Jangan Baca Novel Ni - Chapter 20
?Bab 20 (30/1/2014)

Munir terlongo. Tak menyangka akan pengakhiran cerita tersebut begitu. Dalam dia sedang termenung itu, tiba beberapa orang budak kampungnya datang menyapa.

"Assalamualaikum Abang Munir! Bila abang balik?" tanya salah seorang budak berusia sepuluh tahun itu.

Budak itu sedang memegang senaskhah surat khabar di tangannya. Barangkali baru dibeli di kedai runcit.

"Dah banyak hari jugak abang balik. Kau orang buat apa dekat sini?" soal Munir sambil bangun dan duduk di tangga beranda.

"Kami ada benda nak cakap sikit dekat Abang Munir. Tapi benda ni pelik tau..."

Munir mengerutkan dahinya.

"Apa dia?"

"Er... Abang Munir ada bawak budak balik sini ke?"

"Ada. Sebaya kau orang jugaklah. Cuma umur dia baru tujuh tahun. Kenapa? Nak ajak dia main ke?"

"Eh taklah.... Cuma tadi kami nampak dia."

"Nampak dia dekat mana?"

Budak-budak itu berpandangan antara satu sama lain.

"Kau orang nampak dia dekat mana? Setau abang dia tak ada kemana-mana pun. Dari tadi duk kat dalam bilik je..." tekan Munir.

"Er... kami nampak dia terbang keluar tingkap. Lepas tu masuk balik."

"Hish! Merepeklah kau orang ni."

"Betul Abang Munir.... Kami nampak dia tadi..."

"Sudah! Jangan nak mengarut. Dah pergi balik! Buat kerja sekolah lagi bagus daripada duk merepek tak tentu hala. Pergi balik!" marah Munir.

Budak-budak itu pun kelam-kabut pulang. Takut dengan Munir yang memang mereka sudah tahu garang. Punyalah nak cepat sangat balik, sampai salah seorang budak itu tadi tertinggal surat khabarnya di atas tangga. Munir mengangkat surat khabar itu lalu membaca berita utama di muka depannya.

'Seorang wanita ditangkap polis kerana tuduhan membunuh suami dan empat orang anak.'

Munir melepaskan surat khabar itu ke tanah. Terkejut. Dia memicit kepalanya yang terasa berpusing. Lagi sekali Munir membaca tajuk berita di muka akhbar yang sudah terbaring di atas tanah itu. Dia menguis-nguis surat khabar itu dengan kakinya.

"Ah... kebetulan je ni...."

Munir naik semula ke atas beranda. Dia melihat novel hitam yang terbaring di situ. Ikutkan kemahuan, Munir dah malas nak baca novel itu lagi. Penuh dengan cerita mengarut, katanya. Tapi entah kenapa hatinya terbawa-bawa. Bagaikan meminta-minta untuk Munir terus melayan novel tersebut. Buku usang itu seperti memanggil-manggilnya pula. Munir mengeluh.

"Bukan sifat aku buat kerja setengah jalan. Dah mula baca. Elok habiskan," putus Munir.

Dia pun mencapai cawan kopinya yang sudah kering. Ke belakang dapur untuk isi semula. Kemudian kembali ke posisi dan lokasi yang sama di atas beranda itu. Munir mengangkat semula novel tersebut.

"Cerita mengarut apa pulak la lepas ni..."

Cerita 4

Tumpang

Saya tumpang sekejap je...

Satu kejadian malang dan menyedihkan menimpa keluarga Hasmah. Anak keduanya, Suraya telah meninggal dunia di dalam satu kemalangan jalan raya. Tragedi itu berlaku lewat petang. Justeru, mereka membuat keputusan untuk menyemadikannya esok pagi memandangkan malam sudah lewat.

Hazra menenyeh mata berkali-kali. Kemudian dia mengeluh. Sungguh-sungguh dia tak dapat lena. Sudah puas berpusing ke kiri dan kanan. Kelopak matanya tetap keras macam batu. Enggan mengalah pada rasa letih badan tapi lebih memihak pada kusut minda. Namun bila difikirkan, siapalah yang mampu tidur dalam keadaan macam ini. Hazra mencengkam bantal peluknya sehingga meremuk. Menekupkan wajahnya pada bantal itu. Lagi sekali air matanya gugur. Seperti sejak petang tadi juga, tangisannya bukan hanya terkandung kesedihan. Tapi juga bingung, marah dan pelik. Dia seperti masih tidak percaya. Tubuh kakaknya Suraya sedang terbujur tak bernyawa di tengah-tengah ruang tamu di tingkat bawah. Terkiam tangannya. Terlantar beku, bertutup kain batik warna biru. Hanya menunggu masa untuk dibenamkan ke dalam tanah esok pagi.

Dan di situlah duduknya sampai bila-bila mulai sekarang. Hazra masih tak percaya. Adakah semua ini mungkin? Baru semalam dia bergurau senda dengan kakaknya itu.

Masih terdengar ketawa Suraya. Masih terbayang senyum manisnya. Masih terasa sentuhan lembutnya.

Hazra bingkas. Duduk berteleku di pinggir katil. Dia mengesat air matanya yang membasahi dagu. Tak semena-mena hadir rasa rindu pada Suraya.

“Kasihan kakak duduk seorang diri dekat bawah. Aku nak teman dialah,” kata Hazra dalam hati. Pada perhitungannya inilah malam terakhir dia dapat bersama dengan kakaknya secara fizikal. Lepas ini hanya mampu mengingati dalam doa. Hazra fikir dia harus mengambil kesempatan ini untuk meluang masa bersama Suraya. Walaupun hanya dengan jenazahnya. Hanya dengan mayatnya. Hazra tak kisah. Baginya jenazah itu, mayat itu, tetap kakaknya. Tak ada bezanya dengan semasa dia hidup. Tubuh itu masih kakaknya. Masih kakaknya yang dia sayang…

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Hazra akan mengalami peristiwa pelik dan menyeramkan ketika menemani jenazah kakaknya?