Jangan Baca Novel Ni - Chapter 39
?Bab 39 (27/5)

Munir bingung. Dia tak tahu nak lakukan apa lagi. Novel itu memang tak dapat dimusnahkan.

Lalu Munir pun mendapat satu akal. Dia mengguriskan jari telunjuknya pada bucu cermin tingkap bilik sehingga memancut-mancut darah yang keluar.

Dengan darah yang mengalir deras dari luka pada jarinya itu, Munir menuliskan sesuatu pada kulit novel yang selama ini memang hanya kosong tidak bertajuk.

Pada kulit novel yang berwarna hitam itu, Munir tulis...

'JANGAN BACA NOVEL NI'

Petang itu, Munir duduk di taman sambil mengambil angin. Memang ini masanya untuk pesakit-pesakit di pusat rawatan itu dibenarkan untuk keluar dari bilik mereka dan beriadah. Bagus untuk membantu proses pemulihan. Munir memegang novel hitam di tangannya yang kini sudah bertajuk. Dikarang dari darahnya sendiri. Sebagai mesej untuk sesiapa sahaja yang menjumpai novel itu lagi selepas ini. Tiba-tiba seseorang datang menyapanya.

"Hai..." kata orang itu sambil duduk di sebelah Munir di atas bangku batu yang sama.

"Hai..." balas Munir.

"Baca buku ke?"

Munir menggeleng sambil matanya tertumpu pada novel yang tertutup rapat itu.

"Boleh saya tengok?"

"Tak boleh!" kata Munir dengan suara tinggi. Munir memeluk kuat novel tersebut. Takut jatuh ke tangan orang lain.

"Kenapa?"

"Novel ni bahaya..."

"Jangan risau. Saya dah biasa. Saya seorang penulis. Nama saya Ismi Fa Ismail. Awak boleh panggil saya Ismi..." katanya sambil menghulur tangan pada Munir untuk bersalaman.

Munir memerhatikan tangan Ismi tanpa sebarang keinginan untuk menyentuhnya. Ismi pun menarik tangannya semula.

"So... boleh tak saya nak tengok?" pinta Ismi sekali lagi.

"Boleh. Tapi awak kena janji sesuatu."

"Apa dia?"

"Lepas awak dah baca, saya nak awak hapuskan novel ni. Kalau boleh, bakar terus!"

Ismi mengerutkan keningnya.

"Kenapa?"

"Buat sajalah! Kalau tak saya takkan bagi awak novel ni. Biar saya yang pegang sampai mati!" bentak Munir.

"Okay okay relax.... Saya akan buat macam yang awak mintak tu."

"Janji?"

"Iya..."

"Awak kena janji!"

"Saya janji."

Munir pun menyerahkan novel tersebut pada Ismi. Walaupun keberatan. Tapi dia lega. Sekurang-kurangnya novel itu bukan masalahnya lagi.

Ismi terus membelek novel usang itu. Isinya bertulis tangan dengan calitan warna merah tua sebagai tajuk di kulitnya.

"Jangan Baca Novel Ni..." Ismi menyebut tajuk novel tersebut.

"Tajuk yang menarik. Boleh saya tau siapa penulisnya?" soalnya pada Munir.

Munir cuma menggelengkan kepalanya perlahan.

Ismi akur. Walaupun dia pelik, tapi dia sedar yang dia tak sepatutnya mengharapkan apa-apa yang lebih dari 'kepelikkan' di tempat ini. Dah nama pun hospital gila.

Ismi bangun. Menyimpan novel itu di dalam beg silangnya.

"Terima kasih ya, sebab bagi saya novel ni. Apa-apa pun saya harap awak cepat sembuh."

"Aku tak sakit. Buku tu yang buat aku sakit."

"Okay.... Sekarang awak dah bagi saya buku ni. Jadi awak dah tak perlu sakit lagi la kan? Lepas ni mesti awak akan sembuh. Biar saya pulak yang sakit. Hehehe..." kata Ismi sambil tertawa dalam gurauan. Tapi Munir hanya diam saja. Mukanya masih muram tanpa sebarang reaksi.

Ismi mengeluh. Penat dia buat lawak tapi Munir tak gelak pun.

Sebaik sampai di rumah, belum pun sempat menyalin baju, Ismi terus mengeluarkan novel tersebut lalu melontarkan dirinya ke atas katil. Ismi membuka novel hitam itu. Tak semena-mena satu bau busuk yang sangat kuat menerjah hidungnya. Ismi menutup novel tersebut cepat-cepat. Kemudian dia membukanya semula. Lagi sekali bau kuat itu menyerang otaknya.

"Apasal busuk sangat buku ni?"

Ismi melengung. Dia memerhatikan kulit novel itu pula. Mengamati tajuknya dari dekat. Menghidunya. Bau hanyir.

"Macam bau darah je.... Takkan kut?"

Ismi mencapai telefon bimbitnya dan menghubungi Zack, seorang rakannya yang bekerja di sebuah makmal sains.

Tanpa menunggu lama, Ismi terus pergi ke tempat Zack bekerja untuk meminta bantuannya. Tapi sebelum itu, dia singgah di sebuah kedai alat tulis untuk membuat salinan fotostat novel tersebut. Ketika menyerahkan semula buku itu setelah dibuat salinan, pekerja kedai itu mengadu pada Ismi tentang bau buku tersebut. Katanya sampai dia sendiri pun sakit kepala.

Ketika menunggu Zack turun, Ismi duduk di ruang menunggu sambil memicit kepalanya sendiri yang terasa berat. Ismi faham akan maksud pekerja kedai alat tulis itu tadi. Bau busuk novel tersebut memang sampai memeningkan kepala.

"Oit! Kenapa ni?" Zack menyapa.

"Entah. Sakit kepala," kata Ismi sambil terus mengamati novel di tangannya.

"Tu buku apa tu?" soal Zack.

"Novel. Tapi I rasa novel ni yang buat I sakit kepala."

"Hah? Kenapa? Cerita dia complicated sangat ke?"

...bersambung

Bab akan datang:

Mengapakah Ismi mengatakan bahawa novel itu membuatkan dia sakit kepala?