MURTAD LIVERPOOL - Nasron Yasin
Nasron Yasin atau dalam dunia maya menggunakan nama Jorji dan UltraJang dilahirkan di Kuala Pilah dan sekarang menetap di Seremban, Negeri Sembilan.

Minat terhadap bola sepak bermula semenjak kecil tetapi lebih tepat pada tahun 1983 (ketika itu berumur 9 tahun) selepas menyaksikan perlawanan akhir Piala Eropah di antara Hamburg FC dan Juventus yang disiarkan di TV2. Melalui zaman kegemilangan bola sepak tempatan dari zaman Mokhtar Dahari, Santokh Singh, Soh Chin Aun di Pestabola Merdeka sehinggalah ke zaman profesional sekarang. Perlawanan paling diingati ialah ketika Selangor menentang Singapura di Stadium Merdeka dimana pasukan Selangor dibarisi oleh Arumugam, Santokh Singh, Soh Chin Aun, Khan Hung Meng sementara Singapura pula oleh trio Fandi Ahmad, K. Kannan dan Malek Awab sementara David Lee sebagai penjaga gawang. Mengikuti bola sepak Inggeris melalui TV2 dalam program Road To Wembley dan meminati Ian Rush, Bruce Grobbelaar, Peter Beardsley, Peter Shilton, John Barnes, Stuart Pearce, Kerry Dixon, Paul ‘Gazza’ Gascoigne, Gary Lineker, Gary Pallister, Steve Bruce, Paul Ince, Roy Keane, Eric Cantona dan ramai lagi.

Ini adalah buku kedua beliau selepas menghasilkan antologi cerpen bertajuk Karya Agong pada tahun 2015. Buku Karya Agong telah dilarang penjualannya oleh kedai buku MPH di seluruh Malaysia kerana mendapat bantahan beberapa pembaca, namun sehingga kini telah memasuki cetakan ketiga.

Mula menulis dan menerbitkan sendiri cerita pendek, frasa kata dan puisi pada lewat tahun 90-an di dalam zine Inggeris, Pills dan Paranoid art zine. Seterusnya mengikut arus perdana dengan bercerita di blog lkny.blogspot.com dan blog bola sepak paling power di dunia, sokernet.blogspot.com

Sekarang menulis hal bola sepak Malaysia dilaman web bola sepak paling adil, mesra dan betul; ultrajang.com.