Jangan Baca Novel Ni - Chapter 4
?Bab 4 (8/4/2014)

Lagi setengah jam berlalu. Munir mengajak budak itu yang hanya diam dari tadi untuk mengikutnya. Budak itu juga tanpa bantahan sedikitpun hanya mengekori Munir.

Sebelum membawa terus budak itu bersamanya, Munir mengambil keputusan untuk bertanyakan pada orang-orang kampung kalau-kalau ada yang mengenali budak itu. Namun puas dironda satu kampung dan ditanya setiap orang yang ditemui, seorang pun tidak mengenali budak itu. Apabila ditanya tentang rumah itu pula, semua mengatakan bahawa ianya telah ditinggalkan kosong selama tujuh tahun.

“Umur adik berapa?” soal Munir sambil mengusap kepala budak itu yang tampak kerunsingan dalam air mukanya.

“Tujuh tahun…”

“Tujuh tahun?” Munir memastikan.

Budak itu mengangguk.

Di dalam fikiran Munir terlintas persamaan di antara umur budak itu dan juga tempoh rumah usang tersebut ditinggalkan. Tujuh tahun.

Mungkin kebetulan…

Munir menafikan sahaja. Malas hendak memikirkan perkara remeh buat masa ini. Sekarang ini dia perlu memikirkan apa yang patut dilakukannya tentang budak itu.

Sebelum meninggalkan kampung tersebut, Munir kembali ke rumah itu untuk meninggalkan sekeping nota berisi nama dan nombor telefonnya kalau-kalau nenek kepada budak itu kembali dan mencari cucunya nanti.

Jam sudah menunjukkan pukul 11.35 malam. Entah kenapa perjalanan kali ini dirasakan begitu lama.

Sepanjang jalan pula ada sahaja halangan dan dugaan. Tayar pancit. Enjin berasap. Bermacam-macam lagi. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa enam jam sahaja kini sudah mencecah sebelas jam.

“Nasib baik Adib ada… abang tak ada la bosan sangat,” kata Munir sambil mengusap kepala Adib di sebelahnya.

Akhirnya setelah puas ditanya dan dipujuk, budak lelaki itu memberitahu juga namanya. Adib. Pun begitu, ia hanyalah satu sahaja jawapan yang berjaya Munir dapat, berbanding puluhan soalan yang Munir ajukan sejak dia menemui Adib di rumah usang itu siang tadi.

Munir menenyeh matanya berkali-kali. Menguap pula sudah tak terkira. Dia benar-benar mengantuk. Namun memaksa matanya untuk terus terbuka. Dia tak mahu mengalah pada rasa lalinya. Dia tak mahu berhenti lagi. Dah muak. Sepanjang jalan tadi asyik berhenti saja atas sebab yang bermacam. Jadi kini dia bertekad untuk tidak mahu berhenti lagi. Letih pun letihlah. Mengantuk pun mengantuklah. Yang penting perjalanan harus diteruskan. Agar hari yang begitu melelahkan ini akan cepat berakhir.

Munir menukar lampu keretanya agar dapat melihat pada jarak yang lebih jauh. Menyusuri jalan dalam memang mencabar. Lebih-lebih lagi dalam pekat malam seperti ini. Sekali-sekali Munir menoleh ke sebelah untuk melihat keadaan Adib. Seperti biasa. Hanya duduk diam tak berkata apa-apa, sambil membaca sebuah buku yang sudah buruk rupanya. Tidur pun tak mahu. Memang dari tadi hanya begitu keadaannya. Matanya hanya menumpu ke helaian-helaian usang buku lama tersebut. Hanya sekali-sekala apabila Munir menegur dia menoleh dan melihat wajah Munir. Bila Munir senyum padanya dia akan balas dengan senyuman yang singkat dan tawar.

“Adib tak mengantuk ke? Tidurlah dulu. Lambat lagi nak sampai rumah abang ni…”

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah Adib akan menjawab soalan Munir? Apakah reaksi Adib?