Jangan Baca Novel Ni - Chapter 8
?Bab 8 (14/4/2014)

Munir membuka matanya. Dia melihat ke kiri. Kerusi penumpang di sebelahnya itu kosong. Adib tak ada di situ. Munir keluar dari kereta dan menuju ke tengah jalan.

Wanita tadi masih ada di situ. Berdiri membongkok dengan kepala tertunduk ke bawah. Adib ada di sebelahnya.

Sedang memegang tangan wanita misteri itu. Munir mendekati mereka berdua.

Dia menarik tangan Adib namun Adib tidak mahu melepaskan tangan wanita itu. Munir menarik tangan Adib dengan kuat lagi. Tindakan Munir itu membuatkan wanita tersebut memanggungkan kepalanya dan menjerit dengan kuat sekali. Sehingga membingitkan telinga Munir.

Munir menekup kedua belah telinganya. Wanita itu terus menjerit dengan mulut yang ternganga luas. Terlalu luas sampai menampakkan giginya yang hitam dan lidahnya yang berdarah. Jeritan wanita itu semakin meruncing.

Semakin lama semakin kuat hingga akhirnya tubuh wanita itu memancar dengan api yang menjilat dari hujung kaki ke kepalanya. Wanita itu meronta-ronta dalam kesakitan. Suara ngilaiannya membuatkan Munir hampir rebah dalam kegerunan.

“Arrgggghhhh!!!”

“Munir… Munir! Bangun!”

“Hah!? Saya dekat mana ni mak?”

“Kat dalam bilik la. Kamu mimpi ni…. Dah, bangun. Istighfar banyak-banyak. Dah subuh ni. Bangun sembahyang.”

Munir bangun dan meraba tubuhnya. Basah lencun dengan peluh. Dia mengelap dahi dan lehernya yang meleleh dengan peluh sejuk.

Dia menoleh ke kanan. Adib masih tidur dengan nyenyaknya. Munir membetul-betulkan selimut yang membalut tubuh Adib sebelum turun dari katil dan menuju ke bilik air untuk mengambil wudhuk.

“Mimpi apa tadi teruk sangat?” soal Ramlah sebaik selesai solat subuh berjemaah dengan anaknya.

Munir teragak untuk menjawab.

“Entahlah…”

“Ada apa-apa yang berlaku semalam?”

“Kenapa mak tanya?”

“Saja…”

Munir diam seketika.

“Saya hampir terlanggar seorang perempuan yang duk berdiri tengah jalan semalam. Tapi bila dicari lepas tu tak ada pulak. Hilang.”

Ramlah diam. Mukanya serius.

“Kenapa mak buat muka macam tu? Tak ada apa-apalah mak. Barangkali orang tak betul kut…” sambung Munir setelah perasan riak wajah ibunya yang berubah setelah mendengar ceritanya.

Munir bangun dan melipat kain sejadah. Apabila dia lalu di tepi ibunya untuk ke dalam bilik, Ramlah dengan tiba-tiba menyambar tangan Munir. Dia menggenggam tangan Munir dengan kuat.

“Kenapa mak?” soal Munir yang agak terkejut dengan tindakan ibunya itu.

“Mak cuma nak pesan. Dalam dunia ni bukan hanya ada kita saja. Kadangkala manusia terlalu angkuh dengan memikirkan yang seluruh alam ni hanya milik kita saja.”

Munir merasa pelik dengan pernyataan itu.

“Mak cakap pasal apa ni? Hantu?” soal Munir terus terang.

“Pergi tengok budak tu… entah ke dah bangun,” Ramlah menukar topik. Dia melepaskan tangan Munir dan terus mencapai Al-Quran di sisinya. Kitab suci itu dibuka pada muka yang telah ditanda dengan lidi penunjuk. Munir hanya memerhatikan kelakuan aneh ibunya tanpa berkata apa-apa. Tak tahu hendak memberikan respon yang bagaimana.

Munir menuju ke biliknya untuk memeriksa Adib. Ketika hendak membuka pintu, dia terdengar seperti suara orang bercakap-cakap di dalam. Lebih aneh lagi suara itu seperti suara seorang wanita.

Munir dengan cepat membuka pintu bilik. Kelihatan Adib sedang duduk bersila di atas katil. Dia seolah-olah sedang menghadap sesuatu di hadapannya.

“Adib cakap dengan siapa?”

“Dengan mak Adib…”

“Mak Adib mana ada dekat sini.”

“Yalah. Dia dah pergi. Dia takut abang nampak dia,” kata Adib sambil menunjuk pada arah tingkap.

Munir cepat mengalih pandangannya pada tingkap bilik yang terbuka dan berdentum-dentam dipukul angin subuh yang dingin.

...bersambung

Bab akan datang:

Benarkah Adib bercakap dengan ibunya? Kenapa ‘ibu’ Adib takut dengan Munir?