Generic placeholder thumbnail
REPUBLIK SUNGAI GOLOK

ISMA AE MOHAMAD

4

Other | Complete

437 View(s)

Dia ingat tangisannya itu. “Khrang rek thi phom pai thung maenam Sungai Golok phom ronghai prokwaa wannan phom dai hen prathet kong phom—Kali pertama saya sampai ke Sungai Golok, saya menangis, sebabnya hari itu saya dapat melihat negara saya,” tulis Ramlee. “Prathet bermakna negara. Contohnya Prathet Thai, Prathet Malaysia, Prathet Indonesia,” terang gurunya minggu lepas kembali bersuara setelah dia selesai menyemak ayat tentang ‘prathet’ untuk mencari kesalahan tanda baca atau salah penggunaan pakyancakna atau konsonan Thai yang banyak itu. “Prathet Patani? Macam mana pula khru.” Ramlee membangkit pertanyaan, senyuman terukir, rakan sekelas gelak, guru kelihatan juga tersenyum. “Dulu Prathet Patani ada. Sekarang negara Patani sudah tidak ada. Yang ada sekarang adalah cangwat—wilayah Pattani,” jelas gurunya, yang kelihatan cuba memahami maksud pertanyaan anak muridnya itu. “Tae prathet Patani yuu thi nii. Yuu nai cai phom…—Tapi negara Patani ada di sini. Duduk dalam hati saya…” Tangan kanan Ramlee diletak di bahagian dadanya sambil matanya memerhati riak wajah guru, ada sedikit perubahan, ada sedikit kerutan. Kelas diam menanti maklum balas guru. Semuanya berubah, bermuka serius secara tiba-tiba. Diam. Beberapa ekor lalat berterbangan. Dada Ramlee berdegup, makin berdegup. Harapharap Phra Khru tak murih, tak marah.