Jangan Baca Novel Ni - Chapter 38
?Bab 38 (26/5)

Ibu Suraya, Hasmah pula sedang solat sunat di dalam biliknya di atas juga. Tinggal Munir, Sahar dan Adib yang masih menemani jenazah Suraya yang terlantar tenang di tengah-tengah ruang tamu.

Setengah jalan dalam bacaan Yaasinnya, Sahar meminta diri pada Munir untuk ke tandas. Sakit perut katanya. Lalu tinggallah Munir dan Adib sahaja bersama dengan Suraya. Adib yang dari tadi hanya duduk di sisi Munir, tiba-tiba bangun dan menghampiri jenazah Suraya. Munir memerhatikan Adib. Adib duduk di tepi kepala Suraya. Dia mengusap-usap kepala Suraya. Lalu mendaratkan sebuah kucupan pada dahi sejuk Suraya. Munir hanya memerhatikan semuanya tanpa berkata apa-apa.

Tiba-tiba, Munir lihat Adib melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh sesiapa pun. Adib kelihatan seperti sedang membisikkan sesuatu pada telinga jenazah Suraya.

"Adib buat apa tu?" soal Munir dengan suara tinggi. Tidak senang dengan tindakan Adib itu.

"Tak ada apa-apa. Adib cuma panggil mak Adib..."

"Apa Adib mengarut ni? Itu kan Kak Suraya. Bukan mak Adib."

"Iya... tapi kejap lagi mak akan sampai...."

Sebaik Adib kata begitu, ruang tamu yang tadinya sejuk, tiba-tiba berubah panas. Panas yang teramat sangat. Seolah-olah seperti berapi.

Munir bangun. Dia terpinga-pinga. Munir melihat sekeliling. Cuba mencari punca kenapa keadaan tiba-tiba menjadi sangat panas. Adib juga bangun. Dia menjauhkan dirinya sedikit dari mayat Suraya.

Tak semena-mena, jenazah Suraya yang sedang terlantar tenang itu meletus dengan api yang marak tinggi. Setiap inci jenazahnya dijilat api yang merah dan membara. Terlalu besar dan tinggi sehingga mencecah siling rumah.

Munir jatuh terduduk sambil memerhatikan semua itu dengan gerun. Dia cuba menjerit tapi suaranya tidak keluar. Munir hanya mengecilkan dirinya di sudut ruang tamu tersebut. Cuba untuk melindungi dirinya dari api yang ganas ditengah-tengah rumah itu yang sedang membaham jenazah Suraya.

Munir menutup matanya dengan kedua belah tapak tangan. Dia mengerekot sambil menggigil ketakutan.

Secara perlahan-lahan, Munir dapat merasakan kepanasan itu semakin hilang. Hinggalah ruang tamu itu kembali dingin seperti sediakala.

Munir membuka matanya. Jenazah Suraya sudah tiada. Sebaliknya yang kelihatan adalah seorang wanita. Wanita itu sedang berdiri sambil memakai kain batik warna biru yang diikat di dada. Adib mendekati wanita itu lalu merangkul pinggangnya. Kemudian Adib berkata...

"Adib rindukan mak. Sekarang kita dapat bersama semula...."

Penglihatan Munir hitam. Dia terus hanyut di dasar kegelapan yang dalam.

JANGAN BACA

NOVEL

NI

Suraya turun dari kereta. Membetul-betulkan kain tudungnya. Kemudian Adib pula turun dari pintu sebelah penumpang. Sambil memegang sebuah novel berkulit hitam di tangannya. Adib memegang tangan Suraya lalu mereka sama-sama berjalan memasuki sebuah pusat rawatan mental.

"Awak apa khabar Munir...?" tanya Suraya sambil mengusap tangan Munir yang kasar dan sejuk. Munir hanya diam. Wajahnya lemah dan bibirnya pucat. Matanya pula hanya menumpu pada ruang udara yang tak berpenghuni.

"Munir.... Adib dari minggu lepas tak sabar-sabar untuk datang melawat awak. Dia rindukan awak. Dia jugak ada bawakan awak hadiah tau. Adib, bagilah hadiah yang Adib nak bagi pada Abang Munir tu." Suraya mengarahkan Adib dengan lembut.

Adib pun bangun dan mendekati Munir yang masih keras macam patung. Dia menghulurkan sebuah novel hitam kepada Munir.

"Nah Abang Munir. Adib tau yang abang suka baca novel ni kan? Jadi Adib bawak untuk abang baca. Manalah tau, kut-kut abang bosan duduk dekat sini..." kata Adib. Suraya tersenyum mendengar kata-kata manis Adib itu. Begitu dia mengambil berat akan Munir.

Munir memerhatikan novel tersebut agak lama, sebelum mengambilnya. Lalu tanpa berkata sepatah pun, Munir bangun untuk kembali semula ke biliknya.

Suraya dan Adib mengeluh. Walaupun mereka kecewa. Namun mereka tahu bahawa itu bukan diri Munir yang sebenar. Dia sakit. Dan berada di tempat itu, akan membantunya untuk pulih. Lalu Suraya dan Adib pun memutuskan untuk pulang sahaja dan datang semula minggu hadapan untuk melawat Munir lagi.

Munir terus masuk ke dalam biliknya. Dia harus lakukan sesuatu pada novel itu. Lalu Munir pun cuba untuk mengoyak novel tersebut helaian demi helaian. Namun aneh. Kertasnya yang begitu nipis dan hampir reput, langsung tidak berjejas. Dalam keadaan gerun, Munir membuang novel itu ke dalam tong sampah. Dia kemudian melompat ke atas katil sambil mengerekot dalam ketakutan. Munir mengambil bantal untuk menekup wajahnya. Namun sebaik Munir mengangkat bantal tersebut, novel hitam tadi sedang terlantar elok di situ.

Munir bangun dan melihat ke dalam tong sampah. Novel itu sudah tiada. Beberapa kali lagi Munir mencuba untuk membuang novel tersebut. Namun tetap tak berjaya. Setiap kali novel itu akan muncul semula samada di atas katil ataupun di dalam tangannya sendiri.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang akan dilakukan oleh Munir seterusnya bagi menghapuskan novel tersebut?