INSECURE - 11
[Sam]

Aku pergi menjenguk ayah. Hari ini dia akan dibebaskan dari penjara. Sebelumnya aku pernah menjenguk dia tapi cuma sesekali. Paling kurang dua bulan sekali. Kali pertama aku datang ke sini dengan pakaian seragam lengkap, dia hampir-hampir tidak mengenaliku. Dan saat dia menyedari polis yang datang melawatnya adalah anaknya sendiri, dia tergamam.

Nah, mungkin dia tidak pernah sangka yang anaknya akan jadi polis. Anak yang selama ini dikatakan bodoh, cuma tahu makan dan tidur di rumah sudah menjadi orang yang berjaya. Malah, guru-guru sekolah menengahku dulu juga semuanya terkejut. Aku sendiri juga masih tidak percaya yang aku sudah berjaya menjadi seorang polis. Ini dikira satu keajaiban juga buatku.

Berbalik kepada kisah ayah. Aku menunggunya di luar penjara. Dia sudah tidak memakai baju banduan, sudah menukarnya kepada kemeja dan seluar jeans. Aku yang membelikannya sebulan lepas. Lalu kami duduk sebentar di bangku panjang di depan ruang melawan. Berbual-bual.

“Lepas ni ayah nak ke mana?” soalku. Yang pasti, aku tidak mahu dia kembali ke rumah kami. Dia dan emak sudah bercerai, jadi aku tidak mahu dia merayu emak untuk menerimanya kembali. “Ada kawan aku yang ajak berlayar lagi. Kali ni kapal lagi besar jadi perlukan ramai orang,” jawabnya.

“Kalau balik dari berlayar nak tinggal dekat mana? Dah ada rumah? Nak aku tolong carikkan?”

Ayah menggeleng. “Lepas ni aku nak kahwin lagi. Ada adik kawan aku baru menjanda. Minggu depan aku kahwin dengan dia, sebelum aku pergi. Aku balik nanti pun enam bulan sekali. Jadi tak payah susah-susah carikkan aku rumah.” Mudah sekali bagi dia mencari pasangan.

“Baguslah. Memang elok ayah kahwin baru. Tapi aku mintak sesuatu dari ayah. Jangan sesekali pukul isteri atau anak-anak ayah lagi.”

“Tak payah ceramahlah. Aku taulah. Aku pun tak nak masuk penjara lagi. Penjara orang miskin ni menyakitkan hati. Patutnya kau sumbatkan aku dalam penjara orang kaya. Tempat yang makan rasuah semua tu. Baru selesa sikit.”

Aku mengeluh jengkel. “Sekarang yang penting ayah jangan ulang perangai buruk ayah tu,” ujarku. Aku kemudian menghulurkan sampul surat berisi wang kepadanya. “Ambiklah. Buat belanja.”

Dia mengambilnya walaupun kelihatan sedikit gugup. “Terima kasih. Banyak duit kau sekarang?”

Aku mencebik. “Biasa je lah. Tapi bolehlah buat renovation rumah dengan kedai. Kedai pun dah makin besar. Pelanggan emak dah makin ramai. Kakak Ghisa pun tak payah susah-susah kerja nak cari duit lebih. Dia dah sambung degree sekarang. Duit gaji aku memang semua untuk emak dengan kakak. Kalau benda lain aku

tak mampu lagi. Tunggu aku naik pangkat nanti.”

Ayah memasukkan wang itu ke dalam beg sandangnya. Beg itu juga aku yang belikan untuknya. Aku isi dengan beberapa helai pakaian, kain sarung dan ubat-ubatan. “Kau boleh hantar aku balik?” soalnya.

“Pergi rumah bakal isteri ayah?”

“Emak kau tak mungkinlah akan kembali dengan aku. Dia kan dah ada korang yang boleh jaga dia. Senangkan hidup dia.”

Suasana hening seketika. Ya, memang aku akan berusaha menyenangkan hidup emak. Dan emak tidak akan pernah kembali semula bersama ayah.

“Ada lagi yang kau nak cakap? Boleh kita pergi sekarang?”

“Ada,” ujarku. “Aku nak ayah minta maaf dekat emak dan Ghisa. Dan aku.”

“Kenapa aku kena minta maaf? Aku kan dah kena hukum?”

“Ayah,” panggilku lembut. “Betul ayah dah terima hukuman. Tapi ayah kena mintak maaf jugak. Aku kan dah mintak maaf dengan ayah dulu. Memang salah aku sebab pukul ayah. Sekarang giliran ayah pulak kena mintak maaf. Ayah pun pernah pukul kami semua.”

“Seorang ayah mana boleh mintak maaf dengan anak-anak?” sanggah ayah.

“Salah tu. Kalau kita ada buat kesalahan, mesti mintak maaf tak kiralah kalau orang tu muda dari kita sekali pun. Ayah tak rasa bersalah ke?”

“Aku kan sudah mengaku salah,” jawabnya masih berdegil.

“Kenapa perlu mintak maaf?”

“Aku akan sampaikan salam maaf ayah dengan emak dan kak Ghisa.”

“Ikut kaulah.” Ayah kembali berdiri. “Cepat hantar aku sekarang.”

Aku juga berdiri. Kemudian aku menarik tubuh ayah ke dalam pelukanku. Itulah kali pertama aku memeluknya lagi sejak aku remaja. Bahkan aku tidak begitu ingat adakah aku pernah memeluk ayah saat aku masih kecil.

Aku berbisik. “Aku sayang ayah. Emak dan kakak pun sayangkan ayah. Hiduplah dengan tenang. Layanlah orang di sekeliling ayah dengan baik, lagi-lagi keluarga sendiri.” Kemudian aku melepaskan pelukan itu.

Ayah terdiam. Kemudian dia merenungku lama. “Baiklah. Aku akan ingat pesan tu. Terima kasih banyak-banyak. Dan mintak maaf sebab dah menyusahkan kamu semua.” Ayah sudah mengatakannya.

Aku megangguk. “Aku yakin kalau orang yang baik, pasti boleh jadi baik semula walaupun dia pernah tersesat,” kataku. “Aku hantar ayah sekarang.”

“Jaga emak dan kakakmu, ya? Kita mungkin tak akan pernah berjumpa lagi.”

Meskipun dadaku terasa sesak, aku tetap mengangguk. “Ya. Aku akan jaga emak dengan kakak, walau apa pun terjadi. Aku janji.” Ayahku tersenyum. Aku pula rasa ingin menangis.

jjjjj

[Zee]

Kereta itu berjalan dengan kelajuan sederhana membelah jalan raya. Yang memandu ialah Abang Ibi. Di sebelahnya Vini. Aku dan Sam duduk di belakang. Hari ini kami semua berpakaian cantik terutama Vini. Abang Ibi dan Sam tidak bertugas hari ini. Mereka santai berpakaian kemeja dan seluar jeans. Aku memakai seluar jeans ketat yang dipadankan dengan blaus tanpa lengan dan kasut tumit tinggi. Wajahku disapu mekap tipis. Vini pula memakai skirt paras lutut dan blaus dengan kolar mandarin berwarna biru mengikut bentuk badan. Ada selendang yang menghiasi lehernya. Rambutnya disanggul dan dihias sepit rama-rama di sebelah kiri. Dia memakai kasut yang bertapak rata.

Wajahnya yang dulu polos kini kelihatan cantik selepas disapu mekap. Kalau dari dulu dia berdandan dan berpakaian cantik, pasti dia sudah menjadi pujaan ramai orang.

Saat Sam menjalani kursus asas kepolisan, aku sibuk dengan pengajianku serta aktiviti sebagai sukarelawan di sebuah rumah kebajikan kanak-kanak. Vini dan Abang Ibi menjadi semakin rapat. Mulanya saat aku mengajak Vini menemaniku ke rumah Papa untuk melawat dan membawa buah-buahan kepada Makcik Olla. Saat itu Vini duduk di ruang tamu sambil melihat-lihat kertas-kertas yang tidak tersusun di atas meja. Kemudian tibatiba dia menunjuk sesuatu dengan tangan kirinya dan berseru dalam bahasa Inggeris. Satu petunjuk. Meskipun dia sebenarnya sedang bercakap dengan dirinya sendiri, Abang Ibi yang sedang menaip sesuatu dalam laptop di sebelahnya terkaget. Aku juga terkejut. Orang yang menjadi tumpuan tidak peduli dia sedang diperhatikan. Seolah-olah apa yang dilakukannya itu bukan perkara yang luar biasa. Dari saat itu, mereka berdua semakin rapat. Dan akhirnya mereka menjalin hubungan cinta.

Sekarang ada dua pasang kekasih di dalam kereta yang sedang menuju ke sebuah kedai buku besar, tempat dimana pelancaran novel pertama Vini akan dilangsungkan. Selain sibuk dengan pelajaran, Vini masih tetap menulis. Tapi baru tahun ini dia berjaya. Dia mengambil idea kisah pahit aku dan Sam, mengolahnya menjadi sebuah cerita dan menyertai sebuah pertandingan menulis novel. Dia menang dan berjaya mencapai impiannya.

Aku dan Sam tidak kisah. Membantu orang meraih rezeki dari kisah yang kami alami, bukankah itu sesuatu yang baik?” “Woi, Vini. Cantik kau kalau tak bukak mulut,” ujar Sam.

“Diamlah!” balas Vini garang. “Aku nervous ni!”

Dan Sam akan ketawa besar. Dia suka sekali melihat wajah Vini yang geram akibat diusik.

Begitulah Sam dan Vini, tetap menjadi sahabat dan saudara yang selalu bertengkar tetapi saling ada untuk satu sama lain. Aku sangat beruntung kerana mengenali mereka. Mereka membuat aku sedar yang aku tidak perlu menyenangkan orang supaya mereka mahu berkawan denganku. Persahabatan itu akan terbentuk dengan sendirinya jika kita saling memerlukan dan melindungi.

Mama sudah pulang ke rumah dan kembali bekerja di hospital. Sekarang dia sedang rapat dengan seorang juruteknik yang bekerja di hospital itu juga. Aku pernah bertemu dengannya dan aku rasa dia seorang yang baik. Papa tetap bersama Makcik Olla dan Abang Ibi. Sekarang hubungan antara keluarga kami jauh lebih baik.

Aku berharap tidak akan ada lagi Zee Rasyid beberapa tahun lalu di luar sana. Ataupun Sam Alqori beberapa tahun lalu di luar sana. Semua anak berhak bahagia walaupun keluarganya berantakan.

Dan setiap anak berhak mendapat perlindungan dari keluarganya dan juga undang-undang.

“Awak…” Sam menyentuh lenganku. “Kenapa berangan?”

Aku menggeleng perlahan sambil tersenyum nipis. “Teringatkan kisah dulu. Hidup saya beberapa tahun lepas. Kalau diingat-ingat, memang sedih, kan?”

Sam mengusap kepalaku. “Ya, tapi sekarang kan semua dah lain. Takde yang awak perlu risaukan lagi.”

Kereta berhenti di persimpangan lampu isyarat. Lampu merah. Saat itu terdengar kekecohan di sebelah kami. Aku menoleh. Rupanya ada sepasang kekasih yang menunggang motosikal sedang bertengkar. Mereka menjadi tumpuan orang yang sedang menunggu lampu hijau di situ. Yang gadis turun dari motosikal dan memaki-maki. Dia menanggalkan topi keledarnya dan terus menyerahkannya pada pasangannya yang sedang berusaha menahan tangannya. Kemudian gadis itu menampar muka kekasihnya. Gadis itu beredar, melintas jalan dan menghilang. Kekasihnya hanya duduk di atas motosikal. Dia sudah berhenti memanggil-manggil gadis itu saat gadis itu sudah semakin jauh.

Lampu hijau menyala. Semua kenderaan bergerak kembali.

Aku kembali memandang ke depan, cuba melupakan apa yang baru saja aku lihat. Aku menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskannya perlahan. Aku menggigit bibirku. Ada persoalan yang muncul di benakku.

“Zee.. kenapa ni? Berangan lagi?”

Aku pun bertanya padanya. “Kenapa hubungan lelaki dan perempuan selalu macam tu. Perasaan cinta itu akan buat orang saling menyakiti?”

Sam mengusap kepalaku. “Itu orang lain, bukan kita. Kan saya sudah janji akan bahagiakan awak, bukan sakitkan hati awak. Awak tak percaya?”

“Saya cuma takut kalau ending dia jadi macam Papa dengan Mama,” bisikku.

Sam menggenggam tanganku dan meramasnya lembut. “Saya janji, saya takkan tinggalkan awak. Saya janji akan jaga awak sampai bila-bila. Ini sumpah saya sebagai seorang lelaki. Saya sendiri pun pernah jadi mangsa perbuatan seorang lelaki. Jadi tak mungkin saya akan buat tu dekat isteri dengan anak-anak saya, kan? Saya janji. Dan saya janji takkan bertindak macam Papa jugak. Hubungan kita akan jadi lebih baik sebab kita belajar dari kesilapan yang mereka dah buat. Kita belajar jadi orang yang kuat sebab pengalaman pahit. Jadi orang yang lebih baik.”

Aku mengangguk perlahan. “Awak takkan tinggalkan saya kan?

Saya nak fokus dengan karier je. Awak akan sokong saya kan?”

Sam mengangguk yakin. “Saya janji.”

Aku tersenyum lega. Tangan Sam semakin erat menggenggam tanganku. Dalam genggaman itu, Sam menjanjikan kesetiaan dan perlindungan untukku. Dia berjanji dengan sepenuh hatinya.

Dan tak ada yang lain yang boleh aku lakukan, selain…percaya.