Jangan Baca Novel Ni - Chapter 24
?Bab 24 (6/5)

"Eh... kan nak maghrib dah ni?"

"Alah... bukak sekejap saja. Dah azan nanti kita tutuplah balik. Cuma nak keluarkan wap aja..."

"Hmm... yalah."

Sebaik Zakiah hendak melangkah naik ke atas untuk mandi dan menyalin baju, tiba-tiba kedengaran suara seseorang memberi salam di luar.

"Siapa tu bang? Tengok sekejap."

Bakar menjenguk melalui tingkap.

"Orang perempuan. Kenalan awaklah tu. Pergilah tengok kenapa dia datang."

"Haih... siapa pulaklah yang datang senja-senja ni...?" sungut Zakiah seorang diri sambil kelam-kabut mencapai selendangnya.

Sebaik membuka pintu, Zakiah dapat lihat seorang gadis muda yang ayu berpakaian baju kebaya.

"Waalaikumsalam.... Ada apa dik?" tanya Zakiah sambil menghampiri pintu pagar dan membukanya.

"Ini Mak Cik Zakiah kan?"

"Iya saya..."

"Nama saya Suraya. Saya kawan Azwa."

"Oh... kawan Azwa. Kenapa mak cik telefon dia hari tu tak dapat ya? Mak cik nak bagi tau dia yang baju-baju kurung dia tu mak cik tak sempat nak siapkan. Ada kematian di kampung. Dah seminggu mak cik dekat sana. Balik sini barulah ada peluang nak siapkan baju dia tu. Itupun mungkin dalam seminggu jugaklah baru nak siap," terang Zakiah.

"Oh macam tu. Saya datang ni pun memang nak sampaikan pesanan dia. Dia minta mak cik tolong telefon dia."

Zakiah kerut dahi.

"Kenapa dia tak telefon mak cik sendiri?"

Suraya diam. Tiba-tiba azan Maghrib berkumandang.

"Saya balik dulu mak cik. Dah Maghrib. Mak cik tolong telefon Azwa nanti ya?" pinta Suraya sekali lagi sebelum kelam-kabut berjalan pergi lalu hilang di sebalik lorong belakang rumah Zakiah.

"Apa kenanya budak ni...?" kata Zakiah sendiri.

Dia masuk ke dalam rumah. Mengambil telefonnya untuk menghubungi Azwa, salah seorang pelanggan yang memang selalu menempah baju darinya. Tapi baru hendak menekan butang hijau, Zakiah terfikir bahawa waktu itu waktu Maghrib.

"Tak elok kacau orang waktu-waktu Maghrib ni. Nanti-nanti ajalah."

Kemudian Zakiah terlupa terus untuk menghubungi Azwa. Sehinggalah keesokkan harinya.

Hari Dua

Seharian Zakiah duduk di hadapan mesin jahitnya. Cuba untuk menyiapkan tempahan baju Azwa yang sudah tertangguh seminggu. Langit sudah mulai gelap. Zakiah berhenti sekejap untuk bersiap-siap menyambut Maghrib. Dia menuju ke tangga untuk naik ke atas. Sebelum itu melintasi sebuah tingkap di hadapan rumahnya. Zakiah terhenti berjalan. Dia perasan ada kelibat sedang berdiri di hadapan pagar depan rumahnya. Zakiah cepat-cepat membuka pintu.

"Suraya?"

Sebaik Zakiah menyebut namanya, Suraya yang hanya tertunduk tadi pun mendongak lalu tersenyum.

"Suraya buat apa tercegat dekat depan rumah mak cik ni? Kenapa tak bagi salam?"

"Saya baru nak bagi salam mak cik. Tapi mak cik dah nampak saya dulu..."

"Oh...." Zakiah memerhatikan Suraya atas bawah. Masih memakai baju yang sama dengan semalam. Kebaya nyonya warna merah dan kain batik biru.

"Ada apa Suraya datang ni?" soal Zakiah.

"Saya nak tanya. Mak cik dah telefon Azwa?"

"Belum. Semalam memang nak telefon. Tapi terlupa. Lepas tu mak cik ingat nak tunggu baju dia siap dulu, baru mak cik nak telefon suruh dia datang ambil terus."

"Jangan mak cik.... Jangan terlalu lama. Mak cik kena telefon dia cepat..." pinta Suraya seolah merayu.

Lagi sekali Zakiah terlongo kehairanan. Kenapa Azwa tak menghubunginya sendiri?

"Yalah. Malam ni jugak mak cik telefon dia." Zakiah akur.

"Terima kasih mak cik.... Suraya balik dulu ya?"

"Iyalah."

Seperti semalam juga, Suraya kelam kabut meninggalkan tempat itu dan terus hilang di sebalik sebuah lorong gelap sebaik azan Maghrib berkumandang. Zakiah hanya menggelengkan kepalanya.

"Anak dara apalah berjalan waktu Maghrib...?"

Zakiah masuk ke dalam rumah. Kali ini terus ke atas dan mengambil telefon untuk menghubungi Azwa. Tapi tak berjawab walaupun beberapa kali dicuba.

Hari Tiga

Macam biasa, Zakiah sedang tekun di hadapan mesin jahitnya. Masih menjahit baju-baju kurung Azwa. Dia berseorangan di rumah. Anaknya pergi ke kelas tusyen manakala suaminya masih belum pulang dari kerja walaupun hari sudah malam.

Zakiah terhenti seketika. Dia memerhatikan telefon bimbit yang berada di tepi mesin jahitnya. Merenung telefon itu lama. Ada satu perasaan kurang senang yang lahir dari hati Zakiah.

Seperti senja-senja sebelum ini, waktu Maghrib tadi pun dia dikunjungi oleh Suraya lagi. Masih dengan permintaan yang sama. Supaya dia menghubungi Azwa. Zakiah juga mulai perasan sesuatu yang aneh tentang diri Suraya. Dia akan datang tepat-tepat pada waktu yang sama dan pergi juga betul-betul sebelum azan Maghrib berkumandang. Zakiah juga musykil tentang pakaian Suraya yang sama saja setiap hari. Baju kebaya merah dan kain batik biru. Namun apabila ditanya, Suraya mengatakan yang dia memang memakai baju itu hari-hari.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Zakiah akan mencuba lagi untuk menelefon Azwa?