INSECURE - 8
[Zee]

Aku baru selesai mengulangkaji nota-nota yang diberikan oleh tutorku. Soalan-soalan yang diramalkan keluar dalam ujian kemasukan ke universiti nanti. Aku sedang menyusun buku-buku di dalam bilikku. Jam sudah hampir pukul 12 tengah malam dan aku perlu tidur.

Rasanya seperti ada beberapa buah buku milikku yang tidak ada. Aku menyelongkar beg, mencari-cari di atas meja dan di rak buku tetapi masih tidak bertemu. Buku latihan pengetahuan am dan psikologi milikku tidak ada.

Telefon bimbitku berdering. Aku melirik layarnya, ada nombor yang tidak kukenali. Walaupun ragu-ragu, akhirnya aku menjawab panggilan itu. “Hello?”

“Hello, Zee! Ini aku, Sam.”

“Sam?” soalku agak terkejut. “Ini telefon siapa?”

“Telefon Ghisa. Kau belum tidur?”

Aku menggeleng. Kemudian tersedar yang kami sedang bercakap di telefon, aku menjawab. “Belum. Kenapa telefon malam-malam macam ni?”

“Aku baru balik dari ujian bertulis. Ada berita baik.”

Dan aku baru teringat, sejak seminggu yang lalu Sam sudah mula sibuk dengan bermacam-macam persiapan untuk ujian kelayakan untuk memasuki kursus asas kepolisan yang dipohonnya. Dan hari ini dia menjalani ujian bertulis. “Haah… aku lupa pulak. Jadi macam mana? Lulus tak?” soalku agak kurang sabar.

“Mestilah! Lulus! Aku berjaya pergi ke peringkat seterusnya! Hebat tak aku? Hahaha! Takde meniru ok? Gila sangat nak meniru kalau yang jaga tu polis yang muka sorang-sorang pun menakutkan gila. Tapi syukur, aku lulus”

Aku tersenyum lebar. “Kan aku dah cakap. Kalau kau belajar, mesti boleh punya. Tahniah Sam!”

“Ya, terima kasih sebab sudi ajar aku. Nanti aku pulangkan bukubuku kau ye? Berguna gila. Soalan pun hampir sebijik. Tukartukar sikit je.”

Baru aku teringat yang buku-buku itu aku pinjamkan kepada Sam. Aku mengajarnya cara menjawab soalan di dalam buku-buku itu setiap hari selepas tamat kelas tuisyen. Sam nampak tekun dan bersemangat.

“Tak payahlah. Simpan je. Nanti aku beli baru.”

“Ish.. tak naklah. Banyak sangat budi kau dekat aku. Nanti aku tinggalkan dekat Vini kalau aku tak sempat pergi rumah kau. Dia sekarang memang kat rumah je. Selalu bad mood sebab risau pasal result UPU tu.”

“Okay. Esok lepas tuisyen aku pergi ke rumah dia. Eh lupa pulak, berapa markah kau tadi?”

“63. Hebat tak?”

Tawaku terhenti. “63?”

“Zee, kalau orang otak lembab macam aku, dapat lulus pun dah kira habis hebat. Lagi-lagi kalau memang hasil usaha sendiri, bukan meniru. Lainlah orang pandai macam kau, kalau dapat 95 markah, gigih cari kenapa kurang 5.”

Aku mengeluh berat. “Berapa markah paling tinggi? Markah lulusnya berapa?”

“Kan aku dah kata, markah 60 ke atas baru dikira lulus. Markah aku tadi 63.” ujarnya girang. “Markah paling tinggi tadi kalau tak silap aku 70.” “70? Serius?”

“Ye lah. Yang ikut ujian tadi pun lebih kurang aku je, bukan pandai sangat. Hahaha! Badan je besar, tapi bab exam tu memang lembablah.”

Aku ketawa. “Jadi sekarang kau tak rendah diri lagi, kan?”

“Taklah. Aku rasa aku ada harapan. Lepas ni masuk bab ujian fizikal dengan kesihatan je. Doakan aku tau? Kalau aku lulus, kira dah sebelah kaki dah masuk akademi polis. Tak sangka aku boleh sampai ke tahap ni.”

Aku mengulum senyum. “Aku doakan kau berjaya. Aku tumpang gembira. Dah lah. Pergi tidur. Dah lewat dah ni. Aku pun nak tidur dah.”

“Haah. Ghisa pun dah ketat dah muka. Takut aku habiskan kredit dial ah tu. Selamat malam, Zee. Tidur mimpikan aku tau? Hahaha!”

Aku juga tertawa. “Okay, selamat malam.”

Selepas talian termati, aku meletakkan telefon di atas meja dan kembali menyusun buku-bukuku. Aku sudah tahu di mana bukuku yang hilang tadi. Sebentar kemudian telefon bimbitku berdering lagi. Aku melirik layarnya. Nombor yang tidak dikenali lagi. Dan bukan nombor telefon kakak Sam.

“Hello?”

“Hello, ini Zee Rasyid?” suara seorang lelaki di seberang talian.

“Ya. Ini siapa?” soalku agak was-was.

“Syukurlah! Zee sayang, ni Papa.”

Papa? Keningku berkerut. “Papa siapa, ya?”

“Papa kamu. Rudi Hardi. Ini Papa, sayang. Kamu tak ingat?”

Dan seketika aku terpaku. Rasanya seperti terperangkap di dalam sebuah gelembung udara. Suara-suara yang lain tiba-tiba hilang dan aku hanya dapat mendengar suaraku sendiri. Betul ke ini Papa? Aku pasti sedang berhalusinasi.

“Hello? Zee?”

Aku kembali tersentak. “Maaf, tapi saya tak percaya. Papa saya ada kat rumah. Tengah tidur dalam bilik dengan Mama tu ha. Encik ni siapa?”

“Mama kamu dah kahwin lain ke?”

Aduh! Apa yang harus aku katakan? “Urm..taklah! Papa dan

Mama saya mana pernah bercerai?”

“Astaga, Zee. Kamu tak percaya ni Papa?”

“Tak! Cik ni siapa? Tiba-tiba je mengaku sebagai Rudi Hardi.” “Zee Rasyid, ini memang Papa. Papa tinggalkan kamu enam tahun lepas. Papa ada hadiahkan gelang dekat kamu. Ada ukiran bunga melati dan nama kamu. Masih ada atau kamu dah buang?” Papa! Ini memang Papa!

Air mataku menitis. “Bohong!” Aku cuba menahan esak tangisku. “Kamu bohong!”

“Tak, sayang. Papa tak bohong. Macam ni lah. Apa kata kita jumpa? Kalau kamu takut, ajak kawan kamu. Kita jumpa dekat tempat awam. Tapi jangan bagitahu Mama yang Papa call kamu. Takut dia tak bagi kamu jumpa Papa.”

“Ini memang Papa ke?” soalku lagi. “Kenapa baru cari aku sekarang? Dari mana dapat nombor telefon aku?”

“Nanti akan Papa jelaskan masa kita jumpa. Papa akan jawab semua pertanyaan kamu. Jangan takut, ni memang Papa.” “Tapi aku akan tetap bawak teman,” balasku.

“Baik. Tak ada masalah. Yang penting jangan bagitahu Mama kamu, ya?”

“OK.” Aku menamatkan panggilan. Kemudian aku merenung telefon bimbit yang kucampakkan di atas karpet, di hujung kakiku. Kenapa Papa tiba-tiba menelefonku? Dan kenapa aku tidak lagi kenal suaranya?

Kenapa? Siapa yang memberinya nombor telefonku? Tidak mungkin Mama, kan?

Teringat Mama, aku segera bangun dan berjalan menuju ke bilik tidurnya. Aku menolak pintu itu perlahan, tidak berkunci. Aku melangkah masuk, perlahan-lahan agar tidak membangunkan dia. Mama tidur mengiring tanpa selimut.

Aku bersimpuh di atas lantai, dekat dengan kepalanya. Merenung wajahnya yang nampak keletihan. Dalam keadaan begini, aku tidak sanggup meninggalkannya sendirian di rumah. Rancangan untuk lari dari rumah juga akan lenyap. Aku tidak boleh meninggalkan Mama, walau apa pun yang terjadi. Kami hanya ada masing-masing.

Mama kelihatan gelisah dala tidurnya. Dia mengigau. “Zee.. jangan pergi ya? Mama sayang kamu.”

Posisi tidurnya berubah terlentang. “Jangan tinggalkan Mama.” Dia berpusing lagi, kembali mengiring. Kemudian dia tenang seketika sebelum bersuara lagi. “Jangan ambil anak aku, Rudi. Jangan pergi Zee..”

Aku menutup mulutku, menahan esakan. Air mataku sudah mengalir deras.

Perempuan ini seorang ibu. Firasatnya selalu tepat. Di dalam tidurnya, Mama tetap mempertahankan diriku di rumah ini. Jadi kenapa aku harus lari.

Aku tak akan tinggalkan Mama, bisikku di dalam hati. Aku perlahan-lahan bangkit dan mengambil selimut di hujung katil. Aku menyelimutkan tubuh Mama sebelum mengucup dahinya dan berbisik perlahan. Aku sayang Mama.

jjjjj

[Sam]

Saat menunggu keputusan ujian bertulis diumumkan, aku duduk berbual-bual dengan beberapa orang teman yang baru aku kenali saat menyertai ujian kelayakan ini. Kami makan malam di sebuah warung tidak jauh dari ibu pejabat polis tempat kami menduduki ujian. Saat itu jugalah, polis bernama Ibi muncul bersama doktor yang bernama Rudi ke warung itu untuk makan malam.

Seketika mataku singgah di pergelangan tangan doktor itu. Gelang besi berukir bunga melati itu masih melingkar di situ. Dan kerana aku bukannya orang yang takut untuk berhadapan dengan sesiapa, aku meninggalkan teman-temanku dan berjalan menghampiri mereka.

“Hey, ingat aku lagi tak?” sapaku pada Ibi dengan wajah tenang.

Ibi merenungku seketika, cuba mengingat-ingat. Kemudian dia tersenyum dan mengangguk. “Ya, aku ingat. Bakal polis yang belum mendaftar.”

Aku tertawa kecil. “Ya, sekarang dah daftar,” ujarku lalu duduk berhadapan dengan mereka. “Tengah tunggu keputusan ujian bertulis.”

Aku melirik doktor itu. Dia masih sibuk dengan gajetnya.

“Biasanya keputusannya keluar lambat, mungkin malam nanti baru kamu dapat,” balas Ibi. “Kamu dah makan?” “Sudah,” sahutku.

Aku sudah tidak tahan berbasa-basi. Aku menoleh ke arah doktor separuh umur itu dan terus melontar pertanyaan. “Nama tuan Rudi Hardi?”

Doktor itu mengangkat mukanya, membalas renunganku. Keningnya berkerut, matanya mengecil. “Ya. Kenapa?” Mungkin dia tidak ingat yang kami pernah bertemu sebelum ini.

“Tuan kenal Zee Rasyid? Dia anak tuan ke?”

Matanya membulat. Aku boleh merasakan keterkejutannya. Dia tergamam seketika, tidak mampu membalas pertanyaanku.

“Dia rakan sekelas saya,” ujarku. “Gelang yang tuan pakai itu sama dengan gelang yang Zee pakai. Sebab tu saya tanya.”

Telefon bimbit Ibi berbunyi, membuat pemuda itu bingkas bangun. “Maaf ya, ada panggilan penting.” Dia beredar dari situ meninggalkan kami berdua sahaja.

Doktor itu mencondongkan tubuhnya ke arahku. “Kamu boyfriend anak aku?” soalnya perlahan.

“Zee Rasyid?” Aku menggeleng. “Kami cuma kawan.”

“Macam mana keadaan Zee sekarang?”

“Tuan kena selamatkan dia. Dia selalu diseksa Mamanya. Saya sendiri pernah nampak Mama dia pukul dia sampai berdarahdarah. Sampai lebam-lebam. Tapi sekarang dah kurang sikitlah sebab hari tu saya nampak dia buat semua tu. Mungkin dia takut saya report polis agaknya.”

Doktor itu terbeliak. Dia menghentak meja. “Kamu bergurau, kan?”

Aku spontan berdiri. “Sabar, tuan! Astaga. Janganlah marahmarah!” bebelku. “Sama je Papa dan Mama Zee rupanya. Duadua pun suka guna kekerasan! Malang betul nasib dia.”

Doktor itu sedikit tenang. Dia kembali bertanya. “Kamu tak bergurau kan? Mustahil Zee didera Mamanya sendiri?”

“Kalau tak percaya, takpelah. Saya cuma nak carik orang yang boleh tolong dia je. Sebab saya pun tak mampu nak buat apa-apa. Saya ni kawan biasa je. Tuan ingat kenapa saya kena susah-susah datang sini kalau sekadar nak buat cerita?” Aku bingkas bangun. “Saya pergi dulu.”

“Tunggu!” Doktor itu menahanku. “Kamu ada nombor telefon Zee? Boleh mintak? Tolonglah…” Riak wajahnya benar-benar sedih, merayu kepadaku seperti pengemis di kaki lima.

“Ada, asalkan tuan tak cakap dekat Zee yang saya yang bagi nombor ni. Nanti dia marah dekat saya pulak.”

“Saya janji,” ujar doktor itu sambil mengeluarkan telefon bimbitnya. “Berapa nombornya?”

Aku menyebut nombor telefon Zee yang sudah lama kuhafal.

“Terima kasih,” ujar doktor itu dengan wajah ceria. “Siapa nama kamu?”

“Panggil aku Sam,” ujarku dengan gaya seorang lelaki yang sudah berbudi.

Kemudian aku beredar kembali mendekati teman-temanku. Mereka semua memandangku dengan kehairanan bercampur takjub. Ah, kalau tidak berani berdepan dengan orang yang menakutkan, jangan berani jadi polis!

jjjjj

[Zee]

“Mama, aku balik lambat sikit hari ini, ya?” ujarku pada Mama saat aku menghubunginya. “Tengah lepak dengan kawan-kawan kat café. Takpe kan?”

“Boleh. Tapi jangan balik lambat. Sebelum pukul tujuh malam mesti dah ada di rumah. Faham?”

“Baik Ma. Aku akan balik sebelum pukul tujuh. Mama jangan risau ya? Bye!”

Aku menamatkan panggilan. Kemudian aku menoleh ke arah Vini yang duduk di sebelahku. Gadis itu sedang memerhatikan keadaan di dalam kafe itu. Mungkin ini kali pertama dia datang ke sini. Tiba-tiba dia menoleh kepadaku. “Eh, kau yang bayar air ni, kan?”

“Ya, aku yang bayar,” jawabku sambil mengetap bibir menahan tawa.

Vini tersengih. “Jus tomatonya mahal gila. Patutlah cepat kaya,” ujarnya. “Eh, lama lagi ke Papa kau?”

“Zee?”

Sebelum sempat pertanyaan Vini kujawab, seorang lelaki sudah berdiri di depan mejaku. Dialah yang memanggil namaku tadi.

Aku menelan air liur yang terasa pekat. Di hadapanku, seseorang yang sudah lama menghilangkan diri kini muncul kembali. Memang benar, dia Papa yang aku rindu. Meskipun wajahnya sudah menampakkan usianya yang semakin meningkat, tetapi renungannya masih sama. Baju seragam yang dikenakannya itu masih sama seperti dulu. Bau minyak wanginya juga masih sama. “Papa…” aku mendengar suaraku sendiri memanggilnya.

Papa menarik kerusi yang berhadapan denganku dan duduk di situ. “Maaf, Papa terlambat. Tadi ramai pesakit kat hospital.”

Aku menggeleng. Masih tidak percaya yang kini berdiri di hadapanku adalah Papa. Begitu banyak pertanyaan yang bersarang di otakku yang mahu aku cari jawapannya di dalam sorot mata yang bening itu. Begitu banyak sehingga aku tak sanggup memilihnya.

“Kamu kawan Zee, ya?” soal Papa pada Vini.

“Ya, pakcik.” Vini mengangguk. “Pakcik berbual-buallah dengan Zee. Jangan pedulikan saya,” ujarnya. Dia menoleh kepadaku. “Korang boraklah ya?”

Dia mengeluarkan sebuah novel tebal dari beg sandangnya dan mula membaca.

Aku menarik nafas dalam-dalam. Pandanganku beradu dengan mata Papa lagi.

“Urm. Papa tak pesan minuman?” Itulah soalan pertamaku pada orang yang sudah sekian lama tidak bertemu.

“Tak perlu,” sahut Papa lembut. Dia tersenyum. “Kamu dah besar sekarang. Apa khabar kamu? Mama?”

“Aku baik. Mama pun. Papa apa khabar?”

“Papa pun baik. Kamu dah tamat sekolah menengah kan? Dah start kelas di U?”

“Dah pa. Tengah tunggu keputusan ujian kemasukan ke U. Sebab nak ambik bidang undang-undang. Kan ada exam khas.”

“Kenapa tak ikut jejak langkah Papa atau Mama je? Kami kan dalam bidang kesihatan.”

Buat apa nak ikut orang pelik macam korang? Aku menggeleng. “Tak minatlah. Aku minat undang-undang,” jawabku. Mataku melirik Vini di sebelah. Gadis itu asyik dengan bukunya.

“Kenapa hari tu kamu tak percaya yang Papa yang telefon kamu?” soalnya selepas kami terdiam beberapa saat.

“Hmm.. “ aku menghela nafas. “Papa lupa ke? Dah lama kita tak jumpa lepas Papa tinggalkan rumah enam tahun lepas. Kenapa Papa tak pernah datang tengok aku? Kenapa baru sekarang?”

Akhirnya! Aku berjaya meluahkan pertanyaan itu. Di hadapanku, Papa cuma menunduk. Dia memandang kedua tangannya. Kemudian dia mencondongkan tubuhnya lebih dekat. “Itu kehendak Mama kamu. Dia larang Papa dari datang jumpa kamu. Kami dah buat perjanjian bertulis.” Dia memandang wajahku lama. “Papa mintak maaf.”

Aku mengangkat bahu. “Kata Mama, Papa dah ada keluarga baru.”

“Betul. Nanti Papa akan kenalkan kamu dengan mereka.”

“Tak naklah,” bantahku. “Aku tak mahu ada ibu dan adik tiri.”

“Bukan adik, tapi abang.”

Mataku membulat. “Maksudnya Papa ada anak dengan orang lain sebelum Papa ada aku?” Entah kenapa aku menggenggam penumbukku sendiri.

“Tak. Bukan macam tu. Dia anak tiri Papa.”

Aku lega. “Tak nak lah.”

“Baiklah,” ujar Papa. Dia melirik jam di tangannya. Kemudian dia kembali memandangku, renungannya tajam sekali. “Lebih baik Papa berterus terang. Mama kamu, dia pernah dera kamu? Pukul kamu ke.”

“Siapa yang cakap macam tu?” soalku pantas.

“Jawab aje, Zee.”

Saat ini aku seperti berada di hujung sebuah tebing. Di bawah tebing itu ada jurang yang sangat dalam. Jika aku berterusterang, akan ada orang yang menarikku ke belakang dan menyelamatkanku. Jika aku mengelak, aku akan tetap berdiri di hujung tebing itu menunggu keseimbanganku goyah dan akhirnya jatuh.

Akhirnya aku memilih untuk diam, dan mengalih perhatianku ke pergelangan tangan papa. Mataku membulat lagi. Gelang itu. Papa masih memakai gelang itu. Spontan jari-jemariku menyentuh gelang yang kupakai.

“Zee…”

“Y-ya?” Aku tersentak. “Ada apa?”

“Duduk sini,” ujar Papa sambil menepuk kerusi di sebelahnya. “Sekejap je,” ujarnya.

Aku bangun dan beralih tempat duduk di sebelah Papa. Berada begitu hampir dengannya membuat aku rasa ingin menangis dan terus memeluknya.

Papa memegang tanganku. “Papa minta izin, ya?”

Dia menyingkap lengan baju kemeja yang kupakai. Kesan lebam yang hampir pudar di lenganku terserlah. Jantungku berdegup kencang. Mataku terbeliak. Aku menyentap lenganku dari pegangan Papa. Dari mana Papa tahu?

“Kau jangan lupa, Papa kan doktor. Ceritalah.”

Air mataku bergenang. Aku menggigit bibirku kuat-kuat. Aku tidak sanggup memandang wajah Papa saat ini. Apa yang harus aku lakukan sekarang?

“Dah berapa lama?” soal Papa. Dia mengangkat daguku dengan jarinya, memaksa aku merenung matanya. “Tolong jujur dengan Papa. Sejak bila benda ni terjadi?”

“Dari mana Papa tau?” soalku. Serentak dengan itu, air mataku gugur dari kelopak mata membasahi pipi.

“Itu tak penting. Papa ingat Mama akan jaga kamu dengan baik sebab dia bersungguh-sungguh mahukan kamu dan melarang Papa dari mendekatimu. Rupa-rupanya ini yang terjadi.”

Aku menarik nafas dan mengesat air mataku sendiri. “Papa jangan salah faham. Ini semua salah aku sendiri. Aku suka lawan cakap Mama. Jadi aku kena hukum.”

“Menghukum anak yang nakal tak salah. Tapi bukan begini.” Aku terdiam.

“Kamu ikut Papa, ya?’

Aku mendongak. “Maksud Papa?”

“Kamu tinggal dengan Papa dan keluarga baru Papa.”

Aku menggeleng. “Tak nak. Aku nak tinggal dengan Mama.”

“Mama selalu pukul kamu dan kamu masih nak tinggal dengan dia? Cuba fikir baik-baik,” ujar Papa.

Aku menggelengkan kepala. “Lepas tu tinggal dengan Papa?” Aku memandang tepat ke matanya. “Papa yang tinggalkan aku dan Mama enam tahun lepas untuk bersama orang lain,” ujarku. “Aku dah besar. Tak payahlah nasihatkan aku lebih-lebih.” Giliran Papa pula yang terdiam.

“Lebih baik aku bersama ibu kandung tetapi terseksa dari bersama ibu tiri yang senyum di depan aku tetapi sebenarnya dia tidak suka kehadiran orang yang bukan darah dagingnya.”

“Kenapa kamu cakap macam tu? Isteri Papa tak macam tu.”

“Kalau Papa ajak aku jumpa sebab nak hasut aku supaya tinggalkan Mama, tak payahlah. Aku tak nak.”

“Kalau Papa buat laporan dekat Jabatan Kebajikan Masyarakat?”

“Suka hati Papa. Tapi aku tak akan bagi kerjasama. Kalau takde bukti, JKM tak boleh ambik tindakan apa-apa.” Papa terdiam lagi.

“Jangan risau pasal aku. Aku dah biasa dengan semua ni. Orang kalau selalu sangat terluka, lama-lama dia akan jadi kebal. Aku dah kebal dah. Yang penting aku gembira dapat jumpa Papa.”

Meskipun aku cuba berlagak biasa, namun aku sebenarnya sangat gembira. Aku cuma tidak pandai menunjukkan apa yang aku rasa. Rasanya ini seperti mimpi.

Papa mengusap kepalaku lembut, membuat tubuhku terasa hangat. “Papa tak tau dah macam mana nak pujuk kamu. Muktamad ke ni? Atau kamu perlu masa untuk fikir lagi?”

Aku menggeleng. “Aku nak tinggal dengan Mama. Aku dah janji yang aku tak nak sakitkan hati dia lagi. Tapi aku nak jumpa Papa sekurang-kurangnya sekali seminggu. Boleh?”

Papa mengangguk, dia mengusap-usap belakangku. “Kita boleh jumpa setiap hujung minggu. Kau ada simpan nombor telefon Papa, kan?”

Aku mengangguk. “Dan… boleh aku peluk Papa?’

Tanpa menjawab soalanku, Papa sudah menarik tubuhku ke pelukannya. Aku membalas pelukan itu. Tanpa aku sedari, air mataku mengalir lagi. Aku menggigit bibir cuba menahan tangisanku.

“Tak perlu tahan, Zee. Menangislah,” pujuk Papa sambil mengusap-usap belakangku dan mencium ubun-ubunku. “Lepaskanlah semua kesedihan kamu. Menangislah, lepas tu kamu akan rasa lega.”

Dan saat itu tangisanku pecah diiringi kepedihan yang sudah kupendam bertahun-tahun lamanya.

jjjjj

[Sam]

Aku tidak menyangka langsung ini semua akan terjadi. Malam itu, aku baru pulang dari ujian yang dijalankan di ibu pejabat polis. Aku pulang dengan hati yang girang. Namun kegembiraan itu lenyap saat aku mendengar bunyi pinggan mangkuk pecah di atas lantai. Dengan degup jantung yang tidak keran, aku meninggalkan motosikalku di depan rumah dan terus berlari masuk.

Dan saat itu kepala emak hampir saja masuk ke dalam periuk besar berisi sup yang sedang menggelegak di atas dapur.

Dan yang melakukannya adalah ayahku. Bangsat!

Seperti disampuk syaitan, aku menjerit dan menghambur ke arah ayahku sebelum menarik tubuh tua dan menolaknya ke tepi. Dia melanggar rak pinggan mangkuk sebelum tersungkur. Tubuh emak kupeluk erat. “Emak tak apa-apa? Mana Ghisa?” Ibunya menggeleng sebelum dia terkulai.

Ayah sudah bersedia menghayun besen aluminium ke kepalaku. Aku bersedia untuk menepisnya tetapi aku terpaksa melepaskan tangan emak dan membiarkannya terkulai di lantai. Aku menarik lengan ayah dengan kasar, menjauhkannya dari emak. Kami bergelut di tengah-tengah kedai.

Aku menggenggam penumbuk, mencengkam leher baju ayah dan menumbuknya sekuat-kuat hati. Ayah membalasnya dengan tendangan yang kuat sebelum dia menghantukkan kepalanya ke mukaku. Aku terhuyung hayang, hampir melanggar pintu. Aku bersedia mahu membalas tetapi ayah terlebih dahulu menghentak kepalaku dengan salah satu kerusi plastik yang bertaburan di sekeliling kedai.

Saat itulah tiba-tiba ada yang menyerbu masuk ke dalam kedai. Mereka menyerbu ke arah ayah dan terus menahannya, sementara ayah berusaha sekuat tenaga untuk melarikan diri.

“Sam!” Tubuhku dipeluk dari belakang. “Maaf! Maaf aku terlambat!”

Nafasku termengah-mengah. Aku menoleh, melihat siapa gerangannya yang telah melingkarkan lengannya memeluk tubuhku. Pemiliknya sedang menangis teresak-esak.

“Kakak? Kau tak apa-apa?” soalku. Aku baru sedar yang rupanya Ghisa juga sudah dipukul ayah. Dahinya berdarah, pipinya bengkak. Ada luka panjang di lengannya, darahnya sudah membeku.

“Kami akan tahan ayah kamu.”

Aku kembali berpaling ke arah orang yang tadinya telah menahan ayah. Baru aku sedar, yang menyerbu masuk tadi adalah beberapa orang pegawai polis disertai beberapa orang lelaki dan wanita yang tidak aku kenali.

“Mereka dari Unit Perlindungan Wanita,” terang Ghisa saat dia menyedari kebingunganku.

Syukurlah! Akhirnya.

“Jangan biarkan dia lepas, encik!” ujar Ghisa sedikit nyaring. “Kami akan mati kalau dia terlepas. Tolong lindungi kami! Tolonglah, encik!”

“Baiklah. Jangan risau. Kamu semua akan selamat,” kata salah seorang dari polis itu.

“Emak! Ya Allah!” Aku baru teringat keadaan emak yang juga parah. Aku berlari ke dapur sepantas mungkin. Emak terbaring di lantai dapur, tidak sedarkan diri. Aku mendekatkan kepala ke dada emak, jantungnya masih berdegup. Tubuh emak juga lukaluka dan lebam seperti tubuh Ghisa. Nampaknya sudah lama ayah di rumah sebelum aku sampai lagi.

Aku menoleh ke arah Ghisa. “Kita kena bawa emak ke hospital!”

“Pakai bas mini ayah aku!” seru Vini yang baru tiba bersama orang tuanya. “Cepat!”

Ayah Vini membantuku mengangkat tubuh emak ke dalam bas mini itu. Vini memapah tubuh Ghisa yang tiba-tiba pitam saat melihat keadaan emak. Selepas tubuh emak kumasukkan ke dalam bas itu dan dibaringkan agar dia selesa, Ghisa naik bersama Vini. Aku minta tolong kepada emak Vini untuk melihat-lihat rumah kami. Ayah Vini memandu bas mini itu ke hospital, diiringi kereta polis yang telah datang bersama pegawai-pegawai Unit Perlindungan Wanita tadi.

Sebaik tiba di hospital, emak dimasukkan ke unit kecemasan dengan segera. Ghisa masih sedar jadi luka di tubunya dirawat di bilik rawatan pesakit luar. Melihat tubuh Ghisa yang lukaluka di sana sini, hatiku merintih. Aku sangat ingin menjerit dan menunjuk apa saja asalkan aku dapat melepaskan gelora emosi di dalam jiwaku. Tetapi apa yang boleh aku lakukan hanyalah duduk sambil menekup muka, sikuku bertongkat di paha.

Ghisa seperti boleh mengagak apa yang sedang aku rasakan. Dia mengusap-usap belakang tubuhku perlahan-lahan. “Maafkan kakak.”

Aku mengangkat muka. “Kenapa perlu mintak maaf?”

“Aku terlambat bertindak. Tadi aku rasa ragu-ragu. Nak lapor atau tak. Tapi lepas ayah pukul aku, aku terus keluar dari rumah. Aku telefon kawan sekelas aku. Emaknya pegawai Unit Perlindungan Wanita. Kemudian aku lari ke balai polis paling dekat,” ceritanya. Dia mengeluh. “Patutnya dari dulu lagi kita laporkan perbuatan ayah. Aku ni pengecut sangat.”

Aku menggeleng. “Sebenarnya kau lebih berani dari aku. Sepatutnya sebagai lelaki, aku yang patut bertindak. Kalau kau tak bertindak tadi mungkin sekarang aku dah mati dibelasah ayah. Atau kepala aku kena rebus dalam periuk sup. Aku tak boleh lawan tenaga dia. Dia lagi kuat dari aku.”

Ghisa menangis lagi. “Betul ke dia ayah kita, Sam? Kenapa dia sampai hati buat kita macam ni?”

Aku mengesat air mata Ghisa di pipinya. “Entahlah kak. Mungkin betul tak semua orang layak ada anak. Dan manusia pun boleh berubah sebab tekanan hidup, walaupun manusia paling baik sekali pun.”

Tiba-tiba Vini datang dan melutut di depan kami.

“Sebenarnya aku tak nak ganggu korang, tapi tadi ada doktor panggil. Emak korang dah sedar. Kejap lagi boleh balik,” ujarnya. “Pasal bayaran tu, kena settle dulu baru boleh balik.”

Ghisa mengangguk. “Jom Vin, tolong aku uruskan ya? Kau kan pandai sikit bab-bab macam ni,” ujar Ghisa. Dia berusaha untuk bangun sendiri.

“Jom aku tolong,” ujar Vini. Dia memapah kakakku dan mereka beredar ke kaunter pembayaran hospital.

Aku tinggal di situ, termenung sendiri. Baru menyedari bahawa kakakku seorang yang sangat hebat. Dadaku terasa sesak dengan kenyataan bahawa hidup bukanlah susunan ayat yang teratur. Pasti akan ada perkara yang terjadi di luar jangkaan. Tidak selalunya terang dan tidak selalunya kelam. Kadang-kadang tersusun, kadang-kadang tidak teratur.

Entah ini cubaan atau apa, tetapi aku sudah penat. Dan aku juga merasa bersyukur. Akhirnya ada cahaya yang menerobos masuk ke dalam rumah kami yang gelap.

Ayah sudah ditahan.

Emak sudah dibenarkan pulang.