Jangan Baca Novel Ni - Chapter 6
?Bab 6 (10/4/2014)

Pukul 12 tengah malam. Di tengah-tengah jalan di tengah hutan yang tiada penempatan berdekatan. Seorang wanita. Bersendirian. Hanya duduk berdiri keras di tengah jalan yang gelap gelita. Apa penjelasannya? Apa yang dia buat di situ, dan kemana pula dia menghilang selepas itu? Setiap soalan hanya terawang dalam minda Munir tanpa sebarang jawapan.

“Ah… tentu ada penjelasannya…” kata Munir dalam hati untuk memujuk dirinya sendiri. Pun begitu, hatinya tetap tidak termakan dengan pujukannya sendiri. Otak berkata lain, naluri berkata lain. Otak berkata ada penjelasan yang logik. Naluri pula berkata ada sesuatu yang aneh dan tak kena dengan apa yang berlaku. Mana yang Munir harus percaya?

Semakin lama berfikir, keperibadiannya yang hanya melihat pada yang jelas dan sahih semakin memenangkan pertimbangan otaknya. Baginya fikiran yang lahir dari otak itu yang sahih. Manakala rasa naluri pula tidak pernah terbukti secara saintifik ketepatannya. Jadi Munir akhirnya berjaya menetapkan pendiriannya tentang keadaan tersebut.

Perkara yang berlaku tadi adalah sesuatu yang normal dan ada penjelasan logik di sebaliknya.

“Mungkin orang gila yang sesat kut…. Ya. Tentu itu penjelasannya,” kata Munir yakin.

Pukul 2.30 tepat, mereka akhirnya sampai. Munir menghubungi telefon rumahnya untuk meminta ibunya membuka pintu.

“Assalamualaikum mak. Mak apa khabar?” Munir menyambut tangan Ramlah sebaik pintu kayu rumahnya itu dibuka.

“Baik alhamdulillah. Kenapa lambat sangat sampai?” itulah soalan pertama yang diajukan oleh Ramlah pada Munir walaupun pada hakikatnya dia lebih berminat hendak tau tentang siapa budak lelaki yang dibawa bersama anaknya itu.

“Panjang ceritanya mak.” Munir mengangkat begnya dan bersedia untuk melangkah masuk. Namun baru sebelah kakinya masuk ke rumah, Ramlah menahannya.

“Kenapa mak? Tak nak bagi saya masuk ke?”

Mata Ramlah yang menjegil liar memerhatikan sekeliling.

“Duduk luar dulu kejap. Baca ayat kursi tiga kali dan hembuskan sekeliling. Lepas tu baru masuk,” arahnya.

Munir akur dan menarik kembali kaki kanannya.

“Mari nak. Anak masuk dulu ya? Sejuk kat luar ni. Nanti demam pulak. Abang Munir nanti dia masuk…” kata Ramlah sambil menarik bahu Adib perlahan.

“Anak siapa pulak kamu bawak balik ni?” Ramlah sempat menyoal sebelum masuk ke dalam bersama Adib. Munir yang sedang terkumat-kamit mulutnya membaca ayat kursi berhenti seketika untuk menjawab.

“Nantilah saya cerita. Mak tolong bersihkan dia sikit. Salinkan pakaian dia,” pinta Munir. Ramlah hanya mengangguk. Kalau tak disuruh oleh Munir pun memang itu yang akan dilakukannya. Memang ketara yang budak itu cukup comot dan kotor. Maka naluri pertamanya sebagai seorang ibu adalah untuk memandikan dan menyalin pakaian budak itu sebelum tidur. Dan memang itulah yang dilakukannya. Siap disikat rambut rapi dan dibedakkan sampai berselepung. Selepas baring di atas katil dan diselimutkan, Adib terus lelap tidur. Letih benar gamaknya.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah wanita yang dilihat oleh Munir? Apakah nasib budak lelaki itu?