Jangan Baca Novel Ni - Chapter 28
?Bab 28 (12/5)

Kalau iya pun, kenapa ada kena-mengena dengan dirinya dan kehidupannya? Kenapa cerita-cerita di dalam novel itu membangkitkan persoalan-persoalan yang penting dan relevan untuknya? Menyebut tentang orang-orang yang dia kenal dan sayang. Menyebut tentang Suraya dan tentang kematiannya. Menyarankan benda-benda yang tak masuk dek akal. Dan Adib pula langsung tak membantu untuk Munir kurangkan kesakitkan dalam kepala otaknya bila berkenaan dengan novel itu.

Setiap soalan yang ditanya, Adib hanya akan menjawab dengan mengangkat bahu.

Satu-satunya benda yang membuatkan Munir masih merasa waras sekarang ini adalah Suraya. Sekurang-kurangnya Suraya masih hidup. Tak ada apa-apa pun yang berlaku kepadanya. Masih sihat walafiat seperti selalu. Maksudnya novel itu memang mengarut. Kalaulah ia sebuah ramalan pun. Ramalannya tidak tepat. Selagi Suraya masih hidup. Cerita-cerita di dalam novel itu kekal fiksyen. Hanya fantasi semata-mata. Persamaan dari segi cerita dan nama watak yang berlaku hanyalah kebetulan. Itulah yang cuba diyakini Munir sekarang ini walaupun begitu sukar untuk dia melepaskan keanehan-keanehan yang menyelubungi novel itu. Dan perkara-perkara pelik yang berlaku dalam kehidupan Munir sejak dia membaca novel tersebut.

Keesokan harinya...

Pagi-pagi lagi Suraya sudah sampai ke rumah Munir. Dia begitu rindukan kekasihnya itu. Suraya juga tak sabar nak bertemu dengan Adib yang Munir sering ceritakan padanya sejak Munir pulang ke kampung. Suraya begitu gembira dengan kehadiran Adib. Sebab dia memang sukakan budak-budak.

"Adib nak ikut Kak Sura pergi jalan-jalan tak?"

Adib mengangguk dengan gembira.

"Munir... awak tinggalkan Adib dengan saya sajalah. Lagipun awak kena pergi balai kan hari ni?" saran Suraya.

Munir tidak menjawab. Dia hanya memerhatikan wajah teman wanitanya itu lama.

"Munir.... Kenapa awak tengok saya macam tu?" soal Suraya. Tak pernah dia lihat Munir berkelakuan begitu. Selalu tengok mukanya pun nak tak nak aja.

"Saya rindukan awak Sura..." luah Munir.

Suraya terpempan. Dia tak dapat nak menyembunyikan riak terkejut dari wajahnya.

"Munir... ini pertama kali awak cakap macam tu dekat saya...."

"Iya saya tau.... Maafkan saya sebab tak pernah tunjukkan perasaan saya pada awak selama ni, Sura. Tapi awak tau kan? Yang saya memang betul-betul cintakan awak..."

Suraya mengangguk sambil menekup mulutnya. Dia sebak. Walaupun dia tahu akan hakikat itu. Tapi mendengarnya lahir dari bibir Munir sendiri, membuatkan dia terlalu gembira dan terharu hingga mengalirkan air mata.

Munir menarik Suraya ke dalam pelukkannya. Dia mengucup dahi Suraya lama. Hanya membaca tentang kematian Suraya di dalam novel hitam itu, sudah cukup untuk membuatkan Munir sedar bahawa dia tak sanggup untuk kehilangan Suraya. Biarlah perkara itu hanya berlaku di dalam cerita sahaja. Janganlah Suraya betul-betul meninggalkannya. Munir boleh jadi gila jika itu benar-benar berlaku.

Munir melambai pada Adib dan Suraya tatkala kereta kancil warna biru milik Suraya meninggalkan perkarangan rumahnya. Sebelum dia sendiri melompat masuk ke dalam keretanya untuk ke balai polis bagi menguruskan tentang kes pembunuhan Azwa.

Sekerat hari Munir di balai tempat dia bertugas walaupun dia sedang digantung kerja. Tapi dia tak mengeluh mahupun merungut sedikitpun. Munir menganggap ia sebagai tanggungjawabnya terhadap Azwa.

Namun semuanya menjadi lebih baik petang itu, apabila Munir dipanggil oleh pegawai atasan, dan memaklumkan kepadanya bahawa dia boleh kembali bertugas seperti biasa minggu hadapan. Munir juga dibenarkan untuk menjaga Adib buat sementara waktu, sehinggalah penjaga Adib yang sah dapat dikesan. Berita-berita baik ini membuatkan Munir menadah tangan dalam kesyukuran.

Munir merebahkan badannya di atas sofa sebaik pulang ke rumah. Terlalu letih. Munir menelefon Suraya untuk tanya khabar. Suraya kata dia sedang bergembira dengan Adib. Mereka baru saja lepas tengok wayang. Adib bukan main seronok lagi sebab dia memang tak pernah tengok wayang. Lepas ni mereka nak pergi makan KFC pula. Munir lega mendengarnya. Sekurang-kurangnya Adib tak kesunyian. Sebab Suraya memang pandai melayan. Bukan macam dirinya sendiri yang sentiasa serius dan membosankan.

Munir mengalih ke kanan. Kelihatan beg bajunya yang belum dipunggah sejak pulang dari kampung semalam. Kemudian teringat. Novel itu berada di dalam beg tersebut. Munir bangun. Dia menuju ke arah beg. Munir mengeluarkan novel yang telah mengganggu emosinya kebelakangan ini. Munir memutuskan untuk membuang saja novel tersebut ke dalam tong sampah.

Tapi bila sudah berdiri di hadapan tong sampah, entah kenapa novel itu seperti melekat pada tapak tangannya. Seperti tak mahu dilepaskan. Munir membelek lagi novel itu. Dia menyelak-nyelak lagi muka suratnya atas dasar musykil.

"Tak banyak muka surat lagi yang tinggal..." kata Munir seorang diri.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Munir akan meneruskan pembacaannya?