Jangan Baca Novel Ni - Chapter 15
?Bab 15 (23/4/2014)

Elmira bangun dan mendepakan tangannya di hadapan Azim. Untuk melindungi Azim. Polis-polis itu mengarahkan Elmira untuk ke tepi namun sedikit pun Elmira tidak berganjak. Dia terus melindungi Azim dengan tubuhnya sendiri, sementara Azim melompat dengan lincah ke atas sebatang pokok besar di situ. Dia meniti dari satu dahan pokok ke dahan pokok yang lain dengan pantas, lalu hilang di sebalik kegelapan malam....

Tiga bulan berlalu...

Elmira mengerling pada kerusi di sebelahnya yang kosong. Sudah lama ia kosong. Sejak hari jadinya tiga bulan yang lepas. Parut di pipinya pun sudah semakin pudar. Malah hampir hilang.

Namun masih terasa kuku Azim yang telah mencalarkan wajahnya. Mengguris jiwa Elmira dengan cintanya. Meninggalkan parut dalam hati yang takkan hilang sampai bila-bila. Elmira pun tak mahu ia hilang. Biar sentiasa bersamanya sampai bila-bila.

Malam itu, ketika Elmira sedang enak tidur, dia dikejutkan oleh bunyi cakaran pada cermin tingkap bilik tidurnya. Elmira bangun. Dia membuka tingkap itu. Lalu melompat masuk seekor kucing yang comel. Bulunya hitam dan bersinar. Lebih-lebih lagi bila cahaya bulan menyinari di atasnya.

Elmira mendukung kucing itu lalu membawanya ke katil. Elmira membelai kepala kucing itu yang begitu manja dengannya. Kemudian kucing itu mendongak dan melihat wajah Elmira. Merenung Elmira dengan mata hijaunya. Elmira senyum sambil memeluk kucing itu dengan erat.

"Saya rindu awak, Azim. Terima kasih sebab kembali kepada saya..."

- Habis -

Munir menutup novel itu. Dia melihat ke tepi. Baru perasan bahawa kopi o' nya langsung tak bersentuh. Masih sepenuh cawan. Cuma dah sejuk gedi.

Munir masuk ke dalam rumah untuk memanaskan semula kopinya. Tak lalu nak diminum kalau sejuk-sejuk begitu. Ketika melewati bilik tidurnya, Munir terdengar Adib sedang bercakap-cakap dengan sesuatu. Munir menjenguk ke dalam bilik.

"Eh... mana datang kucing tu, Adib?"

"Tadi dia masuk ikut tingkap. Adib nak main dengan dia boleh tak abang?"

Munir menghampiri kucing itu. Bulunya warna hitam dan matanya hijau.

"Hmm... mainlah. Tapi hati-hati. Takut dicakarnya nanti. Lepas tu, bila dah habis main, Adib letak dia dekat luar balik okey?" kata Munir sebelum meninggalkan Adib untuk terus bermain-main dengan kucing itu sementara dia pula ke dapur.

Sebaik masuk ke dapur, Ramlah yang sedang menyiang ikan tiba-tiba terhenti. Hidungnya kembang-kempis mencari sesuatu.

"Bau apa ni, Munir? Kuat sangat. Sakit kepala mak."

"La... bau ikan tulah. Bau apa lagi...?"

"Bukanlah. Bau lain ni. Busuk."

Munir mencium ketiaknya sendiri. Wangi. Lepas tu dia menghampiri Ramlah dan mencium ketiak Ramlah pula. Bau ikan.

"Tak ada bau apa pun mak. Merepek la mak ni..."

"Ha tu tu.... Mak bau lagi. Tu buku apa dekat tangan kamu tu? Dari situ rasanya," kata Ramlah sambil memuncungkan mulutnya ke arah novel di tangan Munir.

Munir mendekatkan novel itu ke hidungnya. Memang benar. Bau busuk. Dia baru perasan.

"Buku lama ni mak.... Mungkin kertas dia dah berbau."

Ramlah cuma mengangguk faham.

Setelah memanaskan semula kopinya, Munir kembali ke beranda untuk sambung membaca.

...bersambung

Bab akan datang:

Bau apakah yang dicium oleh Munir? Dari manakah datangnya kucing hitam itu?