Jangan Baca Novel Ni - Chapter 32
?Bab 32 (16/5)

Cerita akhir

BATIK SENTUNG BIRU

Penguraian…

“Saya masih dara.”

“Tak perlulah nak menipu lagi. Memang dah terbukti pun.”

“Tapi saya masih dara. Demi Allah. Saya masih dara!”

“Habis budak dalam perut kau ni anak siapa? Anak hantu?”

“Saya tak tau…”

“Lantak engkaulah. Tapi selama aku jadi bidan, aku belum pernah silap lagi. Perut kau ni memang dah berisi. Cukup sembilan bulan keluarlah budak tu. Tak kiralah anak siapa pun.”

“Tapi saya masih dara...”

“Suka hati kaulah Anom. Aku ni dah macam-macam jenis cerita yang aku dengar dari perempuan-perempuan yang datang nak gugurkan anak. Ada yang kata tak sengajalah. Ada yang kata kekasih mungkir janjilah. Yang tunang meninggal sebelum sempat kahwinlah. Yang kena rogol pun ada. Tapi aku tak pernah dengar lagi yang masih nak mengaku anak dara. Kau ni yang pertama.”

Anom diam namun matanya menyumpah-nyumpah mak bidan yang tidak mempercayai dirinya. Dalam masa yang sama dia turut menolak keras akan apa yang telah diperkatakan oleh mak bidan itu tadi. Masakan dia sudah mengandung sedangkan dia tidak pernah bersama dengan mana-mana lelaki. Mak bidan ni bodoh! Cela Anom dalam hatinya.

“Amboi melenggang aja? Upah aku mana?”

“Buat apa saya nak bayar mak bidan? Mak bidan buat kerja pun tak reti!” cemuh Anom sambil mencebir.

“Eh perempuan ni… kalau tak kerana ada budak dalam perut kau tu, aku dah terajang kau keluar tingkap tau?!” marah Mak Dom sambil mulutnya mengunyah tembakau.

Anom terus dengan lenggangnya menuruni tangga rumah papan itu. Sumpah carut mak bidan kampungnya itu haram dihiraukan. Hatinya terlalu panas. Tak pernah dia dituduh sedemikian rupa.

Anom berjalan pulang ke rumah dalam keadaan marah. Kata-kata Mak Dom tadi masih terngiang-ngiang di telinganya. Sekali-sekala mulutnya terkumat-kamit merungut.

“Sumpah ini kali terakhir aku pergi jumpa dengan orang tua tu. Dah nyanyuk kut!”

“Mak, Anom dah balik!” laung Anom sebaik melangkah masuk ke dalam rumah buruk peninggalan arwah bapanya itu yang dia kongsi bersama ibunya sahaja.

“Pergi mana tadi?” sahut Mariah dari dapur.

“Tak kemana. Jalan-jalan dekat dalam kampung je. Ambil angin.”

“Dah pergi jumpa Mak Dom ke belum?”

Anom diam.

“Anom!”

“Er… ya.”

“Mak tanya dah pergi jumpa Mak Dom ke belum? Pagi tadi kan Anom kata rasa tak sihat kebelakangan ni?”

“Tak… Anom belum jumpa dia.”

“Kenapa?”

“Anom ingat nak pergi jumpa doktor teruslah mak. Mak Dom tu bukan boleh percaya sangat.”

“Apa yang tak boleh percaya pulak? Mak Dom tu dah jadi bidan kampung ni dari mak muda-muda lagi. Anom lahir dulu pun dia yang sambut tau tak?”

“Yalah. Tapi mungkin kemahiran dia dalam bab mengandung dengan beranak aja mak. Anom ni masalah lain. Bukannya mengandung….”

“Memanglah Anom tak mengandung. Tapi Mak Dom tu pandai. Dia bukan bidan saja. Dah banyak penyakit pun yang dia ubat.”

“Tak apalah mak. Esok saja Anom ke pekan dan jumpa dengan doktor terus.”

“Hmm… suka hati kaulah.”

“Mak!”

“Hmm…”

“Kain batik biru Anom tu mana mak?”

“Kenapa?”

“Nak buat basahanlah. Nak buat apa lagi? Anom nak mandi ni.”

“Ada dekat penyidai.”

Anom berlari anak ke bawah rumah. Menarik kain batik biru yang sedang berkibar ditiup angin senja dan membawanya ke belakang. Getah rambut yang mengikat tinggi rambut panjangnya dileraikan. Dia menanggalkan baju kemeja-T lusuhnya serta seluar jeansnya dan menyangkutkan pada dinding zink bilik air tersebut. Sepanjang masa matanya akan liar memerhatikan sekeliling dan mengintai dari lubang-lubang pada dinding zink itu takut-takut ada hantu malaun yang sedang menikmati tayangan percuma waktu maghrib ini. Maklumlah ini bukan kali pertama Anom diintai oleh pemuda-pemuda jahat kampung itu. Dah puas pun mereka itu disimbah dengan air panas tapi masih tak serik-serik lagi.

Kain batik sentung warna biru tua kegemarannya itu diikat rapi-rapi di dada. Anom duduk melunjur di tepi kolah lalu mencedok air kolah itu segayung demi segayung dan dilalukan ke tubuhnya perlahan. Sejuk.

Walau dah berapa kali dipesan oleh ibunya namun Anom tetap dengan tabiat buruknya. Suka mandi di waktu senja. Anom tak tahu kenapa, tapi dia memang suka begitu. Di waktu senja air kolah lebih dingin. Langit pula cukup sempurna. Tidak begitu gelap dan tidak begitu cerah. Anom suka melangut dan menikmati warna-warna awan yang merah dan jingga. Tambah asyik bagi Anom bila ada bulan yang mula menampakkan diri. Seperti malu-malu tapi tidak sabar untuk mengeluarkan cahayanya.

Tatkala sedang mandi itu tiba-tiba Anom teringat akan peristiwa beberapa bulan lepas.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah peristiwa yang diingati oleh anom?