau Kemboja mesti nak ni kan?" sambungnya lagi.

Kemboja mengambil bunga itu dengan senyuman.

"Terima kasih.... Ini hadiah untuk Azwa," kata Kemboja.

"Bila pulak Kemboja nak bagi hadiah untuk abang?" gurau Aswad.

"Tiga hari lagi... Kemboja akan bagi."

"Aik? Kenapa tiga hari lagi?"

"Adalah..." kata Kemboja sambil senyum. Dia lalu pergi ke kubur Azwa lalu meletakkan bunga tadi pada batu nisan di situ. Seperti biasa.

Aswad cuma menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum. Hatinya terus tertawan dengan keanehan Kemboja.

Selepas itu, Kemboja tidak terus balik seperti selalu. Sebaliknya dia duduk di atas sebuah busut di pinggir perkuburan itu. Walaupun tidak diluahkan, Aswad dapat merasakan yang Kemboja buat begitu kerana ingin bersembang dengannya. Aswad pun mengambil tempatnya berdekatan dengan Kemboja. Lalu bertemankan pohon-pohon rendang dan batu-batu nisan, mereka pun meluahkan apa yang terbuku dalam hati.

"Abang betul-betul sukakan Kemboja..." luah Aswad memecah sunyi.

Kemboja hanya diam. Matanya hanya tertumpu ke hadapan.

"Abang suka tak pada tempat ni?" soal Kemboja tiba-tiba.

"Tanah perkuburan ni? Nak suka apanya? Dah nama pun kubur. Mana ada orang suka."

"Tapi kenapa?"

Aswad terdiam seketika. Cuba memikirkan kenapa. Dia jadi kekok untuk menjawab soalan itu sebab ia tidak pernah diutarakan oleh sesiapa pun. Siapa yang nak tanya kenapa orang tak suka pada kubur? Sebab jawapannya semua orang dah tau.

"Entahlah. Mungkin sebab tak ada orang yang sukakan pada kematian." Aswad akhirnya menjawab.

"Abang pun... tak suka pada kematian?" soal Kemboja.

"Memanglah semua orang akan mati. Dan kita kena redha tentang perkara tu. Tapi bagi abang, biarlah abang sempat hidup lama dulu. Merasai nikmat dunia. Abang belum puas hidup. Takkan dah nak fikir tentang mati? Abang kahwin pun belum lagi.... Mana boleh mati lagi..." kata Aswad dalam bergurau.

Kemboja tertawa kecil.

"Tapi... kalau dah sampai masanya, adakah abang akan terima?" soalnya pada Aswad.

"Kalau dah sampai masanya untuk mati? Ada pilihan ke? Nak tak nak kena terimalah."

"Adakah abang akan gembira?"

Aswad diam. Mulai merasakan soalan-soalan Kemboja terlalu aneh untuk dilayan.

"Kenapa Kemboja tanya semua ni? Kita cakap pasal benda lain boleh tak?"

Kemboja merenung wajah Aswad dengan pandangan sayu.

"Kemboja cuma nak abang tenang dan gembira... bila dah sampai masanya nanti."

"Kemboja nak tau apa yang boleh membuatkan hati abang tenang dan gembira?"

"Apa?"

"Kalau Kemboja sudi keluar dan meluang masa dengan abang hujung minggu ni."

Kemboja senyum. Kemudian dia mengangguk dengan gembira. Dia setuju untuk keluar dengan Aswad.

Tiga hari kemudian, Kemboja pun keluar dengan Aswad seperti yang telah dijanjikan. Mereka pergi berjalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur. Kemudian mereka ke Putrajaya, kerana Aswad sudah lama teringin hendak sembahyang di masjid Putrajaya yang selalu dipuji dan diwar-war orang tentang keindahannya. Hari ini dua hajat Aswad tercapai. Untuk sembahyang di masjid Putrajaya, dan untuk meluang masa bersama Kemboja, gadis yang begitu dia suka. Secara keseluruhannya, Aswad cukup gembira hari itu. Bagi Aswad, hari itu adalah hari yang paling bahagia dalam hidupnya.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Aswad akan memberitahu Kemboja tentang perasaannya saat itu?