Jangan Baca Novel Ni - Chapter 27
?Bab 27 (9/5)

Dia takkan melakukan sesuatu benda yang tak betul. Jauh sekali menyalahi undang-undang.

"Hmm... tak apalah Munir. Lumrahlah bila dah bekerja bawah orang. Habis tu yang malam ni kelam-kabut nak balik kenapa?"

"Ha... ini yang saya nak cerita ni. Rupa-rupanya perempuan yang saya selamatkan dari boyfriend dia malam tu, tiba-tiba dilaporkan hilang. Tapi malam semalam, mayat dia dijumpai tertanam dekat belakang rumah seorang tukang jahit. Sekarang ni, teman lelaki perempuan tu adalah suspek utama. Memandangkan saya adalah orang terakhir yang nampak dia orang bersama malam tu, tengah bergaduh, jadi pihak polis nak ambil keterangan saya. Mungkin saya saksi penting."

"Ish... macam tu pulak kisahnya. Kesian budak perempuan tu ya..." luah Ramlah.

"Iya. Tapi apa pun saya puas hati. Lelaki yang buatkan saya kena gantung kerja, sekarang ni meringkuk jugak dalam lokap atas tuduhan membunuh. Padan muka dia!" kata Munir bersungguh.

"Haish! Tak baiklah kamu ni Munir. Patutnya rasa simpati dekat perempuan yang kena bunuh tu. Nama dia apa ya?"

Munir terdiam. Terasa berat hendak menjawab.

"Mak tanya nama dia apa? Mak nak sedekahkan Al-Fatihah ni..." Ramlah mengulang soalan.

"Nama dia.... Azwa," jawab Munir sambil matanya menyorot pada novel hitam yang nampak sayup di atas meja berhampiran dengannya.

"Munir okey ke? Mak nampak pucat semacam je..."

"Okey. Cuma pening sikit. Adib mana mak? Saya nak suruh dia siap-siap."

"Nak bawak dia sekali?"

"Habis tu?"

"Tinggal dengan mak pun tak apa."

"Tak boleh. Saya nak kena laporkan pasal dia dekat balai jugak."

"Nak buat apa? Dah terang-terang nenek dia tinggalkan dia macam tu je. Kalau Munir laporkan dia pun, paling bagus dia orang letak dia dekat rumah kebajikan. Lebih baik kita saja yang ambil jaga dia. Mak pun memang dah mengidam nak bercucu ni...."

"Negara ni ada undang-undang mak. Adib tu anak orang. Bukannya anak kucing yang boleh diambil bela macam tu je..."

Ramlah akur walaupun dia masih tak puas hati. Dia tak faham kenapa Munir tak boleh mengambil saja Adib sebagai anak angkat. Sedangkan Adib pun nampaknya dah begitu selesa dan gembira tinggal dengan mereka.

Munir bangun mendapatkan Adib yang sedang bermain seorang diri di dalam bilik. Munir mengemas apa-apa yang patut lalu terus bertolak ke Kuala Lumpur seperti yang telah diarahkan oleh orang atasannya.

Di dalam kereta, Munir berulang kali memutar semula maklumat-maklumat yang diberikan kepadanya melalui panggilan telefon dari balai lewat senja tadi tentang kes pembunuhan Azwa. Perkara itu membuatkan Munir terbayangkan wajah Azwa ketika dia bertemu dengan gadis itu lebih seminggu yang lepas. Masih terngiang tangisan Azwa ketika dia bergaduh dengan teman lelakinya. Dan masih segar di mata Munir, renungan Azwa yang sayu, seolah-olah meminta untuk diselamatkan. Tiba-tiba terdetik perasaan kesal dalam diri Munir. Kalaulah Munir tidak membiarkan Azwa terus tinggal bersama lelaki itu. Kalaulah Munir campur tangan dengan lebih lagi waktu itu. Mungkin Azwa masih hidup hari ini.

Remuk hati Munir apabila mendengar laporan awal tentang kematian Azwa. Sebaik selepas Munir meleraikan pergaduhan di antara Azwa dan teman lelakinya, mereka telah menuju ke suatu tempat lain untuk berbincang. Perbincangan yang telah berubah menjadi satu pergaduhan yang lebih besar lagi. Semuanya hanyalah berpunca dari satu SMS yang Azwa dapat dari seorang rakan sepejabat. Teman lelaki Azwa telah menuduhnya curang kerana SMS itu. Berkali-kali Azwa menerangkan yang SMS itu tidak bermaksud apa-apa. Namun sifat cemburu buta dan hasutan syaitan, telah menutup segala kewarasan, sehinggakan teman lelaki Azwa yang tidak dapat menahan kemarahannya, telah menghentakkan kepala Azwa ke cermin tingkap kereta. Azwa meninggal serta-merta. Teman lelakinya yang panik, telah mengheret mayat Azwa ke bahagian belakang sebuah rumah teres, mengorek lubang yang cetek lalu menanamnya di situ. Mujurlah tuan rumah itu menjumpai mayat Azwa beberapa hari selepas mereka pulang dari kampung. Kalau tidak, kehilangan Azwa tentu akan terus menjadi misteri.

Misteri....

Perkataan itu terluah dari bibir Munir tiba-tiba. Dia mengeluh panjang. Selama ini Munir tidak pernah meletakkan sebarang nilai di dalam perkataan itu. Benda-benda misteri tak pernah wujud dalam kamus hidupnya. Bagi Munir, perkara misteri hanyalah satu topik yang dibincangkan untuk diketawakan. Tapi kini... barangkali dia yang akan ditertawakan. Kalaulah dia ceritakan pada sesiapa, tentu tak ada yang akan percaya. Cerita-cerita yang dia baca di dalam novel hitam itu, ada antaranya menjadi kenyataan. Mana mungkin sedangkan novel itu sudah lama ditulis. Oleh entah siapa pun Munir tak tahu. Takkan ianya sebuah buku ramalan?

...bersambung

Bab akan datang:

Dapatkah Munir merungkai mengapa cerita di dalam novel itu seperti ada kaitan dengan dirinya?