Jangan Baca Novel Ni - Chapter 33
?Bab 33 (19/5)

Ianya terjadi pada waktu senja juga. Anom teringat pada waktu itu, dia hendak mandi namun terlupa untuk mengambil kain basahan. Kemudian tiba-tiba dia ternampak selembar kain batik warna biru sedang tersangkut pada dahan pohon jati yang merentangi atas bilik air yang tak berbumbung itu.

Anom cuba mencapai kain batik tersebut berkali-kali sebelum berjaya kerana dahan pokok tersebut agak tinggi. Dia mengamati kain tersebut. Berbau harum dan masih baru. Anom fikir mungkin itu kain yang baru dibeli ibunya. Jadi dia pun terus melilitkan kain itu di dada dan buat pertama kali mandi di dalamnya.

“Anom!” suara Mariah memecah lamunan Anom.

“Ya mak.”

“Tak habis lagi ke mandi tu? Orang dah azan ni Anom…. Tak elok duduk dekat luar. Waktu-waktu macam nilah banyak hantu setan berkeliaran. Berapa kali dah mak pesan. Kenapa degil sangat ni?”

“Yalah yalah… Anom nak masuklah ni. Dah habis pun mandi,” katanya sambil keluar dari bilik air. Mariah menunggu di pintu belakang dapur dengan muka yang marah. Degil sungguh anak daranya yang seorang tu.

Anom melenggang masuk. Ketika lalu ditepi ibunya, Mariah memerhatikan kain batik biru yang dipakai Anom dari atas ke bawah.

“Kain tu nanti pergi sidai. Jangan sepuk merata pulak. Lagi baik kalau lempar saja.”

“Eh… kenapa pulak?”

Anom mengambil tempatnya di atas kerusi di meja makan. Dia mencapai mangkuk plastik besar berisi sayur sawi yang terletak di tengah-tengah meja.

“Yalah. Entah kain siapa pun tak tau. Pakai ambil je,” ujar Mariah sambil menghulurkan sebilah pisau pada Anom.

“Siapa suruh tinggal. Anom ambil sajalah. Lagipun dah berbulan-bulan Anom mandi pakai kain ni. Tak ada siapa cari pun. Tak ada polis nak datang tangkap Anom pun,” jawab Anom dengan loyar buruknya. Tangannya dengan lincah memotong sayur yang bakal dibuat sup untuk makan malam nanti.

“Ha… lawak sangatlah tu? Tak kiralah apa pun, bagi mak tetap tak baik guna benda yang bukan milik kita. Apatah lagi bila kita tak tau mana asal-usulnya benda tu. Anom tak takut ke? Jangan-jangan hantu yang letak kain tu dekat situ. Lepas tu Anom pun ambil pakai.”

“Ish! Mak ni merepek la…”

“Yalah. Siapa tau? Dahlah Anom tu suka mandi senja-senja. Memang waktu dia lah tu…” Mariah cuba menakutkan Anom walaupun dia tahu harapannya tipis. Anak daranya yang seorang itu memang berhati keras. Tidak mudah untuk digertak.

“Kalau betul pun, baguslah. Sebab selalunya hantu kacau orang. Tapi hantu ni tak kacau Anom pun. Siap bagi hadiah adalah. Kain batik lagi. Cantik woo…” kata Anom berseloroh. Membuatkan Mariah bertambah geram lagi dengan teletahnya yang tidak serius dan tidak mahu mendengar kata itu.

“Anom main-main sajalah mak…. Janganlah serius sangat.”

“Hmm… yalah tu. Sudahlah. Pergi sembahyang Maghrib. Nanti keluar tolong mak masak.”

“Baiklah!”

Anom bangun dan memeluk ibunya dari belakang. Sebuah kucupan hinggap di pipi kiri Mariah yang sudah berkedut. Mariah senyum. Tak tahu hendak buat apa dengan anak gadisnya yang seorang tu.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi Anom sudah bersiap-siap untuk ke pekan. Dia mengenakan baju kurung Johor warna putih susu dengan kain corak bunga lawang warna coklat.

Rambutnya yang panjang disanggul rapi dan disematkan dengan pin rama-rama. Entah kenapa dalam tak sihatnya pun, hari ni Anom rasa hendak melaram.

Ketika Anom turun dari rumah, Mariah sedang menyapu daun kering di laman.

“Mak. Anom nak ke pekan,” kata Anom sambil melintas cepat dihadapan ibunya.

“Eh… nak buat apa? Anom! Mak tanya nak buat apa pergi pekan tu?”

“Nak jumpa doktor. Anom duk rasa tak sedap badan lagi ni…” katanya sebelum beredar.

“Elok-elok jalan Anom…” pesan Mariah.

Anom terus berjalan dengan cepat. Dia hanya melambaikan tangannya pada Mariah tanpa berpaling tanda dia mendengar pesanan itu.

Di klinik...

“Apa?!”

“Ya.”

“Doktor pasti ke?”

“Saya pasti. Ujiannya positif. Puan mengandung.”

Anom terbungkam. Tidak terkata apa-apa. Jantungnya bagai disentap rakus oleh perkhabaran itu. Dia masih tidak percaya namun sudah dua kali maklumat itu disuap ke telinganya.

Untuk betul-betul memastikan, Anom berjumpa dengan seorang lagi doktor. Kali ini, perasaan terkejut berubah takut dan keliru. Jawapannya tetap sama. Dia mengandung. Sudah dua bulan usia bayi di dalam perutnya.

Setiap langkah Anom selepas itu diiringi dengan persoalan demi persoalan. Setiap hela nafasnya terasa begitu berat dan menyesakkan. Sebanyak mana dia takut dan keliru pada waktu itu, dia juga amat risau tentang bagaimanakah hendak dia terangkan pada ibunya tentang situasi ini nanti.

...bersambung

Bab akan datang:

Bagaimanakah penerimaan Mariah tentang kandungan Anom?