Jangan Baca Novel Ni - Chapter 9
?Bab 9 (15/4/2014)

Sudah masuk hari keempat Munir di kampung. Ramlahlah yang paling gembira. Kerana selalunya paling lama anak terunanya itu akan balik hanyalah dua hari sahaja.

Namun dia tak pernah merungut kerana faham akan jadual kerja Munir yang memang padat dan tak menentu sebagai seorang anggota polis.

Pun begitu, rasa pelik tetap ada. Sampai ke hari ni pun Munir masih belum memberitahu kenapa dia pulang ke kampung. Dia juga tidak begitu banyak bersembang dengan Ramlah.

Seolah sedang mengelak dari sesuatu. Sepanjang masa dia hanya habiskan bersama dengan Adib yang setelah beberapa hari bersamanya, mulai menunjukkan kemesraan.

Habis mandi dan pakai baju, Munir menyikat rambut Adib dan meletakkan bedak pada mukanya. Munir anak tunggal. Memang dari dulu dia inginkan seorang adik lelaki.

Dan barangkali usianya yang sudah mencecah dua puluh tujuh tahun ini, mulai mencairkan hatinya terhadap konsep kekeluargaan dan zuriat. Nak tunggu anak sendiri, tak tahu lagi bila. Bukannya tak ada calon. Suraya sentiasa setia menunggu.

Duit juga dah cukup. Lebih dari cukup. Tapi Munir belum sedia. Dia sendiri pun tak tau kenapa. Yang dia tau dia belum bersedia.

Habis saja disikat rambutnya, Adib terus melompat atas katil dan mencapai buku cerita yang dibaca dari pertama kali Munir menjumpainya tempoh hari.

Buku itu memang tak pernah lekang darinya. Sampaikan tidur pun berbantalkan buku tebal itu.

"Adib baca buku apa tu? Abang tengok suka sangat..."

Adib memandang Munir dengan renungan tajam. Kemudian dia tersenyum sinis.

"Buku himpunan cerita-cerita seram..." jawabnya.

"Boleh abang tengok?" pinta Munir.

Adib menggeleng.

"Kenapa?"

"Adib belum habis baca lagi. Tolong ikut giliran..."

Munir ketawa.

"Tak. Abang nak tengok sekejap saja. Bukan abang nak baca pun. Abang dah tengok, lepas tu abang bagi balik la..."

Adib masih keberatan. Membuatkan Munir lebih musykil.

"Adib... abang mintak elok-elok ni. Tolong bagi sekejap," pinta Munir lagi sekali sambil kali ini menghulurkan tangannya untuk mengambil buku tersebut.

Adib beralah. Dia menyerahkan buku tersebut kepada Munir. Munir terus membeleknya. Kulitnya berwarna hitam tanpa sebarang tulisan mahupun gambar.

Munir pusing ke belakang. Sinopsis pun tak ada. Lalu Munir melihat bahagian dalamnya pula. Menambahkan keanehan pada Munir apabila dia melihat bahawa buku cerita itu ditulis dengan tangan seratus-peratus.

"Mana Adib dapat buku ni ya?"

Adib cuma mengangkat bahu. Jawapan yang sama seperti kebanyakkan masanya apabila Munir menanyakan sebarang soalan.

Melihatkan keanehan keadaan novel tersebut, Munir telah membuat keputusan untuk mengkaji isinya dahulu, sebelum dia membenarkan Adib terus membacanya.

Bukannya apa, Munir bimbang kalau-kalau ada bahagian di dalam novel itu yang tidak bersesuaian untuk dibaca oleh kanak-kanak. Lagi-lagilah novel yang bergenrekan seram. Barangkali ada babak-babak yang keterlaluan untuk budak kecil. Dia takut nanti Adib tak boleh tidur malam pula kerana takut.

Munir juga perasan bahawa kadangkala Adib suka bercakap seorang diri. Lebih-lebih lagi di waktu malam. Mungkin Adib terpengaruh dengan novel seram itu. Menambahkan lagi sebab mengapa Munir merasakan perlu untuk mengkaji cerita di dalam novel tersebut sebelum membenarkan Adib terus membacanya.

...bersambung

Bab akan datang:

Buku apa yang dibaca oleh Adib? Adakah ia mengandungi cerita yang tak sepatutnya dibaca Adib?