INSECURE - 5
[Zee]

Jadi macam mana sekarang? Mama masih tak membenarkan aku keluar dari rumah. Padahal SPM tinggal seminggu saja lagi. Slip peperiksaan dan nombor angka giliran pun aku masih belum dapat.

“Ma, aku nak pergi sekolah,” ujarku berulang kali sambil terus mengekori Mama yang sedang bersiap-siap untuk pergi kerja.

“Kau pekak ke? Kan Mama kata tak payah pergi sekolah,’ ujar Mama dengan nada datar tanpa menoleh ke arahku. “Jangan cuba nak lari! Kunci pagar pun Mama dah tukar.” “Tapi aku nak ambik SPM, Ma.”

“Nanti ambil secara persendirian saja.”

“Aku tak nak Ma. Nanti susah dapat kerja,” rayuku dengan wajah sedih. “Aku janji, lepas ujian, aku terus balik rumah. Lepas SPM habis Mama boleh terus kurung aku. Aku tak akan melawan.”

Mama menoleh ke arahku. “Tak perlu merayu-rayu. Mama nak pergi kerja. Kamu duduk saja di sofa sambil makan dan tengok TV. Jangan macam-macam.” Aku mengeluh.

“Mama pergi dulu.”

Aku merenung Mama yang semakin menjauh sebelum menghilang di sebalik pintu rumah. Kemudian terdengar bunyi enjin kereta yang dihidupkan dan kemudian bergerak meninggalkan perkarangan rumah, diakhiri bunyi pagar yang kembali tertutup.

Aku menghempas diri di sofa sambil mengerang. Seterusnya aku mengelamun, cuba mencari cara untuk melepaskan diri dari hukuman ini. Aku mesti pergi sekolah! Tetapi rasanya tidak ada jalan keluar untukku.

Aku mengambil telefon bimbitku, menari nombor Vini dan menghubunginya. Sebentar kemudian, panggilanku berjawab. “Kau masih sakit?” Itu soalan pertamanya.

“Ha..haah Vini. Belum tau lagi bila aku boleh ke sekolah.”

“Kau nak aku cakap dekat Cikgu Imari ke?”

“Susahkan kau ke?”

“Tidaklah. Tapi dia kan selalunya tak suka kalau kita buat macam ni. Sesekali bolehlah. Maksud aku, dia kan cikgu kelas kita. Jadi sepatutnya kau call dia, bukan aku. Atau mama kau pun boleh call kalau tak sempat hantar surat.”

“Erm.. ye tak ye jugak kan?” sahutku sambil menggigit bibir.

“Kau sakit apa sebenarnya?”

“Demam. Belum kurang panasnya.”

“Eh, aku baru teringat…. eh, keparat kau Sam! Jangan tendangtendang meja la!” Kemudian terdengar bunyi meja bergerak.

Diikuti tawa seorang lelaki.

Itu Sam! Ah, memang sebegitu rindukah aku pada dia?”

“Sorry Zee. Tadi aku cakap apa ye?” Suara Vini kembali kedengaran. “Oh, pasal angka giliran… Woi! Nak kena belasah ke apa? Tak nampak ke aku tengah cakap dalam phone ni? Apa?”

Kemudian terdengar suara Sam, tetapi kurang jelas. Kemudian Vini menjawab soalannya. “Haah, memang Zee yang call. Kenapa?”

Sam bertanyakan aku?

“Eh, Zee. Sam nak cakap dengan kau. Dia kata dia rindu. Kau cakap je, jangan risau. Takde cikgu sekarang.”

“Hello Zee!” tiba-tiba suara Sam menggema melalui telefon di genggamanku. “Kau sakit apa? Sunyilah kau takde. Takde orang nak pinjamkan buku ke, pen ke, bagi aku meniru ke.”

Walaupun dia tidak merinduiku, aku rasa terharu. Ternyata masih ada yang menunggu-nunggu kehadiranku ke sekolah.

“Aku demam. Rindu jugak nak pergi sekolah tapi nak buat macam mana.”

“Nanti aku pergi rumah kau, nak? Nanti aku collect duit dari budak-budak kelas untuk beli buah untuk kau. Kau nak buah apa? Pisang?”

“Ja… jangan.”

“Kenapa pisang, weh?” terdengar suara Vini, nyaring sekali. “Orang bawak pisang pergi kenduri arwah. Sam, Zee tu sakit! Bukan meninggal! Kau ni bodoh sangat kenapa?”

“Kau lah yang terlebih pandai. Apa beza bawak pisang pergi kenduri arwah dengan melawat orang sakit? Zee.. kau nak pisang tak? Berapa tandan?”

“Ja..jangan Sam. Aku---”

“Pisang aku jangan, Sam,” kedengaran suara Diga sayup-sayup. “Bagi pisang kau je…”

Terdengar bunyi ketawa yang agak kuat. Ramai dan bersahutsahutan. Rasanya seperti seisi kelas sedang ketawa. Tuhan, aku rindu kelas itu. Tapi kenapa mereka harus bercakap tentang pisang?

“Hahaha! Kurang asam korang!” komen Sam. “Eh, kejap ye. Jangan letak dulu. Aku keluar kejap. Bising sangat kelas ni.”

Aku menghela nafas berat. Tidak lama menunggu, sebentar kemudian Sam kembali bersuara. Kali ini suaranya lebih lembut. “Zee.. aku kat luar. Betul ke kau cuma demam? Dah makan ubat?”

Dadaku sesak. Kedua pelupuk mataku terasa hangat. Ruparupanya ini rasanya kalau orang yang kita suka ambil berat tentang kita. Sam cuma bertanya samada aku sudah makan ubat atau belum tetapi rasanya seperti dia datang dan memelukku erat.

“Zee.. kenapa diam? Hello?”

“Ya..ya. Hello. Aku.. aku dah makan ubat,” balasku.

“Baguslah. Rehat, okay? Oh, lupa. Tadi Cikgu Imari bagi slip ujian SPM kau dekat aku. Dia suruh aku bagi kat kau. Nanti kau datang mintak dengan aku je tau?”

“Terima kasih, Sam.”

“Okay. Cepat sembuh tau. Kau nak aku datang bawak pisang?”

“Jangan! Tak perlu datang rumah. Aku demam aje lah. Esok lusa eloklah. Serius.”

“Okay. Rehat tau. Nanti kita borak lagi.”

“Okay.” Panggilan kutamatkan. Telefon bimbit kuletakkan kembali di atas meja. Aku mengesat peluhku yang bercucuran dari dari ke dagu. Aku hanya menelefon seseorang, tetapi rasanya seperti baru lepas lari marathon.

Aku bingkas bangun. Memaksa diriku berjalan ke meja makan. Aku perlu makan untuk menambah tenaga. Tetapi, saat melewati ruang tamu, langkahku terhenti.

Aku melihat telefon bimbit Mama di atas lantai, di kaki sofa. Aku berjalan menghampirinya sebelum aku mengutip telefon itu dan meletakkannya di atas meja, di sebelah ubat, kain pembalut, plaster dan gunting yang belum dikemas.

Saat melintasi bilik tidur Mama, langkahku terhenti lagi. Perlahanlahan aku berundur tiga langkah. Tepat di hadapan pintu bilik Mama yang renggang. Salah satu dari pintu almari Mama terbuka, menampakkan isinya yang tidak teratur. Samada Mama terlupa menguncinya atau kuncinya rosak. Entahlah.

Keinginanku untuk makan lenyap kerana ada sesuatu yang menarik perhatianku di dalam almari Mama. Di celah-celah pakaian yang tidak tersusun, ada dua fail yang kelihatan. Satu berwarna merah dan satu berwarna biru. Barang-barang itu kelihatan seperti ia tidak sepatutnya berada di situ. Jadi aku ingin tahu sekali.

Aku menyanggul rambutku sebelum berjalan perlahan-lahan masuk ke dalam bilik Mama. Aku melangkah melewati sempadan yang seharusnya tidak aku ceroboh. Kemudian aku mengambil fail yang berwarna biru terlebih dahulu sebelum membukanya.

Mataku terbeliak saat melihat isi kandungannya. Semua sijil-sijiku saat dari sekolah tadika sampailah ke sekolah menengah serta sijil kelahiranku. Seingatku barang-barang ini sebelum ini kusimpan sendiri di dalam bilikku. Sejak bila ianya pindah ke almari Mama? Ah, pasti Mama mengambilnya saat aku sedang tidur atau tidak ada di rumah. Aku mengeluh sambil memasukkan sijil-sijil itu kembali ke dalam fail itu dan meletakkannya kembali di tempat asal.

Kali ini, aku mencapai fail yang berwarna merah. Dan sekali lagi aku terkejut saat melihat surat-surat perjanjian di antara Manda Rasyid dan Rudi Hardi. Mama dan Papa!

Tanganku menggigil saat aku mengambil surat-surat itu dan mula membacanya. Ada satu surat perjanjian yang menegaskan bahawa Rudi sebagai pihak kedua tidak berhak menuntut sebarang harta dari Manda sebagai pihak pertama saat terjadi perceraian. Surat itu ditandatangani oleh Mama dan Papa serta disaksikan oleh dua nama dan juga peguam. Juga ada cop dari pesuruhjaya sumpah.

Selain itu juga ada surat yang ditulis tangan yang mengatakan Manda dan Rudi tidak akan melakukan hubungan intim selepas berkahwin. Perjanjian itu tidak ditandatangani saksi dan peguam. Hanya ada setem hasil dan tanda tangan kedua pihak.

Kemudian ada surat lain yang juga ditulis tangan, menegaskan bahawa Manda meminta Rudi memberikannya seorang anak - bermakna mereka telah melanggar perjanjian sebelumnya. Manda tidak akan menuntut apa-apa yang berkaitan anak tersebut seperti perbelanjaan harian serta penggunaan nama keluarga Rudi.

Tunggu. Ada gambar Mama dan Papa yang terjatuh dari fail itu. Aku memungut dan menatapnya. Saat itu aku sedar yang aku memang benar-benar mirip Papa. Aku cuma mewarisi kulit cerah dan tubuh mama yang tinggi dan sedikit berisi. Papa jauh lebih kurus dan berkulit gelap. Tetapi wajahku memang wajah Papa.

Sekarang aku faham kenapa Mama tidak suka memandangku lama-lama. Dia membenci Papa. Dia membenci separuh dari diriku. Dia tidak membenciku.

“Zee.. kamu buat apa?”

Jantungku seakan terhenti. Wajahku pucat saat aku berpaling ke belakang saat melihat Mama berdiri di belakangku. Sejak bila dia ada di sana? Kenapa aku tidak mendengar bunyi enjin keretanya.

Di tangan kirinya ada telefon bimbitnya yang tadi kuletakkan di atas meja tadi di sebelah peralatan merawat lukaku.

Di tangan kanannya ada gunting.

Pandangan Mama terpaku pada kertas-kertas yang kupegang sejak tadi. Nampaknya Mama yang anaknya sudah tahu rahsia yang disimpannya selama ini.

Bahawa dia tidak diinginkan oleh Papa. Yang kelahiranku juga bukan keinginan Papa. Hanya dia yang mahu aku lahir ke dunia.

“KAU BUAT APA?” jerit Mama histeria. Matanya terbeliak, sarat dengan kemarahan yang hampir meledak.

Gunting di tangannya diacukan padaku.

jjjjj

[Sam]

“Sam! Dah cukup 10 lap!” seru Cikgu Gio.

Aku berenang sehingga ke hujung kolam sebelum berhenti. Aku keluar dari kolam dan duduk di sebelah Cikgu Gio. “Sambung latihan push up ke cikgu?”

Cikgu Gio menggeleng. “Tadi lepas habis kelas PK HEM suruh cikgu-cikgu semua stay back, ada meeting katanya. Kejap lagi mula.”

“Eh, cikgu guna waktu makan cikgu untuk latih saya ke?”

“Takpe,” ujar Cikgu Gio sambil menepuk bahuku. “Saya tak nak kecewakan awak. Esok kita sambung, ya? Saya janji.”

Aku mengangguk. “Terima kasih, cikgu. Kalau cikgu sibuk, saya boleh berlatih sendiri. Jadi taklah bergantung sangat dengan cikgu.”

“Bagus. Dah, pergi tukar baju. Saya tunggu dekat sini.”

“Eh, cikgu pergilah dulu. Nanti lambat.”

Selepas Cikgu Gio beredar, aku kembali menyarung kemeja-T dan menukar seluar pendek yang sudah basah dengan seluar sekolah yang kusimpan di dalam loker di bilik persalinan. Saat itu ada seorang pelajar lain sedang menukar pakaian juga di situ.

Pandanganku jatuh pada pergelangan tangannya. Yang membuatkan aku berkerut ialah saat melihat gelang yang dipakainya. Mirip sekali dengan gelang Zee, seutas gelang besi dengan ukiran bunga melati. Aku mengamati gelang itu sambil mengecilkan mata. Memang ada ukiran nama Zee di tengahtengahnya. Aku yakin itu gelang Zee yang hilang.

“Kenapa Sam?” soal lelaki itu.

“Cantik gelang kau? Beli dekat mana?”

“Oh, yang ni. Beli kat kedai aksesori.”

“Oh, gitu. Jadi nama kau sekarang dah tukar ke? Tak tau pun?”

Budak lelaki itu kaku seketika. Aku melihatnya kelihatan gugup. “Er.. aku…aku jumpa.”

“Beli atau jumpa? Barang curi ke?” ujarku sambil menjongketkan kening.

“Bu…bukan. Aku jumpa atas rumput. Depan padang perhimpunan.”

Aku menutup pintu lokerku lalu bercekak pinggang. “Itu gelang kawanku. Pulangkan,” ujarku sambil menadah tangan di hadapannya. “Atau kau nak cacat macam Theo?”

Budak itu dengan segera menanggalkan gelang itu dari tangannya dan menyerahkannya padaku. “Okay, okay. Jangan kacau aku, okay?” ujarnya sebelum menutup pintu loker dan terus tergesagesa pergi.

Astaga! Semenjak kejadian aku membelasah Theo hingga kakinya patah - saat itu dia menolak Vini sehingga terjatuh, menyebabkan hidung Vini berdarah - ramai yang mula takut padaku. Kejadian itu berlaku dua tahun lalu. Aku hampir-hampir saja dibuang sekolah namun mujurlah pihak sekolah mempertimbangkan kembali keputusan itu. Akhirnya aku cuma digantung sekolah dua bulan.

Aku tak peduli. Gelang itu kusarung di pergelangan tanganku. Ah, barang ini harus dikembalikan kepada pemiliknya. Zee pasti suka. Mengingat itu, aku tersenyum sendiri. Lebih baik aku ke rumah Zee. Boleh terus bagi slip ujiannya sekali.

Aku berlari laju keluar dari sekolah. Aku menunggang motosikalku laju-laju sehingga diherdik pengawal keselamatan di pagar. Sudah biasa. Aku masih ingat jalan ke rumah Zee. Dan tidak terlalu sukar mencari rumahnya. Asal yang ada pagarnya tinggi, itu pasti rumahnya.

Setibanya di situ, aku mematikan enjin motosikal dan turun. Aku menjenguk-jenguk, cuba mencari locengnya tetapi tidak kelihatan. Saat itu, aku nekad memanjat pagar tinggi itu. Soal memanjat memang Sam Alqori juaranya.

Beberapa minit kemudian, aku melompat turun. Kakiku menjejak tanah dan saat itu aku sudah di dalam perkarangan rumah Zee. Mujurlah tidak ada yang melihat aksiku dan menjerit ‘Pencuri! Pencuri!’

Aku harus memperbaiki penampilanku sebelum bertemu dengan Zee. Aku menyikat rambutku dengan jari sebelum menepuknepuk debu yang melekat pada baju dan seluarku. Sesudah siap, aku melangkah dengan penuh yakin, melewati laluan yang menghantarkanku ke depan pintu rumahnya.

BUK! BUK! “Aaaawwww!!!” Aku terkaku.

Di hadapanku, tepat di hujung kakiku, Zee tersungkur. Di depan pintu rumah yang terbuka, seorang wanita berpakaian seragam jururawat dengan raut wajah bengis sedang mengacu sebilah gunting di tangannya. Dia terbeliak melihatku. Aku masih terpaku.

“Sam!” Zee yang masih terbaring di hujung kakiku mendongak dengan mata terbeliak. Sekujur tubuhnya penuh luka. Lengan bajunya koyak. Hidungnya berdarah. Dan rambutnya kini rosak, sebahagiannya pendek, sebahagiannya panjang.

Aku berjaya mengawal diriku sebelum membantunya bangun. “Kau tak ada apa-apa, Zee?” Saat itu aku terasa mahu menampar diriku sendiri. Bodoh! Dah luka-luka macam ni pun kau masih nak tanya-tanya lagi? Bodoh!

Zee bangun perlahan-lahan. “Ah..aku…” Dia menggeleng. “Kenapa kau datang?”

Nah, kenapa aku datang?

“Kau kawan Zee?” soal perempuan berseragam jururawat itu. “Macam mana kau masuk?”

“Panjat pagarlah! Apa susah?” sahutku geram. Cikgu pun aku boleh lawan, apatah lagi jururawat. Pandanganku kembali pada Zee yang sepertinya sudah dibelasah teruk. Aku mengesat darah yang mengalir dari hidungnya. “Dia nak bunuh kau ke?”

“A..aku..”

“Zee!” tiba-tiba wanita itu menghamburkan tubuhnya memeluk Zee. “Maafkan Mama, nak. Maafkan Mama!”

Zee merenungku, matanya berkedip perlahan. Mulutnya terbuka sedikit. Dia langsung tidak membalas pelukan wanita yang mengaku mamanya itu. “Sam, kau balik dulu okay? Ini bukan macam yang kau fikirkan.”

Sebenanrnya apa yang aku fikirkan?

Wanita itu melepaskan pelukannya dari Zee. Dia memandangku. “Kamu jangan salah faham dengan apa yang kamu nampak. Tadi Zee kata dia tak nak ke sekolah. Dia kata dia tak sihat tapi bila makcik periksa, dia tak sakit pun. Makcik marah dia sebab dia tak nak sekolah. Tapi dia mengamuk dan ugut nak potong rambutnya sampai pendek kalau makcik paksa dia. Makcik tak boleh kawal emosi, terus pukul dan tolak Zee.”

Itulah pengakuannya. Dia menoleh kemudiannya kepada Zee. “Betul kan, Zee?” soalnya.

“Be..betul.” Zee mengangguk sebelum tersenyum. “Sekarang kau balik, okay? Jangan datang lagi.”

“Err.. sebenarnya… aku cuma nak pulangkan gelang kau. Tadi aku jumpa di sekolah.” Gelang yang kupakai kutanggalkan dan kuhulur padanya. “Ini kan?”

Zee menerima gelang itu dengan sinar mata bercahaya. Setitis air matanya mengalir. “Akhirnya jumpa… akhirnya jumpa…”

Aku gembira bercampur sedih. Lalu aku berdehem, dan pandangan Zee kembali padaku. “Kalau boleh, esok kau pergilah sekolah. Jangan buat Mama kau marah lagi.”

Zee mengangguk. “Kau baliklah, ya?” Dia mengesat air matanya.

Aku memandang jururawat itu. “Aku balik dulu, makcik,” ujarku sambil mengangkat tangan. “Oh ya, cantik rambut Zee sekarang. Fesyen baru. Memang cantik.” Aku mengangkat ibu jari. Dan boleh kulihat di matanya seperti ada api kemarahan yang baru sedang memercik.

Sial.

Aku segera beredar, menjauhkan diri dari situ. Dadaku berdebardebar, tiba-tiba risau akan nasib Zee. Aku memanjat pagar semula, malah lebih cepat dari mula-mula tadi. Saat sudah sampai di luar pagar, aku tidak menoleh lagi. Aku memecut motosikalku ke sekolah.

Cikgu Imari mesti tahu tentang hal ini!

jjjjj

[Zee]

Aku merenung wajahku di dalam cermin. Rambutku yang panjang sudah dipotong separas bahu. Hidungku berbalut. Kesan melecet di tubuhku sudah diubati tetapi masih meninggalkan bekas. Semalam, Mama membawaku ke salun untuk merapikan rambutku yang sudah rosak. Sebelumnya Mama merawat lukaluka di tubuhku. Semuanya untuk hari ini “Zee.. dah siap?” soal Mama.

Di dalam kereta Mama yang kini terparkir di halaman sekolah itu, aku mengangguk. Aku tidak memakai pakaian seragam sekolah. Itu arahan Mama. Yang pasti, Mama tidak percaya pada Sam. Mama yakin Sam akan melaporkan kejadian semalam pada guruguru di sekolahku. Atau lebih teruk lagi, kepada pihak polis.

Aku memakai jaketku. “Jom?”

Kami turun bersama. Kemudian kami berjalan menuju ke pejabat am.

“Cikgu Imari ada?” soal Mama pada cikgu yang bertubuh kecil di kaunter utama itu.

“Ada di bilik guru. Masuk je,” sahut cikgu itu. Ah, rasanya itu bukan cikgu tapi pelajar universiti yang tengah praktikal di sekolah kami.

Mama merenungku. “Kita perlu ke bilik guru?”

Aku menghela ke nafas panjang sebelum berpaling semula ke arah wanita itu. “Cik, boleh tolong panggilkan dia kejap? Katakan ada ibu pelajarnya yang mahu jumpa.”

“Sebentar ya.”

Aku dan Mama duduk menunggu. Tidak lama kemudian, muncul Cikgu Imari yang sedang membawa beberapa buah buku. Renungannya singgah tepat ke wajah Mama.

Aku menyiku Mama. “Itu, cikgu kelasku.”

Mama tersenyum lebar. “Selamat pagi!” Dia menghulurkan tangannya. “Saya Manda, ibu Zee Rasyid.”

“Oh…” Cikgu Imari menyambut huluran tangan Mama. “Akhirnya dapat jugak puan datang. Kita ke bilik guru? Atau kalau nak selesa lagi kita boleh ke bilik kaunselimg.”

“Tak perlu, saya tak boleh lama. Macam ni, Zee dah berapa hari tak sekolah. Dia belum sihat lagi. Maaflah, sebab tak sempat hantar MC dia ke sekolah. Saya sibuk sangat.”

“Ya, dah tiga hari Zee tak datang ke sekolah. Kalau Puan Manda sibuk dan tak sempat hantar surat, boleh terus telefon saya saja. Oh, ya. Boleh saya tahu Zee sakit apa?”

“Kami kemalangan.”

Apa? Apa yang baru Mama katakan?

“Tiga hari lepas, kami balik dari kampung naik motosikal. Kami dilanggar. Zee cedera tapi saya sendiri tak ada apa-apa,” ujar Mama sambil menunjuk ke arah hidungku yang berbalut. “Hidung dan badannya luka-luka,” tambah Mama sambil menarik lengan jaketku pula.

Cikgu Imari diam, nampaknya dia sedang berfikir.

“Luka-luka Zee ni belum sembuh betul,” sambung Mama. “Jadi sekarang saya kena bawak dia ke hospital untuk follow up.”

“Oh macam tu,” ujar Cikgu Imari sambil mengangguk perlahan. “Baiklah. Saya harap dia boleh pergi ke sekolah segera. Tak lama lagi kan SPM nak mula.”

“Ya saya tahu, sebab tu lah saya bawak dia ke hospital lagi ni. Sebenarnya hari ni saya cuti tapi Zee lebih penting. Harap-harap esok doktor benarkan dia balik.”

Cikgu Imari tersenyum. “Baiklah. Nanti saya akan catatkan dalam buku kehadiran.” Dia berpaling ke arahku. “Slip ujian kamu saya dah berikan pada Sam. Kamu dah mintak dekat dia?”

“Er—esoklah cikgu. Esok saya datang. Nanti saya mintak dekat dia.”

Jantungku berdegup kencang saat mengatakannya. Nafasku tibatiba terasa sesak. Peluh dingin terbit di dahi.

Mama merangkul bahuku sambil tersenyum. “Baiklah. Kami pergi dulu, cikgu.”

Aku turut tersenyum sambil mengucapkan selamat tinggal pada Cikgu Imari. Kemudian aku dan Mama melangkah kembali ke kereta kami

Aku pasti urusan ini tidak akan berakhir di sini.

Cikgu Imari bukan bodoh orangnya.

jjjjj

[Sam]

Saat aku pulang petang itu, aku disambut dengan kedai yang kosong tanpa pelanggan serta meja dan kerusi yang bertaburan. Kemudian terdengar jeritan dari tingkat atas. Suara lelaki yang garau, diikuti jeritan emak.

Ayah pulang!

Sialan! Aku berlari ke atas tanpa berlengah lagi. Saat aku tiba, emak sudah tergeletak di lantai dengan hidung berdarah. Ayah di hadapannya sedang menarik rambut emak. Aku segera menarik baju ayah dan menjauhkannya dari emak.

“Sial!” Aku menumbuk mukanya. Dia terhuyung-hayang seketika tetapi tidak tumbang.

“Sam! Jangan!” Emak mengerah sepenuh tenaganya untuk bangkit. Dia berdiri di hadapanku, mencuba menghalang aku dari terus bertindak. “Jangan pukul dia!”

“Dia pukul emak!” jeritku nyaring. “Emak jangan jadi bodoh!”

“Dia suami emak, nak! Dia ayahmu!”

“Emak ni dah kenapa?” Telingaku panas mendengarnya. “Dia memang suami emak tapi dia tak ada hak nak pukul emak! Makan pakai kita pun dia tak pernah bagi! Tinggal kat sini pun cuma makan tidur je!”

Ayah tertawa terbahak-bahak. “Kau cakap pasal diri sendiri ke ni?” soalnya padaku. “Siapa yang sebenarnya cuma pandai makan tidur je? Kau tu lelaki, tapi pernah ke kau bawak duit pulang ke rumah? Mintak duit pandailah!”

“Eh, diam!” Aku cuba mahu meninjunya lagi tetapi dihalang oleh emak. Sekuat tenaga aku cuba melepaskan diri dari pegangan emak. Penumbukku melayang ke wajahnya namun berjaya ditangkis. Dia menyerang balas. Aku sudah bersedia menangkis serangannya tetapi tiba-tiba emak muncul semula di hadapanku. Penumbuk ayah mendarat di wajah emak. Emak rebah.

“Jangan pukul emak aku!”

PRANG!

Di belakang ayah, Ghisa berdiri. Di tangannya ada serpihan mangkuk yang digunakannya untuk memukul kepala ayah. Mangkuk itu pecah berderai di lantai tetapi ayah tidak tumbang.

Ayah berpaling dan menatap Ghisa dengan penuh kemarahan. “Oh, kau pun dah pandai melawan? Bangsat!”

Sebelum sempat aku menahan ayah, ayah menendang tubuh Ghisa yang berdiri di kepala tangga. Ghisa jatuh berguling ke bawah sebelum akhirnya terkulai di kaki tangga.

“Ghisa!”

“Sam! Jangan!” jerit emak sambil memaut kakiku.

Seketika, ayah kelihatan terpempan. Kemudian dia berlari menuruni tangga. Dia panik saat melihat Ghisa yang tidak bergerak.

“Lepaskan aku, emak!” Aku menyentak kakiku dari pegangan emak. Rasanya saat itu kepalaku seperti mahu meletup. Ketika pegangan emak terlepas, aku berlari menuruni tangga.

“Ghisa! Ghisa!” Aku menggoyang-goyangkan tubuhnya. “Bangun! Bangun!”

Perlahan-lahan Ghisa membuka mata. Aku menghela nafas lega. “Kau boleh gerak tak?” soalku padanya. Dia mengangguk.

Segera aku bangkit dan berlari keluar dari rumah. Aku berlari ke sana sini mencari ayah. Dia pasti belum pergi jauh. Tetapi semakin dicari, aku gagal menemui jejaknya. Aku menelusuri setiap lorong di sekitar kampung kami, tempat berjudi, tempat memancing, beberapa kedai makan dan bengkel-bengkel tetapi tidak menemuinya. Ayah seperti sudah lenyap ditelan bumi. Malah kemarahanku yang tadi membuak-buak perlahan-lahan lenyap sendiri.

Akhirnya aku memutuskan untuk pulang saja.

Saat tiba di rumah, aku melihat emak sudah tidur di biliknya. Pakaian emak sudah ditukar. Luka-luka di tubuhnya juga sudah dirawat. Tetapi aku tidak melihat Ghisa. Aku bergegas ke rumah sebelah.

“Vin..apa-”

“Kakak kau dekat bilik aku. Emak aku tengah urut dia. Aku rasa pinggang dia tergeliat. Tadi dia tak boleh bangun sampai aku datang tolong dia,” ujar Vini sambil membersihkan gerai apam baliknya. “Emak kau aku dah uruskan tadi. Emak aku uruskan Vini. Sekarang kau pergi kemas rumah, teruk sangat rupanya tu.” Aku menghela nafas berat.

“Rilekslah. Emak kau takde apa-apa. Kakak kau je la yang teruk sikit. Tapi dia tu walaupun kurus, kuat jugak. Nasib baik ayah kau tendang pinggang, bukan perut. Kalau kena bahagian peranakan mungkin lagi teruk. Biarlah dia rehat dekat bilik aku dulu. Kau jaga emak kau.”

Aku mengangguk. “Terima kasih Vin. Tak tau lah apa akan jadi kalau kau dengan keluarga kau---“

“Kau merepek apa ni? Kita kan saudara,” pintas Vini.

Ada sesuatu yang seperti mendesak-desak mahu keluar di sudut mata. Tidak mahu Vini melihatnya - dan mungkin akan dibalas dengan ejekan - aku berlari pulang ke rumah. Dan akhirnya aku terduduk dan menangis di tangga.