Generic placeholder thumbnail
ANTARA DUA DARJAT

MUHAMMED ABDUL KHALID

5

Other | Complete

317 View(s)

Kadangkala, sesuatu tindakan insan biasa tanpa pangkat mahupun harta bisa menggegarkan dunia. Pada 17 Disember 2010, Mohamed Bouazizi telah bertindak membakar dirinya di tengah-tengah sebuah pekan kecil di selatan Tunisia. Bagi lelaki tersebut, apa yang mendorong tindakannya itu hanyalah rasa kecewa terhadap ketidakadilan kehidupan yang begitu perit yang beliau alami. Tidak mungkin terjangkau oleh fikirannya bahawa tindakan membakar diri itu bakal mencetuskan antara revolusi yang paling besar dalam lipatan sejarah dunia moden. Tindakan sadis seperti yang dilakukan oleh Mohamed Bouazizi ini bukanlah benda yang baru, banyak individu atau kelompok manusia terpaksa mengambil nyawa mereka sendiri atas faktor penindasan dan ketidakadilan sosial. Kisah-kisah sadis dan menyayat hati ini, hakikatnya, berkongsi suatu tema jalan cerita yang serupa. Ia merupakan tema yang telah mewarnai peristiwa Revolusi Perancis sekitar akhir abad ke-18 dan Revolusi Rusia yang tercetus pada awal abad ke-21. Ia juga merupakan tema yang mendasari Revolusi ‘Arab Spring’ beberapa tahun lalu. Kesemua tragedi dan peristiwa ini menyampaikan suatu mesej yang jelas, iaitu ketidaksamarataan jurang ekonomi yang besar dalam kalangan rakyat merupakan bom jangka yang boleh mencetuskan pertumpahan darah, pergolakan sosial serta ketidakstabilan politik. Berdasarkan latar belakang tersebutlah buku ini ditulis. Malaysia juga pernah melalui tragedi yang mencalarkan sejarah tanah air; rusuhan kaum pada tahun 1969 yang turut berpunca daripada jurang ekonomi. Namun begitu, luka tersebut telah dirawat dan diubati oleh dasar-dasar yang memastikan agar ia kekal hanya sebagai sebuah parut lama yang tidak mungkin kembali berdarah. Sehingga ke hari ini, kita bertuah kerana kepesatan ekonomi telah meningkatkan tahap kekayaan sebahagian besar rakyat Malaysia. Peningkatan jumlah pendapatan, pemilikan rumah, simpanan dan pelaburan saham telah membolehkan ramai memiliki pegangan aset yang banyak, dan mengurangkan tekanan konflik antara kelas mahupun antara kaum.