INSECURE - 3
[Zee]

Hari ini ujian pendidikan jasmani. Cikgu Gio memilih secara rawak, bukan mengikut turutan abjad. Aku sudah selesai menjalani ujianku. Setelah mendapat markah yang memuaskan, aku menyelinap ke tepi gelanggang bola keranjang. Dari cuma melihat rakan-rakanku berlari, lebih baik aku menggunakan masa itu untuk mencari gelangku yang hilang.

Rasanya gelangku tidak ada di situ, jadi aku meneruskan langkah menuju ke kolam renang, mengikut laluan sama yang aku lalui pada hari aku kehilangan gelang itu. Aku menunduk, mataku memandang awas ke seluruh kawasan sekitar. Aku terus melangkah sambil bergumam ‘gelangku…gelangku…gelangku…” seperti sedang membaca jampi serapah.

Aku melintasi beberapa buah bilik aktiviti. Saat melintasi bilik sakit, langkahku terhenti. Aku menoleh ke kiri. Di hadapan bilik itu, di atas kerusi putih panjang yang mirip kerusi hospital itu, Sam sedang tidur dengan nyenyaknya. Perlahan-lahan aku mendekatinya. Dia masih lena dengan tenang. Salah satu dari lengannya menopang di bawah kepala. Tangan yang satu lagi di atas perutnya. Nafasnya teratur, tenang dan berirama.

Kemudian aku tunduk dan melihat kasutnya yang berlubang dan stokinnya yang sudah lusuh. Pandanganku kemudian tertuju ke kakinya di atas kerusi. Ibu jari kaki Sam terluka!

Kata Mama, luka di bahagian tubuh kita, walau sekecil mana pun harus diubati untuk mengelak jangkitan. Kalau tidak ia mungkin akan menjadi lebih serius. Aku melangkah masuk ke dalam bilik sakit. Tidak ada pelajar lain di situ kerana sekarang memang waktu belajar. Aku pergi ke rak menyimpan ubat, membuka pintu kacanya dan mencari ubat luka, kapas, kain pembalut dan antiseptik. Barang-barang itu kemudian kuletakkan di atas sebuah talam aluminium. Aku mengambil sebuah bekas kecil dan mengisinya dengan air. Kemudian aku membawa semuanya ke luar.

Saat tiba di luar, aku melihat Sam sudah bangun.

“Eh? Kau sakit ke Zee?”

Nah, apa yang harus aku katakan? “Er… aku…”

“Eh kebetulan pulak kau bawak barang-barang itu. Boleh aku pinjam?”

Aku mengangguk sambil mendekatinya. Aku duduk di sebelahnya dan memberikan semua barang-barang di tanganku padanya. “Nah, ambiklah”

Sam menyambut barang-barang itu dan meletakkannya di antara kami. Kemudian keningnya berkerut. “Nak pakai yang mana dulu?” soalnya sambil menggaru kepala.

Aku menunjuk pada ibu jari kakinya yang berdarah. “Kaki kau kenapa?”

Sam menghela nafas panjang. “Jatuh tadi masa berlari. Kakiku tersepak batu,” jawabnya.

Sebelah keningku terangkat. “Kau lari di luar tempat sepatutnya?” Sam tersengih. “Aku lari laju sangat. Sikit lagi nak terlanggar tiang gol basketball..hehe.”

“Ya, ampun. Berangan ke masa lari? ”

“Badan kat sini, roh dekat rumah,” sahutnya selamba. Kemudian matanya kembali memandang ubat-ubatan di depannya. “Bodoh kan?”

“Kau bersihkan dulu luka tu dengan air dan kapas. Letak antiseptik. Kemudian baru letak ubat luka sebelum balut.”

“Oh…” Sam mengangguk-angguk. Dia kemudiannya mengikut apa yang aku arahkan. Saat dia membersihkan lukanya, aku hanya memandangnya dalam diam. Saat dia selesai mencuci lukanya, aku juga menarik nafas lega.

“Selesai!” ujarnya agak riang. “Thanks,” ujarnya sambil menepuk bahuku.

“Ouch!” spontan aku terjerit sambil memegang bahuku yang ditepuknya tadi. Tepukan itu memang tidak kuat tapi…kan bahuku sakit.”

“Zee? Kenapa?” Sam tampaknya kaget.

Aku menggeleng sambil menggigit bibir menahan sakit. Sebelah tanganku masih memegang bahu.

“Aku tak pukul kuat sangat tadi kan?” soal Sam agak cemas.

Aku mengangguk perlahan. “Tak apa..”

“Hoi! Dating ke?”

Cikgu Gio datang dengan wisel tergantung di lehernya. Yang melaung tadi ternyata dia. Aku segera berdiri dan menunduk. “Tadi…tadi saya mahu ke belakang, Cikgu. Nak ke tandas, terus bertemu Sam di sini. Kami bukan dating, cikgu.”

Berbeza dengan Sam yang masih kelihatan selamba. Dia menguap dan menggeliat sebelum bersuara. “Saya pakai kasut dulu ya, cikgu. Baru boleh dimarah.”

“Tak perlu! Kelas dah tamat.”

“Betul?” Mata Sam membulat riang. Sesaat kemudian, loceng berbunyi nyaring sebanyak tiga kali. “Syukurlah! Saved by the bell!”

Cikgu Gio tersenyum mengejek. “Saved? Yakin?” soalnya. “Kalau begitu kamu berdua lari pusing padang sepuluh kali, baru boleh pulang. Hukuman kerana lari dari kelas Pendidikan Jasmani.” Aku terkedu. Sepuluh?

“Dan jangan keluar laluan sampai tersepak batu dan terlanggar tiang gol!” sambung Cikgu Gio.

Sam tertawa terbahak-bahak. “Tadi ada orang macam tu ke cikgu?”

Cikgu Gio mencebik. “Tadi memang ada. Mungkin orang itu badannya saja ada di sekolah, otaknya masih di rumah. Cepat! Sam! Zee! Pergi ke padang!” perintahnya.

“Ta..tapi…saya tak boleh lari sebanyak itu, cikgu,” aku memberanikan diri bersuara.

“Cikgu Gio yang handsome…” tiba-tiba Sam memintas dan berdiri. “Bagaimana kalau saya lari dua puluh pusingan, tapi cikgu lepaskan Zee dari hukuman. Dia tak lari dari kelas pun. Kalau saya, memang betul.”

Cikgu Gio memandangku. “Jadi kamu buat apa kat sini?”

“Sa…saya cari gelang, cikgu.”

“Gelang kamu hilang?”

“Eh, kau masih cari gelang itu, Zee?” soal Sam. “Lupakan saja pasal gelang tu.”

“Tak boleh. Aku mesti cari gelang tu.”

Sam memandang Cikgu Gio. Dia menepuk dadanya sendiri dua kali. “Sebagai sesama lelaki, pasti cikgu tahu yang lelaki akan kelihatan lebih kacak saat menolong perempuan cantik? Jadi biarkan Sam Alqori yang menjalani hukuman itu dua kali ganda. Zee akan menonton aksi saya dari bawah tiang gol bola keranjang. Jadi saya tak akan terlanggar tiang itu lagi.”

Cikgu Gio ketawa kecil. “Ya, sudah. Sekarang pergi lari.” Dia menoleh kepadaku. “Tugas kamu mencatat pada saat berapa degupan jantung Sam menjadi laju atau perlahan.”

“Hah?”

Dia ketawa lagi. “Taklah. Gurau je. Sudah. Pergi sana. Saya akan perhatikan kamu berdua dari sini. Kamu harus sampai di padang dalam masa satu minit!”

Aku dan Sam saling berpandangan. “Aku pergi padang dulu, okay? Kalau kau nak balik, balik je lah. Dia takkan marah punya. Pandailah aku cakap kat dia nanti.”

Dia terus beredar. Aku tersenyum kecil. Tapi mana mungkin aku harus membiarkan dia menjalani hukuman itu sendirian. Jadi aku menyusulnya dari belakang. Tetapi saat melintas di depan koperasi yang sudah hampir tutup, aku singgah dan membeli sebotol air mineral. Kemudian aku pergi ke kelas. Cuma begku dan beg Sam saja yang masih ada di atas meja. Tidak ada yang membawanya keluar. Aku menyimpan barang-barangku ke dalam beg sebelum meraih beg Sam. Kemudian aku keluar semua membawa beg dan minuman yang kubeli tadi.

Di padang, Sam sedang berlari dengan santai di bawah terik matahari. Dia melambaikan tangan saat melihat aku datang dan duduk di bawah tiang gol bola keranjang yang agak teduh. Meskipun aku rasa sedikit malu dan kekok, aku membalas lambaianya. Untuk seketika, aku leka memerhatikan dia berlari. Di pangkuanku ada beg sekolahnya serta minuman untuknya.

Tiba-tiba muncul Cikgu Gio di sebelahku lalu meniup wisel. “Cukup Sam! Sudah selesai! Boleh balik sekarang. Jangan buat lagi!”

Sam tersengih dan berlari menghampiri kami. “Terima kasih, cikgu,” ujarnya agak termengah-mengah. Dia segera duduk di sebelahku. “Penat gila. Ok, nanti aku tak nak kahwin lari.”

Cikgu Gio menunjal kepala Sam. “Mulut kamu,” ujarnya separuh geram, separuh lucu. “Ada ke perempuan yang nakkan kamu?”

“Ah, macamlah cikgu pun laku.”

Cikgu Gio tertawa lagi. “Sedihlah saya lepas ni takkan jumpa kamu lagi. Mana saya nak cari orang macam kamu?” Dia kemudiannya mengangkat telunjuknya ke arah Sam seperti sedang mengugut. “Lepas ni kamu mesti jadi orang yang berguna, okay? Saya tak nak jumpa kamu jadi pemandu bas. Kalau pun betul kamu tak sepandai orang lain, manfaatkan badan kamu yang macam atlit ni.”

Sam menggaru kepala. “Cikgu ingat ya, jangan langgar peraturan lalu lintas. Kalau tak nanti saya saman cikgu. Tak kisahlah bekas cikgu ke apa.”

Cikgu Gio tertawa terbahak-bahak. “Oh, nak jadi polis trafik ke? Bolehlah. Terpulang pada kamu. Saya balik dulu ya.” Dia kemudiannya beredar meninggalkan kami dan kembali ke bilik guru, meninggalkan aku dan Sam berdua di situ.

“Minum dulu,” ujarku sambil menghulurkan botol air mineral yang masih dingin padanya. Dia menyambutnya dan terus meneguknya sampai habis. Aku tersenyum senang.

“Thanks bawakkan beg aku,” katanya sambil mengambil begnya dari pangkuanku. “Vini tu sejak rapat dengan Jo dah lupakan aku. Selalunya dia yang akan campak beg ni kat muka aku.”

Aku cuma diam dan senyum. Kurang pasti dengan apa yang harus aku katakan.

“Eh, kau nak datang rumah aku? Hari tu kan aku janji nak belanja makan mee ayam. Sekarang, nak?”

“Sekarang?” soalku. Aku menatap jam pada layar telefon bimbitku. Hampir petang. Dan setahuku hari ini Mama bekerja syif siang. Aku mengangguk. “Tak menyusahkan ke?”

Sam tidak menyahut, dia sudah pun bangun dan menyandang begnya. Dia menghulurkan tangan padaku. “Cepat!”

Aku menepis tangannya. “Aku boleh bangun sendiri.”

Sam menarik tangannya kembali. “Tunggu sini kejap. Aku ambik motor.” Dia kemudiannya bergegas ke tempat letak motosikal. Tidak lama aku menunggu sebelum dia kembali dengan motosikalnya. Satu topi keledar diserahkannya padaku.

Selepas memakai topi keledar, aku membonceng motosikal Sam dalam posisi mengiring. Sebelah tanganku memegang pinggang Sam. Satu lagi memegang erat beg sekolahku di pangkuan. Saat motosikal melaju, aku mengeratkan peganganku ke pinggang Sam.

“Maaf ya kalau badanku busuk. Tadi kan baru lepas PJ,” ujarnya sambil menatap terus ke depan.

“Eh, taklah. Biasa je,” balasku. Dan aku tak bohong. Badannya tidak berbau walaupun dia sedang berpeluh. Dan entah kenapa seperti ada sesuatu yang menyebabkan aku merasa aneh saat terhidu aroma dari tubuh Sam. Perutku seperti memulas-mulas, jantungku berdegup kencang dan nafasku menjadi pendek tidak teratur. Tetapi anehnya semua itu membuatku rasa gembira.

Tiba-tiba motosikal itu membrek mendadak. Sam memaki. Aku terdorong ke depan, tanganku semakin erat memeluk tubuhnya. Topi keledar kami berlaga. “Hati-hati Sam!” tegurku.

“Kau tak nampak tadi ada kambing yang melintas?” ujarnya setelah kembali melajukan motosikalnya. “Sorry ye. Bukan sebab saja-saja nak buat kau peluk aku…hehe…” tambahnya.

Aku menghela nafas yang sejak tadi tertahan. Diam-diam aku tersenyum. Seterusnya kami hanya diam sehingga sampai ke rumah Sam.

“Nah, selamat datang ke rumah aku.”

Motosikalnya berhenti di depan sebuah rumah kayu dua tingkat. Tidak jauh dari pinggir jalan. Aku turun. Sam menolak motosikalnya ke halaman rumahnya dan memarkirnya di situ.

“Woi! Sam! Balik jugak kau akhirnya…”

Vini rupanya. Dia berada di sebelah rumah Sam, lebih tepat lagi di sebalik sebuah warung menjual apam balik. Ayatnya terputus saat melihat kehadiranku. “Eh, Zee! Kau buat apa kat sini?”

“Aku.. itu… Sam…”

“Kau ni member jenis apa?” pintas Sam. Matanya merenung tepat pada Vini. “Kau tahu tak, tadi aku didenda Cikgu Gio. Dahlah kau tak tolong aku, beg aku pun kau tak ambikkan. Nasib baik Zee ada. Jadi sekarang aku nak belanja dia makan mee ayam sebab dah tolong aku. Kau pergi mana tadi hah?”

Vini menarik muka masam. “Sorry. Tadi Jo sudah tunggu aku. Aku ingatkan kau balik dengan geng-geng kau.” “Apam balik satu,” kata Sam.

“Kalau ada balance.”

“Apam balik kau tu tak pernah ada balance.” ujar Sam. Kemudian dia menoleh ke arahku. “Jom, Zee. Makan free je.”

Aku memandang Vini. “Aku masuk dulu, Vin,” ujarku. “Oh, rumah kau pun kat sini rupanya.”

“Haah. Aku jual apam balik. Nanti aku bagi kau free satu. Tapi sekarang aku baru je bukak, belum ada orang datang beli. Emak aku kata kalau belum ada orang beli satu kotak, tak boleh bagi free kat orang.”

Aku mengangguk. “Takpe.”

Kemudian aku melangkah masuk ke rumah Sam. Rupa-rupanya tingkat bawah rumahnya adalah kedai makan. Aku melabuhkan punggung pada salah sebuah kerusi plastik di situ. Mataku tidak berhenti memandang ke sekitar. Rumah Sam jauh berbeza dengan rumahku yang mewah. Tapi suasana di sini terang benderang, tidak seperti rumahku yang suram.

“Nah, jemput makan.” Sam datang membawakan dua mangkuk mee ayam. “Aku teman kau makan, OK?” Dan beberapa saat kemudian, dia mula melahap bahagiannya.

Aku mengambil penyepit dan menggaul-gaul mi di dalam mangkuk. Tiba-tiba satu suara mengejutkanku.

“Sam, kau sudah cuci pinggan? Kenapa lambat balik?” Seorang wanita berbadan gempal separuh umur sedang menuruni tangga.

“Itu ibuku,” ujar Sam perlahan. Kemudian dia menoleh ke belakang. “Emak, aku bawak kawan.”

Aku segera berdiri, sedikit membongkok sebelum menghulurkan tangan pada ibunya. “Saya Zee, kawan sekelas Sam.”

Ibu Sam menyambut huluran tanganku. “Amboi, cantiknya kamu. Betul ke kamu kawan Sam?” soalnya sambil ketawa kecil. “Jemput makan ye? Kalau rasa nak tambah, tambah je. Jangan malu-malu.” “Nak tambah…” rengek Sam.

“Bukan kamu,” ujar ibunya sambil menepuk belakang Sam. “Cepat makan!”

Sam tertawa sebelum meneruskan suapannya.

Dalam diam, aku merasa bahagia. Sam kelihatan tenang dan gembira saat berhadapan dengan ibunya. Tadi ibunya memukul belakangnya, tapi itu bukan bentuk penyeksaan, tapi kemesraan antara ibu dan anak.

“Kenapa melamun?” soalan Sam membuatku tersentak. “Tak sedap ke?”

Aku segera menggeleng. “Aku suka tengok kau dengan emak kau.

Rapat gila. Mesti kau happy, kan?”

Sam menghela nafas panjang. “Taklah sepanjang masa happy je. Tapi aku dengan mak memang rapat dari dulu. Kau dengan ibu kau tak rapat?”

“Oh, bukan tu maksud aku. Emak kau tu nampak ceria je orangnya.”

Sam kemudian menuding ke rumah sebelah. “Kalau kau duduk sekali dengan emak aku dan emak Vini, confirm kau pecah perut gelak. Tapi emak dia pun macam emak aku jugak, garang gila. Kalau aku buat hal bukan-bukan dengan Vini confirm mati kena belasah. Emak aku pun macam tu. Sebab mereka dah sepakat, kami ni mesti sama-sama kena marah, sama-sama dijaga. Sebab tu kitorang rapat macam adik beradik.”

Aku mengangguk sambil mengukir senyum.

“Cepat makan, lepas ini aku hantar kau balik.”

Nafasku tersekat. “Eh, tak payahlah. Nanti aku balik naik teksi.”

“Eh, kenapa?”

“Ermmm..aku dah janji nak jumpa mak aku kat hospital,” bohongku. “Jadi lepas itu kami balik sekali dengan teksi.”

“Oh…” Sam mengangguk-angguk. “Okay.”

Aku kembali bernafas lega. Syukurlah. Aku tak mahu Mama marah lagi kalau dia tahu aku dihantar lelaki pulang ke rumah. Bahuku belum sembuh.

jjjjj

[Sam]

Ayah tidak pulang lagi ke rumah. Mungkin sudah kembali berlayar dengan teman-temannya. Biasanya mereka akan pergi berbulanbulan lamanya. Tapi aku tak merasa rindu. Malam ini Ghisa sudah pulang ke biliknya dan sedang menyiapkan tugasannya. Emak sudah tidur. Aku sendiri baru selesai mencuci pinggan dan menyapu kedai. Jarum jam dinding menunjuk ke angka sebelas. Tapi mataku masih belum mengantuk.

Terasa bosan di rumah, aku berhasrat mahu keluar mengambil angin. Saat aku keluar ke beranda, pandangan mataku tertumpu ke rumah sebelah. Vini juga ada di luar. Dia sedang duduk di depan kedainya, membaca buku.

Aku menghampirinya. Menyedari kehadiranku, dia nampak terkejut.

“Kau buat apa kat sini sorang-sorang?” soalku.

“Kau sorang ke?”

Aku duduk di sebelahnya. Sebelah kaki ku angkat ke atas kerusi.

“Aku lelaki. Malam-malam keluar pun tak ada masalah. Kau kan perempuan, Vini.”

Vini mengangkat bahu. “Aku nak baca buku.”

“Ya aku tahu. Tapi kau boleh baca kat dalam, kan?”

“Bil elektrik bulan lepas naik. Emak suruh aku padam lampu kalau nak tidur. Dan sekarang sudah waktu tidur, Jadi aku ke luar, menumpang elektrik kerajaan,” ujar Vini sambil menuding ke arah lampu jalan di hadapan kami.

“Nanti mata kau rosak baru tau.”

“Orang dulu-dulu pun takde elektrik. Tak rabun pun.”

Tak guna berdebat dengan gadis itu. Jadi aku mengalih perhatian pada buku yang dibacanya. “Wuthering Heights. Emily Bronte.” Aku menggaru-garu kepalaku. “Dahsyatnya. English ke? Tak pening ke kau baca?”

“Taklah. Aku pinjam dari Dilla. Buku kakaknya…hehehe. Sebab aku dah tolong dia buat kerja rumah English,” ujar Vini dengan senyuman lebar. “Mana ada benda free dalam dunia ni.”

Aku tertawa. “Pandai. Jadi selamat la duit kau kan?’

“Sam, lepas ini kau nak ke mana?”

Aku diam sejenak, kebingungan. Walaupun ragu-ragu, aku menuding ke arah rumahku. “Balik. Tidur. Kenapa? Kau nak pegi mana?”

Vini mencubit lenganku kuat sehingga aku berteriak kesakitan. Saat mengelus-ngelus bekas cubitan yang rasanya seperti terbakar, aku mengomel. “Tenaga kau tu boleh tukar jadi tenaga elektrik!”

“Bodohla kau ni,” sungutnya. “Maksud aku, tak lama lagi kita kan nak habis sekolah. Apa rancangan kau? Masuk U ke terus kerja?”

“Oh, yang itu. Ingatkan apa.” Aku melempar pandangan ke jalan kecil di hadapan rumah kami. Serta merta moodku berubah. “Tak tahu.”

“Dulu kan kau pernah cakap kau nak jadi polis.”

Aku tertawa kecil. “Gurau je tu.”

“Jadi? Kau nak sambung belajar? Borang biasiswa semalam kau masih simpan kan?” soal Vini. “Kalau berjaya dapat biasiswa dan lulus ujian kemasukan, tak perlulah keluarkan duit untuk belajar.”

Aku kembali memandang Vini. “Vin, otak aku ni kalau bab belajar lembab sikit. So tak guna lah sebenarnya kalau aku dapat biasiswa pun. Sebenarnya aku nak terus kerja. Tapi aku tak tau nak kerja apa. Yang ada tulang empat kerat ni je lah.” Vini mengangguk-angguk. Dia diam saja.

“Kau? Dah tau nak sambung bidang apa?”

Vini mengeluh berat. “Itulah yang aku tengah fikirkan. Tak tau nak sambung bidang apa.”

“Astaga! Kau kan budak pandai. Semua subjek pun kau pandai. Patutnya takde masalah pun kau nak pilih jurusan apa pun. Kalau aku jadi kau---”

“Itulah masalahnya Sam. Kalau kau pandai dalam semua subjek, bila disuruh pilih satu, terus confuse. Aku tak yakin sebenarnya.”

“Hmmm.. macam ni lah. Kau minat apa?”

“Baca buku.”

Aku menumbuk lengan Vini kali ini, tapi tidaklah begitu kuat. Aku tak mahu ibu Vini keluar dari rumahnya membawa parang kemudian menarik bajuku dan menjerit “Kau buat apa dengan anak aku, hah???”

Dan kemudiannya aku akan terlantar di ICU.

“Hish! Kau ni kenapa?” balas Vini sambil menggosok-gosok lengannya. “Salah ke jawapan aku?”

“Baca buku itu bukan bidang pengajian. Itu hobi.”

“Eh, baca buku seharusnya bukan hobi tapi kebiasaan,” ujar Vini, tidak mahu kalah.

“Tadi kan kita bercakap tentang kursus. So?”

Vini terdiam, matanya merenung jalan raya di hadapan kami. “Emak suruh aku ambil bidang perubatan. Lulusan bidang perubatan kan takde yang menganggur. Ayah setuju je janji aku dapat biasiswa. Apa pendapat kau?”

“Rasanya kau takkan ada masalah pun kalau kau ambik bidang perubatan. Dan aku pasti kau mesti akan lulus cemerlang macam biasa. Tapi hati kau macam mana? Apa yang kau nak? Buat apa hidup kalau tak boleh ikut hati sendiri. Buat apa Tuhan bagi kau nyawa kalau semua benda pun orang lain tentukan?”

Vini tersenyum nipis. “Kau ni kadang-kadang normal juga kan?”

“Hey! Jangan pandang aku sebelah mata OK?”

Raut wajah Vini tiba-tiba berubah ingin tahu. “Eh, tadi kenapa tiba-tiba kau bawak Zee datang? Terkejut aku. Kalau kau datang bawak orang lain mungkin taklah pelik sangat. Tapi ni Zee kot? Anak orang kaya. Dia tak geli ke masuk rumah kau?”

Aku mengangkat bahu. “Kan tadi aku dah cakap, dia tolong aku kat sekolah. Tapi rasanya tadi takde pun dia kekok ke, geli ke. Rumah aku bersih apa? Buruk je.”

“Manalah tau,” balas Vini. “Nampaknya dia dah makin mesra alam sekarang. Dulu masa baru masuk kelas kita senyap je. Kalau ditanya pun angguk atau geleng je.”

“Dah biasa la tu dengan kelas kita.”

Vini kembali membuka buku di pangkuannya. “Aku rasa macam ada something yang pelik pasal dia. Dia tu baik tapi macam tak suka orang rapat sangat dengan dia.”

Aku mengangguk. “Kan? Lagi pun kau perasan tak? Badan dia selalu lebam-lebam. Tadi pun aku tertepuk bahu dia, slow je. Tapi dia jerit kuat macam tengah sakit.”

Vini menoleh ke arahku. “Kalau kau nak terus berkawan dengan dia, baik-baik sikit. Jangan masuk campur urusan hidup dia. Orang macam tu pantang diusik. Macam daun semalu. Kau usik sikit terus kuncup.”

“Tapi kalau dia kawan aku dan aku ambik berat pasal dia, tak salah kalau aku nak tahu kan? Kalau dia ada masalah pun aku patut tolong. Itu baru namanya kawan.”

“Tapi tak bermaksud kau boleh masuk campur urusan peribadi dia. Lainlah kalau macam kau dengan aku. Kita dah macam adik beradik, bukan kawan je.”

Kata-kata Vini itu ada benarnya. Aku tak layak masuk campur urusan Zee. Tapi firasatku mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Seperti ada jeritan minta tolong di sebalik sinar matanya. Entah kenapa aku merasa ada sesuatu yang tidak kena dengan sikapnya yang suka menyendiri dan tidak mahu bergaul dengan orang di sekelilingnya. Dan lebam-lebam itu, mustahil itu semua kerana dia terjatuh di bilik mandi.

Jujur aku katakan, aku sudah mula sukakan gadis itu. Dan kalau aku sudah sukakan seseorang, aku tidak akan berhenti memerhatikannya walau sesaat pun. Dengan apa cara sekalipun, aku mesti menyiasat perkara ini.