Jangan Baca Novel Ni - Chapter 22
?Bab 22 (2/5/2014)

“Mustahillah. Hanya ada satu saja kemungkinan. Suraya memang tak pernah meninggal. Tentu Dr. Aryani tersalah periksa. Tapi kalau mak nak panggil jugak ustaz tu, suka hatilah. Jangan sampai dia kata ada hantu yang masuk dalam mayat adik saya tu sudah.”

“Astaghfirullah… apa pulak cakap macam tu Sahar. Mak tak pernah terlintas pun benda-benda tu. Mak cuma nak dapatkan pandangan seorang yang berilmu agama tentang perkara ni. Sebab pelik sangat. Tu saja,” Hasmah menerangkan.

Sahar hanya mengangguk sambil tangannya sibuk menekan nombor telefon Dr. Aryani pada telefon bimbitnya.

Hanya setengah jam selepas itu, Dr. Aryani dan Ustaz Amir sampai serentak. Sebaik masuk ke bilik Suraya, Dr. Aryani dan Uztaz Amir berpandangan antara satu sama lain. Masing-masing bagaikan tak percaya. Dr. Aryani yang telah mengesahkan bahawa Suraya sudah meninggal dunia.

Manakala Ustaz Amir pula yang dari petang tadi memantau semua persediaan untuk menguruskan jenazah Suraya esok pagi.

“Silakan ustaz…” pelawa Dr. Aryani kepada Ustaz Amir.

“Saya ingat… biar doktorlah yang periksa dia dulu,” kata Ustaz Amir.

“Aik ustaz… takkan takut kut?” sindir Dr. Aryani.

“Tak adalah. Cuma ada eloknya kita periksa dari sudut perubatan dulu…” Ustaz Amir memberikan alasan. Padahal memang dia merasa gerun sebenarnya. Selama berpuluh tahun dia menjadi ustaz dia masih belum pernah menemui kes seperti ini.

“Tak ada salahnya kalau ustaz rasa takut. Sebenarnya… saya pun tengah takut ni ustaz,” akui Dr. Aryani.

“Beginilah. Mari kita periksa dia bersama,” saran Ustaz Amir.

Mereka berdua pun mendekati Suraya yang hanya duduk diam di atas katil sambil kepala tertunduk merenung kakinya sendiri yang pucat hampir kebiruan.

Dr. Aryani mengambil tangan Suraya dan memeriksa nadinya. Ada. Kemudian dia menekapkan pula stetoskop pada dada Suraya. Dengan jelas terdengar degupan jantungnya yang cukup bernyawa. Dr. Aryani memandang Ustaz Amir lalu mengangguk perlahan sebagai tanda bahawa Suraya memang masih bernyawa. Wajah Dr. Aryani begitu keliru pada waktu itu. Kini tiba giliran Ustaz Amir pula.

“Suraya…” panggil Ustaz Amir perlahan. Suraya hanya diam.

Ustaz Amir memanggilnya lagi sekali. Kali ini dia memegang bahu dingin Suraya. Suraya memanggung kepalanya dan senyum pada Ustaz Amir. Hanya Tuhan yang tahu betapa senyuman itu telah membuatkan bulu roma di seluruh badan Ustaz Amir berdiri tegak.

“Suraya… Suraya ingat tak apa yang berlaku?”

Suraya menggeleng perlahan.

“Boleh ustaz minta Suraya beritahu nama penuh Suraya?”

“Suraya Binti Salman…” jawab suraya dengan suara yang tersekat-sekat.

“Baik. Sekarang ustaz nak minta Suraya bacakan dua kalimah syahadah dan ayat kursi.”

Suraya pun melafazkan dua kalimah syahadah bersama dengan ayat kursi dengan lancarnya.

“Alhamdulillah…” kata Ustaz Amir.

“Baiklah Suraya. Saya ingat baik Suraya baring dan berehat dulu. Esok saya akan periksa Suraya lagi. Tidur dulu ya?” saran Dr. Aryani pula.

Suraya pun tanpa berkata apa-apa menurut sahaja. Dia pun berbaring melentang dengan tenang. Tangannya pula terkiam kemas. Sepertimana ketika dia sedang terbaring tidak bernyawa tadi.

Sepanjang keesokan harinya, Suraya cuma mengurung diri di dalam biliknya. Langsung tak keluar mahupun untuk makan ataupun minum. Walaupun runsing, keluarga Suraya membiarkan sahaja buat sementara waktu. Secara jujur mereka pun tak tahu nak buat macam mana.

Apabila menjelang waktu malam, Hasmah, Sahar, Hazra dan Sufiyan makan malam bersama seperti biasa. Tapi keempatnya hanya diam. Masih terkejut dan keliru dengan apa yang berlaku semalam. Tiba-tiba mereka dengar bunyi orang menuruni tangga. Ia adalah Suraya.

Suraya menyapa mereka dengan senyuman yang manis di wajah. Dia memakai baju kebaya nyonya warna merah dengan kain batik warna biru. Kain batik sama yang menutup mayatnya semalam. Rambutnya bersanggul rapi.

Siap berhias sekuntum bunga mawar segar yang entah dia petik dari mana. Walhal dia baru saja turun ke bawah dari biliknya sejak semalam.

"Suraya... nak kemana cantik-cantik ni? Itu... baju kebaya lama mak kan? Mana Suraya jumpa ya? Mak pun dah lama cari..." soal Hasmah.

Tapi Suraya tak menjawab. Dia cuma senyum. Kemudian dia beredar. Namun ditahan oleh Hasmah. Hasmah memegang bahu Suraya.

"Suraya nak pergi mana malam-malam ni? Suraya kan tak sihat. Elok berehat dulu di rumah..." pujuk Hasmah. Sahar, Hazra dan Sufiyan hanya memerhatikan.

Suraya senyum lagi. Kemudian dia akhirnya bersuara.

"Mak cik.... Saya bukan Suraya. Nama saya Azwa. Saya menumpang sekejap saja.... Ada urusan yang belum selesai."

Sebaik berkata begitu, Suraya pun beredar meninggalkan Hasmah dan yang lain-lain dalam terpinga.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah Azwa yang mendakwa dia cuma menumpang di dalam jasad Suraya?