Jangan Baca Novel Ni - Chapter 26
?Bab 26 (8/5)

Senja itu...

Kali ini Zakiah siap menunggu di hadapan pintu. Dia yakin Suraya pasti akan datang. Sebab selama lapan hari yang lepas memang dia tak pernah gagal untuk datang setiap petang. Setiap kali untuk menyampaikan pesanan yang sama dari Azwa.

Yang dijangka pun berlaku. Suraya berjalan lemah menghampiri pintu pagar rumah Zakiah. Belum sempat Suraya hendak berkata apa-apa, Zakiah sudah menerpanya.

"Suraya. Abang awak, Sahar datang cari awak tengah hari tadi. Awak lari dari rumah ya?" tanya Zakiah.

Suraya hanya tertunduk diam.

"Sekarang awak ikut mak cik masuk dalam. Kita telefon abang awak suruh dia datang ambil awak dekat sini. Dia risaukan Suraya tau..." kata Zakiah sambil menarik tangan Suraya. Tapi Suraya tidak berganjak. Tubuhnya keras macam batu. Zakiah melepaskan tangan Suraya. Dia mengelap tangannya pada kain. Tangan gadis itu sesejuk ais.

"Saya belum boleh balik lagi mak cik..." kata Suraya.

"Kenapa?"

"Azwa perlukan saya. Sepertimana dia memerlukan mak cik juga. Kita kena tolong dia..."

"Kenapa dengan Azwa?"

"Mak cik tolonglah dia.... Tolong la telefon dia. Hanya dengan cara tu saja kita boleh selamatkan dia..."

"Suraya cakap apa ni? Lagipun bukannya mak cik tak telefon. Hari-hari mak cik telefon dia. Tapi tak dapat," terang Zakiah walaupun dalam perasaan aneh.

"Mak cik kena telefon dia dekat dapur. Dekat dapur.... Tak boleh dekat tempat lain!" laung Suraya sambil memecah tangis.

Azan Mahgrib berkumandang. Suraya melutut di situ sambil menekup wajahnya. Dia terus mengilai dalam tangisan.

"Suraya... sabar nak. Baiklah mak cik akan buat. Mak cik akan buat sekarang jugak."

Zakiah pun bergegas masuk ke dalam. Dia sempat berpaling untuk melihat Suraya. Tapi dalam sekelip mata saja Suraya sudah tiada di situ. Zakiah hairan. Tapi dia tak tahu nak buat apa. Dia lantas mengambil telefon bimbitnya lalu di bawa ke dapur.

Zakiah menelefon Azwa. Tak berjawab seperti biasa. Namun tiba-tiba, Zakiah perasan akan sesuatu. Suatu bunyi. Macam bunyi deringan telefon. Kemudian ia berhenti sebaik talian Zakiah dengan Azwa tamat. Zakiah menghubungi Azwa lagi. Perkara yang sama berlaku. Zakiah dapat mendengar bunyi telefon datang dari belakang dapurnya. Zakiah membuka pintu dan keluar. Dia cuba untuk mencari dari mana datangnya bunyi telefon itu. Bunyinya perlahan. Seakan telefon itu sedang tertimbun di bawah sesuatu.

Beberapa minit juga Zakiah mencari-cari. Hinggalah dia perasan bahawa bunyi telefon itu akan menjadi kuat apabila dia berdiri di atas tanah yang seperti agak baru digembur kerana tiada rumput di atasnya. Zakiah baru perasan akan perkara itu kerana dia dan keluarganya memang jarang ke bahagian belakang rumah mereka yang memang tiada apa-apa. Hanya sebatang cangkul yang sudah berkarat dan tidak pernah digunakan.

Zakiah menghubungi Azwa sekali lagi. Memang tak silap lagi dah. Bunyi deringan telefon yang dari tadi dicari itu datangnya dari kawasan tersebut. Zakiah duduk melutut lalu mula mengorek tanah itu dengan tangannya. Apabila dikorek semakin dalam, bunyi deringan telefon itu semakin kuat.

Tiba-tiba Zakiah terasa sesuatu yang lembut dan sejuk menyentuh kulitnya. Zakiah menarik benda itu.

"Aaaarrrgghhhh!!!" jerit Zakiah.

Terpacak dari tanah, satu tangan pucat sedang memegang telefon yang berdering.

Gadis yang memakai baju kebaya warna merah dengan kain batik warna biru, bersembunyi di sebalik sebuah pokok besar berhampiran dengan rumah Zakiah. Dia dapat melihat kereta polis yang banyak dan orang ramai berpusu-pusu mengelilingi rumah itu. Gadis itu menarik nafas lega. Mayat Azwa sudah dijumpai. Kini tubuh Suraya... dan roh Azwa, boleh kembali ke tempat yang sepatutnya.

Belum pun sempat Munir hendak menutup semula novel di tangannya, dia mendapat panggilan telefon dari balai tempat dia bertugas.

"Saya kena balik KL mak..."

"Malam ni jugak ke?"

Munir mengangguk.

"Sebab apa?" soal Ramlah. Dia menutup Al-Quran di hadapannya.

"Panjang ceritanya mak..."

"Pendekkan."

"Mak tentu hairan kenapa saya balik lama kali ni kan?"

Ramlah mengangguk. Menantikan penerangan dari anaknya.

"Sebenarnya saya kena gantung kerja."

"Astaghfirullahaladzim.... Sebab apa?"

"Ada satu malam tu, saya tengah buat rondaan. Saya ternampak ada sepasang kekasih tengah bergaduh. Jadi saya pun tolonglah leraikan. Tapi tiba-tiba yang teman lelaki tu nak bergaduh dengan saya pula. Dia serang saya. Saya pun tumbuklah dia. Itupun dah cukup baik saya tak sumbat dalam lokap. Tapi rupa-rupanya lelaki tu anak kepada Dato' mana entah. Orang penting kononnya. Dato' tu buat aduan tentang saya. Tak pasal-pasal saya yang kena gantung kerja."

Ramlah menggeleng beberapa kali. Kasihan dengan anaknya. Ramlah tahu. Walaupun Munir seorang yang panas baran dan perengus, dia juga seorang yang bertanggungjawab.

...bersambung

Bab akan datang:

Mengapakah Munir mesti pulang ke Kuala Lumpur pada malam itu juga?