Jangan Baca Novel Ni - Chapter 34
?Bab 34 (20/5)

Sebaliknya dia begitu berharap ada seseorang yang boleh menerangkan kepadanya pula. Sebab dia sendiri pun tidak tahu-menahu apa-apa.

“Kalaulah kau sudah boleh bercakap. Bolehlah kau beritahuku dari mana asal usulmu…” bisik Anom sambil mengusap lembut perutnya sendiri.

Setelah sampai ke rumah, Anom tidak terus masuk ke dalam. Sebaliknya dia mengambil kain batik sentungnya di ampaian dan menuju ke bilik air.

Anom hanya berdiri ditengah-tengah bilik air itu dengan perasaan yang mendung. Seperti langit di atasnya juga. Hatinya merasa, tapi dia tidak tahu apa. Otaknya berfikir, namun Anom sendiri tidak mendengarnya. Yang dia tahu, setitis air suam mula mengalir di pipi. Titisan yang disusuli dengan juraian yang tanpa henti. Dalam esak tangisnya Anom melangut ke atas bila guruh memanggilnya garang.

Dengan mata yang basah dia memerhatikan air hujan yang bakal menjamah wajahnya. Anom berserah. Mungkin perkataan itu yang sedang dicari-carinya. Mungkin itulah perasaannya. Mungkin itu yang difikirnya saat ini. Dia berserah.

Lama Anom duduk berteleku di situ. Air hujan yang menyimbah tubuhnya seperti membasuh semua kerisauan yang sedang mengotori benaknya saat itu.

“Aku tahu siapa diriku. Aku tahu apa yang aku lakukan selama hayatku. Yang paling penting sekali aku tahu yang Tuhan di sebelahku kerana kebenaran di dalamku. Tentang anak ini. Dari mana pun kau datang. Kau milikku kerana aku yang mengandungkanmu. Jadi aku redha. Aku redha akan ketentuan-Mu oh Tuhan. Aku redha…”

Setelah melafazkan kata-kata itu, Anom bangun dan melangkah ke dalam rumah dengan tekad dan keberanian baru.

“Mak…”

“Ya Allah Anom! Apa hal basah lencun ni?” soal Mariah pada Anom apabila melihatkan keadaannya yang basah kuyup di dalam batik birunya.

Tanpa menjawab soalan Mariah, Anom terus mendekati ibunya dan memeluknya tenang.

“Ada sesuatu yang Anom ingin ceritakan pada mak. Anom harap mak bertenang dan bersabar ya…” bisik Anom pada ibunya, sebelum meluahkan segala.

Enam bulan kemudian...

Perut Anom sudah memboyot. Kemana saja dia pergi, orang akan memandang perutnya yang berisi bayi berusia lapan bulan itu dengan pandangan yang serong. Tak kurang juga yang asyik meneka siapakah bapa kepada bayi dalam kandungan Anom itu. Bayi yang bakal dilahirkan luar nikah.

Walaupun kehidupan Anom sejak mengandung ni dicabar pelbagai dugaan, tapi dia tak kisah. Dia membutakan matanya pada renungan kotor orang pada dirinya.

Dia juga menutup telinganya pada cemuhan-cemuhan dan gelaran yang bermacam yang dicop pada dahinya oleh orang kampung. Anom buat tak tahu saja.

Yang penting dia tahu dirinya siapa. Dan Tuhan tahu dirinya siapa. Biarlah kalau orang kampung tak mempercayainya bila Anom kata bahawa dia tak pernah meniduri mana-mana lelaki. Yang penting Allah tahu akan kesuciannya.

Anom juga tidak begitu menyalahkan orang-orang kampung kerana bereaksi begitu sebenarnya. Yalah. Siapa yang nak percaya akan dakwaan bahawa dia mengandung walaupun masih dara? Sebab benda tu memang mustahil. Jadi Anom terpaksa menerima saja segala cemuhan dan tohmahan yang orang kampung lemparkan kepadanya.

Pun begitu, ada satu benda yang Anom tak boleh tahan. Bila setiap kali pendengarannya dicemari dengan satu panggilan ini, darahnya bagaikan menggelegak.

'ANAK HANTU'.

Pada mulanya, Anom hanya menyangka bahawa gelaran itu lahir dari sifat kejam dan tidak bertimbang rasa orang kampung terhadap dirinya dan anak di dalam kandungannya. Namun akhir-akhir ini, Anom mulai sedar bahawa gelaran 'anak hantu' itu ada maksud yang lebih 'mengganggu'.

"Kenapa dia orang panggil anak Anom anak hantu, mak?" soal Anom pada Mariah sebaik wajah ibunya itu muncul di muka pintu depan rumah setelah pulang dari pasar.

Wajah Mariah mendung. Membuatkan Anom tahu yang ianya terkandung suatu maklumat yang ingin disembunyikan dari pengetahuannya.

"Alah bukan Anom tak tau mulut orang-orang kampung kita ni. Buat pekak je..."

"Tapi mak tau kenapa kan? Mak selalu duk pergi pasar tu, mesti mak ada dengar-dengar cerita. Anom nak tau kenapa dia orang nak panggil kandungan Anom ni sampai macam tu sekali. Anak luar nikah Anom boleh terima. Anak haram pun Anom boleh terima lagi. Tapi kenapa sampai nak panggil anak Anom ni anak hantu?" soal Anom benar-benar tak puas hati.

Mariah duduk. Melucutkan kain selendangnya dan mengibas leher yang terasa panas.

"Ada beberapa kejadian yang berlaku dalam kampung kebelakangan ni. Anom tak tau sebab Anom selalu duduk dalam rumah. Kejadian-kejadian tu memang la aneh. Tapi yang mak tak faham sekarang ni, kenapalah mereka nak kaitkan kejadian-kejadian tu dengan diri Anom..." keluh Mariah.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘anak hantu’? Adakah Mariah akan menceritakannya pada Anom?